Dalam membicarakan tentang amaran awal bencana alam pula, pada hakikatnya tiada amaran yang akan berkesan jika diberikan kepada mereka yang langsung tidak mempunyai ilmu pengetahuan tentang amaran tersebut. Penekanan terhadap beberapa aspek ilmu tentang proses geologi yang boleh diaplikasikan sebagai langkah amaran terawal bagi kita menghadapi risiko bencana alam atau bencana geologi, diikuti dengan perbincangan mengenai risiko, bencana geologi dan langkah-langkah amaran awal bencana alam.
PERISTIWA GEOLOGI
Peristiwa geologi merangkumi pelbagai peristiwa tabii yang berlaku di bumi, baik di permukaan mahupun di dalam perut bumi, malah turut merangkumi sebahagian ruang angkasa. Kebanyakan peristiwa geologi ini dijana oleh tenaga solar dan tenaga haba dalaman bumi yang merupakan baki haba ketika pembentukan bumi serta tenaga hasil pereputan bahan radioaktif di dalam perut bumi. Peristiwa atau proses tabii ini telah berlaku seawal detik pembentukan bumi kira-kira 4.6 bilion tahun yang lalu dan berterusan hingga ke hari ini, dan akan terus berjalan hingga ke akhir hayatnya.
Peristiwa-peristiwa inilah yang bertanggungjawab mencorakkan rupabumi seperti yang dapat kita semua lihat pada hari ini. Bagaimanapun sebahagian daripada kita barangkali tidak menyedari hakikat tentang proses alam tabii yang bertanggungjawab menghasilkan kepelbagaian rupabumi yang ada pada hari ini. Tanpa kesedaran ini memang pasti sukar untuk kita menghargai dan mencintai alam semulajadi.
Proses alam tabi biasanya berkaitan antara satu sama lain dalam beberapa kitaran tertentu. Antaranya proses pengitaran batuan yang melibatkan penghabluran magma di bawah permukaan serta letusan volkano dan pengaliran magma di permukaan yang membentuk batuan igneus. Batuan yang terdedah di permukaan pula akan mengalami proses luluhawa, hakisan, pengenapan, penimbusan dan pemampatan hingga terbentuk pula batuan sedimen.
Sepanjang proses pengitaran batuan ini, barangkali kita hanya sedar tentang peristiwa susutan darat seperti tanah runtuh, banjir lumpur dan sebagainya, perlodakkan, pengenapan dan sekali sekala pula kita dikejutkan oleh letupan gunung berapi.
Gempa bumi pada hakikatnya bukanlah proses geologi tetapi adalah kesan daripada proses penganjakan sejumlah besar kerak bumi atau bahan bumi di bawah permukaan. Tsunami pula lebih khusus lagi apabila anjakan bahan bumi itu melibatkan bahan bumi di dasar lautan.
Kebaikan dan keburukan peristiwa geologi
Kita sering membicarakan tentang keburukan dan bala bencana yang didatangkan oleh peristiwa geologi seperti tanah runtuh, gempa bumi, gunung berapi, tsunami, ribut taufan, banjir, banjir lumpur, avalanche dan sebagainya. Jarang sekali kita menyebut tentang kebaikan dan rahmat yang terhasil akibat peristiwa geologi, walaupun sebahagian besar daripada kita dapat hidup dengan mewah oleh kerana kurniaan Allah melalui peristiwa geologi masa lampau.
Penghasilan pelbagai sumber mineral logam, batu permata, mineral industri, petroleum, gas; pelbagai jenis sumber tenaga hidroterma, hidraulik, angin, suria; pelbagai sumber tanah tanih yang mempunyai pelbagai kegunaan pertanian; pelbagai sumber air tawar, air bawah tanah, air lautan; pengkitaran udara, air dan pelbagai unsur bumi adalah antara manifestasi daripada pelbagai bentuk proses tabii alam atau proses geologi.
Dalam hubungan tidak langsung pula, semua makhluk Allah yang ada di muka bumi, baik haiwan mahupun tumbuhan yang sering kita kaitkan dengan kehidupan harian kita juga turut bergantung kepada pelbagai proses tabii alam seperti tanah tempat bertapak, kitaran udara, air dan bahan nutrien. Inilah adalah sebahagian daripada rahmat pemberian Allah SWT kepada kita,dan kita akan lebih bersyukur sekiranya kita mempunyai serba sedikit pengetahuan dan keyakinan tentang kewujudan, mekanisme dan peranan sebenar proses tabii alam.
Peranan proses geologi
Mengapakah gempa bumi, letupan volkano, ribut taufan, tanah runtuh terus berlaku tanpa hentinya Soalan ini hanya boleh dijawab bagi mereka yang mempunyai fikiran terbuka dan mempunyai pengetahuan luas tentang pelbagai proses geologi secara holistik.
Berdasarkan ilmu pengetahuan akhirnya kita akan melihat bahawa Allah mencipta dan menggerakkan semua proses geologi ini bagi menjamin keseimbangan unsur bumi keseluruhannya. Letusan gunung berapi membawa bahan magma dari perut bumi keluar ke permukaan, membentuk tapak tanah baru untuk kehidupan.
Pada masa yang sama letusan ini membawa pelbagai mineral bernilai ekonomi untuk kegunaan manusia dan memperkayakan gas karbon dioksida di udara bagi kegunaan fotosintesis tumbuhan hijau. Pergerakan kerak bumi yang lazimnya menghasilkan gempa bumi pula penting dalam memindahkan bahan bumi di permukaan ke dalam perut bumi daripada masa yang sama bertanggungjawab mengangkat kerak lautan ke permukaan, membentuk benua dan banjaran pergunungan baru sebagai tulang belakang sesuatu benua.
Pergerakan ini juga adakalanya turut membina lembah rekahan seterusnya memecah dan memisahkan dua benua yang dulunya bercantum. Perpisahan dan penggabungan benua-benua di sepanjang sejarah 4.6 bilion tahun usia bumi adalah sesuatu yang sangat mengagumkan jika kita berpeluang mengkajinya.
Manusia yang diberi banyak akal fikiran telah sedikit sebanyak mencipta teknologi bagi penghasilan proses bukan tabii tertentu dalam pelbagai bentuk industri. Pada masa yang sama juga manusia turut berupaya meminda pelbagai arah dan kesan proses tabii tertentu bagi manfaat kehidupan seharian.
Contohnya, pembinaan empangan penahan aliran air, pembinaan terusan pengubah arah aliran air, pembinaan tembok penghalang ombak, pembinaan janakuasa pemerangkap haba geoterma, angin dan air semuanya telah mengubah proses tabii bumi sama ada dalam bentuk arah, intensiti dan sebagainya.
Manusia juga turut bertanggungjawab menipiskan lapisan ozon di atmosfera, mencemar air sungai, air bawah tanah dan tanah dan kesan pencemaran ini telah turut mengubah hasil proses tabii alam yang mengitarkan udara, air dan unsur-unsur bumi.
Hanya dengan mengimbangkan antara kemanfaatan yang mungkin diperolehi dengan kemudaratan yang mungkin dihadapi, manusia akan dapat berfikiran terbuka dan boleh merancang sesuatu aktiviti agar tidak mengubah proses tabii alam sewenang-wenangnya hingga memberikan impak negatif untuk dideritai oleh generasi akan datang.
RISIKO ANCAMAN BENCANA GEOLOGI
Peristiwa geologi yang berlaku tidak sentiasa akan membawa bencana. Ada juga kawasan tertentu yang tidak akan terjejas oleh impak negatif peristiwa geologi tertentu dengan intensiti tertentu, sedangkan kawasan bersebelahan yang mempunyai keadaan geologi tertentu terjejas teruk akibat peristiwa geologi yang sama.
Oleh itu, berdasarkan keadaan topografi, jenis batuan, jenis tanah, struktur-struktur geologi tertentu, ahli geosains boleh meramalkan tentang potensi peristiwa alam tabii tertentu mendatangkan bencana kepada nyawa manusia dan harta benda di sesuatu kawasan.
Umpamanya kawasan di lereng gunung atau bukit curam yang mempunyai struktur ketakselanjaran batuan menghadap cerun adalah sangat terdedah kepada risiko tanah runtuh akibat gegaran gempa ataupun akibat curahan hujan berlebihan di kawasan beriklim tropika lembap. Dalam hal ini, penelitian terhadap sifat batuan dan satah ketakselanjaran didapati amat membantu dalam menafsirkan risiko berlakunya runtuhan di sesuatu kawasan.
Dengan erti kata lain, risiko bencana geologi membawa maksud bahawa bencana alam masih belum berlaku, tetapi kawasan tertentu telahpun dikenalpasti akan mengalami bencana jika sesuatu proses alam tabii tertentu melanda kawasan tersebut. Sebenarnya, pengenalpastian kawasan berisiko tinggi menghadapi bencana alam merupakan salah satu langkah penting dalam memberi amaran awal tentang risiko bencana alam.
Ramalan kawasan berisiko dan kadar risiko terhadap sesuatu potensi bencana alam ini akan dapat membantu kita merancang pembangunan sesuatu kawasan dengan lebih terurus agar kemusnahan akibat bencana alam dapat dielak atau dikurangkan.
Secara umumnya, ahli geosains telah memetakan kawasan-kawasan pada jalur pertembungan dan perselisihan kepingan-kepingan kerak bumi sebagai kawasan yang mempunyai risiko tinggi terhadap bencana gempa bumi. Begitu juga dengan kawasan berisiko tinggi terhadap bencana gunung berapi yang dipetakan di jalur lingkaran Pasifik, kawasan berisiko tsunami (juga kebanyakannya di pinggir Lautan Pasifik), kawasan berisiko banjir akibat ribut tropika dan sebagainya.
BENCANA GEOLOGI
Maksud bencana geologi atau geobencana adalah peristiwa geologi yang telah mengakibatkan kemalangan jiwa dan kerosakan harta benda. Peristiwa geologi boleh mendatangkan bala bencana dalam pelbagai bentuk. Umpamanya penganjakkan kepingan kerak bumi boleh mendatangkan gempa bumi dalam bentuk gegaran tanah yang dahsyat berpuluh-puluh kilometer daripada lokasi pergerakan itu sendiri. Gegaran gempa boleh menganjak tanah di permukaan, meruntuhkan apa sahaja struktur binaan manusia yang tidak dibuat mengikut spesifikasi kalis gempa.
Kerosakan terhadap struktur binaan tertentu selanjutnya boleh mendatangkan bencana yang lebih teruk seperti kebocoran paip gas, banjir akibat empangan pecah, kebakaran akibat litar letrik yang terputus dan sebagainya. Lebih dahsyat lagi, jika anjakan bahan bumi itu berlaku di dasar lautan seperti yang berlaku pada peristiwa gempa bumi 26 Disember 2004 di barat Sumatra Utara.
Selain menghasilkan gempa bumi bermagnitud sebesar 9.0 Skala Richter, anjakan besar bahan bumi di dasar laut ini turut menerbitkan pusuan arus hingga melebihi kelajuan 800km/j yang bertukar menjadi ombak ganas atau lebih dikenali sebagai tsunami apabila ia menghampiri pantai. Skala kemusnahan akibat tsunami ini memang di luar dugaan kita sama sekali, malah tidak diduga oleh kebanyakan ahli geosains.
Peristiwa ini telah mengorbankan hampir 300,000 nyawa manusia, ratusan ribu nyawa hidupan lain dan kerosakan harta benda yang masih tidak ternilai dengan tepat. Apa yang menakjubkan ialah kemalangan jiwa dan kerosakan harta benda akibat tsunami ini tidak sahaja melanda kawasan berhampiran di Asia Tenggara, tetapi turut menjejaskan beberapa pantai di negara-negara timur Afrika yang terletak berpuluh ribu kilometer dari titik fokus gempa.
Selain gempa bumi dan tsunami, bencana geologi terburuk lain adalah bencana letusan gunung berapi yang turut mengorbankan banyak nyawa dan memusnahkan harta benda melalui pelbagai cara termasuk aliran debu panas, tefra yang menutupi angkasa, gas beracun, banjir lahar, gempa bumi, tsunami dan sebagainya.
Bencana tanah runtuh, banjir lumpur, banjir akibat pencairan salji atau hujan berterusan, bencana ribut dan kemarau juga merupakan antara bencana alam yang turut berupaya meragut banyak nyawa dan memusnahkan banyak harta benda.
Lazimnya ahli geosains dan para kaji cuaca di kebanyakan negara maju sudahpun mempunyai banyak data tentang corak pelbagai jenis bencana alam dan telahpun memikirkan pelbagai bentuk dan mekanisme mitigasi bagi mengurangkan kesan kemusnahan dari bencana alam tabii ini.
Di negara-negara kurang maju didapati tahap kemusnahan akibat bencana alam ini masih terlalu tinggi akibat kurangnya kemampuan meramal dan menangani bencana dan kurangnya kesedaran awam tentang risiko bencana alam yang mungkin mereka alami.
AMARAN AWAL BENCANA
Amaran awal bencana alam boleh dibahagikan kepada tiga tahap utama iaitu tahap pertama yang menekankan tentang pendidikan dan kesedaran awam, tahap kedua yang lebih menekankan langkah penghindaran daripada bencana alam, dan tahap ketiga yang menekankan kepada langkah pengurangan impak daripada bencana alam yang akan menimpa dengan bantuan pelbagai peralatan sistem pemantauan dan amaran awal bencana.
Pendidikan dan kesedaran awam
Amaran tahap pertama sebenarnya lebih merupakan tahap penerapan ilmu pengetahuan tentang sains kejadian alam bumi dan proses tabii alam yang sentiasa berlaku di sekeliling kita.
Salah satu ilmu pengetahuan yang amat penting adalah ilmu tentang bagaimana proses-proses dalaman dan luaran bumi berlaku dan berinteraksi bagi menjamin keseimbangan kitaran pelbagai unsur bumi. Dengan adanya pendidikan umum berkenaan proses geologi diharapkan akan lahir masyarakat berilmu dan sensitif terhadap perkara berkaitan risiko dan bencana alam berdasarkan ilmu pengetahuan yang lebih saintifik dan terkini.
Masyarakat berilmu dan sensitif terhadap perkaitan kehidupan kita seharian dengan peristiwa geologi sama ada yang mendatangkan bencana atau yang mendatangkan manfaat pastinya akan lebih menyayangi alam tabii dan tidak akan menjadi makhluk perosak bumi tanpa berfikir lebih panjang.
Tahap pengetahuan tentang tanda-tanda awal kedatangan sesuatu bencana alam juga amat penting untuk kita ketahui. Contohnya ramai yang melaporkan pelbagai keganjilan kelakuan haiwan-haiwan sebelum gempa bumi besar (termasuk gempa bumi 26/Dis/2004) atau letupan besar gunung berapi. Sebenarnya ini juga adalah amaran awal yang agak tepat, tetapi bagi kita yang tidak mempunyai pengetahuan mengenainya amaran ini tidak memberi sebarang makna.
Begitu juga dengan kebocoran mata air sebelum berlaku bencana tanah runtuh besar yang sering kita abaikan. Semua ini adalah pengetahuan am yang harus kita pelajari yang mungkin akan dapat menyelamatkan nyawa kita sendiri dan orang awam lain.
Pencegahan dan perancangan
Peringkat ini merupakan peringkat penyelidikan dan persediaan untuk menterjemahkan pengetahuan bagi menghindar dan meminimum impak geobencana. Pada peringkat ini sekumpulan ahli geosains bertanggungjawab melakukan penyelidikan bagi pengezonan kawasan berisiko tinggi ditimpa bencana alam tertentu.
Kesan tsunami yang melanda pantai-pantai utara Semenanjung Malaysia pada 26 Disember 2004 juga menunjukkan kesan kemusnahan berbeza pada keadaan pantai yang berbeza, di mana kemalangan jiwa yang banyak dilaporkan pada kawasan pantai tertutup bertebing curam di Pulau Pinang sedangkan pantai lebih landai yang lebih banyak dimasuki air laut di Kuala Muda dan Langkawi hanya mencatatkan kemusnahan harta benda yang banyak, tetapi tidak begitu banyak kehilangan nyawa.
Begitu juga dengan kerosakan harta benda di kawasan sekitar muara sungai dan kawasan lapang yang jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan kawasan pantai yang ditumbuhi bakau.
Penyelidikan yang dilakukan oleh ahli geosains ini lazimnya dikenali sebagai pemetaan risiko geobencana dan maklumat yang diperolehi hasil penyelidikan ini lazimnya digembelingkan dalam peta yang dikenali sebagai peta risiko geobencana. Maklumat ini boleh digunakan oleh pihak perancang bagi merancang penempatan yang lebih selamat dari kemungkinan geobencana dan merancang guna tanah yang lebih sesuai untuk kawasan yang terdedah kepada risiko bencana yang tidak sesuai untuk penempatan. Semua ini bertujuan mengelakkan kita daripada ancaman dan bahaya geobencana.
Ada ketikanya kita tidak mempunyai banyak pilihan ruang untuk pembinaan kawasan penempatan dan infrastruktur, lebih-lebih lagi apabila pertimbangan faedah strategik lain telah diambilkira. Dalam hal ini, pihak pembina harus memikirkan penggunaan bahan dan teknologi pembinaan yang bersesuaian dalam merancang pembinaan struktur yang mampu menangani impak bencana bersesuaian dengan kekuatan dan intensiti bencana yang diramalkan. Diharapkan kos tambahan yang dikeluarkan dapat mengurangkan kesan bencana yang terpaksa dihadapi.
Langkah penyelamatan dan sistem amaran terakhir
Pada hakikatnya, manusia mungkin akan berupaya mengubah dan mengawal masa dan arah perjalanan sebahagian proses geologi berisiko rendah dan sederhana hinggakan impak terhadap kerosakan minimum boleh dicapai. Bagaimanapun, lazimnya peristiwa geologi berisiko tinggi jarang sekali mampu diubah atau diarah oleh teknologi manusia moden.
Usaha yang tinggal hanyalah untuk menyelamatkan diri dan meminimumkan kerosakan harta benda dan korban nyawa. Pada peringkat menghadapi detik ketibaan bencana alam tabii ini kita amat memerlukan maklumat yang boleh memberikan kita amaran terakhir khususnya bagi menyelamatkan nyawa sendiri.
Untuk itu ahli fizik telah merekacipta pelbagai peralatan saintifik canggih yang sering diistilahkan sebagai sistem amaran awal bagi memantau perubahan yang berlaku terhadap sistem bumi sebelum berlakunya sesuatu proses geologi yang boleh membawa bencana. Selain itu, fenomena tabii pra-geobencana seperti kehadiran gegaran kecil, letupan kecil, kelakuan haiwan yang ganjil dan sebagainya juga amat penting sebagai tanda amaran terakhir. Bagaimanapun, ada kalanya catatan atau amaran berdasarkan peristiwa pra-geobencana ini adalah amaran palsu.
Antara peralatan saintifik moden yang mempunyai tahap kejituan tinggi dalam meramalkan detik kedatangan geobencana termasuklah Mikrometer Seismos yang merakamkan aktiviti seismos yang berlaku di saat-saat sebelum berlakunya letupan besar gunung berapi.
Bagi peristiwa gempa bumi pula, alat Seismograf yang dipasang bagi mencatat rekod aktiviti seismos di beberapa stesen cerapan gempa bumi akan merekodkan perubahan aktiviti seismos sebelum berlakunya sesuatu gempa berskala besar. Tsunameter yang dipasang di tengah lautan pula berupaya merekod perubahan aras pasang surut akibat tsunami (dan ombak besar akibat ribut) sebelum tsunami sebenar melanda pantai. Inclinometer pula dipasang pada cerun bermasalah bagi merekodkan pergerakan cerun yang mungkin menyebabkan kejadian tanah runtuh, manakala Penanda Aras Banjir yang diletakkan di tebing-tebing sungai utama pula dapat merekodkan kenaikan air sungai yang berpotensi menghasilkan banjir besar.
Semua peralatan ini direkacipta untuk memberikan kita amaran terakhir untuk menyelamatkan diri dari bencana alam. Mungkin yang lebih penting dari itu adalah kecekapan pihak berkuasa dalam menyampaikan amaran kepada masyarakat awam kerana maklumat ini lazimnya tidak mudah dicapai sendiri oleh individu. Untuk itu, pelbagai kaedah penyebaran maklumat termasuk melalui sistem pembesar suara, tanda amaran bendera serta lampu di tempat-tempat awam dan rangkaian sistem pesanan ringkas telah diajukan sebagai penyalur maklumat