MOTORSIKAL Kawasaki hitam Kudin mula masuk ke kawasan balai polis dan diparkir di tempat yang disediakan. Hari ini dia diarahkan ke balai polis untuk disoalsiasat kes kehilangan dan pembunuhan dua bekas pekerja TM Holdings dan juga kes kematian Tengku Muzafar. Helmet di kepala ditanggalkan. Rambutnya yang sedikit kusut dikemaskan dengan jari. Agak lama dia memerhati ke arah pintu masuk balai polis. Dia mula mengatur langkah perlahan ke situ.
"Ya encik" Salah seorang pegawai polis yang bertugas di depan kaunter menyapa Kudin.
"Err..saya datang ni sebab ada arahan dari pihak polis berkenaan kes pekerja TM Holdings. Saya kena beri keterangan di sini hari ni." Kudin menyatakan tujuannya.
"Oh, sekejap ya." Pegawai polis lelaki itu mula menghubungi seseorang. Dia kemudian menyuruh Kudin mengikutnya ke satu tempat.
"Encik tunggu dulu di sini. Nanti bila dipanggil, encik masuk ke bilik tu." Pegawai polis tadi menuding ke arah satu bilik yang tertutup.
Kudin hanya mengangguk. Tidak lama kemudian dia disuruh masuk ke bilik itu. Kudin melihat sekitar bilik. Hanya ada sebuah meja kecil dan dua buah kerusi dengan keadaan bilik yang agak suram. Dia disuruh duduk di situ sementara menunggu pegawai polis lain masuk. Lama Kudin melangut di situ. Hampir setengah jam. Di benaknya, bermacam perkara bermain dan berlegar. Kes kematian ayah, kehilangan Anum, rangka dan mayat reput dan terbaru, kehilangan Senah. Sebelum bertolak ke balai polis tadi, sempat dia menghubungi Chad bertanyakan hal itu. Nampaknya Senah masih belum pulang ke rumah kakak Chad. Lamunan Kudin terhenti sebaik mendengar pintu dikuak. Dia segera berpaling. Seorang pegawai polis lelaki mula masuk ke situ.
"Awak Tengku Saifuddin bin Tengku Muzafar" Soalan pertama diajukan kepada Kudin.
"Ya saya." Kudin menjawab, matanya melirik pada tag nama pegawai polis itu. Detektif Razif Razlan.
"Awak dipanggil ke sini berhubung kes kematian bekas pekerja TM Holdings yang dipercayai dibunuh selepas kehilangan mereka." Terang Detektif Razif.
"Ya saya tahu. Saya telah diberitahu melalui surat yang saya terima." Kudin melihat Detektif Razif yang sudah melabuhkan punggung di kerusi di hadapannya.
"Boleh awak beritahu bila awak mula bekerja di TM Holdings"
"Dua bulan lepas tuan." Kudin menjawab penuh yakin.
"Sebelum awak bekerja di TM Holdings, apa yang awak tahu mengenai syarikat TM Holdings" Tanya Detektif Razif lagi. Matanya tepat memandang Kudin.
"Saya tak pernah tahu pasal TM Holdings. Saya didatangi oleh peguam Tengku Muzafar iaitu Encik Razul dan seorang lagi lelaki yang pada hemah saya adalah pemandu peguam itu. Mereka mencari saya atas urusan wasiat. Sejak itulah baru saya tahu tentang TM Holdings." Jelas Kudin hal yang sebenar.
"Okey. Jadi sebelum ni awak memang tak tahu apa-apa tentang TM Holdings Maksud saya, hal yang berlaku di syarikat itu"
"Ya." Kudin menjawab pendek.
"Selepas kematian Tengku Muzafar, syarikat itu telah diserahkan kepada anak-anaknya termasuk awak. Awak sebagai pewaris TM Holdings dan waris lelaki, awak diberi kuasa dan harta pusaka yang lebih berbanding anak-anak Tengku Muzafar yang lain. Betul"
"Betul tuan"
"Jadi selepas awak mengambilalih syarikat, awak berkuasa penuh hal urusan syarikat, jadi awak ada motif untuk mengaut semua harta dan segala urusan syarikat, betul" Sekali lagi Detektif Razif bertanya.
"Saya memang diberi kuasa untuk menguruskan syarikat itu tapi saya bukan nak rampas harta arwah. Semua harta itu dibahagiakn mengikut hukum faraid." Kudin sudah berkerut kening. Soalan pegawai polis itu seperti menuduhnya gilakan harta dan kuasa dan cuba dikaitkan dengan kematian Tengku Muzafar.
"Saya difahamkan awak ada dua orang lagi adik perempuan. Seorang adik kandung seibu sebapa dan seorang lagi sebapa berlainan ibu, betul"
"Betul tuan."
"Awak mungkin sudah berpakat dengan adik kandung awak yang seibu sebapa untuk menuntut semua harta itu memandangkan awak dan adik kandung awak disisihkan sejak kecil, tidak seperti adik awak yang berlainan ibu. Jadi awak dan adik kandung awak mempunyai motif yang kuat untuk menyingkirkan adik awak yang seorang lagi dari mendapat harta. Semua ini hanya akan dapat direalisasikan dengan kematian Tengku Muzafar, awak dan adik kandung awak yang seibu memperolehi harta itu lebih dari adik awak yang berlainan ibu."
"Tidak benar tuan! Saya tak pernah kenal siapa ayah saya dan adik saya sebelum ini. Jadi saya tidak boleh dituduh dalam hal ini." Kudin sudah mula merasa tidak senang dengan tuduhan Detektif Razif tadi.
Detektif Razif hanya senyum.
"Tiga bulan sebelum kematian Tengku Muzafar, dua orang pekerja TM Holdings didapati hilang tanpa dapat dikesan. Hasil siasatan kami, kehilangan mereka ada kaitan dengan kematian Tengku Muzafar. Saya percaya awak tentu sudah tahu siapa mereka bukan"
"Saya tak berapa pasti kerana ramai yang sudah berhenti." Kudin berkata perlahan. Memang pekerja TM Holdings ramai yang sudah berhenti.
"Mengikut maklumat yang kami terima, terdapat lima pekerja TM Hodings yang sudah berhenti. Dua pekerja yang hilang itu tidak berhenti. Jadi nama mereka masih ada di dalam senarai nama pekerja di syarikat itu ketika itu. Saya pasti awak sebagai Tuan Pengarah yang baru di TM Holdings, awak lebih tahu tentang itu." Detektif Razif masih memandang Kudin yang sudah nampak gelisah.
"Saya tidak ambil tahu tentang itu. Semua itu saya serahkan kepada pengurus di bahagian sumber manusia. Itu tugas mereka untuk menguruskan pengambilan pekerja dan pemberhentian pekerja." Kudin menjelaskan tugasnya.
"Tapi apa yang saya tahu, sebarang pengambilan pekerja baru perlu ditemuramah oleh tuan pengarah sendiri, betul"
"Ya tuan." Kudin mengangguk setuju.
"Macam mana pula pekerja yang hilang Adakah tuan pengarah tahu tentang itu Maksud saya diberitahu tentang itu" Detektif Razif kali ini mula bangun. Dia berdiri di depan Kudin.
"Selama dua bulan saya bekerja di situ, saya tidak diberitahu apa-apa tentang pekerja yang hilang. Jadi saya tidak tahu menahu tentang hal itu." Kudin berterus terang.
"Biar saya jelaskan, pekerja yang hilang itu telah dilenyapkan maklumat mereka dari syarikat itu. Perkara itu dilakukan selepas awak mengambillaih syarikat itu. Bermakna, kemungkinan awak juga boleh disyaki salah seorang suspek dalam kes kehilangan mereka. "
Sengaja Detektif Razif menekankan hal itu. Riak Kudin diperhatikan.
"Saya memang tidak tahu." Kudin mengetap bibir.
"Jadi apa yang awak tahu"
"Selepas saya mengambilalih syarikat itu, saya hanya menjalankan urusan kerja yang biasa dibuat oleh seorang tuan pengarah. Saya dapat tahu kematian ayah saya adalah sebenarnya bukan disebabkan sakit jantung dan lumpuh tapi dibunuh dengan cara halus. Adik kandung saya yang beritahu saya tentang hal itu. Dia ada bukti tentang hal itu." Kudin terpaksa menjelaskan keadaan sebenar.
"Bukti apa yang adik awak ada"
"Surat. Surat yang diberi kepadanya oleh seorang perempuan dan perempuan itu terus menghilangkan diri selepas itu." Kudin teringat surat yang diberitahu Kuyah dulu. Surat itu menyatakan Tengku Muzafar sebenarnya dibunuh dengan cara sihir dan perempuan itu mengetahui semua itu bila dia terdengar perbualan seseorang di dalam pantri. Tidak dinyatakan siapa nama orang yang berbual ketika itu.
"Maksud awak surat ni" Detektif Razif mengeluarkan sesuatu dari fail. Surat itu dihulur kepada Kudin.
Terbeliak Kudin melihat surat yang pernah dilihat itu ada bersama pegawai polis ini. "Ya tuan, macam mana tuan boleh dapat surat ni"
"Itu kerja polis. Jadi awak tahu siapa yang memberi surat itu kepada adik awak"
"Tidak tahu tuan."
"Baiklah. Setakat itu saja untuk hari ini. Kalau saya perlukan apa-apa lagi, saya akan panggil lagi awak untuk soal siasat. Terima kasih kerana memberi kerjasama." Detektif Razif berjabat tangan dengan Kudin.
Kudin mula minta diri.
ANA DAHLIA hanya senyum melihat dari cermin luar bilik soalsiasat itu. Apa yang diberitahu oleh Kudin adalah benar. Hasil siasatannya dulu, Kudin memang tidak tahu menahu tentang kehilangan dua pekerjanya yang kemudiannya didapati dibunuh dengan kejam untuk menghilangkan bukti.
Dia mula melangkah masuk ke dalam bilik soal siasat tadi. Detektif Razif masih berada di situ. Tersenyum Detektif Razif melihat rakan setugasnya mula menapak masuk ke situ.
"Macam mana" Detektif Razif mula bertanya Ana Dahlia.
"Hmm..nampaknya dia tidak tahu tentang hal ini. Riak wajahnya nampak jujur tapi tak apa, kita ada beberapa orang lagi untuk sesi soal siasat. Suspek seterusnya, petang ini kan" Ana Dahlia belek fail yang dipegang Detektif Razif. Nama-nama suspek yang dipanggil untuk soal siasat dibaca satu persatu.
"Ya, cik Tengku Natasha binti Tengku Muzafar. Pukul dua nanti dia akan hadir. Awak nak soal ke atau saya yang teruskan" Detektif Razif pandang Ana Dahlia yang masih meneliti isi kandungan fail tadi.
"Saya rasa biar saya saja yang soal suspek ni, tuan." Ana Dahlia senyum. Dia akan ambil peluang ini untuk mengorek sedalam mungkin niat sebenar Kusha.
"Oh ya, hampir terlupa saya. Awak akan ditemani oleh pegawai dari Bukit Aman. Awak kan masih dalam tempoh percubaan untuk kes jenayah berat ni. Pegawai tu nanti akan pantau segala soalan yang diajukan masa sesi soal siasat nanti. Awak dah bersedia" Detektif Razif mengukir senyum. Dia tahu Ana Dahlia seorang yang tegas dan pandai mencari maklumat apa lagi melihat reaksi suspek.
"Oh ya ke Siapa dia tuan" Ana Dahlia senyum dengan riak teruja. Memang dia inginkan seseorang memantaunya dalam hal itu. Bimbang dia akan melalut menyoal perkara yang tidak berkaitan dan akan digunakan oleh suspek untuk mendakwa polis semula. Itu yang cuba dielakkan.
"Dia Detektif Jailani Kamaruddin, dari bahagian jenayah berat di Bukit Aman. Dia akan perhatikan dan audit awak untuk dinilai.
Sepanjang sesi soal siasat nanti, dia hanya sesekali mencelah jika soalan yang awak kemukakan itu tidak relevan." Terang Detektif Razif tentang rakan setugas dari balai polis Bukit Aman.
"Oh, saya akan buat yang terbaik tuan!" Ana Dahlia memberi tabik hormat.
Detektif Razif turut memberi tabik dan kemudian keluar dari bilik soal siasat setelah fail tadi diserahkan kepada Ana Dahlia.
Ana Dahlia mula meneliti semula maklumat yang diterima dan juga setiap bukti yang ada. Semua itu perlu diteliti sebelum bermula sesi soal siasat.
"Hmm...macam nak masuk mahkamah pulak aku ni." Ana Dahlia senyum sendiri.
Dia kemudian turut melangkah keluar dari bilik itu dan menuju ke mejanya semula sementara menunggu waktu petang nanti. Dari pukul sepuluh tadi lagi, dia mula sibuk dengan kes yang dikendalikan itu. Tadi, sebelum keluar dari bilik soal siasat itu, Detektif Razif sudah memberinya satu lagi kes untuk dikendalikan olehnya. Kes pemerdagangan manusia atau gadis untuk pusat-pusat pelacuran di seluruh dunia.
"Puan! Ni ada satu laporan yang baru dibuat tadi. Seorang gadis didapati hilang. Maklumat penuh ada dalam fail ni. Detektif Razif mengarahkan puan kendalikan kes ni."
Inspektor Haris menghulurkan fail merah kepada Ana Dahlia.
Ana Dahlia menyambut fail itu. Dia belek sepintas lalu sambil berjalan menuju ke meja. Lama dia meneliti kes yang disebut tadi. Gadis yang menghilangkan diri itu dipercayai terlibat dengan kes pelacuran yang sedang disiasatnya.
"Hmm...aku pantang kalau perempuan dijadikan barang dagangan macam ni." Ana Dahlia baca lagi laporan penuh. Membuntang melihat nama yang tertera di situ. Senah binti Said.
"Rasanya Senah kat kampung Pinang Patah tu pun namanya Senah binti Said juga." Ana Dahlia mula membaca laporan itu sampai habis.
"Siapa Arshad ni Macam mana dia kenal Senah" Ana Dahlia berkerut kening. Dia baca lagi laporan yang dibuat oleh Chad tentang kehilangan Senah binti Said.
"Pelik ni. Macam mana Senah boleh datang KL Ikut mamat ni ke" Ana Dahlia semakin berkerut kening memikirkan semua itu.
Dia meneruskan kerjanya dengan meneliti kes yang sedang disiasat tadi. Dia pandang jam. Tak sedar, hampir tiba waktu makan tengahari. Dia memasang niat untuk bertemu Kudin di restoran tempat mereka pertama kali bertemu dulu. Kudin perlu tahu tentang kehilangan Senah. Namun, dia masih memikirkan apakah jawapan yang sesuai yang hendak diberikan kepada Kudin nanti jika Kudin bertanyakan hal Senah. Sudah semestinya Kudin akan mengesyakinya sebagai seorang pegawai polis.
"Perlu ke aku berterus terang dengan Kudin" Ana Dahlia mula merasa serba salah. Dia jeling jam. Sudah hampir satu tengahari. Dia mula mengemas dan keluar bersama teman sekerja untuk makan tengahari.
TEPAT jam dua petang, Ana Dahlia sudah berada di bilik soal siasat. Dia masih gementar bila mengingatkan semula yang dia akan dinilai oelh pegawai hebat dari Bukit Aman. Lama dia membelek fail di situ. Sesekali dia lihat jam di dinding. Jam tiga petang nanti, sesi soalsiasat akan bermula. Dia kembali menatap maklumat di dalam fail itu.
"Assalamualaikum!"
Ana Dahlia mendongak dan menoleh ke arah pintu bilik. Seorang pegawai polis lelaki yang segak dan berbadan tegap sedang tersenyum di muka pintu. Dia terpempan seketika. Lelaki itulah yang pernah dilihatnya dulu semasa majlis keraian pegawai bersara dan ketika itulah dia mula merasa tidak keruan. Mungkin itu Detektif Jailani Kamaruddin yang dimaksudkan oleh Detektif Razif tadi. Dia cepat-cepat bangun dan membuat tabik hormat.
"Awak belum lagi jawab salam saya." Senyuman Detektif Jailani semakin lebar melihat gadis di depannya sudah pucat dan menggelabah.
"Err..maaf. Wa'alaikumussalam tuan!" Sekali lagi Ana Dahlia membuat tabik hormat. Dalam hatinya saat ini, terasa berdebar-debar.
"Hmm..dah sedia semua maklumat untuk soal siasat" Detektif Jailani masih senyum sambil melihat reaksi Ana Dahlia yang mula membelek fail.
"Sudah tuan!"
"Bagus. Saya difahamkan jam tiga nanti akan bermula soal siasat tu kan" Detektif Jailani mula melabuhkan punggung di kerusi.
"Ya tuan!" Ana Dahlia masih berdiri tercegat di situ.
"Bagus!"
Mereka berdua mula keluar dari bilik soal siasat dan berbincang di luar bilik itu yang hanya dilengkapi dengan sebuah meja dan beberapa kerusi.
"Maaf Puan! Cik Tengku Natasha binti Tengku Muzafar sudah sampai. Dia sekarang berada di bilik soal siasat puan!" Seorang pegawai polis lain memberi fail kepada Ana Dahlia.
"Baik, terima kasih." Ana Dahlia menyambut fail tadi.
Dia dan Detektif Jailani mula melangkah masuk ke dalam bilik soal siasat. Kelihatan Kusha sudah duduk di kerusi yang disediakan di situ. Dengan gaya tersendiri, Kusha dilihat memerhati keadaan sekitar bilik itu dengan riak mencebik.
"Awak Tengku Natasha binti Tengku Muzafar" Ana Dahlia pandang Kusha yang berlagak di depannya. Kaca mata hitam dibuka dan ditolak ke atas kepala.
"Kau" Kusha tidak menjawab soalan Ana Dahlia sebaliknya dia pula mengaju soalan terkejutnya itu.
"Awak belum menjawab soalan saya. Awak Tengku Natasha binti Tengku Muzafar" Ana Dahlia pandang Kusha tidak berkelip. Dia cuba menahan rasa geram dengan sikap Kusha.
"Ya! Itu nama aku! Oh, jadi selama ni kau menyamar la ya" Selamba Kusha menyoal Ana Dahlia. Langsung dia tidak hiraukan Detektif Jailani yang hanya memerhati dari tadi. Ana Dahlia pula dilihat sudah kemerahan mukanya.
"Sudah berapa lama awak bekerja di TM Holdings" Ana Dahlia beralih kepada soalan seterusnya. Kata-kata Kusha tadi tidak diendahkan.
"Lama." Kusha menjawab acuh tak acuh.
"Berapa lama" Sekali lagi Ana Dahlia bertanya. Geramnya semakin tinggi. Eii!Aku tonyoh karang muka kau tu!
"Hampir lima tahun."
"Okey, selama lima tahun tu, ada awak kenal sesiapa yang ingin menjatuhkan Tengku Muzafar" Ana Dahlia semakin tegas nadanya.
"Tak ada tapi saya rasa macam ada pakatan untuk merampas harta ayah saya. Kudin tu! Tiba-tiba muncul, nak apa lagi Jelas nak harta kan" Kusha mencebik.
"Boleh terangkan pakatan yang macam mana" Ana Dahlia merenung tajam Kusha yang mula bersandar di kerusi. Kaki disilangkan.
"Pakatan! Macam komplot! Aku rasa Kudin dan Kuyah yang jadi kepala untuk semua ni. Tiba-tiba saja muncul dalam syarikat." Kusha mengetap bibir.
"Awak ada bukti" Ana Dahlia letak kedua tapak tangannya di atas meja. Dia memandang tepat ke arah Kusha. Sesekali dia mendongak melihat Detektif Jailani yang berdiri di tepi dinding masih memerhatinya dari tadi. Tiada sebarang komen.
"Kau nak bukti apa lagi Sudah jelaskan mereka tu nak bolot harta. Aku tahulah ada wasiat tu..tapi agenda sebenar mereka tu nak bolot dan rampas semua harta tu!" Kusha pertahankan tuduhannya.
"Tuduhan tanpa sebarang hitam putih tidak boleh diterimapakai untuk dijadikan bukti bahawa seseorang itu bersalah. Baiklah, saya rasa awak juga mempunyai motif yang kuat untuk membolot harta arwah dan awak merancang sesuatu dengan harapan rancangan awak itu berjaya dan harta itu jatuh ke tangan awak seorang dan juga mungkin kepada ibu awak tapi sayang, Tengku Muzafar terlebih dahulu membuat wasiat, betul" Mata Ana Dahlia masih mengarah kepada wajah Kusha yang sudah kemerahan.
"Jadi kau tuduh aku bunuh ayah aku" Kusha mengetap bibir.
"Kami ada bukti yang boleh membabitkan awak terlibat dalam hal ini. Tiga bulan sebelum Tengku Muzafar meninggal, awak telah mengarahkan dua orang pekerja awak diberhentikan kerja, betul"
"Err...ya..ya betul tapi itu proses biasa jika syarikat tidak berpuas hati dengan kerja mereka. Itu polisi syarikat." Kusha mula mengelabah.
"Tapi dari siasatan kami, dua orang pekerja yang diberhentikan kerja itu sebenarnya tidak berhenti tetapi telah menghilangkan diri.
Menurut rekod kerja mereka, mereka tidak ada sebarang kesalahan dalam melakukan kerja yang diamanahkan dan tidak pernah ada rekod yang mereka diberhentikan." Ana Dahlia hulur sekeping kertas yang mengandungi maklumat kedua gadds yang hilang itu.
Kusha terdiam seketika setelah melihat maklumat tentang kedua pekerjanya yang hilang dulu. "Saya tak kenal siapa mereka."
"Oh ya Dengar ni." Sebuah alat rakaman diputarkan semula. Segala perbualan Kusha dengan seorang perempuan lain dirakam.
Kusha menelan liur.
"Dari rakaman tadi, jelas awak mengarahkan seseorang untuk mencari mayat yang dicampak ke dalam kolam kumbahan di Kampung PInang Patah dan awak telah mengupah orang untuk membuang mayat di kampung itu dan didapati mayat itu sudah hilang." Terang Ana Dahlia. Dia jeling Detektif Jailani yang masih diam mendengar sesi soal siasat berlangsung.
"Mungkin itu satu perangkap. Suara dalam tape tu, bukan milik aku. It sounds like me but not me!" Kusha membentak dan cuba mengelak.
"Awak jangan nak membantah.Itu suara asli awak! Rakaman tu dibuat di bilik awak sendiri." Ana Dahlia meninggikan suara. Kata-kata Kusha sudah dirasakan seperti mahu mengelak dan menidakkan semua itu. Looks like me but not me. Klise!
"Awak ada rancangan yang cukup teliti untuk membunuh kedua gadis itu yang sudah tahu tentang rahsia awak tentang pembunuhan terancang Tengku Muzafar, betul" Tegas Ana Dahlia menyoal balas.
"Aku tak tahu tentang itu. Kehilangan dia orang tak ada kena mengena dengan aku. Kau jangan nak tuduh tanpa bukti!" Kusha turut menyinga.
"Mayat di kampung Pinang Patah tu, macam mana awak tahu mayat tu dicampak di situ"
Kusha diam. Dia kehilangan kata-kata.
"Jadi, awak adalah salah seorang yang merancang semua tu. Jadi, awak hantar orang ke situ untuk menghapuskan mayat itu bukan"
"Aku tak hantar sesiapa! Buat apa aku nak buat semua tu Buang masa!" Kusha mula berdalih.
"Baiklah!" Ana Dahlia beri isyarat pada seseorang di luar bilik melalui cermin.
Seketika kemudian, muncul Zarina di bilik itu. Terbeliak Kusha melihat Zarina turut dipanggil untuk soal siasat.
"Awak kenal siapa dia" Ana Dahlia tanya pula pada Zarina.
"Ya saya kenal." Zarina angguk.
"Boleh awak beritahu saya, siapa nama penuh dia" Soal Ana Dahlia lagi.
"Dia Tengku Natasha binti Tengku Muzafar."
"Boleh jelaskan, macam mana awak kenal dia" Mata Zarina dipandang tak berkelip. Muka Zarina sudah pucat.
"Dia upah saya untuk mencari mayat di kampung Pinang Patah dan hapuskan bukti." Zarina menjawab tergagap-gagap.
Kusha menjeling tajam ke arah Zarina. Celaka kau Zarina!!
"Macam mana dia tahu mayat itu berada di situ"
"Dia yang mengarahkan orang menghapuskan mayat itu di kampung itu." Zarina tunduk. Kusha sudah melihatnya bagai nak telan.
"Siapa orang yang diupah itu" Soal Ana Dahlia lagi.
"Dua orang lelaki."
"Siapa nama mereka" Ana Dahlia semakin rapat dengan Zarina yang sudah semakin tunduk.
Zarina sudah berpeluh. Sesekali dia jeling Kusha yang mula memberi isyarat kepadanya supaya tidak membongkar rahsia itu.
Siapa nama mereka" Jerit Ana Dahlia. Dia menepuk meja dengan kuat.
Terperanjat Zarina yang sudah berpeluh tadi mendengar suara kuat polis wanita itu. " Tam dan Sam!"
"Nama penuh" Jerkah Ana Dahlia.
Detektif Jailani berdehem kecil. Dia pandang Ana Dahlia yang sudah kelihatan menahan marah. Ana Dahlia kembali reda.
"Siapa nama penuh mereka" Kali ini nada suara Ana Dahlia sudah berubah. Agak mendatar.
"Somtam dan Samdol.." Zarina tunduk. Terketar-ketar dia menjawab.
"Awak jangan nak buat lawak bodoh di sini!! Cakap cepat!!" Jerit Ana Dahlia lagi. Sekali lagi Detektif Jailani memberi amaran pada Ana Dahlia supaya berlembut dengan saspek.
"Saya berkata benar. Nama mereka memang Somtam dan Samdol!" Zarina mengangkat muka. Pucat mukanya bila disergah kuat tadi.
"Baiklah. Kami akan dapatkan maklumat lanjut selepas ini." Ana Dahlia mula reda.
"Itu saja untuk hari ini. Awak berdua tidak boleh ke luar negara selagi kes ini belum selesai. Awak adalah saspek dalam kes ini. Jika awak beri keterangan palsu, awak berdua akan didakwa kerana memberi maklumat palsu. Segala keterangan awak akan dicatat dan direkodkan." Ana Dahlia mula menerangkan prosedur soal siasat.
"Nanti! Aku akan dedahkan siapa sebenarnya yang telah membunuh kedua pekerja yang hilang itu!" Kusha bingkas bangun.
Masing-masing memandang ke arah Kusha yang sudah kelihatan serius.
KUSHA menghela nafas seketika. Dia pandang pada semua yang ada di situ. Matanya jatuh pada Ana Dahlia yang masih merenung tajam ke arahnya. Dia kemudian tersenyum. Nafas dihela lagi.
"Kedua gadis itu sebenarnya sudah mengetahui rahsia syarikat. Ada seseorang yang telah menyeleweng duit syarikat. Masa tu aku dan arwah ayah diberitahu oleh kedua gadis itu. Kami berempat cuba menyiasat dalam diam. Memang benar dakwaan kedua gadis itu. Sebanyak setengah juta duit syarikat dipindahkan ke akaun lain yang dibuka di luar negara atas nama syarikat lain yang tidak berurusan dengan TM Holdings. Bila arwah ayah dapat tahu siapa yang buat pemindahan itu, tiba-tiba ayah jatuh sakit. Sakitnya seperti orang yang terkena sihir. Seminggu sebelum kematian ayah aku, kedua gadis itu didapati hilang dan dipercayai dibunuh kerana cuba mendedahkan rahsia itu kepada pihak atasan dan juga kepada ayah aku yang sedang tenat." Luah Kusha dengan perasaan sebak.
"Boleh beritahu nama kedua gadis yang hilang itu" Ana Dahlia kemudian menyambung soalan.
"Hanim dan Suzy." Kusha pandang Ana Dahlia, kemudian beralih pada Zarina.
"Apa nama syarikat yang terima pemindahan duit tu" Kali ini Detektif Jailani pula mencelah.
"Syarikat HR." Kusha menjawab ringkas.
"Ada bukti" Ana Dahlia pula menyampuk.
"Ada tapi sayang semua tu sudah dicuri dari bahagian kewangan."
"Kalau awak tahu siapa yang membunuh kedua gadis itu, kenapa awak nak mayat mereka dihapuskan" Detektif Jailani merenung tajam Kusha.
"Sebab aku dengar mayat itu sengaja dicampakkan di kampung itu untuk dijadikan bahan pujaan." Terang Kusha.
"Awak dengar dari mana" Ana Dahlia pula bertanya.
"Dari perbualan seseorang. Cik Hetty yang berbual di talian telefon. Jadi, aku mengarahkan Zarina untuk mencari mayat itu dan hapuskan." Kusha pandang Zarina yang sudah tercengang mendengar ceritanya.
"Jadi awak syak Hetty yang menjadi pembunuh" Detektif Jailani berkata dengan tegas.
"Ya kerana dia mempunyai motif yang kuat dan kami syak dia juga yang menyeleweng duit syarikat." Kusha menelan liur bila Detektif Jailani memandang garang ke arahnya.
"Awak ada bukti" Giliran Ana Dahlia pula menyoal.
Kusha diam. Bukti yang ada dulu sudah hilang dan dicuri.
"Saya rasa awak juga ada motif untuk mengaut duit syarikat bila awak tahu arwah mempunyai dua orang lagi anak, bukan" Ana Dahlia mundar mandir di depan Kusha semula.
"Memang aku nak bahagian aku pada mulanya tapi arwah sudah siap dengan semua wasiat dan aku tak boleh buat apa-apa." Kusha tunduk.
"Jadi awak ada niat nak bunuh Tengku Muzafar"
"Itu ayah aku! Tak tergamak aku nak bunuh ayah sendiri! Apa kau tak ada bapak ke" Kusha sudah menyinga pada Ana Dahlia.
Ana Dahlia menggenggam tangan. Rasa nak lempang saja muka lawa Kusha.
"Kenapa awak rasa Tengku Muzafar mati disihir" Ana Dahlia pula menyoal balas.
"Kerana dia sakit pelik. Doktor pun tidak dapat mengenal pasti punca kematian arwah. Dia lumpuh dan muntah teruk. Kami ada juga panggil ustaz, menurut ustaz arwah kemungkinan disantau dan disihir sehingga mati." Kusha mula perlahankan suara. Ada nada sebak.
"Itu tidak boleh dijadikan bukti kes. Ada sebab lain" Detektif Jailani menambah.
"Saya dengar perbualan Hetty yang menyatakan dia mengarahkan seseorang untuk menghantar sihir kepada arwah. Dia sebut nama kampung Pinang Patah. Sebab itulah selepas kematian ayah, saya syak kemungkinan gadis yang hilang dan dibunuh itu, mayat mereka dicampak di situ. Mungkin untuk habuan bomoh di kampung tu." Terang Kusha lagi.
"Jadi awak syak kedua gadis itu dibunuh untuk menghapuskan bukti penyelewengan duit dan kematian Tengku Muzafar" Detektif Jailani yang dari tadi berdiri agak jauh dari Kusha, mula mendekati gadis itu yang sememangnya celupar bila menjawab.
"Ya!" Kusha jeling lelaki yang agak putih kulitnya itu berdiri di depannya dengan riak menahan marah.
"Baiklah. Terima kasih atas kerjasama yang diberikan." Detektif Jailani mengakhiri sesi soal siasat pada petang itu.
Kusha dan Zarina dibenarkan keluar dari bilik itu. Ana Dahlia hanya memerhati Kusha dan Zarina melangkah keluar dari bilik soal siasat itu. Dia pandang pula ke arah Detektif Jailani yang masih membelek dan menulis sesuatu di atas kertas.
"Tuan, saya rasa Kusha menipu tadi." Ana Dahlia melabuhkan punggung di kerusi.
"Kusha" Detektif Jailani mendongak.
"Oh maaf tuan. Saya sudah terbiasa memanggilnya Kusha. Masa penyamaran saya di TM Hodings dulu, dia dikenali dengan nama Kusha." Ana Dahlia sengih.
"Hmm..kita belum tahu lagi selagi belum menyoal Cik Hetty yang dimaksudkan oleh Tengku Natasha tadi. Kita selesaikan dulu soalsiasat ni dan kemudian kita akan berbincang berdasarkan bukti yang kita ada. Saya pasti, bukti kukuh yang kita ada ni, kita boleh selesaikan kes ni dengan cepat." Detektif Jailani tersenyum.
Ana Dahlia mengangguk. Dia terpana melihat wajah kacak lelaki itu. Sejak pertama kali bertemu dulu, jantungnya sentiasa berdegup laju setiap kali memandang wajah itu. Dia cepat-cepat alihkan matanya bila melihat Detektif Jailani mula memandang ke arahnya.
Fail ni perlu dikemaskini secepat mungkin. Detektif Jailani menghulurkan fail tadi kepada Ana Dahlia.
Ana Dahlia mengangguk sambil mencapai fail yang dihulur tadi. Mereka berdua mula bersurai.