TORA DATANG LAGI - 16
Gula-gula atau disebut cekelet/cekelat oleh orang utara merupakan satu dadah yang sangat berkuasa. Selain dapat menghasilkan satu ketagihan yang amat, ianya juga boleh dijadikan satu barangan upah atau rasuah yang sukar ditolak. Walaupun mudah dibeli, adalah menjadi kesukaran untuk menolak upah atau rasuah gula-gula yang kelihatan sangat menggoda apabila mahu diberi percuma.

Oleh sebab itu, semua kanak-kanak selalu ditipu dan dipergunakan orang tua hanya dengan umpanan gula-gula.

Antara gula-gula yang popular adalah:

Gula-gula ubat Bento

Sejenis gula-gula yang diperbuat dari susu dan dimasukkan perasa.

Mempunyai tekstur yang lembut selembut susu dan sangat sedap dikemam sampai cair di dalam mulut.

Datang dengan 5 perisa iaitu ros (merah dan biru), coklat (coklat dan kuning cair), kelapa (perang dan hijau), kopi (merah dah coklat) dan jagung (kuning dan perang).

Dijual pada harga 10 sen untuk 2 biji.

Lolipop Push Pop

Sejenis gula-gula di dalam bekas plastik berbentuk tiub. Dibuat dalam perisa seperti anggur (ungu), strawberi (merah), oren (jingga) dan sarsi (perang).

Mempunyai tudung penutup seperti pen yang dapat disangkutkan ke kocek.

Gula-gula di dalam silinder hendaklah ditolak dengan jari melalui lubang dari bawah silinder seperti gincu bibir. Gulagula yang tidak habis dimakan, boleh dimasukkan semula ke dalam silinder dan ditutup tudungnya untuk dijamah kemudian.

Menyangkutkan gula-gula ini pada poket merupakan suatu perbuatan yang sangat dikagumi pada ketika itu. Walau bagaimanapun ianya menjadi bencana jika terlupa dikeluarkan apabila baju dimasukkan ke dalam mesin basuh.

Dijual pada harga RM1.

Gula-gula T-Drop Trebor

Sejenis gula-gula kecil yang dikumpulkan di dalam satu bekas bulat bertudung.

Terdapat lebih kurang 20 biji gula-gula yang muat di dalam satu bekas yang terisi dengan serbuk gula halus berwarna putih.

Didatangkan dengan perisa seperti anggur (ungu), strawberi (merah), oren (jingga), laici (putih) dan campuran (warna-warni).

Dengan menggunakan jari, serbuk halus ini akan dimakan setelah kehabisan gula-gula. Tiada hal.

Dijual pada harga RM1 dan lebih sedap dimakan sejuk.

Gula-gula telur

Sejenis gula-gula yang disalut dengan tepung putih, berbentuk elips dan kelihatan menyerupai telur. Terdapat juga gula-gula telur versi warna-warni.

Mempunyai rasa yang masam pada awalan dan manis di hujung-hujung.

Dijual pada harga 20 sen sebungkus untuk 5 biji.

Gula-gula Bingo & Polo

Sejenis gula-gula susu berbentuk seperti cincin dan disusun meninggi antara 15 hingga 20 biji.

Gula-gula Bingo dibuat dalam perisa yang manis dengan warna-warni manakala Gula-gula Polo pula dibuat dalam perisa pudina dengan warna putih kesemuanya. Boleh dikemam ataupun digigit. Bunyi siulan akan dihasilkan dengan meniupkan angin pada ruang kosong di tengah-tengah gula-gula ini.

Gula-gula Bingo dijual pada harga 30 sen dan Gula-gula Polo pula pada harga 70 sen.

Gula-gula hantu

Sejenis gula-gula manis berbentuk bulat.

Didatangkan dengan perisa seperti anggur (ungu), strawberi (merah), oren (jingga), buahan (hijau) dan lemon (kuning).

Meninggalkan kesan warna pada lidah dan gigi apabila dimakan. Kanak-kanak akan menjelirkan lidah pada rakanrakan sambil membuat muka hantu untuk memeranjatkan mereka.

Dijual pada harga 20 sen untuk 5 biji.

Sejenis gula-gula di dalam bentuk biji-biji kecil berwarna-warni dan dimasukkan ke dalam tiub plastik jernih yang dijadikan tangkai bendera.

Turut serta adalah bendera Malaysia yang diperbuat dari plastik. Apabila gula-gula telah habis dimakan, bendera akan diikatkan pada basikal untuk dijadikan hiasan

dan modal berlagak.

Dijual pada harga RM1.

Gula-gula Udang

Sejenis gula-gula yang diadun bersama kacang, gula merah dan dibalut dengan pembungkus bergambar udang.

Berbentuk seperti bantal dan berwarna putih dengan belang-belang hitam.

Coklat ini juga turut dibalut dengan lapisan nipis yang akan mencair di dalam mulut. Lapisan ini diperbuat dari beras.

Gula-gula Kopiko

Sejenis gula-gula berbentuk bulat dan diperbuat dari kopi. Terdapat juga di dalam bentuk segi empat tepat.

Mempunyai rasa kopi yang real dan agak manis. Dipek di dalam pek pembungkus berwarna hitam dan dijual biji. Ianya juga turut dijual di dalam pek dan juga tin. Antara gula-gula yang popular dimakan di dalam kelas selain dari gula-gula getah.

Nano-Nano

Sejenis gula-gula berwarna kuning dan satu dua jalur berwarna oren. Berbentuk bulat menggerutu dan berasa masam-masam masin.

Dipek di dalam 1 bungkus dengan 6 hingga 7 biji diisi di dalamnya. Dijual pada harga RM1. Mempunyai lagu tema yang melekat kuat dalam fikiran dan hampir boleh dinyanyikan oleh semua orang.

Lagu temanya pernah diajuk oleh kumpulan Jozan di dalam rancangan Maharaja Lawak Mega dan diketawakan bagai nak rak walaupun sebenarnya tidak kelakar langsung.

Gula-gula cincin

Sejenis gula-gula berwarna jernih dan berbentuk menyerupai berlian. Mempunyai rasa oren kemasammasaman.

Terdapat sebiji asam ko yang dikeraskan di dalam gulagula ini.

Antara gula-gula yang menjadi kegemaran kanak-kanak perempuan. Ianya selalu disarungkan terlebih dahulu ke jari sebelum dimakan walaupun boleh sahaja dimakan tanpa disarung.

Dijual dengan harga 30 sen sebiji.

Persoalan tentang bagaimana asam ko tersebut dimasukkan ke dalam gula-gula yang keras itu terus menghantui setiap orang kanak-kanak sehingga besar.

Gula-gula Hi-Sour

Sejenis gula berbentuk bulat dan melekit.

Didatangkan dengan perisa seperti anggur (ungu), strawberi (merah), oren (jingga), buahan (hijau) dan lemon (kuning).

Mempunyai rasa masam yang melampau pada permulaannya tetapi bertukar manis selepas itu.

Dijual pada harga 10 sen sebiji.

Gula-gula pop/magik

Sejenis gula-gula di dalam bentuk serbuk dan berketulketul.

Didatangkan dengan perisa seperti anggur (ungu), strawberi (merah), oren (jingga), buahan (hijau) dan lemon (kuning).

Serbuk gula-gula ini akan meletup apabila dimasukkan ke dalam mulut atau di atas lidah. Ianya sebenarnya bertindakbalas apabila terkena air. Letupan kecil yang terhasil ini akan menggembirakan hati si pemakan di atas entah apa sebab. Gua-gula ini seringkali dilarang dimakan berikutan risau dengan tindakbalasnya yang mungkin mendatangkan kemudaratan.

Tic Tac

Sejenis gula-gula berbentuk pil kecil dan diisi ke dalam bekas plastik yang mempunyai penutup. Bekasnya yang jernih boleh memperlihatkan gula-gula di dalamnya. Didatangkan dalam perasa oren (jingga), pudina (putih), buahan (hijau) dan anggur (ungu).

Dijual pada harga RM1 sebekas menjadikannya antara gula-gula anak orang kaya.