Beliau memimpin penduduk hidup dalam keadaan aman dan memiliki hubungan baik dengan masyarakat Melayu sekitar Kuala Lumpur, termasuk Ketua Melayu, Datuk Dagang.
Untuk menghukum penjenayah dan mereka yang bersalah, Yap Ah Loy membina penjara besar yang mampu memuatkan 60 tahanan pada suatu masa selain menggubal peraturan mengikut kesalahan.
Contohnya, bagi kesalahan mencuri yang dilakukan pertama kali, pencuri akan diarak di jalanan dengan barang dicuri diikat di belakang dan bahunya manakala kesalahan kedua akan dipotong telinga dan kesalahan kali ketiga dihukum mati.
Hukuman mati yang dilaksanakan Yap bukanlah digantung atau dipotong kepala, tetapi pesalah akan melutut dengan tangannya diikat ke belakang dan pedang akan ditikam ke lehernya. Bagi kesalahan kecil, pesalah akan dipenjara terlebih dahulu sebelum dibicara. Hukuman yang dirangka Yap mungkin kelihatan kejam, tetapi ternyata berkesan untuk membendung jenayah ketika itu.
Malah, sebulan selepas beliau dilantik menjadi kapitan dan mengemukakan undang-undang itu, kecurian tidak pernah berlaku sehingga digambarkan jika ada barang yang terjatuh di tengah jalan, tiada siapa yang berani mengambilnya. Lanun juga tidak lagi berani merompak kapal di sungai dan bijih dapat dihantar dengan selamat. Yap berjaya menjaga keamanan 10,000 penduduk Cina dengan hanya mengambil enam orang anggota polis.
Yap Ah Loy dan orang kanannya, Yap Ah Shak menjadi majistret dalam keskes kecil. Sehingga tahun 1878, kes serius akan dibicarakan di ibu negeri Selangor ketika itu, iaitu Klang. Antara tahun 1878 dan 1880, Residen British dan majistret akan ke Kuala Lumpur setiap bulan untuk menjalankan perbicaraan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Majistret.
Sumbangan terbesar Yap Ah Loy adalah menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat perdagangan di Selangor pada tahun 1880. Kejayaan ini akhirnya menyebabkan Kerajaan Selangor memindahkan ibu negerinya dari Klang ke Kuala Lumpur. Yap Ah Loy bagaimanapun tidak membina bandar Kuala Lumpur secara berstruktur dengan baik. Jalan sekitar pekan besar itu pada tahun 1882, misalnya, hanyalah seluas empat meter dan sukar untuk dilalui.
Kawasan pasar dan kedai kotor dengan sampah bertaburan di tanah sehingga menyebabkan jangkitan cacar, malaria dan pelbagai penyakit merebak dengan kerap. Langkah berjaga-jaga terhadap kebakaran yang diamalkan Yap adalah setiap rumah perlu menyimpan satu tong yang dipenuhi air setiap masa.
Kesannya, pada 4 Januari 1881, seluruh kawasan bandar itu terbakar dan kerugian dianggarkan RM100,000. Selepas peristiwa kebakaran itu, Yap Ah Loy mengarahkan semua bangunan dibina semula menggunakan batu bata dan atap daripada jubin.
Jalan raya mula dibina secara berstruktur, kawasan lombong dihubungkan dengan kawasan bandar dan lorong dibina dalam bandar dengan teratur. Kos sebanyak RM20,000 dilaburkan untuk tujuan itu. Laluan untuk ke kawasan lombong dikatakan masih dikekalkan sehingga kini antaranya di Jalan Ampang, Jalan Pudu dan Jalan Petaling.
Yap Ah Loy juga membina kilang membuat tepung ubi di Jalan Petaling dengan mengimport enjin lapan kuasa kuda. Kilang itu bagaimanapun terpaksa ditutup akibat kejatuhan harga ubi kayu pada tahun 1880. Beliau turut membina tempat perlindungan bagi mereka yang sakit mendapatkan makanan dan perlindungan dan kos pengurusan diperoleh daripada levi penyembelihan babi dengan kos RM1 seekor.
Yap turut memainkan peranan besar dalam penubuhan sekolah Cina pertama di Kuala Lumpur dan menyediakan seorang guru besar.
Hukuman 'Kejam' Bendung Jenayah
12/11/2006