Tidak ada manusia di bumi ini yang tidak pernah salah. Bahkan para Nabi juga punyai khilaf. Mereka menjadi benar sesudah pencarian. Inikan pula kita orang-orang yang terlalu lemah dalam mengemudi kehidupan bergelar seorang Islam. Sesudah terjatuh, bangkit dan cari haluan yang sepatutnya. Jangan berdiri di lorong yang sama. Kalau terlena, paksa diri untuk celik melihat ragam dunia.
Kesakitan menjadikan kita lebih menghargai waktu-waktu sihat. Nikmat-nikmat kehidupan yang kita teladani dengan cara yang normal. Kalau sakit kerana manusia, pasti boleh sembuh sebab kita ada doa sebagai senjata seorang mukmin. Kita ada Dia sebagai sandaran utama yang menyembuhkan. Tiada makhluk yang dapat mengatasi kekuasaan Dia. Kalau sakit ketika menghadapi sakaratulmaut, moga yang meringankan adalah lidah kita yang pantas menyebut ucapan Lailahaillallah. Nikmat sedemikian hanya tercapai setelah di dunia kita benar-benar positif dengan percaturan Ilahi.
Nah, kalau keputusan menjadi salah, pesan pada diri yang Allah mahu ajarkan sesuatu. Pasti ada berita yang akan menyusul untuk diri sendiri teladani. Kegagalan, kehilangan, kekecewaan, kejatuhan dan segala yang mengundang rasa putus asa seorang hamba pasti akan disusuli dengan gantian yang lebih baik daripada Tuhan.
Kalau keputusan menjadi suatu yang mendatangkan kenikmatan, pesan juga pada diri supaya tidak menjadi manusia yang angkuh. Rendahkan hati untuk terus belajar dan belajar. Ketika berada di tingkat yang tersanjung, hati adalah bahagian yang paling dicintai musuh Allah. Syaitan laknatullah.
Berhati-hati ketika merasakan diri adalah benar. Biarkan kebenaran menjadikan manusia sekeliling dan pengikutmu berhijrah kepada hal-hal yang positif. Terhindar daripada perasaan hasad dan dendam. Jangan sampai kekaguman mereka ke atas dirimu mengatasi pemilik kehebatan yang sebenar, Allah Azzawajalla. Sesudah punyai kuasa, tarik mereka perlahan-lahan melihat ragam dunia dengan hati yang lapang.
Ketika inilah sesungguhnya kita juga dalam fasa pembelajaran. Belajar daripada ujian-ujian hati yang cukup berbahaya. Segala amalan dan hasil ketika di dunia ini boleh menjadi kosong pada pandangan Allah hanya kerana satu sifat iaitu takbur.
Takbur atau takabbur merupakan ibu kepada segala sifat mazmumah. Orang yang mudah dijangkiti virus takbur ini adalah yang mempunyai kelebihan dalam banyak hal. Ataupun potensi sentiasa mendapatkan tempat terbaik pada mata khalayak. Mengangkat tinggi diri sebagai yang terbaik di antara yang lain. Bahasa mudahnya, sombong. Sombong melahirkan marah, hasad, ujub, riak, sumah, tamak, bakhil dan sebagainya. Definisi yang lebih tepat daripada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, sabdanya bermaksud, ... sombong itu adalah menolak kebenaran dan menghina makhluk. (Riwayat Muslim No. 275)
Para ulama menyatakan tiga ciri utama individu yang takbur:
Merasa diri lebih baik
Menghina orang lain
Menolak kebenaran
Imam al-Ghazali telah menulis tentang falsafah solat yang apabila dilaksanakan dapat meleburkan sifat takbur. Lihat ketika berdiri dalam posisi menunduk, rukuk dan kemudian sujud. Semuanya membina sifat merendah diri dan tawaduk. Sebab itu ketika hati berasa kosong sehingga banyak hal dunia menguasai diri, solatlah. Tiada kebergantungan lain selain Dia yang dapat menyentak diri kita semula untuk bernafas dengan jiwa hamba.