SURAT-SURAT UNTUK KAHERAH - 16
Kali kedua terakhir aku ke rumahmu itu juga, kau bercerita tentang rakan-rakanmu yang mengenakan purdah. Mereka begitu cantik sekali, dilitupi kain lembut. Kain itu memelihara pandangan lelaki bukan muhrim ke atas kurnia Allah kepada wanita.

Di rumah kami di Mesir ada seorang kakak yang berniqob. Namanya sama dengan nama kau, Hanim. Dia warak. Orangnya cantik. Kalaulah aku boleh secantik dia.. kamu memuji-muji. Aku pohon untuk menatap gambar kak Hanim yang kau ceritakan.

Tak cantik ujarku sekali. Tidak berlapik.

Aku menggumam di dalam hati, Ya. Tidak cantik pada mataku. Lalu ku alihkan perhatian ke gambar-gambarmu. Mengelak daripada membaca gerak hatimu, sama ada kau kecil hati atau tidak, bukankah memang dari dahulu sikapku telah terbiasa berterus terang.

Ah, kenapa kau selalu tersihir dengan orang berwajah biasa. Kau ingat dulu, sewaktu darjah empat, kau menyukai Syakir. Syakir itu lelaki yang tidak lengkap imannya. Suka melayan perempuan, playboy. Syakir pada mataku begitu hodoh. Gelap, berhidung rendah dan memiliki sepasang mata seperti ayam golek.

Kita mempunyai rasa yang berbeza, namun kau tetap sahabatku.

Setelah girang bercerita mengenai teman serumahmu yang berniqob, kau bergegas masuk ke bilik. Sambil itu,

memanggil-manggil namaku,

Sinilah..ikut aku. Ikut aku. Hanim, sini.

Ada apa aku melabuhkan punggung di birai katil, di sisi bahumu.

Aku nak tunjukkan sesuatu jawabmu sambil mengeluarkan cebisan kain. Lihat ni, aku berangan nak memakainya. Lalu aku jahit sendiri.

Aku kagum mendengar ucapanmu. Kerana kau mengeluarkan sesuatu yang cantik.

Kain kecil itu kau rentangkan. Kemudian kau sarung tudung labuh berwarna hijau lembut menutupi rambutmu. Cebisan kain yang diratakan tadi kau lekapkan separas hidung. Lalu kau kepilkan ke tudung. Berniqob!. Maha cantik. Daripada matamu yang mengecil, aku tahu kau sedang tersenyum.

Aku memuji-muji.

Subhanallah. Begitu indah. Pakailah terus.. pakai terus. Jangan tanggal lagi. Maksudku, pakai terus bila kau keluar rumah.

Aku memujuk. Halus tetapi hatiku memaksa. Aku mahu kau berniqob. Kau cantik begitu.

Sahabatku yang ku sayangi, kau tanggalkan cebisan kain itu. Wajahmu mendung.

Ibuku tidak membenarkan. Katanya, wajahku tidak cantik. Jadi, tidak perlu berniqob.

Kau diam, melipat kembali kain kecil empat segi itu. Kau simpan di laci yang di dalamnya telah tersedia beberapa lagi helaian niqob yang kau jahit sendiri. Aku bagai terdengar isi hatimu, Ibuku jujur. Tidak ada sesiapa yang akan tertarik padaku. Jadi aku tidak perlu risau sehingga mahu menutup wajahku dengan niqob.

Aku membalas kata hatimu dengan pandanganku yang tersendiri, Kau begitu cantik bertudung labuh dan burjubah. Kemas, lembut dan menambah kuantiti wanita berakhlak di bumi Tuhan ini.

Kau seolah-olah mendengar bicaraku. Engkau terus galak bercerita.

Abangku malu denganku.

Aku mengerutkan kening. Malu kerana kau lebih beragama daripadanya

Dia malu hendak keluar bersamaku. Dia malu membonceng aku yang berjubah longgar dan bertudung terlalu labuh. Katanya aku memperlihatkan permandangan aneh di atas motor, dengan mengenakan pakaian yang berbeza berbanding gadis lain di kampung ini. Setiap kali aku keluar dengan abangku, rakan-rakannya bertanya tentang aku. Perkara ini membuatkan dia merasa janggal.

Aku diam. Ya, kalau abangku yang mengamalkan agama secara konseptual itu memiliki adik yang berpakaian cadur seperti perempuan Iran, tentu akan kelihatan asing juga bagi rakan-rakannya yang liberal. Boleh jadi wanita soleh yang menjaga maruahnya akan dianggap konservatif, kolot. Tetapi bagiku, wanita yang menurunkan harga diri dengan mempersembahkan warna kulit dan lurah tertentu lebih wajar dikasihani. Permukaan kulit yang terbuka itu akan terdedah kepada habuk dan sinaran UV. Ia akan merosakkan kualiti tubuh. Seperti kereta yang diparkir di bawah cahaya matahari. Warna kereta akan luntur lebih cepat berbanding kereta yang diparkir di bawah lindungan atap. Seperti juga makanan yang terdedah akan dihinggapi lalat dan habuk berbanding makanan yang tersimpan di bawah tudung saji. Itu falsafah biasa yang gagal dipraktikkan sesetengah muslimah.

Kau bawa aku keluar dari kamarmu. Kita duduk kembali di atas lantai, menyandarkan tubuh pada kerusi berkusyen.

Ini untuk kau menghulurkan perhiasan lengan yang sederhana.

Subhanallah, terima kasih senyum.

Itu aku beli di Kaherah. Harganya tidak seberapa, tapi tandanya aku ingat pada kau.

Gelang coklat tua itu mempunyai tiga deret butiran kayu. Setiap deretan mempunyai enam belas butir kayu. Butiran di kiri dan kanan berbentuk bulat manakala tengahnya berbentuk lonjong. Tali bergetahnya juga berwarna coklat tua. Sudah tentu aku akan menyarung sesuatu yang bersifat sederhana seperti itu. Sahabat, gelang itu telah empat tahun menemani pergelangan tangan kananku. Tidak pernah berganti dan ku sarung setiap hari, kerana ia mewakilimu. Seolah-olah kau yang menemani aku ke mana sahaja. Menyaksikan setiap peristiwa hidupku semenjak hari itu.

Sahabat, kau tahu kenapa aku mengira butiran kayunya Kerana gelang berwarna coklat itu mengganti tugas butiran tasbih jika aku terlupa membawa tasbih sedangkan waktu itu aku mahu berzikir.

Sekarang deretan pertama gelang itu kurang dua butir kayu. Deretan ketiga kurang sebutir. Manakala butiran yang berbentuk lonjong di tengah-tengahnya masih pada angka sama. Gelang itu bermandi darah.

Aku kemalangan. Kau tidak tahu bukan. Aku tidak sempat memberitahumu dan kalaupun mahu, aku tidak tahu caranya. Kepalaku terhentak di jalan tar yang permukaannya berpasir, namun dilindungi topi keledar. Kakiku ditindih badan motosikal. Aku terdampar, tali helmet itu menjerut leherku. Aku tahu aku tidak akan apa-apa, kerana terjatuh biasa. Seorang lelaki yang melihatku dari bangunan Telekom Malaysia juga tahu pasti aku tidak apa-apa. Lelaki di sebalik pagar itu cuba menolong, tetapi tidak ada laluan yang boleh diusahakan untuk dia mendapatkanku.

Aku merasa sangat tidak selesa. Pantas akan ku buka dahulu topi keledar yang menjerut leher. Ku tekan pengetap tali topi keledar. Ah, aku tidak merasa apa-apa. Kosong. Entah apa yang kosong, aku tidak pasti. Untuk itu, ku tarik keluar sarung tangan kiri. Tidak ada luka. Kemudian ku tanggalkan pula sarung tangan kanan. Ya Allah, di telunjuk kanan, pandanganku tembus ke belakang. Menampakkan deretan rumah banglo di sepanjang lorong. Jariku hancur. Hatiku hancur. Darah memancut keluar dari jari yang tersisa. Sarung tangan yang masih mengandungi sesuatu di dalamnya itu aku lepaskan.

Tanganku berlumuran darah. Segera ku tekapkan pada perut baju. Supaya darah itu berhenti dari keluar. Ia tidak juga berhenti sehingga keesokan paginya aku dibedah. Darah itu mengalir bersama tangis dan sesalku. Ketika tanganku dibalut seluruhnya, aku tidak juga membuka gelang kayu pemberianmu. Seolah-olah kau ada di sisi, memberiku kekuatan dan menasihatkan kesabaran. Balutan tebal itu tidak menghalang darahku terus mengalir, sehingga akhirnya terpaksa ku takung dengan telapak tangan kiri. Ia bergenang dan tumpah ke lantai. Mengotori setiap tempat yang aku lewati sementara menunggu pembedahan. Surau, tandas, kafetaria, lantai wad kecemasan dan bilik jahitan. Lima belas jam tempoh menunggu untuk menerima rawatan. Aku bukan menteri, yang akan segera di bawa ke hospital pakar atau ke luar negara ketika keadaan kritikal begini. Lima belas jam itu membuatkan emosi beransur hilang. Kerana aku telah kehilangan daya untuk menangis.

Apabila aku sedar dari general anesthesia akibat suntikan pelali seluruh badan semasa pembedahan, aku lihat jariku terbalut kemas. Tidak dipenuhi darah seperti sewaktu aku memasuki kamar bedah. Tidak juga dibalut seluruh tangan seperti ketika aku mula-mula tiba di wad kecemasan. Sikuku juga bertampal dan terasa bisa. Untuk menghentikan darah, kulit lengan dipinjamkan kepada jari. Hari-hari kemudiannya, jariku begitu hodoh sekali. Pendek, hitam dan bengkak. Begitu juga lenganku yang berjahit. Tanganku seperti Chucky, watak anak patung hantu dalam filem Hollywood.

Aku begitu sedih, kerana jari telunjuk kanan itu aku gunakan untuk tahiyat awal, ketika solat. Apakah aku jadi begini kerana Allah menguji hamba-Nya melalui keutamaannya Bukankah Allah sedang menjentik kekuatanku, lalu melihat tindakanku. Aku begitu sedih kerana telah cacat. Aku juga begitu bersyukur kerana Tuhanku juga akan menggantikan sesuatu yang lebih baik buatku di akhirat kelak. Bukankah ini kifarah dosa Moga-moga dosaku diampunkan Tuhan. Lalu membantuku di alam kemudiannya. Aku tidak berhenti berdoa, mohon petunjuk. Hari-hari seterusnya aku menjadi riang. Begitu tenang, kerana dekat kepada Allah. Aku tahu ia membuatkan orang berfikir bahawa aku tidak sakit. Sebenarnya kesakitan itu menjadi rahsiaku, rahsiaku dengan Allah. Allah kasih kepadaku, maka itu Dia menegur khilafku.

Sahabatku, dua minggu selepas itu isi di jariku tumbuh perlahan-lahan. Ia berlaku seperti yang dijangkakan doktor. Subhanallah, Allah maha agung dengan ciptaan-Nya. Adakah mesin yang dicipta manusia jika putus akan bercantum sendiri Tidak. Tetapi Allah itu Maha bijaksana, mencipta sel-sel di dalam tubuh manusia begitu kompleks dan teliti. Sempurna.

Bencana itu membuatkan aku rapat dengan Pencipta-

ku, Pencipta-mu dan Pencipta persahabatan kita. Sahabatku, darahku mengering pada butir-butir gelang kayu pemberianmu. Aku khuatir memberusnya akan membuatkan talinya putus. Aku tidak sanggup kehilangan hadiah yang kau terbangkan jauh dari Mesir.

Gelang itu mempunyai sejarahnya yang lain. Aku pernah demam satu malam semasa kehilangannya. Ketika aku aku berwudhu. Lalu ku tanggalkan ia, ku letak di atas sinki. Setelah itu aku terlupa. Sepuluh minit kemudian , ia hilang dari situ. Aku cari merata tempat dan aku tahu ia diambil orang. Gelang kayu murah yang ketika itu berusia tiga tahun di lenganku di curi orang. Gelang itu telah pudar, dan talinya tidak lagi serapat dulu. Aku gelisah, mundar-mandir di kamar berhadas itu sepanjang hari. Ku tanyakan kepada sesiapa sahaja yang ku temui. Ada yang mengesyaki pencuci tandas Indonesia. Pagi besoknya aku datang dengan sehelai kertas bercetak. Ku paparkan gambar gelang itu dan rayuan pengembalian semula ke tempat asalnya. Gelang itu mungkin sama nilainya dengan harga gula-gula di sini, aku sama sekali tidak mengerti kenapa gelang lama yang telah lusuh seperti itu diambil orang.

Di dalam rayuan itu ku nyatakan betapa ianya memberi nilai tertentu kepadaku, aku mohon simpati dan aku mendoakan kebaikan buat hamba Allah yang memulangnya. Semoga Tuhan membalas budinya. Di situ aku sertakan nombor telefonku.

Aku beredar dari bilik air dengan wajah murung, jiwaku remuk. Kenapa gelang yang tidak berharga bagi umum itu dicuri orang Beberapa jam kemudian aku menerima pesanan ringkas, seseorang yang membaca iklanku menyatakan gelang itu telah dipulangkan kembali ke tempat asal. Aku berlari ke bilik air. Aku dapat merasakan wajahku bercahaya ketika melihat gelang kayu berwarna coklat itu terdampar lemah di atas sinki. Lemah seperti hatiku sebelum ini. Gelang pudar itu ku raup ke wajah, bersyukur kepada Allah. Kerana telah memulangkan temanku.

Seorang tukang sapu yang melihat aku tidak berdaya sejak semalam menyaksikan perubahan emosiku. Dia menegur.

Gelang itu dari pacar

Tidak. Dari teman baik saya di Al-Azhar. Aku senyum, mataku berkaca.

Kamu itu sahabat yang setia, semalam tante lihat kamu lemah.

Ia, saya malu kalau sahabat saya tahu saya mensiasiakan pemberiannya. Apa pula katanya jika dia pulang ke Malaysia dan saya memberi alasan bahawa gelang itu hilang.

Aku menyambung pertuturan di dalam hati, Mungkin akan terdetik di hatinya, saya tidak menjaga kerana gelang ini harganya murah, mampu dibeli sesiapa.

Tukang sapu itu senyum.

Itulah sahabat, kisah gelang pemberianmu. Apakah boleh aku bawa bersama ke perkuburanku. Tetapi waktu itu pasti aku tidak memerlukannya lagi. Aku memerlukan hadiah baru, iaitu doa. Doa dari gadis baik dan taat kepada Allah seperti kamu.

Sahabatku yang dekat dengan agama-Nya, apakah aku salah kerana bergantung kepada sesuatu material untuk menenangkan hatiku Maafkan aku, Tuhan.

Aidilfitri itu, setelah begitu lama duduk di rumahmu, aku memohon diri. Ku tinggalkan rumah kecil separuh kayu yang penghuninya adalah sahabat yang aku kasihi. Rumah itu, kadangkala membuatkanmu malu sekiranya aku merayau-rayau di dalamnya. Mungkin setelah masa mengubah negara dan Orang Melayu menjadi maju termasuk dalam urusan seni bina, rumahmu masih lagi sederhana, kecil begitu. Rumahmu tetap seperti itu setelah bertahun-tahun kerana duit yang ada perlu membiayai kos pengajian dan penghijrahanmu ke Mesir. Aku sahabatmu, aku lebih arif menilai rumahmu. Rumah kecil yang membesarkan seorang hamba Allah yang solehah.