Itulah Marseille, sebuah kota pelabuhan berusia 2600 tahun. Kota yang dianugerahkan sebagai Kota Budaya Eropah 2013 oleh Kesatuan Eropah ini kaya dengan sejarah. Lupakan Paris, London, atau New York. Di Marseille, segalanya berbeza.
Setiap pagi di Vieux Port, nelayan Marseilles akan menjual hasil tangkapan mereka. Dengan tiupan angin 54kph, kadangkala kedengaran mereka berbual sesama mereka bukan menggunakan bahasa Perancis. Ada di antara mereka yang berbual dengan bahasa Arab atau Moroko. Ada juga yang menggunakan bahasa Afrika. Dari ikan sardin sehingga sotong gergasi, kadangkala nelayan ini menari apabila duit jualan mereka terbang ditiup angin.
Semenjak Greek kemudian Roman, pelbagai bangsa datang dan menetap di kota Mediterranean ini. Kemudian setelah perang dunia kedua yang menghancurkan sebahagian besar kota pelabuhan ini, bangsa Afrika dari Algeria dan Moroko malah Sepanyol banyak berhijrah dan menetap di sini sehingga kini.
Di kawasan Capucin, sebuah daerah kecil di sebelah Canabiere, bangsa Afrika beragama Islam duduk berkumpul dan meniaga. Dari kedai sembelihan daging halal, hasil laut, herba seperti bawang, kekacang dan halwa dari Arab, pelbagai jenis buahan dan sayuran sehingga kepada rokok yang tidak didaftarkan, semuanya boleh didapati di hadapan stesen Metro Noailles ini. Lupakan Eropah seketika kerana kini semuanya tidak lagi kelihatan seperti Eropah.
Di sini juga lelaki berjubah gaya Arab bebas di manamana, perempuan dengan cadur di dalam Metro di antara anak muda gaya Parisian menggambarkan kota ini kaya etnik, kaum dan budaya. Sukar untuk menentukan sama ada mereka asal Perancis atau imigran Afrika kerana setiap dari mereka boleh berbahasa Perancis.
Kota pelabuhan ini juga dipenuhi kedai makanan Jepun, kesan gastronomi lautan yang dikuasai Jepun. Kehadiran penempatan Afrika-Islam pula membuatkan banyak kedai makanan halal samada francais ataupun sendirian.
Dari Hotel de Ville, Accoules, Place des Moulins sehingga Vielle Charite, daerah lama Le Panier ialah daerah tipikal Mediterranean di atas tapak asal di mana bangsa Greek Massalia mula bertapak. Warna daerah ini yang disimbah sejarah mula berubah apabila kaum pertengahan Marseille mula berhijrah keluar pada abad ke-17 ke Timur seperti yang direka oleh Colbert. Sehingga hari ini, daerah Le Panier masih dihuni kelas pekerja yang terdiri dari kaum pelayar dan keturunan imigran.
Bukit yang terlebih populasi dan dipenuhi dengan rumah lama ini menarik ramai Neapolitans pada hujung abad ke18, kemudiannya Corsicans selepas Perang Dunia Pertama. Daerah lama ini diwarnai oleh warna dari Maghribi sehingga ke Pulau Comoro, menjadikan mozaik-mozaik budaya mereka cukup meriah. Ketika matahari keluar, kaum tua akan duduk berbual di hadapan rumah mereka, sebuah pemandangan tipikal di tangga curam daerah lama ini.
Di hujung daerah bukit yang padat ini berdiri dengan megah kubu lama untuk mengawal pelabuhan Marseille. Ironinya, kubu yang dibina seawal 1660 mempunyai meriam yang dihalakan ke dalam bandar untuk mengawal pemberontakan dalaman terhadap gabenor, bukannya dihalakan ke luar kubu untuk menyerang musuh dari luar.
Pada 1370 pula direkodkan sabun dari minyak sayuran yang dibuat di Marseille. Pada 1913 dianggarkan sehingga 180,000 tons sabun dihasilkan malah pada 1924 terdapat 132 pembuat sabun di Marseille sahaja.
Marseille ialah contoh kota Eropah yang tidak Eropah. Lengkap dengan sistem pengangkutan efektif seperti Tram, jaringan Metro (bawah tanah) dan juga bas, kota ini memang kelihatan seperti kota Eropah yang lain. Tetapi Marseille juga mengingatkan bahawa kemajuan itu perlu disertai dengan kemanusiaan. Dan kemanusiaan itu perlu dicari. Kemanusiaan tidak akan ditemui ketika kita hanya duduk menetap di tempat yang kita suka.
Lebih penting, kemanusiaan itu penuh di luar rutin harian dan keselesaan kita. Selalunya kemanusiaan itu hadir ketika kita sanggup berkorban dan melihat dunia yang luas ini berfungsi. Selalu kita berasa sensitif dan terkesan dengan perkara kecil yang dilakukan teman sekitar. Tetapi jarang sekali kita hendak memahami mereka dengan melihat dunia luar.
Marseille mengingatkan bahawa tidak semestinya Eropah itu Eropah. Tidak semestinya Eropah itu maju. Tidak semestinya Eropah itu anti-Islam. Perkara yang dianggap tidak beradab di Asia berkemungkinan besar biasa dilakukan di Eropah. Begitulah dunia berfungsi, tidak selalunya kita akan betul. Tidak mungkin selamanya kita yang akan memegang kebenaran.
Walau melahirkan pemain bola seperti Zinedine Zidane dan Eric Cantona, Marseille dihimpit dengan reputasi buruk akibat kemasukan imigran asing dan masalah yang sering melanda pelancong, pertentangan tiada penghujung antara kelas pekerja di utara dan kelas atasan di selatan, dengan 40 peratus penduduk berada di bawah garis kemiskinan, jumlah anak muda mati akibat dadah sama banyak dengan New York sehingga digelar Most dangerous place to be young oleh The Independent; instrumental Marseille masih berbunyi sentimental.
Lupakan Paris. Vieux Port lebih romantik biarpun ketika berseorangan. Marseille mengajar kita akan menjadi lebih baik biarpun tetap melakukan kesalahan yang sama. Sebagai kota pelabuhan yang tidak berpenghujung, nelayan Marseille mengingatkan kita kepada perjalanan hidup ini tidak akan pernah selesai biarpun ketika kita telah merasa cukup.
Para peniaga di Capucin mengingatkan kita bahawa akan sentiasa ada kehidupan di atas kehidupan, bahawa kegagalan itu bukan penghujung. Tangga kecil di Accoules mengingatkan bahawa derap kaki sejarah akan sentiasa memanggil-manggil kita agar belajar untuk masa hadapan. Untuk yang pernah berdiri di Vieux Port akan sedar bahawa, sentiasa ada dunia yang lebih luas menanti untuk diterokai.
Lupakan perbezaan ideologi. Untuk nelayan atau peniaga di Marseille, tiada isu mazhab Sunni-Syiah untuk ditelagahkan. Lupakan ahli politik berstatus maharaja lawak atau isteri pemimpin yang suka menaiki jet peribadi.
Berjalan merata tempat melihat orang di kawasan asing kadangkala menimbulkan persoalan; apakah yang manusia cari sebenarnya Apakah manusia mencari kehidupan Apakah telah kita temui kemanusiaan Apakah kebenaran
Apakah Marseille ada jawapannya Tidak. Kesemua soalan tersebut tidak perlu dijawab. Untuk yang berani keluar dan mencari, akan dikurniakan hikmah untuk ketemu apa yang dicari. Itulah bintang, satu-satunya kebenaran yang sentiasa berada memandang tatkala kita sedar atau tidak, sama ada siang atau malam yang seringkali kita abaikan ketika sibuk mencari cinta nafsu politik, nafsu ideologi, nafsu iman dan nafsu kebendaan dunia ini.
Mark Twain, di dalam Innocents Abroad menulis mengenai Marseille pada 1867 di dalam Chapter XI;
We are getting foreignized rapidly and with facility. We are getting reconciled to halls and bedchambers with unhomelike stone floors and no carpetsfloors that ring to the tread of ones heels with a sharpness that is death to sentimental musing. We are getting used to tidy, noiseless waiters, who glide hither and thither, and hover about your back and your elbows like butterflies, quick to comprehend orders, quick to fill them; thankful for a gratuity without regard to the amount; and always politenever otherwise than polite. That is the strangest curiosity yeta really polite hotel waiter who isnt an idiot. We are getting used to driving right into the central court of the hotel, in the midst of a fragrant circle of vines and flowers, and in the midst also of parties of gentlemen sitting quietly reading the paper and smoking. We are getting used to ice frozen by artificial process in ordinary bottles the only kind of ice they have here. We are getting used to all these things, but we are not getting used to carrying our own soap. We are sufficiently civilized to carry our own combs and toothbrushes, but this thing of having to ring for soap every time we wash is new to us and not pleasant at all. We think of it just after we get our heads and faces thoroughly wet or just when we think we have been in the bathtub long enough, and then, of course, an annoying delay follows. These Marseillaises make Marseillaise hymns and Marseilles vests and Marseilles soap for all the world, but they never sing their hymns or wear their vests or wash with their soap themselves.
* Tulisan ini ditulis di dalam Train 17716 dari Marseille St Charles ke Stesen Lyon Part Dieu pada 6 November 2013