Bagi Dhiya pula, ngeri sekali dia membayangkan di hari mendatang, Lim tidak mahu lagi menjejakkan kaki ke
Kampung Morten yang sarat benci dengan bangsa sejenis
Lim. Lebih menakutkan jika Lim tidak mahu lagi menjenguk Dhiya yang telah menyebabkannya terheret dalam kancah prejudis dan aib.
Maka, tidak menghairankan sama ada memberi kesan baik atau buruk, keesokannya Dhiya dengan mata sembab berjumpa aku mengajak bersemuka bapa Lim.
Kedatangan kami ke penempatan Hokkien dan Baba pagi itu berbeza sekali. Dengan pantas kami merasakan amarah diam dan jeling prejudis mereka. Kami bertembung dengan Geok. Dan Geok dengan ikhsan perkenalan sebelum ini, dengan pantas menggelengkan kepala dan isyarat jari. Kami faham. Tidak boleh berlama-lama. Jika tidak kerana kami pernah menolong Geok dan Lim, kami sudah lama dihalau. Tidak lagi dialu-alukan di sini.
Aku masih ingat bagaimana kami berdiri lama di hadapan rumah Lim mengumpul kekuatan melangkah masuk. Betapa asingnya rumah itu kini sedangkan beberapa bulan lepas sewaktu kali pertama kami bertemu Lim, kami telah masuk dengan tekad berani tanpa segan dan malu.
Bapa Lim duduk di kerusi rehat kayunya seperti biasa. Tidak terkejut atau memberi reaksi melihat kehadiran kami. Malah menjemput duduk. Wajahnya teduh. Suaranya tenang saja. Tetapi Dhiya sudah tahu. Tenangnya itu menyimpan sesuatu berbuku di dada. Ayat-ayat yang dilontarkan kemudian, walaupun perlahan adalah panahan petir yang menyentap hati kami.
Tak payah lagi kamu jumpa dengan Lim. Orang-orang kampung kamu tak suka. Dan lebih baik jangan datang lagi ke sini!
Mata Dhiya sudah pun merembes. Kami menganggukangguk kepala dan tunduk hormat sebelum keluar. Kami faham. Benar-benar faham. Apa gunanya menyiram minyak ke atas mereka yang telah pun mengipas bara perkauman Sekurangkurangnya aku dan Dhiya tidak akan lagi keluar bertemu Lim sehingga kami
menyelesaikan masalah kecurian dan menemui pesalah sebenar.
Longlai langkah. Semangat kami seperti telah ditarik ke langit. Sehinggalah kami mendengar suara budak itu.
Dhiya! Adi! Nanti!
Kami mendongak ke arah suara dan melihat Lim di tingkat atas. Tiada pemandangan yang lebih indah hari itu selain melihat wajah putih kuning mata sepet Lim. Aku dan Dhiya melompat-lompat, gembira tidak terkata. Dhiya malah terus menjerit. Lim! Kau dah balik!
Lim sengih. Walaupun jengukan wajahnya itu dihalang jeriji keselamatan tingkap, nyata sekali jauh lebih baik dari dikurung di lokap polis.
Polis lepaskan aku. Tak cukup bukti! Lim kemudian diam.
Tapi.
Aku memujuk. Kali pertama aku mahu memujuk seseorang.
Kami tahu Lim. Tak perlulah jumpa lagi. Sekurangkurangnya hingga marah mereka reda.
Lim mengangguk-angguk setuju. Dhiya kemudian memberi kata-kata harapan. Harapan. Apa lagi yang anak-anak kecil seperti kami ada kecuali harapan dan mimpi
Kami dah jumpa pembeli barang-barang
antik. Tapi cuma dapat koordinat-koodinat tempat pencuri hantar barang saja! Tapi kami janji Lim! Kami janji akan cari sampai dapat!
Mata Lim terbelalak. Dia dengan jelas dapat melihat harapan seperti kami melihatnya.
Koordinat kata kau Kau tahu baca tak
Postur badan Dhiya terus melentur jatuh. Dia menjawab dengan perlahan.
Tak tahu
Lim kelihatan bertenaga. Kagum aku. Mata cerlang dan tenaga semangat itu bukan sesuatu yang biasa untuk anak sepuluh tahun yang baru keluar lokap.
Tak apa Tak apa. Tapi, sebab aku tak boleh keluar rumah, kau pergi ke Jalan Bendahara. Ada kedai buku yang bagus di sana! Ada jual peta bandar Melaka yang besar! Hari ni juga Adi! Dhiya!
Aku dan Dhiya sengih setuju. Pilihan apa lagi yang kami ada Membaca koordinat pun kami tidak tahu.
Jalan Bendahara. Aku ingat lagi bagaimana Lim beriaia mengajak kami semalam selepas memungut hasil di Kampung Jawa. Malang sekali niatnya itu tidak kesampaian. Dan kini kami harus berjalan tanpa pemandu pelancong kami. Tenaga Lim telah berpindah. Melihat wajah Lim dan sinar harapan, kami berlari lagi. Dhiya juga telah pulih dari sedih sembabnya. Matanya melihat kiri kanan Jalan Bendahara.
Kemudian aku sedar. Kesal aku tidak bertanya kedai manakah yang dimaksudkan Lim. Rupa-rupanya Jalan Bendahara itu luas dan panjang sekali. Jalan Bendahara atau dikenali juga dengan nama asalnya, Jalan Wolferstan adalah jalan utama menghala ke Bandar Hilir. Jalannya sibuk dan boleh menjadi sesak di waktu puncak menyukarkan kami yang berbadan kecil tetapi mahu melintas seperti orang besar.
Aku sudah malas mahu bercerita tentang asal usul Jalan Wolferstan yang besar kemungkinan diambil daripada senarai panjang Residen Inggeris yang pernah memberi perkhidmatan.
Jalan Wolferstan mungkin jalan paling banyak kepelbagaian dan ragam seni bina dan membawa juga kepada kepelbagaian sejarahnya bandar Melaka. Di masa akan datang nanti, seorang penulis India Peranakan bernama M. Veera Pandiyan menulis tentang Jalan Bendahara;
Selain kaya dengan budaya dan masakan, Jalan Bendahara juga kaya dengan sejarah, yang melibatkan gabungan kesucian dan unsur duniawi yang dikaitkan dengan kebaikan dan juga kezaliman.
Aku dengan mudah dapat memahami ayat ini. Lihat sahaja bangunan Dewan Persatuan Kebajikan Meng Seng dengan gaya Art Deco dingin. Warna kelabunya kusam dan tingkap lunjurnya cuma menjemput burung layang-layang membuat sarang. Tetapi sejarahnya, ya Tuhan. Walaupun cuma bermula tahun 1941, telah menyaksikan tragedi berdarah pembunuhan pemimpin Cina tempatan, Lim Tai Hian dan
50 ahli persatuan Ong Teck Ghee sewaktu penjajahan
Jepun. Yang lebih mengharukan, dewan ini juga menyaksikan orang ramai menyerahkan cincin, kerongsang dan segala barang kemas sebagai derma dana untuk perjalanan Tunku Abdul Rahman ke London menuntut kemerdekaan.
Aku juga harus menyebut tentang Teater Capitol. Mereka yang lahir tahun 50-an dan 60-an akan mengingati bangunan ini sebagai pawagam gah. Namun sejarahnya bermula 1936 dengan warna-warni gaya hidup zaman pertengahan Barat sebagai dewan tarian yang menawarkan kegilaan tarian rancak, Foxtrot, Tango dan Cha Cha hingga penulis dan penyair Inggeris, Hugo Williams mengabadikan dewan ini di dalam bukunya, All the Time in The World.
Walaupun jalan ini digelar Little India terutamanya apabila bertemu persimpangan Jalan Temenggong, di satu bahagian lain ia dipenuhi dengan bar dan hotel murah di mana maksiat menjadi perniagaan utama. Justeru itu, jalan ini memerlukan simbolik dan mercu tanda seperti Gereja St. Peter, gereja katolik tertua di Malaysia yang dibina sejak 1710 untuk mengimbangkan kehadiran bangunan duniawi yang lain. Sekurang-kurangnya, kesesakan sambutan keagamaan penganut katolik dan minoriti Portugis mengurangkan reputasi Jalan Wolferstan sebagai tempat maksiat.
Aku menoleh kepada Dhiya. Aku fikir aku ini cuma berfungsi sebagai inangnya. Sekarang ini, mahu bermula dari mana pun aku tidak tahu. Dhiya dengan mudah mengerti. Dengan jengkel menjawab;
Tak kan ada kedai buku di kawasan bangunan besar! Tentulah di rumah kedai menghala ke Jalan Temenggong! Dhiya menepuk dahinya.
Aku menggaru kepala. Kakiku menurut menyelusuri kaki lima. Menyaksikan indahnya kalungan melur yang dikarang bersama harum bunga lain. Dhiya tidak dapat melarikan matanya dari terpegun melihat hiasan tembaga berukir sarat budaya India Peranakan. Jangan kau tanya tentang pakaian di sini. Mereka sememangnya
bangsa yang faham dan mahir industri tekstil secara sejagat. Kain kasa, cita dan sutera mentah yang selesa dan santai dengan warna gemilang dan mewah, malah bersulam rona emas boleh saja dibawa pergi bekerja dan anggun pula dipakai ke majlis keramaian.
Ku kira, perjalanan ini sepatutnya lebih menjimatkan masa sekiranya tidak leka dengan iklan gangguan indah di sepanjang kaki lima. Dhiya kemudian terhenti di sebuah kedai. Aku juga tergamam. Siapa sangka di celah-celah haruman melur dan rempah kari India Selatan ada kedai buku agam dan menakjubkan
Kami melangkah hati-hati. Yakin sekali inilah kedainya. Kami mengerti mengapa Lim memberi pengiktirafan kedai ini sebagai kedai buku yang bagus. Pilihan dan cakupan genre bukunya luas. Selain buku-buku Inggeris dan Melayu, kau akan menemui juga buku-buku terjemahan adikarya antarabangsa ke dalam bahasa Indonesia. Ku lihat bercahayanya mata Dhiya melihat ini semua. Daripada pandangan tidak lepas dan senyum bahagianya, sudah tentu dia menemui satu lagi lapis syurga di tengah kesibukan Kota Melaka.
Kemudian aku mendengar suara gemersik itu. Suara yang pada tahun-tahun berikutnya akan membuat aku lemah lutut mendahagakan cinta kasih Hawa. Aku menoleh dan jantungku seakan mahu berhenti. Budak perempuan itu. Yang telah menyebabkan aku tidak lena tidur entah berapa malam menantikan kehadirannya berhari-hari di kedai makan Cik Ani. Rupa-rupanya, sememangnya ada bidadari dunia lengkap sepersalinan Salwar
Kameez rona gangsa menjaga syurga buku moden di sini.
Awak nak cari apa
Aku masih terpaku. Menikmati pesona kolam matanya. Dhiya menyinggungku menyelamatkan keadaan.
Kami nak peta bandar Melaka. Yang paling baik sekali!
Budak bernama Sherina itu mengerlingku dengan senyum bermadu dan bertanya lagi;
Ada banyak jenis. Peta yang bagaimana Peta topografi Jalan raya Atau peta lengkap perancang bandar
Aku mencair lagi. Nyata sekali dia perempuan yang tahu apa yang dikatakan. Beauty with brains. Di manakah lagi akan kau ketemu Mata Dhiya cerlang mengetahui peta juga seperti buku. Punya kepelbagaian.
Peta yang siap ada kedudukan bangunan! Hah! Dan garis koordinat! Itu peta perancang bandar kan
Sherina mengangguk senyum. Dia pergi dengan lenggang santun. Aku tidak dapat mengelipkan mata. Dhiya dengki mencubitku. Terkejut aku melompat dibawa ke dunia nyata.
Kenapa ni Aku melompat marah.
Kita ke sini ada kerja, Adi! Dasar cinta beruk! Dhiya jengil melihat kebodohanku menjadi tidak keruan.
Perempuan itu kembali membawa segulung peta besar. Dia membukanya menunjukkan kepada kami.
Yang ini ada hampir semuanya. Dari skala, jalan utama ke jalan kecil, mercu tanda, garis bangunan dan garis koordinat.
Aku tidak mendengar pun apa yang dikatakannya. Cuma melihat alis lentik dan kening bulan sabit indah itu. Dhiya menjengil lagi. Kemudian berpaling kepada Sherina mengangguk setuju.
Saya ambil ni!
Sherina senyum berhalwa. Dhiya pantas mengeluarkan wang dan membayar. Aku tidak tahan lagi. Harus menyuarakannya.
Boleh kami datang lagi jumpa awak
Sherina merenung jauh ke dalam mataku.
Saya tak pernah tutup pintu untuk pembeli
Ah. Indah sekali jawapan itu. Dan aku tidak akan menutup pintu hatiku.
Dhiya sudah malas mahu melayan. Dia menarik tangan aku yang degil tidak berganjak dan memaksa keluar kedai. Aku melambai dan lebih membahagiakan apabila Sherina juga membalas lambaianku. Aku tidak akan lupa. Sama ada sengaja atau tidak, Lim hari itu telah menjadi Cupid dewa asmara menghantarku ke Jalan Wolferstan supaya aku bertemu bidadari Sherina.