SANG PENGUASA - 15
Penguasa seharusnya tidak mempunyai matlamat dan pemikiran lain dalam pengajiannya selain berkaitan dengan peperangan dan disiplin. Bidang ini merupakan satu-satunya bidang yang harus dimiliki oleh penguasa. Bidang ini bukan sahaja mampu memelihara seseorang yang telah lahir sebagai penguasa, malah mampu menjadikan rakyat biasa seorang penguasa. Walau bagaimanapun, penguasa yang banyak memikirkan hal-hal yang remeh berbanding hal ketenteraan akan mudah kehilangan wilayah. Faktor utama seorang penguasa itu kehilangan wilayahnya adalah kerana mengabaikan seni peperangan. Yang menjadi seseorang itu mampu memperoleh sebuah wilayah adalah dengan mempelajari seni tersebut.

Francesco Sforza menjadi Duke Milan daripada seorang rakyat biasa kerana mempunyai ilmu ketenteraan yang baik. Anaknya pula, tidak mahu bersusah payah dan tidak mempunyai ilmu ketenteraan yang baik telah jatuh menjadi rakyat biasa daripada seorang Duke. Antara keburukan tidak mempunyai ilmu ketenteraan adalah penguasa akan dipandang hina. Ia adalah perkara yang mengaibkan bagi seorang penguasa yang mahu mempertahankan dirinya. Seseorang yang mempunyai tentera mematuhi dengan rela kepada seseorang yang tidak mempunyai tentera adalah hal yang tidak munasabah. Seseorang yang tidak mempunyai tentera berasa selamat dalam kalangan orang yang mempunyai tentera juga tidak masuk akal.

Penguasa yang tidak memahami seni peperangan tidak patut dapat penghormatan daripada tenteranya dan dia juga tidak dapat bergantung pada mereka. Maka, dia tidak seharusnya mengabaikan ilmu ini. Pada waktu aman, dia patut terus melatih dirinya untuk mengukuhkan ilmu tersebut. Untuk mengukuhnya, dapat dilakukan dengan dua cara iaitu dengan mengkajinya dan dengan bertindak.

Untuk tindakan, penguasa seharusnya memantapkan organisasi pasukannya. Sentiasa melatih dan mendisiplinkan pasukannya dengan baik serta mengajar berburu dengan teratur. Latihan ini akan menjadikan tenteranya sentiasa berada dalam keadaan teguh dan mantap. Ajarkan juga hal-hal berkenaan keadaan suatu wilayah, pergunungan, kecuraman lembah, dataran, serta memahami keadaan sungai dan paya.

Ilmu ini sangat berguna dalam dua cara. Pertamanya, dia belajar memahami negaranya, maka dia akan mengambil pendekatan yang lebih baik untuk mempertahankannya. Keduanya, dengan memahami dan memerhati geografi tempatan, akan menjadikan dia mudah untuk memahami geografi di tempat lain yang mungkin menjadi keperluan untuk dirinya di masa mendatang. Bukit, lembah, dataran, sungai dan paya di Tuscany contohnya, mempunyai persamaan dengan wilayah-wilayah lain. Maka, mempunyai ilmu geografi sesuatu tempat akan memudahkan seseorang untuk memahami geografi di tempat lain. Penguasa yang kurang pengetahuan dalam hal ini akan kekurangan asas yang dimahukan dalam menjadi pemimpin. Pengetahuan ini membolehkan penguasa melakukan kejutan ke atas musuh, memimpin pasukan tentera, merencana pertempuran dan mengepung kota.

Philopemen, penguasa Achaean, dipuji oleh ramai kerana pada waktu aman, tiada apa dalam fikirannya melainkan mengenai peperangan. Ketika bersama rakan-rakannya, dia sering bertanya kepada mereka, Sekiranya musuh berada di bukit dan kita di sini bersama pasukan tentera, siapakah yang mempunyai kelebihan Bagaimana pergerakan yang terbaik untuk mendekati mereka tanpa meleraikan barisan pasukan Sekiranya kita mahu berundur, bagaimana seharusnya kita lakukan

Philopemen mengeluarkan pelbagai kebarangkalian yang mungkin berlaku ke atas pasukan tenteranya. Dia akan mendengar pelbagai pendapat dan kenyataan daripada rakan-rakannya. Seterusnya, ia menjadi sebuah perbincangan supaya pada waktu perang, keadaan yang tidak dapat dijangka dapat dihadapi.

Untuk melatih intelek, penguasa seharusnya membaca sejarah. Membaca peristiwa-peristiwa para tokoh terkenal. Kaji bagaimana mereka membawa diri mereka dalam peperangan. Kaji apakah faktor kemenangan mereka supaya dicontohi dan faktor kekalahan mereka supaya dapat dihindari. Tokoh-tokoh itu semua mengikuti langkah-langkah tokoh yang terdahulu daripada mereka seperti Alexander Yang Agung mencontohi langkah Achilles, Caesar mencontohi Alexander, dan Scipio mencontohi Cyrus. Sesiapa yang membaca kisah hidup Cyrus yang ditulis oleh Xenophon akan menyedari langkah-langkah yang diikuti oleh Scipio yang membawa kejayaan kepada dirinya. Scipio menunjukkan bagaimana kehormatan, kemanusiaan dan kebebasan yang ditunjukkan oleh Cyrus seperti yang ditulis oleh Xenophon.

Penguasa seharusnya mendalami ilmu peperangan dan menghindarkan diri daripada bermalas-malasan sewaktu aman damai. Tambahkan pengetahuan yang mungkin akan membantunya untuk sentiasa bersedia apabila berlaku sebarang perkara yang tidak terjangka.