FILSUF UNTUK NOOB - 16
Kalau Kierkegaard mempunyai jalan hidup yang penuh duka lara dan itu membuatkan aku tidak dapat tidak dari mengasihaninya sekaligus mendapat tempat yang istimewa dalam hatiku (Cewah), sosok seterusnya ini akan mencuri hatiku terus dengan kata-katanya yang amat epigramatis dan kritikan-kritikannya yang menggegarkan andaian-andaian aku dalam falsafah hidupku sendiri. Kedua-dua mereka merupakan tokoh eksistensialiasme.

Amat susah untuk tidak tertarik kepada Nietzsche. Sememangnya nama ini merupakan nama yang paling popular dalam falsafah moden Eropah Barat. Nietzsche telah menjadi inspirasi kepada ramai orang dan ini tidak terhad hanya kepada bidang falsafah. Seni, sastera, muzik, dan filem antara bidang yang banyak sekali mengadaptasi beberapa idea Nietzsche. Nietzsche sememangnya mempunyai fandom yang besar, ada diantaranya yang serius, ada diantaranya yang menghargai kualiti sasteranya dan juga ada diantaranya mereka-mereka yang hanya memetik nama Nietzsche untuk kelihatan deep.

Dan pada mulanya, aku mengelak Nietzsche (Ni-ce) seperti seolah-olah dia sebuah penyakit berjangkit, disebabkan kerana merasa jelek dengan karenah fanboi dan fangirl nya. Namun ini aku akui merupakan sebuah sikap kurang matang, seakan-akan hipster yang tidak mahu dikaitkan dengan apa-apa perkara mainstream. Namun, kelas memaksa aku untuk membaca Nietzsche. Dan, what do you know, tulisan Nietzsche seperti magnet , dan boleh lah dikatakan aku sekarang meletakkan Nietzsche sebagai salah seorang ahli falsafah yang aku minati.

Nietzsche lahir di Rocken, sebuah kampung kecil Jerman pada tahun 1844 dalam sebuah keluarga yang mempunyai beberapa tokoh akademik Protestan ( Datuk dan ayah saudaranya merupakan penulis akademik Protestan). Persekolahannya juga di sebuah sekolah asrama Kristian. Nietzsche kemudiannya menyambung pengajian dalam bidang teologi dan filologi di Universiti Bonn, Jerman. Filologi merupakan bidang yang mengkaji Bahasa dan maksud, dan pada masa Nietzsche, ianya lebih fokus kepada menterjemah teks-teks klasik dan kitab injil. Dari pendedahannya kepada filologi ini, Nietzsche sememangnya pakar dalam teks-teks klasikal dari Tamadun Yunani. Tidak hairanlah jika buku paling popular Nietzsche, Also Sprach Zarathustra ( Maka Bercakaplah Zarathustra / Thus Spoke Zarathustra) menggunakan struktur puisi seakan-akan teks klasik Yunani. Antara sebab terkenalnya karya ini adalah proklamasi Nietzsche yang mengatakan bahawa Tuhan telah mati. Pada usia yang muda, berumur 24 tahun, Nietzsche telah dilantik menjadi Profesor dalam bidang Filologi di Universiti Basel, Switzerland.

Nietzsche mula memupuk minat kepada falsafah apabila pada umur 21 tahun, terjumpa buku Dunia Sebagai Kehendak dan Perlambangan karya Schopenhauer di sebuah kedai buku. Buku tersebut mempunyai impak yang mendalam terhadap Nietzsche. Namun, akhirnya, tempoh menyanjungi Schopenhauer ini tidak lama, kerana selepas itu Nietzsche mula menjumpai apa yang dia rasa, kelemahan kepada idea falsafah Schopenhauer. Terutama sekali mengenai sifat belas kasihan yang diusulkan Schopenhauer.

Nietzsche juga, seperti Schopenhauer, merupakan seorang penulis yang unggul. Kata-katanya, gaya penulisannya boleh membuatkan seseorang yang membaca seperti dikejutkan dari tidur yang lena. Apabila membaca tulisan Nietzche, hampir setiap perenggan kau akan rasa seperti oh ok, ni aku nak letak sebagai post Facebook. Sebab memang kata-katanya yang asalnya ditulis dalam bahasa Jerman, kecantikan kata-kata ini tidak hilang apabila diterjemah (dengan baik) kedalam bahasa Inggeris (bahasa yang mana aku baca karya Nietzsche). Maka disini aku akan cuba menterjemah beberapa ayat-ayat dari karya Nietzsche untuk kau nikmati efeknya, selain dapat memberi sekali imbas mengenai apa yang mahu dibawakan dalam falsafahnya, dan juga akan perasan petikan pertama ini adalah apa yang dipanggil sebagai eksistensialisme.

Kita tidak diketahui oleh diri kita sendiri, kita yang sang penahu: dan dengan sebab yang baik. Kita tidak pernah mencari diri kita sendiri,- jadi bagaimana kita mahu menjangka akan menjumpai diri kita Betapa benarnya kata-kata: Dimana harta kau, disitulah hati kau jua berada; harta kita ialah dimana sarang-sarang ilmu kita.seperti seseorang yang fikirannya tidak hadir dan tenggelam dalam pemikirannya sendiri, dimana bila dua belas bunyi loceng yang pada tengah hari baru sahaja berbunyi kedalam telinganya, lantas dengan terkejut bangun dan tertanya-tanya Jam berapa ini, kekadang, kita jua, seterusnya menggosok telinga dan bertanya, dengan tercengang, Apa yang kita alami sebentar tadi atau mungkin juga, Siapa sebenarnya diri kita....Kita kekal asing kepada diri sendiri disebabkan keperluan, kita tidak faham diri kita sendiri, kita mesti dengan kelirunya mempunyai salah faham mengenai apa kita sebenarnya.kita bukan sang penahu bila ianya merujuk kepada diri kita.

Setan mempunyai perspektif yang paling luas mengenai Tuhan, dan sebab itulah dia pergi jauh-jauh dari-Nya - setan yang menjadi sahabat paling lama kepada ilmu.

Untuk berasa malu terhadap perbuatan akhlak buruk diri sendiri: itu adalah selangkah ke atas tangga yang mana di hujungnya dia juga akan berasa malu dengan akhlak baiknya.

Zaman terhebat bagi diri kita adalah dimana kita mendapat keberanian untuk membaptis semula kualiti-kualiti kejahatan kepada kualiti-kualiti terbaik kita.

Kau boleh agakkah apa asas kepada falsafah Nietzsche dengan petikan-petikan diatas Petikan pertama menunjukkan ekstistentialisme. Petikan kedua antara kritikannya terhadap kepercayaan agama. namun aku ingin fokus kepada petikan ketiga dan keempat. Pada asasnya; dia mahu menterbalikkan bagaimana kita melihat moraliti, iaitu prinsip akhlak. Nietzsche merasakan falsafah-falsafah sebelumnya , walau bagaimana sekular atau ateis pun pengasasnya akui, ianya tetap berlandaskan andaian-andaian yang tidak diselidiki, khususnya berkaitan dengan etika ataupun moraliti. Andaian-andaian untuk moraliti diambil secara absolut dan tidak dipersoal oleh ahli falsafah. Sehinggakan Schopenhauer yang ateis dan menjalani kehidupan yang apa masyarakat ketika itu pandang serong pun masih meletak sifat belas kasihan sebagai sesuatu yang tinggi. Nietzsche mahu menjadikan keseluruhan pandangan kita terhadap moraliti itu upside down, diterbalikkan. Dan ini bukanlah dilakukan kerana saja-saja mahu mencipta kelainan dan sekadar mahu mencari perhatian. Nietzsche mempunyai sebab yang kukuh mengapa dia mahu membuat demikian.

Sebelum kita pergi kepada sebab ini, aku akan ceritakan salah satu konsep yang popular yang dikaitkan dengan Nietzsche, iaitu moraliti hamba - tuan dalam usaha Nietzsche untuk mengesan genealogi moraliti.

Ianya begini, untuk menerangkan asal usul pandangan akhlak yang kita miliki (kita disini bermaksud masyarakat pada zaman Nietzsche), kau bayangkan sekumpulan kambing biri-biri yang comel dan gemuk yang hidup gembira di kawasan rumput yang hijau, meragut seperti sedang menyertai bufet, dan anak-anak kambing sedang bergurau senda tidak jauh dari kambing-kambing dewasa. Tetapi alam semulajadi mempunyai undang-undangnya sendiri. Semestinya akan ada sesuatu yang lebih berkuasa dari kambing. Maka datang seekor helang. Maka situasi magsa-pemangsa ala dokumentari National Georaphy berlaku; helang menjunam menuju kepada seekor anak kambing yang lalai, mencengkam dengan kakinya, lantas membawa lari anak kambing yang tertanya bila pulak dirinya pandai terbang tinggi. Helang telah berjaya merampas anak kambing biri-biri. Kambing biri-biri yang lemah dan tidak ada keupayaan untuk terbang tidak mampu menyelamatkan anak kecil mereka. Kambing biri-biri pun marah, dan bertukar menjadi sedih bila menyedari tiada apa yang dapat mereka lakukan. Selagi ada hidup ini, selagi kambing biri-biri perlu meragut rumput untuk memastikan kelangsungan hidup, selagi itulah akan adanya si helang yang akan merampas salah seorang daripada anak mereka. Dan kambing biri-biri pun pasrah dan bersabar kerana itu adalah undang-undang semula jadi, tiada yang mereka dapat ubah.

Maka kambing-kambing ini yang asyik melihat ketidakadilan yang berlaku terhadap mereka, mula membentuk sebuah konsep jahat. Yang jahat itu adalah merampas anak orang, tetapi bukan itu sahaja, mereka mula mengaitkan sifat-sifat helang yang membolehkan helang merampas anak kambing dengan terma jahat. Apa yang helang buat adalah sesuatu yang jahat. Helang seekor hewan yang kuat. Helang seekor hewan yang berani. Helang seekor hewan yang independen. Maka secara tidak langsung, kuat, berani dan menjadi independen dikaitkan dengan jahat.

Dan apa perlawanan bagi jahat Apa lagi kalau bukan yang berlawanan dengan sifat-sifat si helang. Maka disini timbullah baik. Dan yang baik adalah sifat-sifat seperti kambing biri-biri. Lembut, lemah, menunduk, bersabar, pasrah.

Dan Nietzsche mengembangkan lagi teori ini dan gantikan kumpulan kambing biri-biri dengan kumpulan hamba, dan helang sebagai tuan. Sama juga dengan kisah kambing, hamba-hamba ini yang lemah, untuk memujuk hati mereka, melabel perlakuan-perlakuan kumpulan tuan-tuan sebagai jahat. Jadi kuat, pandai mencari duit, berkuasa, berangan-angan tinggi dan semua sikap yang ada pada tuan itu dilabelkan sebagai jahat. Dan hamba-hamba yang lemah, sabar, redha, pasrah,pengecut adalah sikap baik. Maka mereka yang kuat dan berani, pun merasa bersalah, dan berusaha untuk menekan sifat itu dan berubah menjadi lemah dan pengecut.

Ini merupakan kritikan Nietzsche terhadap masyarakat pada zamannya. Dan agama merupakan salah satu sasaran kritikannya. Nietzsche menngecam agama Kristian ( Kristian kerana Eropah merupakan negara majoriti Kristian, Nietzsche sudah pastinya mengecam semua agama) yang amat meninggikan ciri-ciri yang dia kelaskan sebagai moraliti hamba, sehinggakan masyarakat benar-benar memegang teguh dengan ciri-ciri ini dan mencemuh mereka yang mempunyai ciri-ciri berlawanan. Orang yang kuat, berani dan lantang bersuara, menjalani kehidupan yang berlawanan dengan kehidupan yang dianjurkan oleh agama dikatakan seorang yang jahat. Walhal, jika mengikut genealogi moraliti Nietzsche, itu hanyalah penghakiman yang dibuat berdasarkan sesuatu yang tidak munasabah.

Sekarang kita akan kembali kepada persoalan kenapa Nietzsche mensasarkan prinsip akhlak Alasannya, Nietzsche menyedari bahawa zaman yang kian moden telah meluputkan kepercayaan terhadap agama dalam masyarakat Eropah Barat. Nietzsche , bila mengatakan Tuhan telah mati, bermaksud, konsep Tuhan yang dicipta oleh masyarakat , setelah kemajuan paradaban manusia, konsep ini tidak lagi diperlukan, lalu Tuhan itupun mati, luput, fungsinya tidak lagi digunakan, kerana manusia telah dapat menjawab persoalan-persoalan yang mereka pada zaman dahulu atributkan kepada Tuhan. Ingat bahawa zaman Pencerahan(Enlightenment) adalah dimana manusia mula mendapat semangat baru apabila menyedari keupayaan mereka untuk menjawab dan menyelesaikan masalah dengan perkembangan sains. Pada zaman Nietzsche, demam Pencerahan sudahpun berlalu. Di sebalik kemajuan yang dibawa oleh Revolusi Industrial, bila di psike manusia, mereka mula menyedari bahawa dengan dapatnya mereka menyelesaikan masalah-masalah ini, Tuhan telah mati, mereka mula menjadi lesu, dan lemah, seolah berada dalam kekeliruan. Kerana kematian Tuhan bermaksud tiadanya sesuatu yang dapat dipaksikan kepadanya nilai-nilai baik. Sebab itulah petikan menarik dari buku Sains yang Menyeronokkan (1882), Nietzsche berkata,

Tuhan sudah mati. Tuhan kekal mati. Dan kita sudah membunuhnya. Bagaimana kita mahu memujuk diri kita, kita yang ketua kepada segala pembunuh Apa yang sebelum ini menjadi paling suci dan paling berkuasa kepada seluruh alam telah mengalami pendarahan lalu mati disebabkan pisau-pisau kita: siapa yang akan mengelap bersih darah ini dari kita Air manakah yang dapat menyucikan diri kita Perayaan pendamaian apakah, sukan suci manakah yang perlu kita cipta Apakah tidak kehebatan amalan ini terlalu berat bagi kita Bukankah kita sendiri mesti menjadi tuhan-tuhan supaya dapat menjadi layak untuk perbuatan ini

Bagi Nietzsche, untuk mengelakkan kelesuan dan perasaan bersalah ini, manusia perlu melakukan sesuatu. Nietzsche, tidak seperti Schopenhauer; bukanlah seorang pesimis. Nietzsche mahu mencipta masa depan yang bermakna dan dapat dinikmati dengan penuh semangat kepada masyarakatnya. Dan, seperti petikan diatas katakan, manusia perlu mengambil sikap-sikap yang sebelumnya mereka cemuhi. Manusia sendiri perlu menjadi kuat, gagah, berani, lantang. Manusia perlu menjadi Tuhan. Maka disinilah konsep Ubermensch lahir, yang boleh diterjemahkan kepada seseorang yang lebih dari manusia biasa. Ini adalah kontra kepada agama yang menekankan sesuatu yang luar didunia, Ubermensch merupakan sesuatu gol kepada manusia-manusia yang boleh direalisasikan di dalam dunia ini sendiri. Ubermensch merupakan manusia yang mempunyai kuasa, tidak kisah kepada apa yang dikatakan kepadanya.

Nietzsche benci akan kepura-puraan akademik dan ahli-ahli falsafah yang terdahulu dan pada zamannya yang memberi penekanan kepada sifat-sifat zuhud dunia, merendah diri dan segalanya. Seperti kata Nietzsche, tidak ada asas untuk kita bersifat demikian. Apa salahnya kita bersifat sebaliknya Namun ini tidaklah bermaksud Nietzsche meng-iyakan penindasan dan diskriminasi. Konsep Ubermensch digunakan oleh Nazi untuk menjustifikasikan pahaman mereka kepada kesuperioriti bangsa Aryan daripada bangsa lain-lain. Namun Nietzsche benci kepada golongan anti-semitik. Nietzsche, seperti Marx juga mengkritik kerajaan dan negara(state).

Nietzsche tidak lama menjadi pensyarah di Basel. Sepuluh tahun selepas menetap di Basel, dia yang sememangnya mengalami masalah kesihatan terpaksa berhenti kerja kerana kondisi kesihatannya. Bermulalah kehidupannya sebagai seorang noma yang berpindah dari satu bandar ke bandar lain di Eropah dan dalam waktu ini lah dia amat produktif sekali, menghasilkan buku demi buku. Kesemua buku yang aku sertakan petikannya dalam ini dihasilkan dalam tempoh nomadik ini, beserta buku-buku lain. Nietzsche pada tahun 1889, mengalami gangguan mental yang amat teruk sekali; Nietzsche boleh diklasifikasikan gila. Ini menjadikannya lumpuh, tidak dapat menghasilkan apa-apa karya dan hanya terhad kepada katilnya, dan pada masa ini dijaga oleh ibu dan kemudiannya, kakaknya. Keadaan ini kekal sehinggalah tahun 1900, dimana akhirnya dia menghembuskan nafasnya terakhir.

Bersetujukan kau dengan genealogi moral yang dirangka oleh Nietzsche Adakah kau bersetuju dengan deklarasi Nietzsche yang mengatakan bahawa Tuhan telah mati Yang mana bagi kau lebih tepat, Kierkegaard ataupun Nietzsche dalam pilihan cara hidup Terpulanglah untuk kau menilai.

Dan dengan ini, tamatlah perjalanan kau di Eropah Barat, dan sekaligus menamatkan pengembaraan kita dalam mengikuti sedikit perkembangan sejarah falsafah Barat.

Sumber Primer :

1. On the Genealogy of Morality tulisan Nietzsche(1887) terjemahan C. Diethe(2006)

2. Beyond Good and Evil tulisan Nietzsche(1886) terjemahan R.J. Hollingdale(1973)

Sumber Sekunder:

1. Pengenalan kepada Beyond Good and Evil tulisan M. Tanner (1973)

2. Continental Philosophy : A Critical Approach karya W.R. Schroeder (2005)