Aku, geologis dari Malaysia, bernama Razali, sudah lama terpilih untuk menyertai kembara ke Marikh ini. Sebaik sahaja kapal angkasa kami mendarat, kami binakan sebuah kubah yang cukup gargantua untuk melindungi kami dari cuaca Marikh yang agak teruk. Debu merah yang dibawa angin, langit tak berawan, risiko sinaran radioaktif yang begitu teruk dan pelbagai lagi musibah yang dijangka harus dikekang dengan kubah tersebut.
Pembinaan kubah dibuat selari dengan pembinaan mesin pengimbangan ekologi yang mereka ini panggil GOD (Tuhan). Majoriti ahli komuniti ini tidak menghormati agama dan menggunakan gelaran Tuhan itu pada mesin yang membentuk atmosfera bumi yang artifisial sifatnya di dalam kubah ini. Selaku satu-satunya Muslim dalam komuniti ini, aku hanya berdiam diri dan meminta mereka agar menghormati kepercayaanku. Mereka tidak kisah juga, kerana mereka tidak merasakan ia satu masalah pada mereka.
Sekurang-kurangnya aku bebas untuk melakukan ibadah pada bila-bila masa yang perlu.
Untuk memudahkan logistik, syarikat Kapstula Corps telah dilantik untuk membina penempatan kecil yang terdiri daripada rumah-rumah kapsul yang boleh memuatkan dua orang dewasa dalam waktu yang sama. Rekabentuknya diadaptasi dari syarikat EcoCapsule yang bertempat di Eropah pada satu ketika dahulu. Ia ringkas, dan mencakupi keperluan seorang manusia secara asasnya. Maka dengan itu, 50 orang penghuni komuniti dibahagikan kepada 25 buah rumah dengan lebihan 5 buah rumah tambahan untuk keskes istimewa seperti kelahiran orang baru.
Empat buah makmal kajian yang terletak berdekatan dengan GOD telah didirikan untuk meneruskan kajian-kajian yang akan meningkatkan kelangsungan hidup kami di Marikh ini. Untuk tujuan itu, kami sentiasa diletak dalam rangkaian ekspedisi-ekspedisi ke beberapa destinasi yang agak sukar.
Aku rasa kawah Gale ini taklah sesukar mana, tetapi itulah takdir. Aku ditakdirkan untuk jatuh ke bawah lembah dek kerana serangan ribut pasir yang tak terjangka. Aku harap pasukanku itu masih berada pada landasan yang tepat.
Andaikata angkasawan yang tergantung pada tebing itu Robert, aku tak dapat nak bayangkan kesedihan yang akan menyelubungi ahli-ahli keluarganya. Dia merupakan seorang lelaki Eropah dalam usia 45 tahun, dengan anak tunggalnya, seorang gadis berusia 14 tahun. Bagaimana reaksi anaknya itu nanti apabila jasad Robert yang sudah tidak bernyawa itu dibawa ke hadapannya nanti Julie takkan menangis. Aku tak tahu bagaimana Robert mendidiknya begitu. Katanya, ketika keluarga mereka terlibat dalam kemalangan lima tahun lalu, Julie telah hilang upaya untuk beremosi. Wajahnya kaku, matanya tak bercahaya. Dia berbicara tetapi datar nadanya. Tak pernah menangis, apatah lagi ketawa.
Julie, Papa dah tiada
Dia akan mengangguk, tanpa sebarang emosi. Aku percaya dia takkan menangis langsung.
Bagaimana pula dengan Sumiryati Wanita yang merupakan warga Amerika-Indonesia itu pula punya ahli keluarga yang terdiri dari seorang suami dalam usia 36 tahun dan juga anak lelaki dalam usia 13 tahun. Sumiryati dan suaminya merupakan ahli sains yang ditugaskan untuk menukarkan keadaan Marikh agar sesuai didiami oleh manusia. Satu proses yang dinamakan terraform. Ah, lupakan perihal terraform itu. Aku lebih risau akan reaksi ahli-ahli keluarganya nanti, tatkala dikhabarkan orang yang mereka sayangi, yakni, Sumiryati, telah meninggal dunia dek kerana kejamnya ribut pasir Marikh.
Tidak, aku sebenarnya tak risau. Aku memang berminat mahu tahu mereka ini secara insaniah. Aku mahu tahu bagaimana emosi itu tercerna di kalangan orang-orang yang menghadam sains selaku gaya hidup mereka. Apa yang aku nampak adalah, keghairahan mereka pada ilmu telah membuatkan sifat manusia mereka seolah terhakis. Hidup yang didedikasikan pada sains dan logik seharusnya tidak menghakis rasa kemanusiaan itu.
Apa pula ceritanya sekiranya yang tergantung di lembah itu adalah Luke Luke berlainan dari orang lain. Seorang genius dan seorang gila pada masa yang sama. Tiada siapa mengerti bagaimana dia boleh menyertai rombongan ke angkasa ini. Dia umpama angsa hitam di kalangan sekawan angsa putih. Atau boleh dikatakan dia benci akan komuniti ini secara keseluruhannya. Apa yang nyata adalah dia seorang pengkaji yang suka membuat kerjanya keseorangan.
Bagaimana pula dia boleh menyertai kami Aku sendiri sudah lupa. Namun peranan Luke agak penting juga, kerana atas jasa dialah sistem pengimbang ekologi dengan momokan nama GOD itu dapat berfungsi dengan baik. Jika betul-betul bencikan kami, pastinya dia akan racuni kami dengan menyediakan atmosfera yang tak sesuai didiami oleh manusia. Oh aku lupa. Dia juga manusia. Walau setinggi manapun kebenciannya pada manusia, dia takkan tergamak membunuh dirinya sendiri.
Apa yang aku tahu, Luke benci akan Julie dan juga Roland. Dua orang budak itu baginya beban kepada komuniti kerana tidak dapat menyumbang apa-apa kepada kajian kami. Dia terang-terangan meluahkan ketidakpuashatiannya pada pemilihan dua orang budak itu ke dalam komuniti ini. Katanya, kelompok kami ini masih dikira sedikit, dan terlalu ramai golongan yang jauh lebih layak untuk mendiami kubah ini di bumi. Eksplorasi ini terlalu terhad kapasitinya sedangkan tugas kami masing-masing seolah tugasan Tuhan. Kami harus menukar sesuatu yang mati kepada sesuatu yang hidup.
Marikh ini mati. Dan kami sedang berjuang untuk menjadikannya satu tempat yang penuh kehidupan.
Pandangannya pada kehidupan memang teruk. Dia melihat manusia ini dari sudut praktikal semata-mata, tanpa melihat dari sudut manusiawi. Kami hanya objek, ataupun alat untuk melaksanakan sesuatu misi tertentu. Tanpa fungsi, kami tak layak hidup. Itulah pandangan Luke yang cukup menjengkelkan aku.
Jika benarlah tubuh itu milik Luke, aku tak keberatan serasanya untuk membiarkannya hancur dijamah atmosfera Marikh yang kejam. Bila difikir lebih lanjut, betapa aku melihatnya selaku satu ironi.
Seorang Luke yang dikatakan penaung kepada kehidupan kami di permukaan Marikh kini terpaksa bergantung pada kami untuk diselamatkan. Atau dalam erti kata lain, Luke kini beban kepada kami.
Namun begitu, kami tidak memegang pada prinsip tidak berperikemanusiaan itu. Tiada sesiapa pun dibiarkan mati begitu sahaja di muka Marikh ini. Setiap seorang yang rebah patut diselamatkan walau dengan apa cara sekalipun. Adakah semudah itu Aku dapat merasakan tempoh-tempoh yang mendatang telah mengajar kami akan bagaimana semangat kekitaan itu wajar dimansuhkan untuk kesinambungan hidup kami di Marikh. Kami punya sumber yang terhad. Kami harus menjana sumber makanan kami, sumber tenaga kami, sumber air dan banyak lagi dari suasana di Marikh yang begitu ganas. Marikh seolah menganggap kami umpama bakteria yang harus dihapuskan dengan kadar segera. Alamnya langsung tak mesra dan ia juga telah dijangka lama dalam perkiraan kami.
Huh, sut angkasawan ini cukup membantu. Tidak seperti dahulu, sut angkasawan cukup menyukarkan pergerakan. Alat bantuan hidup yang diusung ke sana ke mari, cukup berat dan menyusahkan. Itu belum lagi bila tiba masa nak duduk. Berat benar usahanya. Aku harus berterima kasih kerana manusia seringkali memikir kaedah untuk lebih memudahkan pergerakan angkasawan. Kami tidak boleh membawa alat bantuan hidup yang begitu berat sekiranya kami mahu bergerak di permukaan yang berliku seperti ini.Tambahan pula aku terjatuh ke dalam gaung yang agak dalam.
Lurah apakah ini Kenapa aku boleh terlupa Selaku sebuah kawasan yang sudah diterokai sejak berzaman lagi dengan menggunakan robot kawalan jauh, sepatutnya pembentukan lurah ini sudah dikenal pasti lebih awal. Ia tidak patut berada dalam laluan koordinat kami yang sedang bergerak dalam ribut pasir yang lebat.
Tak mungkin ia terbentuk dek kerana ribut pasir yang lebat. Tiada plat tektonik di atas Marikh. Ia planet mati. Ia sudah melengkapi usianya. Aku bayangkan bumi juga akan mengalami metamorfosis yang sama, tetapi bilakah masanya ia akan mati seperti Marikh Manusia mungkin telah mempercepatkan prosesnya.
Lupakan semua itu dulu.
Seandainya angkasawan yang tergantung itu adalah Simon, bagaimana pula Apabila difikir-fikir, aku mendapati, aku tak kenal langsung lelaki bernama Simon ini. Kami belum pernah lagi berinteraksi secara peribadi. Kami tak berbual, bahkan aku baru menyedari aku hanya tahu Simon dari senarai nama ahli-ahli ekspedisi ini yang diberikan kepadaku dalam masa sehari sebelum kami bertolak.
Aku pula jenis yang malas bertanyakan lebih kepada orangorang di sekeliling. Aku tak minat nak tahu perihal orangorang lain. Aku hanya tahu tugasanku, dan selebihnya aku dedikasikan pada minatku pada sains. Ya, aku sama sahaja seperti mereka yang lain. Duduk dalam komuniti ini membuatkan hati kami kering. Sekering permukaan Marikh itu sendiri.
Simon oh Simon. Siapakah gerangannya engkau ini
Aku meneruskan pendakian. Ia payah dan darjah penglihatan hampir-hampir sifar. Apa yang aku lihat hanyalah paparan permukaan yang telah direncanakan dalam bentuk garisgaris dan juga nombor. Aku nampak teskturnya. Aku nampak mana bonjolan-bonjolan yang hendak dipegang dan dipijak. Aku nampak akan jarak yang harus ditempuhi sebelum aku tiba di puncak. Secara matematiknya, aku jana keyakinan bahawasanya aku akan tiba di puncak dan peluang untuk mendapatkan bantuan amat besar.
Batu-batu kerikil berguguran. Kadar jatuhan juga luarbiasa tingkatnya, seolah-olah ada sesuatu yang merempuh batubatu tersebut dari atas. Aku dongak, dan aku dapat lihat sekujur objek melayang pada grid garisan yang digunakan untuk membentuk permukaan tebing pada lensa penglihatan ini. Ia melayang pantas. Aku tak sempat mengelak.
Aku dirempuh, dan seraya itulah aku mula jatuh ke bawah untuk sekali lagi. Apa yang mengejutkan aku adalah, objek yang jatuh itu tidak lain dan tidak bukan, melainkan salah seorang daripada rakan-rakan ekspedisi aku tadi. Degup jantung terasa kencang apabila mendapati kaca mampat yang melindungi wajahnya tiada. Wajahnya separa rentung dijamah radiasi dan biarpun begitu aku masih dapat kenal pasti identitinya.
Sumiryati. Dia sudah terkorban.
Aku melaraskan mekanisme anti graviti untuk mengurangkan kadar jatuhan. Dengan sedaya upaya aku cuba sambar tubuh Sumiryati tetapi ia sukar. Sebaik sahaja aku merengut jasadnya itu, aku dapati mekanisme anti graviti mula tidak berfungsi. Untuk mengelakkan kerosakan lebih besar, aku lepaskan tanganku dari terus mencengkam tubuh Sumiryati. Aku perlahan-lahan jatuh melayang ke bawah.
Namun begitu, tubuh Sumiryati meluru pantas ke bawah dan ia hilang terus ditelan kabut debu merah yang seolah tak berdasar.
Harapan mula pudar dalam jiwa. Jika inilah takdirku maka aku relakan sahaja. Mendakap ajal mungkin jawapannya. Aku pejamkan mata dan tawakal. Aku sudah berusaha sedaya upayaku. Bekalan oksigen sudah banyak berkurangan. Aku akan mati. Aku tahu.