KARKUMA - 16
DALAM pada itu Jameng dan pengikutnya semakin gagah menyusun persiapan dan semakin ghairah hendak menyerang orang Nabui Arshi. Lagi pula jongosjongor bala tentera jin diraja, akan turut serta mengiringi mereka. Kini Jameng hanya menunggu kepulangan Maharaja Sultan Lembayung untuk mendapatkan restu.

Dendam Jameng membara sejak dia sendiri di malukan oleh Khaufli, yang masih hingusan di hadapan pengikutnya dua tahun lalu.

Tidak tahan Jameng menunggu kepulangan maharaja, lantas dia memutuskan untuk memulakan serangan hendap sebelum mencetuskan peperangan terbuka. Yang pasti Madrasah Pagai adalah sasaran pertamanya.

Malam itu, selepas selesai bersembahyang di madrasah, Karkuma, Khaufli dan Teggal pergi menziarah kubur Bini. Manakala orang kuatnya yang lain seperti Hakap, Balungga, Jianok dan Saldi masih di madrasah bersama beberapa orang sahabat yang baharu memeluk agama Arshi.

Setelah membaca sedikit mentera di pusara Tuk Pagai dan Nenek Mandeh, Khaufli bertafakur di pusara Bini.

Tidak semena-mena dia terdengar suara ghaib seakan-akan suara Bini:

Di mana engkau, tatkala daku berduka nestapa sendirian

Khaufli menoleh ke kiri, kanan dan belakang tetapi tidak nampak sesiapa pun kecuali yang bersamanya tadi. Dia pun meneruskan bacaan mentera di pusara Bini. Sekali lagi dia terhenti apabila suara Bini terdengar lagi, kali ini suara itu mendekati belakangnya.

Mengapa daku dibiar mati. Udah hilangkah kasih engkau pada ku

Dengan pantasnya Khaufli pandang ke belakang, tetapi Bini tiada. Kemudian pandang depan semula. Alangkah terkejutnya dia. Seluruh bulu romanya tegak berdiri. Seluruh darah di dalam segenap tubuhnya berderau. Bini terpacak berdiri di atas kubur. Matanya tajam merenung ke arah Khaufli. Bibirnya kaku, tetapi suaranya terus kedengaran.

Udah hilangkah kasih engkau pada ku Sahutlah!

Khaufli masih kaku di situ. Tidak tahu apa dirasakan, takut atau hairan. Adakah makhluk yang dilihat itu hantu Bini yang menjelma Atau adakah kerana rindunya kepada Bini terlalu membara, sehingga bayang-bayang Bini menghantui perasaannya, sampai dia melihat Bini wujud di depan mata

Dalam masa yang sama, Karkuma dan Teggal juga terdengar suara di sana-sini. Mereka bangun dan bergegas menuju ke madrasah sambil memanggil Khaufli, tetapi Khaufli tidak bergerak dan terkaku di pusara Bini.

Di madrasah pula, seperti susah hendak percaya, Jameng dan orang-orangnya dari kumpulan Bumi Merekah tiba-tiba datang menyerang. Saldi dan Jianok serta beberapa orang Arshi yang ada di situ pun bertarung menentang orang Jameng, tetapi mereka tumpas, terdampar di tanah.

Tinggal Balungga dan Hakap bertarung bermati-matian dengan 20 pengikut Jameng. Kain tengkolok mereka kali ini gagal menangkis libasan pedang.

Kehadiran Karkuma dan Teggal telah membantu Balungga dan Hakap. Kini mereka berempat menentang 20 pengikut Jameng, meskipun dalam keadaan lemah, mereka menangkis dengan berani libasan pedang pengikut Jameng yang menyerang bertalu-talu.

Di mana perginya Khaufli, anak muda yang diletakkan harapan tinggi bukan sahaja untuk mempertahankan orang Nabui Arshi tetapi juga agama Arshi

Tatkala Karkuma dan pengikutnya bertarung, Khaufli asyik di pusara Bini. Dia masih leka melayan hantu Bini yang menjelma, seolah-olah mengungkit dan mempersalahkan Khaufli kerana membiarkan dirinya menderita bersendirian.

Maaf akan daku, Bini, Khaufli meratap di pusara. Dia sedikit pun tidak memandang atau mempedulikan hantu Bini yang tercegat berdiri di depannya.

Mengapa daku dibiarkan mati Udah hilangkah kasih engkau pada ku Hantu Bini bertanya dan tidak bergerak-gerak, sekadar berdiri tegak di hadapan Khaufli. Begitupun, Khaufli mendapat alamat melalui firasatnya bahawa itu bukan Bini.

Khaufli teringat kata-kata Puteri Dewi Manggis yang sering mengunakan perkataan engkau setiap kali berbicara dengannya. Ini membuatkan Khaufli mengesyaki bahawa Puteri Dewi Manggis sedang melontarkan sihir hitam padanya. Cekap dan pantas anak muda itu berfikir.

Tengok telak pada mataku, katakanlah bahawa kasih engkau hanya padaku! Suara hantu Bini yang semakin meninggi, seakan suara kemarahan kerana Khaufli seperti tidak mempedulikannya. Hantu Bini kemudian cuba merapati Khaufli. Dan terus Khaufli tepis dengan satu pekikan. Idak! Kasih ku idak pada engkau!

Sementara itu, di bilik peraduan Puteri Dewi Manggis di Istana Bijinga, puteri itu sedang kepanasan di dalam suasana bilik yang dingin. Dia berlegar-legar di sekeliling bilik tidurnya, tidak tentu hala. Ketika menatap cermin, dia terus menjerit melolong memandang dirinya di cermin itu. Dirinya berawajahkan Bini. Sekali lagi dia menjerit-jerit ketakutan.

Ditanggal seluruh pakaian dari tubuhnya satu persatu hingga bertelanjang bulat. Sekali lagi Puteri Dewi Manggis menuju ke cermin, untuk melihat wajahnya. Dia masih nampak wajah Bini pada wajahnya. Ketakutan makin merajai dirinya. Dicarik-carik rambutnya yang panjang mengurai.

Kedua payudaranya diramas-ramas dengan ganas, seumpama membenci dirinya sendiri. Kemudiannya, dia ketawa mengilai-ilai. Tidak lama lepas itu, dia menagis pula sambil mencungkil-cungkil dadanya seperti hendak dikeluarkan hatinya dari dalam dada. Gelagatnya sangat menyeramkan. Mujur datang dua orang dayang istana masuk ke bilik itu, secepatnya membantu menenangkan Puteri Dewi Manggis.

Kasihku hanya kepada Dianya, idak kepada engkau! Sebaik sahaja Khaufli mengucapkan perkataan itu tadi, dengan tidak semena-mena hantu Bini di hadapannya rebah dan mereput bagai bangkai yang sudah terbiar sekian lama.

Betullah kata firasat Khaufli, iaitu sekiranya dia mengiyakan menyintai hantu Bini, bererti dia mengakui yang dia cintakan Puteri Dewi Manggis bukannya Bini, kerana hantu Bini itu ialah jelmaan Puteri Dewi Manggis. Ini bermakna Khaufli nyaris-nyaris terperangkap dengan sihir Puteri Dewi Manggis.

Khaufli kemudian bergegas menuju ke Madrasah Pagai setelah fikirannya bebas dari pengaruh sihir hitam itu.

Di madrasah, kelihatan Karkuma, Teggal, Hakap dan Balungga hampir ditimpa kecelakaan yang parah, diguris pedang yang berterbangan menyerang.

Jameng dan orang-orangnya seakan-akan tidak diperlukan. Mereka hanya bertenggek di atas kuda memerhatikan sahaja, sedang pedang-pedang mereka menyusun pencak menyerang Karkuma serta orang-orangnya yang hanya tinggal berempat.

Terkejut melihat keadaan yang mencemaskan, Khaufli seperti lipas kudung berdesup menyerang Jameng dari belakang.

Cis! Si kawak Jameng, jahanam! Khaufli menjerit dan menyerang dengan tangkas sekali. Tangannya yang tangkas terus menyambar pedang Jameng.

Khaufli berdiri di tengah-tengah. Ditangkisnya pedang-pedang orang Jameng yang bertubi-tubi menyerang. Kain tengkolok Karkuma, Teggal, Balungga dan Hakap tidak boleh digunakan lagi kerana yang tinggal di dalam genggaman mereka hanyalah cebisan setelah dirobek pedang orang-orang Jameng.

Mujurlah Khaufli datang tepat pada waktunya. Dia menangkis pedang-pedang yang bertalu-talu menyerangnya, hanya dengan pedang Jameng yang berada di tangannya.

Khaufli kelihatan begitu segak dan gagah mengerjakan kesemua 20 bilah pedang orang-orang Jameng, satu persatu melambung tinggi di awangan dan kemudian berpatah balik menyerang tuannya. Dan, ini membuatkan 20 pengikut Jameng jatuh dari atas kuda kerana diserang oleh pedang-pedang mereka sendiri.

Sebahagian dari pengikutnya mati serta-merta ditusuk pedang sendiri. Kebanyakannya cedera teruk-seteruknya, seperti lumpuh separuh tubuh. Keadaan ini membuatkan Jameng mengamuk mengarah pengikutnya yang terselamat segera berundur.

Ingat Karkuma! Daku bersumpah atas nama dewata, akan daku tagih ajal kalian! Jameng melaungkan amarannya dengan nada yang begitu ego sekali sebelum meninggalkan halaman Madrasah Pagai.

Keesokan paginya, pengikut Karkuma yang mati telah dikebumikan di Pekuburan Nabui Arshi. Dan pada hari itu juga Karkuma dan pengikutnya merancang strategi. Kebetulan 100 bilah kerisi yang sudah siap ditempa telah diagihkan kepada mereka yang pintar dan cekap berpencak.

Malamnya, mereka bersemangat berlatih hingga lewat. Sebahagian keutamaan dalam pembelajaran malam itu adalah cara-cara mengelak dan menepis serangan jin jongosjongor, pendamping orang-orang Jameng.

Silat Nabui Arshi tidak menggalakkan seseorang menjadi penyerang, sebaliknya hanya mengelak dan menepis sedayanya agar tidak berlaku pembunuhan. Jika musuh terus berkeras menyerang maka dalam keadaan tertentu, baharulah persilat menyerang balas. Langkah menyerang balas itu bermakna akan berakhir dengan kematian pihak musuh.

Karkuma dan orang-orangnya seperti sudah tahu bahawa Jameng akan menyerang mereka semula bila-bila masa sahaja.

Sebagai persiapannya, semua keris diperasap dan dijampi serapah dengan perahan kunyit hidup disapu pada setiap keris, dan setiap seorang diberi makan sehelai daun sirih jampi bercampur pinang, kapur dan gambir. Perahan kunyit hidup pada keris membolehkan tenaga keris itu untuk menumpulkan kekuasaan yang ada pada jin-jin pendamping orang-orang Jameng. Daun sireh bertujuan melemahkan jin tanah. Isi pinang menjadi gerunan jin angin. Kapur akan menyejukkan kepanasan jin api, dan gambir pula kebencian jin air.

Sebahagian orang-orang Karkuma hairan dan bertanya, bagaimana dia memperlolehi ilmu pemakanan sireh jampi itu bertujuan melemahkan kuasa jin-jin dampingan si Jameng. Tentunya Karkuma yang memiliki kelebihan berbicara dengan tumbuh-tumbuhan telah diberitahu oleh pohon itu sendiri kepada Karkuma. Gambir diperbuat daripada getah pokok gambir. Kapur diperbuat daripada batu kapur, bagaimanapun kelebihan yang ada pada kapur, diberitahu oleh pokok sireh kepada Karkuma.