KEMBARA PENIAGA JALANAN - 15
RAMAI juga yang kirim pesanan dan meluahkan masalah kepada aku di facebook, k a d a n g - k a d a n g aku sampai malas hendak balas. Luahan masalahnya berjela-jela dan inbox aku sudah jadi macam pusat aduan rakyat. Apa kau orang ingat aku ini wakil rakyat Tetapi aku tak marah, cuma geram sebab semua masalah yang berpunca daripada diri sendiri tidak dapat diatasi dengan solusi. Apabila kau ada masalah dan kau terus memendam masalah, bila hendak selesai Kau kena cari solusi demi solusi untuk membetulkan semuanya. Apapun aku bersyukur kerana mereka meluahkan masalah, itu maksudnya mereka suka dan percaya pada aku.

Terima kasih ya.

Ini aku mahu cerita tentang idea berniaga di jalanan dengan menjual makanan. Pernah di dalam satu program bersama wanita anjuran sebuah agensi kerajaan, aku bertanya apakah idea masakan yang boleh dikomersial Bersepah jawapan baik-baik yang diberi, semuanya praktikal dan boleh dilaksanakan. Dan apabila aku bertanya kembali, Kenapa tak buat Jawapan paling banyak diberi ialah tak tahu hendak menjual.

Cik kak oi, menjual ini perlu dilakukan, ia perlu praktis yang berterusan. Kau tak boleh menjual selagi kau masih dengar cakap-cakap orang dan pergi seminar terpekik terlolong sana sini. Kau kena buka meja dan menjual bermula sekarang, barulah lama kelamaan kita akan pandai menjual. Ini bukan soal modal wang lagi, sedangkan semua idea yang dibentang boleh dibuat di rumah.

Sewaktu aku berjualan di ekspo Pantai Puteri, Melaka, di sebelah booth aku jual makanan. Memang sengaja aku pilih lokasi sebelah orang menjual makanan supaya senang aku mahu makan bila lapar. Kak Nor, orang Kedah yang berhijrah ke Kuala Lumpur bersama-sama suaminya memang berniaga bihun sup sahaja untuk meneruskan kehidupan bagi menyara keluarga. Dengan bihun sup itulah beliau menyekolahkan anak-anak, membeli rumah dan bercuti ke sana ke sini.

Bihun sahaja woi, bukannya jenis masakan yang pelik-pelik pun. Sepanjang berjiran dengan Kak Nor dan suaminya, aku tengok warung jualan mereka memang tidak putus-putus dengan pengunjung. Dua kawah besar sup habis dalam sehari. Gila apa Itu yang aku fikir seorang diri. Satu mangkuk dia jual dengan harga RM2.50. Aku rasa beribu-ribu mangkuk juga dia jual setiap hari di situ. Bingung aku bila fikirkan.

Ikram, kalau hang lapaq mai makan tang ni. Hang potong sendirilah daging mana yang hang mau. Cedok sendiri sup tu. Hang jangan dok segan dengan kak, hang buat macam dapoq sendiri ja, kata beliau kepada aku.

Memang sedap sup Kak Nor buat! Kuah dia memang kaw, padu betul setiap rasa rempah ratusnya. Tambah pula dengan cili boh dan cabai kicap, memang terangkat beb. Kadang-kadang, aku tengok ada pengunjung yang menambah sampai dua mangkuk setiap kali makan. Sesekali aku berseloroh juga dengan Kak Nor,

Kak boh apa dalam kawah Ada ganja ka

Hang nak mampoih boh ganja! Mana ada, kak masak boh rempah la Ikram oi. Hang bila memasak kena masak betoi-betoi, buat sedap-sedap macam nak makan sendiri. Tok sah dok berkira sangat nak letak benda-benda sedap dalam tu. Biar sup tu pekat, masak awal 6 jam supaya daging empuk dan sup betoi-betoi mendidih, balas kak Nor.

Aku tak puas hati, disebabkan aku ini memang suka juga memasak dan makan sedap. Aku pujuk Kak Nor untuk bawa aku bersama ikut dia berniaga selepas itu di Seri Menanti, Negeri Sembilan. Aku kata aku hendak kerja, jadi tukang hidang pun tak mengapa, janji aku dapat belajar. Kak Nor setuju dan aku dibawa ke Seri Menanti seminggu selepas itu. Dulu, Kak Nor dan suaminya memang berniaga di pasar malam, lama-kelamaan mereka terasa penat kerana perlu buka dan tutup khemah hari-hari. Sekarang Kak Nor selesa ikut ekspo hujung minggu sahaja. Kau bayangkanlah kalau setiap hujung minggu berniaga bihun sup, dia dapat untung bersih RM3,000 Kalau setiap minggu keluar, sebulan sudah berapa ribu Alahai, ini matematik mudah. Dengan RM12,000 sebulan takkan tak boleh beli rumah dan kereta

Sampai di Seri Menanti, Kak Nor suruh aku potong bawang dan basuh semua bahan yang sudah disediakan. Pergh, bukan senang juga beb. Kami kena siapkan sup lebih awal enam jam sebelum pengunjung boleh makan sedap. Biasalah orang Utara memang kuat membebel, duduk dengan dia dapur memang aku kena tebalkan telinga. Dia membebel penuh isi, menasihatkan aku macam anak sendiri.

Hang kena rajin Ikram, hendak hidup ini tak boleh malaih-malaih. Kak suka hang muda-muda minat berniaga. Kak tengok budak-budak la ni semua nak senang saja, kerja malaih tau mintak duit kat mak ayah saja. Apa nak jadi Bla bla bla bla bla bla bla, dia terus bebel.

Aku tengok bahan-bahan yang Kak Nor guna bahan biasa saja untuk masak sup, mana ada benda pelik yang dia letak. Antara yang aku masih ingat ialah serbuk kunyit, tulang lembu, bawang, sebuk ketumbar, rempah sup, daun sup, kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga, bunga cengkih dan bahagian daging yang siap dibasuh, itu sahaja.

Ni satu lagi kak nak pesan kat hang, manalah tau esok-esok ni hang nak meniaga makanan. Bila buat makan kat orang ni kena baca doa banyak-banyak, buat dengan penuh kasih-sayang. Basuh elok-elok semua benda yang kita nak masak tu. Jangan dok buat halai balai, hang ingat ni pesan kak ni!

Aku angguk-angguk saja dan terus buat kerja. Sepanjang tiga hari itu, kami masak hampir enam kali sup dan setiap kali masak untuk dua periuk besar. Mungkin sebab Kak Nor suka aku tolong dia, lumayan juga upah yang dia bagi untuk aku. Aku bukan hendak duit sangat sebab aku bukannya tak ada duit tapi aku ambil juga sebab itu upah. Perkara paling besar yang aku belajar daripada Kak Nor ialah menjiwai proses masakan itu sendiri. Dan kisah ini antara pencetus untuk aku mengasaskan warung jalanan aku sendiri yang sekarang ini dikenali dengan nama Tudia! Char Kuey Teow. Alhamdulillah, setakat cerita ini ditulis, aku mengembangkan warung kepada 15 tempat di seluruh Malaysia.

Sekarang kau cuma perlu fikir, apa menu masakan yang kau pandai buat dan mula menjual dengan sepenuh hati. Selagi kau tak mula buat, selagi itulah kau takkan dapat melihat apa-apa hasil.