Seperti biasa, kau menyambut ketibaanku dengan senyuman, walaupun agak terlambat membuka pintu. Kau harus mengenakan jilbabmu yang labuh sebelum memperlihatkan diri di luar rumah. Kulitmu masih sawo matang, hidungmu masih pesek kembang, fizikal berisi dan rendah tidak seimbang. Tetapi manismu menjadi lambang, lambang kuntuman peribadi yang indah. Keperibadian yang membuat aku semakin dekat padamu. Ingat padamu.
Aku baru tiba semalam. Penat sangat, duduk dalam kapal terbang sepuluh jam. Sakit punggung aku menunggu flight mendarat. Rasa nak terjun dari kapal terbang tu. Menyesal tak transit dulu di mana-mana.
Aku ditarik duduk di atas kerusi kayu beralas kusyen.
Balang kuih raya memenuhi separuh dari meja kopi.
Mana kuih buat. Ujarku mengusik.
Kuih tunjuk je. Aku kan baru balik. Kau buka penutup bekas kuih satu per satu.
Anak dara pemalas. Balik Malaysia, tau makan je. Aku menjeling, bercakap sambil memuncungkan bibir. Kemudian, ku rapikan wajah semula dengan senyuman.
Sempat buat satu malam tadi, tapi segan nak beritahu. Nanti kau cakap tak sedap.
Jangan buka semua, nanti masuk angin pula kuih ni. Kalau aku nak makan, aku buka sendiri. Ku paut tanganmu, menghalang kau buka penutup balang terakhir.
Ha, ni aku buat. Rasalah.. Botol kecil paling hujung kau angkat dan kau dekatkan ke dadaku. Aku tidak teragak-agak untuk mengambil, walaupun kuih itu bukan jenis yang aku berkenan.
Rasalah.. rasalah.. Suaramu mendayu. Seolah-olah inginkan perhatian. Semenjak dewasa ini, kau begitu.
Ku cicip kuih itu perlahan-lahan, supaya lambat habis. Mengelak kau tidak mendesakku makan kepingan yang seterusnya. Setelah itu, pantas ku pilih kuih coklat berhias badam. Kemudian tat nenas dan kerepek pedas. Balangbalang itu ku tutup kembali. Sebelum kau memaksaku lagi.
Aku ke sini bukan bersungguh-sungguh untuk beraya. Aku datang untuk melihat seorang sahabat. Keberadaanku di sini tanda kesetiaan, tanda hormat dan sayang.
Kau memulakan perbualan.
Pertama kali aku berada di bawah naungan langit Mesir, aku terpegun menyaksikan permandangan di situ. Dari dalam flight lagi dah boleh nampak bangunan-bangunan di sana semuanya berbentuk kotak. Boleh dapat gelaran, negara kotak. Biasanya orang di sana tinggal di dalam satu imarah, bangunan bertingkat seperti rumah flat. Dari sisi luar, bangunan-bangunan ni kelihatan sama. Tidak bercat, dibiarkan dengan permukaan batu bata. Luar je macam bangunan separuh siap, dalam cantik juga. Mungkin orang Mesir malas nak cat rumah sebab udara Mesir yang berdebu kerana ia negara berpasir. Nanti cepat pula cat tu pudar dan kotor. Tak seperti rakyat Malaysia yang suka menonjolkan kecantikan rumah dari luar sampai ke dalam, sampai perkarangan yang sempit pun boleh ada taman.
Kau begitu teruja, kedatangan sahabat lamamu menjadikan kau bercerita tanpa jemu. Kau bangun, memohon meninggalkan aku sebentar untuk membancuh minuman. Aku baru sahaja tiba, dan aku merinduimu. Kenapa bergegas meninggalkan aku sendiri di ruang tamu. Aku mengekori langkahmu. Kau berpaling ke belakang, Duduk je di sana, jangan ikut. Aku malu.
Rumahku tidak cantik. Itukah sambungan ayatmu Apakah kau kira selama ini aku menilai persahabatan kita dengan sebuah rumah Tidak. Rasa ini datang dari Allah, yang mengatur kita untuk mencipta jalinan persahabatan. Ia akan aku kekalkan, terutama kerana takdir itu melibatkan seorang wanita solehah, sepertimu.
Cuma beberapa langkah, kita tiba di ruang dapur. Kau masuk ke kamar mandi, mencuci jag air. Aku mengamati, apakah lantai bilik mandi itu tidak bersimen Aku melihat ia beralas dengan kepingan kayu tebal yang suku darinya ditenggelami tanah. Aku tidak berani bertanya, atau memerhatikan lama-lama. Aku kagum, sahabat di hadapanku memiliki tempat berteduh yang serba sederhana.
Tetapi masih terpelihara akhlaknya.
Angin berkunjung sepoi-sepoi bahasa dan melembutkan hati orang yang berada di dalamnya. Rumah ini dihadiahkan ketenangan oleh Allah. Ketenangan yang mungkin jarang dimiliki rumah lain, kerana ia bukan material yang boleh dibeli.
Kita kembali semula ke ruang hadapan. Atap rumahmu hampir sama tinggi denganku. Psikologiku terganggu. Aku takut kepalaku akan terhantuk mengenai alang rumah, walaupun jaraknya masih bersisa satu meter. Aku terasa ingin menunduk-nundukkan kepala, tetapi khuatir ketidakbiasaan itu akan mengesankan hati kecilmu. Lalu ku tegakkan tubuh, berjalan memandang lantai.
Kau terlalu tinggi. ujarmu. Wajahmu kemerahmerahan menahan malu. Kemudian kau menjarakkan diri. Ketika berdiri rapat di denganku, kau cuma paras bahu. Dari kejauhan, akan kelihatan seperti aku sedang berhadapan dengan orang yang jauh lebih muda dariku. Ketinggian kita hampir sama sewaktu sama-sama memasuki sekolah rendah. Tetapi kini, ingin sahaja aku menjawab persoalanmu,
Aku kan cantik ala-ala model, mestilah kena tinggi. Dewasa ini, denganmu aku tidak berani bergurau lagi. Cukuplah aku mengecilkan hatimu dulu. Tuhan telah membalas perbuatanku, dengan jatuh kasihku terhadapmu. Wafa Thahirah Ahmad Kamil.
Aku duduk di lantai, bersandar di peha kerusi. Tidak banyak yang boleh aku lakukan di ruang tamu ini. Tujuanku untuk menziarahimu telah terlaksana. Oleh kerana buntu, mataku melilau melihat persekitaran ruang itu. Skrin televisyen jenis CRT bertutup dengan kain sulaman segi tiga. Dari situ aku tahu, penghuni rumah jarang menonton tv. Di atas rak sama, tersusun piala sukan milik abangmu. Tidak banyak perhiasan, apatah lagi bingkai gambar.
Rumahmu begitu sederhana, tetapi tenang. Antara dinding kanan dan kiri ruang tamu cuma boleh memuatkan lima orang yang berdiri sebaris. Melalui gambar yang pernah kau bawa ke sekolah sewaktu kecil, aku tahu ruangan ini tidak banyak berubah walaupun selepas belasan tahun.
Kau banyak bicara dan selesa merapatkan tubuhmu mendekatiku. Berbagai-bagai kisah kau sajikan, kau memasukkan aku ke wilayah Mesir melalui imaginasi.
Mesir merupakan negara Arab terbesar dalam benua Afrika. Ibu kotanya adalah Kaherah, sebuah wilayah metropolis. Kaherah atau al-Qahira bermaksud berjaya. Nampaknya, ia berjaya menjadi pusat penyebaran ilmu pengetahuan Islam. Seni bina bangunannya dirapikan dengan motif Islam. Kaherah mendapat julukan kota seribu menara. Jumlah keseluruhan penduduk Kaherah kira-kira 28 juta orang iaitu lebih kurang sama dengan jumlah keseluruhan rakyat Malaysia. Cuba bayangkan betapa padat dan besarnya Kaherah tu. Iskandariah pula bandar kedua yang menjadi tumpuan komuniti. Di Alexandria terdapat Sphinx dan teater Romawi kuno. The Great Lighthouse pula termasuk dalam senarai Tujuh Keajaiban Dunia. Di waktu malam, dari jauh Alex kelihatan seperti kota emas. Lampu kuning oren bersinar gemerlapan. Ujarmu menerangkan tentang kawasan barumu.
Maksudnya, kedua-duanya adalah bandaraya. Macam Kuala Lumpur dan Putrajaya. Aku menyelitkan soalan.
Supaya kau tahu, aku menumpukan perhatian.
Lebih kurang begitu. Iskandariah terletak di persisiran Mediteranian. Lebih kurang empat jam perjalanan dari utara Kaherah.
Dari kediaman, kau berjalan kaki ke kuliyah.
Kau mengecilkan mata, senyum. Bersedia menyusun kata.
Kami naik metro, sejenis kereta api yang boleh ditahan sesuka hati. Menunggu ketibaan metro tidak memerlukan masa yang lama. Tambangnya juga murah.
Naik Keretapi Tanah Melayu, KTM juga murah. Cuma seringgit dari stesen Kuala Lumpur ke stesyen sekitarnya bidasku.
Metro lebih murah. Mesir menggunakan mata wang yang dipanggil Egyptian Pound, EGP. Ia disebut sebagai Geneh. Beza antara Geneh dengan Ringgit Malaysia kirakira kurang dua kali ganda. Tambang metro adalah satu geneh, bersamaan lima puluh sen duit Malaysia.
Kau terus bercerita tentang gaji pensyarah lulusan doktor falsafah yang sangat murah, tentang pelajar Arab yang tidak menghormati guru dan keanehan mereka yang tidak suka beratur. Kau kisahkan tentang bagaimana lelaki Arab menjaga wanitanya, kau kisahkan gambaran sebenar bumi di Arab itu bukan semua pelajar berjilbab, termasuk pelajar perubatan dari Malaysia yang menuntut di universiti lain.
Pelajar-pelajar Arab di dewan kuliyahku mencerca pensyarah sebarangan. Kadangkala mereka menafikan apa yang diajar pensyarah. Ia cuma mampu dileraikan dengan mengingatkan mereka kepada baginda Rasulullah. Mereka akan berbaik semula, berpelukan. Kau bercerita begitu asyik. Air mukamu menampakkan kau senang menerima pengalaman baru di wilayah Firaun.
Semua orang Arab begitu ujarku sambil mengingat kembali bagaimana wanita-wanita Arab sering menengking pekerja F&B tempat aku bekerja separuh masa. Makanan yang paling kerap dipesan adalah Margherita. Gelaran yang diambil dari nama ratu Itali untuk pizza bersalut keju semata-mata. Pantang sahaja pelayan mencebikkan muka melihat kerenah mereka, wanita Arab teragak-agak bangun menengking, menjerit dan kadangkala terus berlalu pergi mengabaikan pesanan yang telah dibuat.
Tidak semua. Ada kaum Arab yang baik, yang dikatakan susur galur dari keturunan Rasulullah. Mereka lembut dan tidak banyak bicara.
Aku menyimpan seribu satu persoalan. Mengapa orang Arab tidak suka beratur, malah suka bergaduh. Kerana itukah baginda Rasul yang mulia diutuskan di bumi itu, supaya mereka lebih terdidik dengan kesantunan.
Kau mengeluarkan kepingan foto dari sampul, dan merapatkan foto-foto itu ke telapak tanganku. Ia gambargambarmu di Mesir.
Kau halang aku dari bertanya. Lihat dulu, akan ku cerita kemudian.
Kawan, gambarmu begitu indah. Bukan sahaja kerana bumi Mesir itu indah, tetapi kerana ada senyuman di wajahmu. Ada keriangan dalam latar hidupmu. Keindahan itu sangat ku rasa apabila melihat kebahagiaanmu. Biar Tuhan melimpahi hidupmu dengan pelangi. Busur panah berwarna-warni. Ranggin kaman!.
Ini aku di Laut merah ketika Mesir menghampiri musim sejuk. Angin bertiup sehingga menerbangkan tudung. Oleh itu, tudungku awal-awal lagi dipin dengan brooch sebagai pemberat. Di sini ini telah terpasang khemah-khemah sejak seminggu sebelum itu. Orang Arab mendirikannya untuk berkelah bersama keluarga. Centre Point waktu ini mula menayangkan baju sejuk yang berwarna warni dengan fesyen yang pelbagai. Sesekali menyarung baju sejuk terasa sedang mengalami musim sejuk di Eropah. Terpampang gambarmu duduk di atas bot berjalur hijau merah. Di tengah-tengah lautan biru. Di belakangnya menampakkan kota-kota yang dindingnya berwarna tanah.
Laut Merah adalah sebuah teluk di Lautan Hindi , di antara benua Afrika dan Asia. Ia hampir bercantum di Teluk Aden dengan Bab el Mandeb. Di utara ialah Semenanjung Sinai, Teluk Aqaba dan Terusan Suez. Laut Merah bertemu dengan Mesir, Sudan dan Eritrea di sebelah barat, manakala di sebelah timurnya ialah Arab Saudi dan Yaman. Ia dikategori Global 200 wilayah ekonomi.
Ia tidak merah, malah biru. Ulasku.
Tidak pernah merah. Warna merah merujuk kepada warna bunga sianobakteria, mungkin juga warna kayu Harei Edom yang merah. Jawabmu pantas.
Aku memandang wajahmu. Kenapa Kau membalas.
Kau tidak lagi tolol seperti dulu. Apa rahsianya mengusik.
Aku selalu berdoa, ingin jadi sepandai kau, Anne dan
Shuhada. Jadi aku banyak membaca dan bertanya. Aku angguk. Ku tatap lagi gambar itu.
Jadi, Inilah laut yang dibelah oleh Nabi Musa dengan tongkatnya ketika Firaun mengejar baginda dan Bani Israel. Soalku acuh tidak acuh.
Ya, sehingga kini tidak terdapat bukti arkeologi berhubung dakwaan ini kecuali adanya kubur Firaun. Tetapi ada saintis AS mendapati fenomena itu tidak bercanggah dengan hukum fizik. Kumpulan saintis itu yang mengkaji beberapa peta kuno Delta Sungai Nil mendapati laut terbelah itu merujuk kepada sebuah lagun yang kini dikenali sebagai Tasik Tanis. Dengan menggunakan simulasi komputer, kumpulan saintis itu menunjukkan bahawa laut berkenaan terbelah dua melalui proses tiupan angin kencang selama dua belas jam menyebabkan aliran air sungai dan lagun itu berpusing balik lalu membentuk seperti dinding air. Selama empat jam, tiupan angin tersebut menghasilkan jambatan darat sepanjang 3.2 kilometer dan selebar 4.8 kilometer. Sejurus selepas angin timur reda, air lagun dan sungai itu kembali mengalir ke tempat asal seperti ombak tsunami. Kau menghabiskan kata lalu diam.
Pengakhiran plot yang retorik.
Aku memandangmu lagi, terpinga-pinga.
Kau membalas pandangan, tanda faham.
Di Kaherah, kami tidak mempunyai masalah dengan jaringan internet. Jadi aku baru membaca faktanya di Jurnal Public Library of Science. Aku tahu kau akan minta aku explain. Jadi aku hafal, semata-mata untuk membuat tuturku impressive dan kau terpaku. Kau senyum, mendedahkan rahsia.
Kita sama-sama tersengih, kemudian ketawa.
Ada orang mandi Soalku setelah didendangkan dengan cerita Laut Merah.
Ada. Kami juga bermain di gigi air sekitar masjid terapung. Masjid itu bukan sebenar-benarnya terapung, ia cuma panggilan. Laut ini begitu jernih. Di dasarnya ada coral, terumbu karang, ikan buntal dan spesis laut berbahaya yang lain.
Kau sentuh tanganku, lalu kau singkap gambar yang lain untuk menarik perhatianku,
Ini semasa aku dan rakan-rakanku dari jurusan Usuluddin menziarahi makam Sayidah Rabiatul Adawiyah. Seronok sangat waktu ni. Subhanallah!. Makam itu cantik. Kamu juga cantik!. Kamu senyum ayu di hadapan pintu besi berwarna hijau. Ku kira kau mendapat nur keayuan itu dari wali Allah Sayidah Rabiatul Adawiyah. Wajahmu bersih, seperti tudung labuh putih yang kau kenakan untuk mendindingi auratmu.
Ku belek gambarmu di tembok batu yang tertera tulisan bersaiz besar, AL-AZHAR UNIVERSITY. Di atasnya tulisan Arab yang boleh ku baca dengan maksud sama. Di tengah-tengah tulisan Arab itu ditampal logo hijau berbentuk kubah, sudah tentu ia logo universiti yang dibina pada 969 masihi itu. Ia merupakan universiti yang kedua tertua ditubuhkan yang masih beroperasi selepas Universiti alQarawiyin di Fes, Maghribi.
Kerajaan Fatimiyyah iaitu dinasti pemerintahan yang diterajui keturunan anak baginda Rasulullah membina Universiti Al-Azhar ketika mereka meletakkan Kaherah sebagai pusat pentadbiran. Nama Al-Azhar diambil sempena nama gelaran Fatimah iaitu Az-Zahra yang membawa maksud pintar.
Aku lihat kau sembunyikan sekeping gambarmu.
Kenapa, gambar kekasih soalku pantas.
Bukan.
Tipu. Kalau bukan, kenapa tak benarkan aku lihat Kau serba salah. Lalu kau hulurkan gambar itu.
Ini semasa pertama kali kami memijakkan kaki di atas pasir halus negara Arab. Sewaktu mendaki, kakiku tenggelam kerana menampung berat badan,. wajahmu tunduk.
Aku senyum dan beralih ke gambar lain. Gambar kau berdiri berlatarbelakangkan kolam air pancut. Mungkin di tengah bandar.
Kau dengan asyik menerangkan satu per satu tentang rakan-rakanmu yang berada di sampingmu. Empat orang termasuk kamu. Salah seorangnya menutup wajah dengan purdah hitam pekat.
Serupa seperti tidak mengambil gambar. Fikirku setelah ku usahakan melihat wajahnya tetapi sia-sia. Pasti orangnya istemewa. Cuma muslimah yang istimewa yang diberi jalan oleh Allah untuk menjaga diri sehingga ke tahap itu. Seperti bertudung labuh, berpurdah juga perlu istiqamah. Tetap pendirian. Untuk tetap pendirian dalam hal ini, iman mesti dipasak teguh. Sentiasa menjaga maruah dan peribadi, tidak terkecuali tingkahlaku. Ada juga gadis-gadis di Malaysia yang berpurdah tetapi menghiasi kelopak matanya dengan solekan. Sehingga sepasang mata itu kelihatan begitu menawan dan menyiat-nyiat iman. Begitu juga dengan gadis berpurdah tetapi menjadikan wajah mereka dapat ditatap di laman sosial internet, dengan mempamerkan pelbagai aksi melalui teknik memetik gambar sendiri. Photo snapshot yang dilakukan sendiri antaranya menggunakan kamera telefon bimbit, webcam dan kamera digital. Muslimah seperti ini mendamba pujian dari lelaki ajnabi. Itukan tidak istiqamah. Belum cukup yakin dengan apa yang dikerjakan.
Kau meminta aku menyimpan gambar-gambarmu. Aku tidak memikirkan atas tujuan apa, tetapi aku yang kasih padamu terus sahaja memuatkannya dalam beg.
Selepas ini, aku mengimpikan untuk bergambar di Luxor, gunung Sinai dan Piramid Agung Giza. Luxor adalah kota kuno. Gunung Sinai, tempat Nabi Musa mendapat wahyu daripada Allah untuk diberi kepada bangsa Israel. Di puncaknya terdapat sebuah masjid dan gereja. Piramid menarik kerana di dalamnya terdapat mumia raja-raja yang diawet. Sphinx pula, patung singa berkepala manusia. Piramid dan Sphinx membuktikan struktur buatan manusia yang tertinggi di dunia. Hei, aku ada nak beri kau sesuatu. Kau tentu suka, kerana hadiah ini aku titip khas dari Mesir buatmu.
Aku membayangkan kau akan memberiku rantai keychain replika Piramid. Kau menyeluk kantung beg, menghulur naskhah kecil berwarna jingga. Di hadapan nakhah itu tidak dipenuhi banyak elemen grafik. Judulnya, Cinta dan Rona Kinanah. Ku usap kulit buku itu dengan keliru. Kini baru aku tahu Kinanah itu merujuk kepada bumi Mesir sendiri.
Ia hadiah istimewa. Lihat isi dalamnya, ini ditulis pelajar-pelajar nusantara yang berada di sana. Ia kebanggaan kami.
Ku belek sebaik mungkin novel bersaiz mini itu, untuk menjaga hatimu. Aku tidak gemar membaca bahan fiksyen, tetapi hadiah darimu sudah tentulah bukan sebarangan. Kerana kau memberi sebagai tanda ingatan dan kasih sayang. Jadi bagiku, buku itu bernilai tinggi.
Ku rapikan buku itu ke dalam beg. Buku itu aku bawa ke mana-mana. Walaupun begitu, tidak pernah habis ku baca. Aku bukan mahu mengetahui fiksyen. Aku lebih senang mendengar anekdotmu. Kisah benarmu di Mesir.
Kisah seorang sahabat yang aku cintai.
Kau ingat Khairul Fahmi soalmu menyambung perbualan.
Fahmi handsome yang degil tu Soalku kembali, memastikan kita merujuk kepada orang yang sama.
Yelah, kawan baik dengan Fansuri tu.
Kenapa dengan Fahmi aku bertanya acuh tidak acuh. Aku tidak berminat mengetahui perkembangan murid nakal berambut tercacak itu.
Dulu dia satu sekolah dengan aku di Maahad Johor. Fahmi pemalu orangnya. Bila lalu berhampiran perempuan, dia akan sentiasa tunduk. Jadi, aku tidak pernah berpeluang menegurnya walaupun kami sekampung. Sekarang, dia juga di al-Azhar terangmu.
Tawaku memecah suasana di ruang empat segi itu.
Paradoks!
Fahmi Kenapa jadi macam tu soalku geli hati.
Engkau menyiku bahuku. Tak baik hina penghijrahan akhlak orang.
Aku cuba diam. Ketawaku berbunyi di dalam hati. Lantas aku teringat pula pada Shuhada, genius kecilku.
Oh ya, Shuhada di matrikulasi perubatan, UIA Kuantan. Kau ingat tak dulu dia nak jadi cikgu Kau mengangguk.
Dia tak boleh jadi cikgu.
Kenapa kau mengangkat kening.
Nanti dia ponteng kelas, untuk duduk di dalam tandas. Siapa yang nak mengajar. Ujarku sambil ketawa.
Kau tersenyum. Membiarkan aku girang sendiri.