SANG PENGUASA - 16
Sekarang kita akan lihat aturan yang perlu dijalankan oleh penguasa terhadap rakan-rakan dan rakyatnya. Setakat yang saya tahu, ramai telah menulis tentang perkara ini. Apa yang akan saya bentangkan ini akan mempunyai pendapat yang berbeza dengan apa yang orang lain pernah tulis. Niat saya dalam menulis adalah untuk memastikan seseorang itu memahami hal sebenar, bukan sekadar imaginasi. Ramai yang telah menggambarkan pemerintahan Republik dan kerajaan padahal ia tidak pernah pun diketahui dan dilihat setakat ini. Realiti sebenar kehidupan seseorang itu setakat ini amatlah jauh berbeza dengan gambaran-gambaran bagaimana seseorang itu sepatutnya hidup. Seseorang yang mengabaikan apa yang dia lakukan, hanya untuk melakukan apa yang sepatutnya dia lakukan, lambat-laun akan menemui kehancurannya. Kerana manusia yang berhasrat untuk hanya melakukan kebaikan sepenuhnya kelak pasti akan menemui perkara yang akan memusnahkannya iaitu kejahatan.

Oleh itu, penguasa perlu mempunyai hasrat untuk mengetahui bagaimana untuk melakukan kesalahan dan melakukan kesalahan itu menurut kesesuaian. Kita perlu ketepikan hal imaginasi mengenai penguasa dan bincangkan perkara yang nyata. Semua orang, terutamanya penguasa, mempunyai kualiti tertentu yang membuatkan mereka disanjung ataupun dipersalahkan. Seseorang boleh dianggap sebagai dermawan, murah hati, rakus, kejam, dan belas kasihan. Ada yang setia, ada yang khianat. Ada yang pengecut, ada yang berani. Ada yang peramah, ada yang sombong. Ada yang lancang, ada yang menjaga kehormatannya. Ada yang ikhlas, ada yang licik. Ada yang kasar, ada yang lembut. Ada yang serius, ada yang main-main. Ada yang beragama, ada pula yang tidak mempunyai kepercayaan dan banyak lagi.

Saya tahu, semua orang akan akui bahawa betapa terpujinya seorang penguasa yang memiliki semua ciri-ciri baik yang disebutkan. Namun, tidak semua ciri-ciri itu dapat dimiliki dan diamalkan kerana kondisi manusia yang terbatas. Tetapi dia perlu bijak menghindarkan dirinya daripada memiliki sifat-sifat buruk yang boleh menyebabkan dia kehilangan wilayah. Sekiranya dia tidak mampu, dia patut tahu apakah sifat yang kurang merugikan diri dan wilayahnya. Dia juga tidak boleh rasa keberatan untuk mengamalkan perkara-perkara buruk itu sebagai pendekatan untuk menyelamat wilayah. Hal ini dilakukan apabila keadaannya nampak baik kerana melakukan perkara baik, sedangkan ia menuju kehancuran. Maka melakukan perkara buruk adalah lebih untuk kesejahteraan dan keamanan yang sebenar.