KECOH seluruh Kampung Sungai Teja dengan apa yang berlaku. Pagi-pagi lagi seisi kampung gempar dengan cerita Mak Limah dan Pak Syuaib terserempak hantu bertubuh rosak dan sudah reput. Biarpun hantu yang dimaksudkan itu tidak mengganggu mereka, namun kehadiran makhluk tersebut mengganggu fikiran orang kampung. Apabila ditanya siapa yang jadi hantu, Mak Limah dan Pak Syuaib tidak dapat menjawab dengan tepat. Pelbagai teori diberikan tetapi tidak satu pun menepati sebagaimana yang dilihat oleh Mak Limah dan Pak Syuaib. Semua orang yang sudah mati disebut kepada Mak Limah dan Pak Syuaib, namun seperti sebelumnya, semuanya dinafi kan oleh laki bini itu. Kalaulah bukan kerana Tok Ngah Darus pulang lewat dari bandar, mungkin orang kampung tidak tahu apa yang berlaku. Suluhan lampu motosikalnya, membuatkan Tok Ngah Darus memberhentikan motosikalnya. Setelah didesak dan ditanya berulangulang kali, akhirnya Pak Syuaib berterus-terang bahawa Mak Limah pengsan kerana melihat hantu bertubuh rosak. Dengan menggunakan telefon bimbitnya, Tok Ngah Darus menghubungi beberapa orang penduduk kampung untuk diminta pertolongan mereka. Permintaan Tok Ngah Darus, dipenuhi. Tidak sampai beberapa minit kemudian, beberapa orang pemuda kampung, termasuklah Sahak muncul di jalan itu. Merekalah yang membawa Mak Limah pulang dengan menggunakan kereta salah seorang penduduk kampung.
Dah berpuluh tahun aku hidup, tak pernah pula aku dengar ada hantu dalam kampung ni. Kalau budak-budak kampung ni berperangai macam hantu, adalah,
kata Tok Ngah Darus setelah Mak Limah dan Pak Syuaib dihantar pulang ke rumah besar mereka.
Jangan-jangan hantu pokok jejawi tua tu, Tok Ngah!
Sahak celupar mulut mengingatkan Tok Ngah Darus.
Hantu pokok jejawi tua Hantu apa yang suka duduk di pokok tu
Tok Ngah Darus bertanya kembali.
Saya pernah nampak lembaga aneh di pokok tu!
Sahak membalas, sekali gus cuba menegakkan pendapatnya sebentar tadi.
Ah, jangan mengarutlah, Sahak! Setahu aku dan orang kampung ni, kau pengsan berkali-kali sebab menyangka layang-layang yang tersangkut di pokok jejawi tua itu sebagai pontianak,
balas Tok Ngah Darus sambil tersenyum lebar. Orang kampung yang turut berada di beranda rumah Pak Syuaib ketawa kecil. Pun begitu, wajah mereka tidak mencerminkan yang mereka terhibur dengan usikan Tok Ngah Darus. Jejawi tua itu sentiasa menakutkan mereka, sama ada pokok itu merupakan sarang hantu atau sebaliknya.
Malam ni, nampak gayanya kita kena berkampung kat rumah Pak Syuaiblah,
Tok Ngah Darus menyingkatkan cerita tentang hantu pokok jejawi tua. Dan sudah tentulah masing-masing menarik nafas panjang, kelegaan. Tiada seorang pun daripada mereka yang berani mengharung malam untuk pulang ke rumah masing-masing setelah Pak Syuaib sendiri mengesahkan Mak Limah pengsan dan jatuh semangat setelah melihat hantu bertubuh rosak.
Saya pun harap macam tu jugalah. Saya dah telefon Rosman dan Salmiah,
Pak Syuaib segera memberitahu sambil sesekali mengerling ke arah isterinya yang masih terbujur dengan seluruh tubuh menggigil.
Buat apa panggil budak-budak tu balik Buat menyusahkan saja,
Tok Ngah Darus tidak senang dengan tindakan Pak Syuaib.
Mak dia orang sakit. Jadi, ini adalah tanggungjawab anak untuk menjaga ibu dia orang,
Sahak menjawab bagi pihak majikannya, Pak Syuaib. Tok Ngah Darus terkesan dengan hujah Sahak. Pun begitu, wajah Sahak direnungnya dengan tajam.
Mak kau macam mana Sakit lututnya dah baik
tanya Tok Ngah Darus.
Kurang sedikit. Bila dapat suntikan di klinik di bandar tu, baiklah sakit lututnya.
Habis tu, siapa yang jaga dia sekarang
Tak ada siapa.
Eh, kan kau cakap tadi, tanggungjawab seorang anak adalah menjaga ibunya yang sedang sakit.
Sahak serba salah. Dia tidak mampu memberikan jawapan kepada soalan Tok Ngah Darus.
Saya dah telefon Kak Tipah dan bagitahu Sahak ada di sini. Saya dah pesan, kalau ada apa-apa, dia kena telefon saya secepat mungkin,
Pak Syuaib bagaikan cuba membalas budi Sahak yang menjawab bagi pihaknya tadi. Tok Ngah Darus terangguk-angguk bagaikan pada batang lehernya tergantung spring yang sangat menganjal. Namun anggukannya tiba-tiba mati. Dia memandang sekeliling.
Ke mana pula perginya Sudin Selalunya kalau ada apa-apa di kampung ni, muka dia yang boleh ditengok dulu. Tak nampak pun bayangnya,
kata Tok Ngah Darus.
Dari siang tadi lagi. Dia tak datang bekerja pun. Entahlah, boleh jadi, dia pergi cari bapanya.
Pandangan Tok Ngah Darus beralih kepada Sahak.
Dia tak jumpa kau, Sahak
Sahak menggeleng pantas.
Kau pergi tengok dia di rumah
Sahak menggeleng lagi.
Jangan-jangan budak tu demam.
Petang semalam, elok saja saya tengok.
Itulah susahnya kalau dapat bapa yang hanya tahu buat anak tapi tak tahu macam mana nak bela anak. Sepatutnya si Sudin tu melanjutkan pelajaran, bukannya bersidai di kampung ni. Tapi kalau dah dapat bapa macam Cik Leh tu, budak bijak macam mana pun, akhirnya jadi otak batu.
Sahak tunduk. Kata-kata Tok Ngah Darus bagaikan satu sindiran tajam kepadanya. Nasibnya dan Sudin tidak ada banyak bezanya sekalipun bapanya masih wujud dan masih bekerja. Persamaan mereka ialah, bapa mereka tidak pernah mengambil tahu tentang kebajikan anak-anak, sebaliknya tenggelam dalam dunia sendiri. Bapa Sudin tenggelam dalam dunia keseronokannya bersama-sama Pak Long Lateh, Man Bewak dan Mat Ajib. Sedangkan bapanya pula tenggelam dan asyik dengan bini muda di Johor.
Mujurlah ada kau, Syuaib. Setidak-tidaknya ladang ayam kau, dapat juga bagi pekerjaan kepada si Sahak dan si Sudin. Nak harapkan kerja-kerja kat kilang, sampai sudahlah budak-budak ni tak ada kerja. Siapa yang nak ambil orang yang tak ada pelajaran sebagai pekerja,
leter Tok Ngah Darus. Pak Syuaib mengangguk-angguk. Pemuda-pemuda kampung yang lain turut mengangguk-angguk, bersetuju dengan leteran Tok Ngah Darus. Leteran Tok Ngah Darus sebenarnya langsung tidak berkisar tentang kejadian yang telah menimpa Pak Syuaib dan Mak Limah. Sebaliknya Tok Ngah Darus lebih seronok bercerita dan berleter tentang keadaan di Kampung Sungai Teja. Cuma satu perkara yang sangat Sahak perasan, Tok Ngah Darus sebenarnya sentiasa berusaha untuk tidak bercakap tentang jejawi tua. Setiap kali ada cubaan untuk membawa cerita Tok Ngah Darus kepada jejawi tua, Tok Ngah Darus akan cepat-cepat memutarkan kepada cerita lain. Jejawi tua bagaikan pantang terbesar dalam hidup Tok Ngah Darus. Atau boleh jadi juga, Tok Ngah Darus sebenarnya tidak mahu menimbulkan ketakutan di kalangan pemuda-pemuda Kampung Sungai Teja, termasuklah dia sendiri yang berada di beranda rumah Pak Syuaib. Barangkali juga ada cerita lain yang lebih menarik p tetapi Tok Ngah Darus enggan berkongsi cerita tersebut dengan mereka semua.
Tok Ngah rasa-rasalah, hantu siapa yang Mak Limah nampak tadi
Sahak memotong cerita Tok Ngah Darus tatkala dia begitu seronok bercerita tentang ikan sempilai yang ditangkapnya pada zaman kecilnya di bendang yang kini menjadi tanah lapang dan tapak rumah Pak Syuaib. Nafas dihela panjang. Tok Ngah Darus kelihatan keberatan untuk menjawab.
Entahlah, benda ni tak boleh main rasa-rasa. Aku tak pernah pula jumpa hantu di kampung ni walaupun aku kerap balik tengah malam dari bandar,
Tok Ngah Darus menjawab pertanyaan Sahak. Sahak berpaling ke arah Pak Syuaib yang kembali dengan kegemarannya iaitu menghisap rokok daun.
Masa Pak Syuaib suluh muka hantu tu, takkan Pak Syuaib tak nampak siapa dia
Sahak cuba mendesak majikannya pula. Sama seperti Tok Ngah Darus, Pak Syuaib juga menghela nafas panjang seolah-olah cuba melepaskan keluhan berat di dalam dadanya.
Yang aku nampak, muka makhluk tu dah rosak sepenuhnya. Sebahagian daripada kepalanya dah rosak teruk. Begitu juga dengan badan, lengan dan kakinya. Daging-dagingnya dah berkecai dan berselayut di badan macam kepala orang kena tembak dengan senapang shot-gun.
Sahak mengerutkan dahinya. Sukar untuk membayangkan apa yang diceritakan oleh Pak Syuaib.
Aku nampak sekali imbas sahaja. Aku lebih sibuk nak selamatkan Mak Limah kamu yang dah pengsan di tengah-tengah jalan,
Pak Syuaib menyambung penjelasannya tadi.
Pak Syuaib tak cam siapa dia
Tak...
Mayat hidup siapa pula Mana ada orang mati di kampung ni dalam masa terdekat ni. Orang hilang adalah.
Jangan-jangan orang hilang tu ler yang jadi hantu,
seorang pemuda yang duduk di tepi tangga, bersuara mencelah.
Tak mungkinlah! Kalau Pak Long Lateh, takkanlah Pak Syuaib tak kenal, betul tak
tanya Sahak semula. Dia sendiri kurang yakin dengan kenyataannya.
Betullah tu.
Pak Syuaib cuba untuk tidak mengingati semula apa yang dilihatnya tadi. Di dalam benak Sahak, ada pelbagai persoalan yang tidak dapat dirungkaikan. Tanda tanya timbul memandangkan Pak Syuaib dan Mak Limah sekadar berjalan dan tidak menggunakan kenderaan. Masakan mereka bersiar-siar pada tengah malam Tidak ada orang kampung yang cukup gila untuk bersiar-siar di segenap pelusuk kampung dengan berjalan kaki. Jikalau tiga puluh tahun lalu, mungkinlah memandangkan kebanyakan orang kampung tidak berkemampuan untuk membeli kenderaan hatta sebuah basikal tetapi Pak Syuaib sendiri memiliki motosikal. Bukankah lebih mudah untuk dia dan Mak Limah menggunakan motosikal itu untuk ke mana-mana. Kalau tidak berlesen sekalipun, mereka hanya bersiar-siar di dalam kampung, bukannya di jalan besar. Selama ini pun, tidak ada orang kampung yang ditangkap polis trafi k sebab bersiar-siar dalam kampung dengan tidak berlesen ataupun bertopi keledar. Namun Sahak tidak mampu untuk mengutarakan persoalan itu kepada Pak Syuaib. Dia tidak mahu orang kampung dan Tok Ngah Darus yang ada di beranda itu memandang serong kepada Pak Syuaib dan Mak Limah. Kalau semua orang pandang serong kepada Pak Syuaib dan Mak Limah, dia juga akan mendapat tempiasnya. Bukankah dia pekerja Pak Syuaib dan Mak Limah Malah kebajikannya sepanjang menjadi pekerja pasangan suami isteri itu cukup terjaga.
Kau orang laki bini nak ke mana masa aku jumpa di tengah jalan tadi
Tok Ngah Darus mengutarakan soalan yang berlegar-legar tetapi ditahan oleh Sahak, sekali gus menyebabkan air muka Sahak berubah, seolah-olah dia turut terlibat sama. Darah naik ke mukanya. Dia sangat bimbang sekiranya penjelasan yang diberikan oleh Pak Syuaib sebentar nanti akan menyebabkan rahsianya akan terbongkar.
Kami ambil angin. Bosan duduk dalam rumah, tu yang kami berjalan-jalan,
jawab Pak Syuaib dengan nada bersahaja.
Atau kau orang sebenarnya nak pergi minta nombor ekor kat perdu jejawi tua tu
Sahak terus memulas batang lehernya mengarah kepada Tok Ngah Darus. Dia tidak pasti sama ada Tok Ngah Darus sebenarnya ingin bergurau atau sememangnya dia serius dengan pertanyaan itu. Bagaimanapun, Pak Syuaib sekadar ketawa terbahak-bahak. Entah apa yang melucukan, Sahak tidak mampu meneka.
Minta nombor ekor Saya ni jangankan nombor ekor, main ramal-ramal pun tak berani,
Pak Syuaib berterus-terang. Sahak mengurut dada, lega.
Manalah aku tahu. Takkanlah bersiar-siar tengah malam... pula tu dah nak sampai ke jalan besar. Boleh jadi, itulah sebabnya kau orang laki bini kena usik dengan hantu,
Tok Ngah menyambung celupar mulutnya. Sahak cuba mengesan sebarang perubahan pada wajah Pak Syuaib. Bagaimanapun, Pak Syuaib kelihatan cukup selamba. Cuma sengihnya sahaja tidak berhenti dari tadi. Terhibur barangkali dengan pertanyaan Tok Ngah Darus yang dianggapnya sebagai bahan sendaan.
Cuaca cantik. Tak hujan. Duduk dalam rumah, panas... jadi kami ambil keputusan untuk bersiar-siar. Lagipun kalau bersiar-siar waktu siang, banyak pula cakap orang kampung. Orang kampung mana biasa tengok laki bini yang dah berusia macam kami berjalan berpegangan tangan. Ada-ada sahaja ejekan. Kalau orang kampung nampak, adalah nanti yang kata kami ni tak sedar diri. Dah tua-tua pun nak berperangai macam orang muda,
panjang lebar penjelasan yang diberikan oleh Pak Syuaib. Ternyata penjelasan yang diberikan oleh Pak Syuaib, diterima oleh Tok Ngah Darus. Malah dia membenarkan kata-kata Pak Syuaib itu.
Betul cakap kau, Syuaib. Orang kampung kita ni macam dah tak ada benda lain selain daripada mengumpat dan mengata orang. Yang halal, diejekejek. Yang haram, digalak-galak. Apa nak jadi dengan orang kampung ni pun, aku tak tahu.
Tok Ngah, Pak Syuaib... Mak Limah cuba nak bangun tu.
Perbualan itu terus mati. Masing-masing segera menjenguk ke anjung tempat Mak Limah sedang terbaring. Namun, langkah mereka tidak panjang. Kecuali Pak Syuaib dan Tok Ngah Darus yang terus masuk dan berada di sebelah Mak Limah, Sahak serta pemuda-pemuda yang lain sekadar berada di beranda walaupun tengkuk masing-masing dipanjangkan ke arah anjung.
Apa yang kau orang pandang-pandang macam burung unta tu! Mari sini, tolong pegang Mak Limah kamu ni!
jerkah Tok Ngah Darus. Sahak dan kawan-kawannya yang lain saling berpandangan. Kalaulah Mak Limah yang ada sekarang adalah Mak Limah yang biasa mereka lihat, tidak ada sebarang masalah untuk mereka berada hampir dengannya ataupun memegang Mak Limah. Namun, Mak Limah yang wujud sekarang, adalah Mak Limah yang sudah berubah sama sekali. Kerut dan riak wajahnya langsung tidak serupa seperti Mak Limah. Rambutnya mengerbang. Suaranya garau dan kasar. Bahasa pertuturannya kedengaran pelik. Liuk lentok kepala dan matanya, menakutkan. Bahkan lidahnya yang terjelir-jelir panjang bagaikan lidah ular, menambahkan ketakutan kepada pemuda-pemuda itu.
Kenapa dengan Mak Limah tu
Sahak bertanya mewakili kawan-kawannya. Tok Ngah Darus dan Pak Syuaib bergelut untuk memegang lengan Mak Limah. Entah apa yang hendak dilakukan oleh Pak Syuaib dan Tok Ngah Darus, Sahak tidak mampu meneka.
Banyak soallah kau ni, Sahak! Mari sinilah!
Tok Ngah Darus tidak menjawab sebaliknya menjerkah Sahak sehingga membuatkan Sahak tersentak. Pun begitu, Sahak akur dengan perintah Tok Ngah Darus. Malah pemuda-pemuda yang lain turut melangkah masuk untuk mendapatkan Mak Limah. Mata Mak Limah terjegil besar dan dia menyeringai menampakkan barisan giginya dan gusinya. Matanya yang terjegil bagaikan hendak tersembul keluar. Uraturat halus berwarna merah merayapi segenap ruang pada mata putihnya. Nafasnya pula kasar-kasar dan ada dengusan bagaikan dengusan ayam betina yang cuba mempertahankan anak-anaknya yang baru menetas daripada disambar biawak.
Apa nak dibuat ni
Sahak menggaru-garu kepalanya. Dia tidak pernah berhadapan dengan keada an begitu.
Kau pegang tangan Mak Limah.
Tok Ngah Darus cuba bertindak bagaikan seorang pawang besar. Sesuatu yang agak menyenangkan ialah ketenangan yang ditunjukkan oleh Tok Ngah Darus. Sedangkan Pak Syuaib pula seolah-olah sedang menonton satu temasya. Mak Limah yang berubah sikap itu, seolaholah bukanlah isterinya yang perlu dirisaukan dan dibimbangkan. Sahak dan pemuda-pemuda Kampung Sungai Teja yang berada di sisi Mak Limah cuba memegang tangan wanita itu meskipun, masing-masing kelihatan ragu-ragu.
Jangan sentuh aku!
Mak Limah bersuara. Suaranya kasar benar. Seolah-olah ia bukanlah suara Mak Limah. Tok Ngah Darus cukup tenang. Cuma pandangannya tidak lekang atau dilarikan daripada Mak Limah. Sedangkan bibirnya kelihatan sedikit kumatkamit. Entah apa yang dibacanya, pemuda-pemuda itu tidak dapat meneka. Manakala Pak Syuaib tidak menunjukkan sebarang perasaan sama ada menerusi riak wajahnya, apatah lagi bahasa tubuhnya.
Pegang dia!
arah Tok Ngah Darus. Garang suaranya. Pemuda-pemuda itu segera mengikut seperti yang diperintahkan oleh Tok Ngah Darus. Sahak pula cuba memegang kaki Mak Limah. Ternyata, tindakan Sahak itu satu kesilapan besar baginya. Baru sahaja dia menyentuh kaki Mak Limah, satu tendangan yang kuat, mengenai dadanya, sekali gus menyebabkan Sahak tercampak dan tersandar ke dinding. Hilang seketika nafasnya. Sejat seketika darahnya. Para pemuda yang lain, terpaku dengan tindakan Mak Limah yang langsung tidak mereka duga. Boleh jadi tahu pegangan pemuda-pemuda itu tidak sekuat mana, Mak Limah bertindak lagi. Dia menghayun tangan kanannya, sekali gus menyebabkan dua orang pemuda yang memegang tangannya turut tercampak. Berdentum dentam lantai rumah Pak Syuaib. Bergegar-gegar rumah Pak Syuaib apabila pemudapemuda yang diminta bantu oleh Tok Ngah Darus tidak berupaya mengatasi kekuatan luar biasa Mak Limah. Pun begitu, Mak Limah sekadar melemparkan Sahak dan kawan-kawannya. Dia tidak berganjak dari tempat pembaringannya. Malah berdiri pun, Mak Limah tidak lakukan.
Kuat sungguh kau ni, ya
Tok Ngah Darus bertanya dengan nada menyindir. Mak Limah mendengus-dengus dengan kasar. Pun begitu, sekadar tangan dan kakinya sahaja yang bergerak bebas. Manakala kepala dan badannya kekal di atas pembaringan seolah-olah diikat oleh tali ghaib yang sangat kukuh dan ketat.
Aku tahu, kau akan muncul juga akhirnya,
Tok Ngah Darus bersuara lagi. Sahak tahu, kata-kata Tok Ngah Darus itu bukanlah untuk Mak Limah. Malahan, Mak Limah sebenarnya tidak sedar dengan apa yang berlaku. Biarpun di hadapan mereka, terbaringnya Mak Limah, namun Mak Limah yang sebenar hilang entah ke mana. Dadanya diurut-urut. Kesan tendangan Mak Limah tadi, agak kuat. Bimbang juga Sahak seandainya tendangan itu mampu mematahkan tulang rusuknya. Namun, kebimbangannya tidak berasas. Tiada sebarang kesakitan yang terdapat pada bahagian rusuknya. Tendangan itu hanya membuatkan dia sesak nafas untuk beberapa detik. Kemudian, apabila kesan kesakitan itu sudah hilang, dia sudah boleh bernafas dengan tenang sekali gus mengesahkan bahawa tiada sebarang tulangnya patah dan menusuk atau menghimpit paru-paru dan jantung. Kawan-kawannya yang lain turut tersandar ke dinding. Masing-masing sudah tidak mampu bergerak walau seinci pun untuk mendekati Mak Limah. Masing-masing seperti sudah serik untuk dihumban oleh Mak Limah.
Kenapa kau kacau orang kampung ni Bukankah kau sudah berjanji tak akan kacau sesiapa lagi
Tok Ngah Darus bertanya lagi. Sahak berpandangan dengan kawan-kawannya. Ingatannya entah mengapa, merayap kepada Sudin. Kalau Sudin ada, boleh jadi Sudin tentu seronok untuk menonton drama itu. Lagipun Sudin selalu bercerita tentang perkara-perkara mistik yang pernah dilaluinya, atau pernah menjadi pengalaman orang lain dan dituturkan kepadanya. Entahkan betul, entahkan tidak, Sahak tidak pernah berhajat untuk mengujinya. Apa yang disajikan di anjung rumah besar Pak Syuaib itu adalah sesuatu yang benar. Sesuatu yang tidak direka-reka. Pak Syuaib sekadar berteleku. Bergerak pun tidak. Apabila Tok Ngah Darus bertanya kepadanya, Pak Syuaib seperti orang tongong yang pekak tuli dan bisu. Hanya matanya terkebil-kebil seperti mata cicak yang tertelan kelkatu besar.
Apalah salah laki bini ni yang kau pergi kacau dia orang Baik kau lepaskan Syuaib dan Limah. Kalau tidak....
Tok Ngah Darus mengancam. Tok Ngah Darus tunduk ke lantai. Dia bersila rapat. Kukuh. Hanya sesekali kepalanya terangguk-angguk. Sahak dan kawan-kawannya tidak dapat mendengar biji butir bacaan yang dibuat oleh Tok Ngah Darus. Suaranya terlalu perlahan tetapi berterusan. Pun begitu, Tok Ngah Darus kelihatan begitu khusyuk sambil ibu jari kanannya menekan ambal yang melapiki lantai.
Uhh... uhhh... uhhh....
Mak Limah merenjas-renjas. Pun begitu dia kelihatan begitu sukar untuk bergerak bebas. Tangannya yang terawang-awang dan kakinya yang terangkat-angkat, kini bagaikan terikat kukuh. Hanya kedua-dua belah bahunya sahaja yang bergerak ke atas dan ke bawah. Sedangkan pada masa yang sama, renungan Mak Limah ke wajah Tok Ngah Darus cukup tajam. Dalam pandangannya, terpancar kebencian yang amat sangat. Bibirnya digertap-gertap. Rahangnya berkisar-kisar. Lubang hidungnya kembang kempis, bagaikan hidung kerbau yang menunggu masa untuk lehernya disembelih dengan mata parang yang tajam. Dia cuba mengatakan sesuatu namun kata-katanya bagaikan lekat di kerongkong.
Keluar kau dari badannya! Atau kau, aku bakar sampai jadi debu!
arah Tok Ngah Darus. Suaranya masih perlahan tetapi cukup garang. Sahak benar-benar tertarik. Kalau mengikut apa yang dilihatnya sekarang, ternyata Tok Ngah Darus yang bermulut celupar dan lepas bebas itu, bukanlah sembarangan orang. Tidak pernah dilihatnya sebelum ini, Tok Ngah Darus mempamerkan kebolehan yang ada padanya. Malah orang kampung pun tidak pernah bercakap apa-apa tentang kebolehan Tok Ngah Darus. Kecuali Tok Melah yang tidak menyembunyikan kebenciannya terhadap Tok Ngah Darus, orang kampung yang lain beranggapan, Tok Ngah Darus hanyalah seorang lelaki tua di Kampung Sungai Teja yang menjalani kehidupannya seperti orang lain. Tok Ngah Darus sekadar dikenali sebagai lelaki tua yang banyak leternya. Tok Ngah Darus juga terkenal dengan kata-katanya yang lepas bebas mengecam sesiapa sahaja yang dia tidak suka. Mak Limah masih seperti tadi. Merenjas-renjas bagaikan kijang ditembak pada batang leher. Pak Syuaib pula sekadar duduk berteleku bagaikan patung kayu yang menunggu masa untuk dicampakkan ke tempat sampah. Jauh di dalam hatinya, Sahak meyakini bahawa Pak Syuaib juga turut terlibat sama seperti masalah yang dihadapi oleh Mak Limah.
Sahak.
Tok Ngah Darus berpaling ke arah Sahak.
Pergi ke dapur. Ambilkan aku limau nipis tujuh biji.
Arahan yang diberikan oleh Tok Ngah Darus membuatkan Sahak tercangak-cangak. Memang benar, dia rapat dan bekerja dengan Pak Syuaib serta Mak Limah. Malah memang tidak bersalahan, Mak Limah dan Pak Syuaib sentiasa melayan dia dan Sudin dengan baik tetapi menjelajah di dalam rumah mereka sehingga ke dapur untuk mencari sesuatu, belum pernah dilakukan oleh Sahak. Berada di dapur pun hanya beberapa kali sahaja yang pernah dilakukan oleh Sahak. Itu pun kerana ingin menumpang bilik air untuk qadzial hajat. Sekarang, Tok Ngah Darus memintanya mencari tujuh biji limau nipis di dapur.
Pergi sahajalah. Majikan kau takkan marah,
Tok Ngah Darus bagaikan dapat membaca isi hati Sahak. Sekali lagi Sahak berpaling kepada kawankawannya. Harapannya hanya satu, salah seorang daripada mereka mahu menemaninya ke dapur. Namun, pemuda-pemuda yang diminta bantuan oleh Tok Ngah Darus itu begitu bersahaja dan tidak memahami maksud pandangannya. Masing-masing sekadar berkalih pandangan kepadanya dan kemudian, kembali menghantar pandangan masing-masing kepada Mak Limah dan Pak Syuaib yang sedang dihadap oleh Tok Ngah Darus. Perlahan-lahan Sahak bangun. Tidak ada pilihan sebenarnya, selain daripada akur dengan perintah Tok Ngah Darus. Dia mengatur langkah di atas lantai menuju ke dapur. Biarpun Sahak tidak pasti di mana Mak Limah simpan limau nipis seperti yang dikehendaki oleh Tok Ngah Darus tetapi Sahak dapat mengagak, pastinya peti sejuk adalah tempat yang paling sesuai untuk meletakkan objek-objek seperti itu. Dapur Mak Limah gelap. Sahak tercangak-cangak mencari suis lampu.
Mana pula suis lampu dapur ni
Ketiadaan sebarang suis lampu berhampiran pintu ke dapur, membuatkan Sahak terpaksa menjengah kepalanya ke ruangan dapur dan mencari suis lampu di dinding dapur pula.
Eh, kat mana pula suis lampu ni
Sahak tidak berpuas hati. Dia terjenguk-jenguk lagi. Kegelapan menyukarkan dia menentukan di manakah sebenarnya terletaknya suis lampu untuk dapur. Cubaannya untuk mengelak daripada memasuki dapur untuk mencari suis lampu, nampaknya tidak berhasil. Tidak ada cara lain, selain daripada berada di dalam gelap di ruangan dapur tersebut. Dan itulah yang dilakukan oleh Sahak. Entah mengapa, tatkala dia melangkah masuk ke ruangan dapur, perasaannya bagaikan terancam. Dadanya berdebar-debar kencang. Jantungnya dirasakan terlalu giat mengepam darah. Tempurung lututnya pula bagaikan sudah pecah dan sendi-sendiri di seluruh badannya bagaikan lekat diikat. Pun begitu, tatkala dia berada di dalam gelap, dia ternampak suis yang dicari-carinya. Suis tersebut terletak tidak jauh dari tepi jenang pintu yang menghubungi ruangan makan dengan dapur. Lebih tepat lagi, berada tidak jauh dari peti sejuk yang bakal menjadi tempatnya mencari limau nipis tujuh biji seperti yang diarahkan oleh Tok Ngah Darus. Lega sedikit hatinya apabila melihat suis tersebut dan tanpa bertangguh, Sahak menghidupkan lampu di dapur. Dia tidak berganjak jauh dari suis lampu. Namun kelegaan yang dirasakannya tidak berpanjangan. Nyalaan lampu dapur, membuatkan Sahak hampir putus nafas. Malah ruang dapur yang dicerahkan oleh lampu kalimantang tiga batang, telah membuatkan seluruh sendi Sahak kaku dan matanya membulat besar. Di hujung meja makan, seorang wanita tua berambut mengerbang sedang merenungnya dengan mata merah dan berwajah cukup garang. Tiada langsung sebarang keindahan atau kesan-kesan kejelitaan pada wajah wanita tua tersebut. Tiada juga sepatah perkataan pun yang keluar dari mulut wanita tua itu. Otak Sahak menjadi kosong. Jangankan berfikir apa yang harus dilakukan, hendak membuka mulut dan meminta bantuan daripada Tok Ngah Darus serta kawan-kawannya di anjung pun, Sahak tidak mampu langsung. Sedangkan wanita itu pula, mula bergerak sedikit demi sedikit ke arah Sahak. Pergerakannya tidak seperti pergerakan manusia sebaliknya wanita tua itu bergerak seolah-olah dia berada di atas papan selunsur. Semakin dekat wanita tua yang tidak dikenali itu dengannya, seluruh tubuh Sahak menggigil ketakutan. Ada keinginan untuk segera melarikan diri dari dapur dan melanggar perintah Tok Ngah Darus. Ada keinginan untuknya menjerit meminta bantuan Tok Ngah Darus kerana Sahak tahu, wanita tua yang muncul di dapur rumah Pak Syuaib dan Mak Limah itu sudah pasti bukan manusia biasa. Namun segalagalanya seperti dikongkong oleh satu kuasa ghaib yang memaksa Sahak hanya mampu melotot merenung wanita tua itu yang kian mendekatinya.
Uh... uh... uh....
Sahak berpaling ke kiri dan kanan. Dia benar-benar mengharapkan seseorang dari anjung akan datang dan menariknya keluar dari dapur. Dia tidak peduli lagi dengan limau tujuh biji seperti yang diminta oleh Tok Ngah Darus. Kalau Tok Ngah Darus hendak marah dan memaki hamunnya pun, Sahak sudah tidak peduli. Dia hanya perlu mengelak daripada berhadapan dengan wanita tua berambut mengerbang dan berwajah menakutkan itu.
Jangan... jangan apa-apakan aku!
Dalam ketakutan yang tidak terhingga, mampu juga Sahak menuturkan sesuatu biarpun suaranya menggigil seperti seluruh badannya juga. Ternyata rayuan ketakutan Sahak tidak mampu mengubah keinginan wanita tua berambut mengerbang putih itu. Sebaliknya dia semakin mendekati Sahak. Malah hidung Sahak sudah dapat mencium bau hapak kohong yang jauh lebih teruk berbanding bau badan Angah Soyah, seolah-olah di hadapannya itu adalah mayat lama yang sudah digaram dan dikeringkan. Bantuan cahaya lampu kalimantang, membolehkan Sahak melihat terus ke anak mata wanita tua yang tidak pernah dilihat seumur hidupnya itu. Anak mata wanita itu tidak wujud! Sahak hilang nafas apabila wanita itu mendekatkan mukanya dengan muka Sahak. Sahak cuba palingkan kepala dan memejamkan mata namun dia seperti hilang seluruh tenaganya. Seolah-olah renungan tajam wanita tua yang tidak dikenali itu telah menarik dan menelan semua tenaga yang ada di tubuhnya. Dan saat itu, Sahak berasakan ajalnya sudah semakin mendekat. Pada masa yang sama, Sahak cuba menghindarkan hidungnya daripada terpaksa menelan bau hapak kohong yang meloyakan. Hidung mereka hampir berlaga. Sahak sudah santak ke dinding dengan kedua-dua belah tangannya terdepang, menandakan dia tidak boleh berbuat apaapa lagi. Gigil pada setiap otot tubuhnya langsung tidak terkawal. Malahan, air dari pundi-pundi kencingnya yang turut mengalir keluar, juga tidak dapat ditahantahan oleh Sahak. Air mata jernih yang mengalir di pelupuk mata, menceritakan perasaannya saat itu. Sahak dapat menghidu bau nafas wanita berambut mengerbang itu. Nafasnya cukup busuk. Jauh lebih busuk daripada perut bangkai kucing yang pecah. Hanya kerana dia tidak mempunyai kekuatan untuk melarikan diri, membuatkan Sahak terpaksa menyeksa dirinya menahan hawa busuk dari mulut wanita tua berambut mengerbang. Mungkin menyedari kemelut yang sedang dihadapi oleh Sahak, wanita tua berambut mengerbang, mengangakan mulutnya seluas mungkin. Ngangaannya cukup luas. Dan dia menghalakan ngangaannya ke muka Sahak, seolah-olah ingin meminta Sahak memeriksa benda yang melekat di celah giginya.
Hiiiiiii!!!
Jeritan panjang tiba-tiba kedengaran. Saat itulah, seluruh badan Sahak menjadi longlai bagaikan kain buruk. Sahak melurut dan langsung terjelepok di atas lantai.
Kau tak apa-apa
Tok Ngah Darus memegang nadi di tangan Sahak. Dia menggeleng-geleng seketika. Nafasnya dihela panjang.
Kau benar-benar dah melampau!
Entah kepada siapa Tok Ngah Darus bercakap, Sahak tidak ambil pusing. Cuma sesuatu yang menyenangkannya ialah, kehadiran Tok Ngah Darus telah membuatkan wanita tua berambut mengerbang hilang entah ke mana. Dan seketika kemudian, Sahak tidak sedar apa-apa lagi. Dia hanya tersedar apabila tercium aroma yang cukup menyegarkan. Seakan-akan aroma limau nipis yang disemburkan ke udara buat menyegarkan pernafasan. Pun begitu, aroma tersebut bercampur baur dengan bau kemenyan dibakar dan setanggi yang menghasilkan satu macam bau yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.
Dah sedar pun kau!
Sahak segera memandang sekeliling. Ternyata dia masih di anjung rumah Pak Syuaib. Semua kawankawannya masih berada di anjung itu. Pak Syuaib pula sekadar merenungnya dengan pandangan kosong. Mak Limah sedang nyenyak tidur dan berselimut gebar berwarna putih. Tidurnya kelihatan tidak terganggu.
Apa yang dah berlaku, tok ngah
Sahak segera bertanya kepada Tok Ngah Darus yang sibuk memperasapkan bara yang berada di dalam bekas yang diperbuat daripada tanah liat berwarna merah.
Kau pengsan.
Pendek sahaja jawapan yang Tok Ngah Darus berikan.
Apa yang kau nampak tadi, Sahak
salah seorang pemuda Kampung Sungai Teja yang berada di anjung rumah Pak Syuaib, bertanya dengan nada was-was. Sahak mengerutkan keningnya. Dia bangun dan bersandar ke dinding sambil cuba mengingati satu persatu peristiwa yang menyebabkan dia pengsan. Dan tatkala ingatannya kembali kepada peristiwa menakutkan di dapur rumah Pak Syuaib, seluruh badan Sahak kembali menggeletar.
Yang kau orang sibukkan sangat ni, kenapa
Tok Ngah Darus bertanya kembali. Nadanya garang. Mungkin dia tidak senang dengan pertanyaan itu atau boleh jadi juga dia juga sebenarnya ingin tahu apa yang telah dilihat oleh Sahak sehingga dia pengsan dan terpaksa dibawa ke anjung. Sahak masih kebingungan. Dari mana dia hendak memulakan cerita pun, Sahak tidak tahu. Segala macam peristiwa silih berganti dalam fikiran dan ingatannya. Dan sesungguhnya, dia benar-benar tidak tahu bagaimana dia harus menerangkan kepada mereka apa yang telah dilihatnya di dapur Mak Limah tadi.
Jangan-jangan Sahak terkejut tengok peti sejuk Mak Limah tak Ingat tak peristiwa Sahak pengsan sebab takutkan layang-layang yang tersangkut di jejawi tua
salah seorang pemuda yang berada di anjung, memberitahu kawan-kawannya yang lain. Pemuda-pemuda itu ketawa terbahak-bahak. Hingar rumah Pak Syuaib. Gelak tawa mereka seolaholah tidak langsung menghormati Pak Syuaib dan Mak Limah yang masih kaku. Mungkin menyedari Pak Syuaib dan Mak Limah tidak mampu berbuat apaapalah, pemuda-pemuda itu mengambil kesempatan untuk bergelak tawa.
Diam!
jerkah Tok Ngah Darus. Ternyata jerkahan Tok Ngah Darus membuatkan pemuda-pemuda itu serta-merta berhenti tawa. Mereka saling berpandangan antara satu sama lain. Mungkin masing-masing mereka tidak faham mengapa Tok Ngah Darus naik angin secara tiba-tiba.
Kau orang ni tak tahu nak hormat orang ke
tanya Tok Ngah Darus. Nadanya masih tidak berubah. Tetap garang.
Inikan rumah orang. Kamu semua tetamu. Hormatlah sikit dengan tuan rumah. Apatah lagi tuan rumah dalam kesusahan.
Nyata, teguran yang dibuat oleh Tok Ngah Darus membuatkan pemuda-pemuda itu tunduk merenung lantai. Boleh jadi terasa malu kerana ditegur oleh Tok Ngah Darus, atau boleh jadi juga sekadar memendam perasaan kerana Tok Ngah Darus memarahi mereka bagaikan budak-budak kecil yang belum bersunat. Dan untuk seketika, keadaan menjadi senyap sepi. Barangkali kalau tidak disebabkan malam masih menyerkup dan punca sebenar Mak Limah serta Pak Syuaib jatuh sakit secara tiba-tiba tidak diketahui, pastinya mereka berbondong-bondong sudah pulang ke rumah masing-masing. Buat apa lagi mereka menemankan Tok Ngah Darus yang gemar memarahi orang lain tanpa berselindung-selindung. Sekalipun mereka mungkin memperolok-olokkan Sahak, namun mereka juga tidaklah seberani mana. Apatah lagi Tok Ngah Darus nampaknya cukup serius menangani masalah yang sedang dihadapi oleh Mak Limah dan Pak Syuaib. Dan kerana itu, satu-satunya pilihan yang ada hanyalah terus berada di rumah Pak Syuaib dan Mak Limah bagi menemankan Tok Ngah Darus dan Sahak sehinggalah matahari pagi terbit dari ufuk timur nanti.
Sampai bila Pak Syuaib dan Mak Limah akan berkeadaan begini
tanya salah seorang pemuda itu kepada Tok Ngah Darus. Tok Ngah Darus tidak menjawab. Entah apa yang memberatkan pemikirannya, Tok Ngah Darus menghela nafas panjang. Pandangannya dilemparkan ke luar jendela. Sesekali bibirnya terkumat-kamit bagaikan sedang membaca jampi mentera menghalau jembalang. Sahak masih kebingungan. Dia masih bergelut untuk cuba mengingati semula peristiwa yang telah membuatkannya pengsan. Dia teringatkan limau tujuh biji. Dia teringatkan ruang dapur rumah Mak Limah. Dia teringatkan peti sejuk. Dan secara tibatiba, dia teringatkan perempuan tua berwajah ngeri berambut mengerbang putih berada di hadapannya dan merenungnya dengan pandangan yang sangat tajam.
Jangan kacau aku!
Sahak tiba-tiba bersuara. Dia sebenarnya tidak dapat mengawal suaranya itu dari meletus keluar. Sekali gus menyebabkan Tok Ngah Darus dan pemuda-pemuda Kampung Sungai Teja beralih pandang kepadanya.
Kenapa Sahak
Tok Ngah Darus bertanya, tenang walaupun kawan-kawan Sahak kelihatan sangat tertarik untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku. Sahak terus mendapatkan Tok Ngah Darus. Pucat wajahnya tidak dapat disembunyikan daripada semua orang yang berada di anjung rumah Pak Syuaib.
Jangan takut, Sahak. Tak akan ada apa-apa yang berlaku. Dia tidak akan berani datang ke sini,
pujuk Tok Ngah Darus. Pemuda-pemuda yang lain berpandangan sesama sendiri. Tok Ngah Darus telah mengungkapkan apa yang telah berlaku kepada Sahak sehingga menyebabkan dia jatuh pengsan di dapur Mak Limah tadi. Dan mereka juga turut menginsut perlahan-lahan merapati Tok Ngah Darus, sekali gus menyebabkan Tok Ngah Darus tersenyum lebar. Orang tua itu bagaikan terhibur dengan gelagat pemuda-pemuda Kampung Sungai Teja yang diharapkan dapat membantunya.
Apa yang kau orang duduk rapat-rapat sangat ni Tadi bukan main lagi berani,
sindir Tok Ngah Darus.
Kami... kami....
Salah seorang daripada pemuda itu cuba menerangkan kepada Tok Ngah Darus namun kata-katanya juga bagaikan lekat di kerongkong.
Kau orang duduk elok-elok di sini. Jaga Mak Limah dan Pak Syuaib. Ingat pesanan aku... jangan celupar sangat kalau tak tahu apa yang perlu dibuat. Jangan menjelajah ke sana ke mari di dalam rumah ini. Aku cuma boleh bagi jaminan bahawa di kawasan anjung ini sahaja, dia tidak boleh datang. Di tempattempat lain, dia bebas,
kata Tok Ngah Darus sambil bangun.
Tok Ngah nak ke mana
Sahak bertanya kalut.
Aku nak keluar sekejap.
Nak ikut!
Sahak mula merengek bagaikan budak kecil lapar ais krim.
Jangan nak mengarut! Aku nak pergi ke halaman sahaja. Bukannya nak tinggalkan kau orang di sini!
jerkah Tok Ngah Darus. Tanpa mengghiraukan Sahak dan pemuda-pemuda Kampung Sungai Teja itu, Tok Ngah Darus meninggalkan anjung rumah dan berjalan ke beranda. Pemuda-pemuda Kampung Sungai Teja tidak mampu menyekat perjalanan Tok Ngah Darus. Malah mereka pula berkumpul bagaikan anak-anak ayam yang kesejukan di sekeliling mentol kuning yang bernyala. Lama jugalah Tok Ngah Darus berada di tanah. Tiada sebarang keanehan yang berlaku di dalam rumah. Mak Limah dan Pak Syuaib tetap juga seperti patung kayu yang dijadikan sebagai hiasan. Suara Tok Ngah Darus membaca sesuatu di halaman, dapat mereka dengar tetapi tidaklah begitu jelas. Tok Ngah Darus bagaikan merungut dan membebel-bebel kepada seseorang. Bagaimanapun, pemuda-pemuda Kampung Sungai Teja itu tidak tahu siapa yang dibebelkan oleh Tok Ngah Darus. Mereka tidak berani menjenguk ke tingkap kerana larangan Tok Ngah Darus sebelum dia turun ke tanah tadi. Anehnya, sebaik-baik sahaja Tok Ngah Darus berhenti membebel, Mak Limah membuka mata dan memandang sekeliling. Pak Syuaib turut bergerak dan merenung mereka semua sambil mengerutkan dahinya.
Apa yang dah berlaku Kenapa ramai-ramai ada di sini
tanya Pak Syuaib kepada Sahak dan kawankawannya. Masing-masing sebenarnya teruja. Hanya kerana bimbang itu adalah salah satu helah syaitan yang bersarang di dalam badan Pak Syuaib dan Mak Limah untuk mengakal-akalkan mereka, membuatkan Sahak dan kawan-kawannya bertahan daripada menjawab pertanyaan tersebut.
Kenapa ni
Mak Limah bangun dari pembaringan. Kaki dan tangannya bebas daripada belenggu tali ghaib. Mukanya tidak lagi pucat seperti sebelum ini, bahkan kembali seperti sedia kala.
Mak Limah pengsan tadi. Pak Syuaib pula macam kerasukan,
Sahak menjawab tanda tanya Pak Syuaib dan Mak Limah.
Kau jangan langgar pesanan Tok Ngah!
salah seorang pemuda Kampung Sungai Teja segera menegah Sahak daripada melayan pertanyaan Pak Syuaib dan Mak Limah.
Pesanan apa ni
Mak Limah bertanya kembali. Nadanya garang.
Aku saja nak takutkan budak-budak ni!
Tok Ngah Darus muncul di pintu anjung. Semua perhatian tertala ke muka Tok Ngah Darus. Tok Ngah Darus berjalan dengan tenang dan duduk di sebelah Pak Syuaib. Sahak dan kawan-kawannya pula mengambil tempat masing-masing. Tidak lagi berkumpul bagaikan anak-anak ayam kesejukan seperti tadi. Kehadiran Tok Ngah Darus menyenangkan dan mengamankan perasaan mereka. Mereka hanya berpisah setelah pagi menjelma. Lebih tepat lagi tatkala matahari kian muncul di ufuk timur. Tok Ngah Darus memberikan jaminan, Pak Syuaib dan Mak Limah tidak akan berhadapan dengan sebarang masalah lagi. Pun begitu, Tok Ngah Darus tetap tidak mahu menceritakan apa sebenarnya yang berlaku. Mulut Tok Ngah Darus terkatup rapat dan kejap. Sahak terus pulang ke rumahnya. Mak Leha menyambut kepulangannya dengan wajah resah. Hanya apabila Sahak sudah berada di hadapannya, barulah ibu tua itu tersenyum lebar tanda senang hati. Anehnya, Mak Leha tidak pula bertanya tentang perkembangan Mak Limah dan Pak Syuaib. Menjelang pukul sepuluh pagi esoknya, ramai yang berkumpul di rumah Mak Limah dan Pak Syuaib. Malah ada beberapa orang pemuda yang turut datang ke rumah Sahak untuk mendengar penjelasan selanjutnya. Biarpun Sahak memberi alasan, dia mahu tidur dan berehat kerana berjaga sepanjang malam, mereka yang ingin mendengar ceritanya tidak menghiraukan alasan yang diberi.
Aku tak boleh nak cerita apa-apa. Aku tak tahu!
kata Sahak.
Kami dengar, kau nampak hantu masa jaga Mak Limah dan Pak Syuaib.
Sahak hanya mampu membeliakkan matanya. Imbasan wajah ngeri perempuan tua berambut mengerbang putih itu, kekal bermain-main di benaknya. Hidupnya sudah pasti tidak akan sama. Dia seolah-olah dapat berasakan kehadiran perempuan tua itu walau ke mana pun dia pergi dan lakukan. 02