TRAVELOG FAGHUZI - 16
Jogjakarta, Indonesia

Berhenti bercita-cita adalah tragedi terbesar dalam hidup manusia.

- Andrea Hirata

Matahari memancar sinar menerangi bumi Jogjakarta. Tiada tanda-tanda hendak hujan. Mungkin masa yang sesuai untuk ke Prambanan. Siap membuat rutin pagi semua, kami berjalan untuk menaiki bas Trans-Jogja. Kali ini, seperti dibilang Pak Agus, kami perlu menaiki bas bernombor 1A untuk ke terminal Prambanan. Dikatakan jarak antara Jalan Malioboro ke Prambanan lebih dekat berbanding Borobudur.

Lebih kurang 30 minit perjalanan, kami tiba di terminal Prambanan. Ketika berhenti di terminal, kami dihampiri para pemandu becak yang menawarkan perkhidmatan. Aku dan Haeri dikepung. Pintu Prambanan tidak kelihatan namun kami tetap tekad untuk berjalan kaki saja ke sana. Pak Agus bilang bisa jalan saja.

Jauh kalau mau ke Prambanan. Ayo naiki becak! tempik seorang pemandu becak. Kami menolak pelawaan mereka dengan penuh sopan. Tanpa mengendahkan mereka, aku pun menempatkan cermin mata hitam untuk menjaga mata, manakala Haeri pula menyimpan cermin

mata hitamnya. Setelah berjalan lebih kurang 10 minit, kami tiba di pintu masuk Prambanan. Mujur tidak menggunakan perkhidmatan becak, buat rugi saja. Jalan kaki sekejap saja sudah sampai. Mereka terdesak mencari orang menggunakan perkhidmatan mereka sehingga sanggup menipu, tapi tidak mengapa kerana kami berjaya menangkis.

Candi Prambanan merupakan salah satu tapak warisan dunia yang diiktiraf UNESCO seperti Borobudur. Dipercayai kuil ini dibina ketika abad ke sembilan bagi menunjukkan penghargaan kepada Trimurti. Trimurti di dalam kepercayaan Hindu adalah tiga dewa utama yang merangkumi Brahman sebagai Tuhan yang mencipta, Vishnu sebagai Tuhan yang memelihara dan Shiva sebagai Tuhan yang memusnahkan. Terdapat beberapa candi-candi kecil berada di dalam kompleks candi Prambanan ini namun kebanyakannya sudah musnah akibat gempa bumi yang melanda Pulau Jawa pada tahun 2006. Ada yang dibaik pulih dan ada yang mengalami kemusnahan total. Namun, tiga teragung di kawasan ini terselamat dari bencana alam tersebut. Selain itu, di sini juga terdapat persembahan tarian Ramayana yang mula menjadi satu persembahan tetap sejak tahun 1960.

Cara yang sama juga digunakan seperti di Borobudur. Kami masuk menggunakan tiket warga tempatan. Alangalang sudah ke Prambanan, pergi juga ke Candi Ratu Boko yang terletak beberapa kilometer. Namun malangnya waktu ini, candi Ratu Boko ditutup kepada pengunjung. Maka kami hanya boleh melawat Candi Prambanan sahaja. Terasa sedikit kecewa.

Di sini pengunjung tidak begitu ramai sehingga sesak seperti di Borobudur. Mungkin kerana hari ini bukan hari minggu. Walau apa pun hipotesisnya aku tak peduli. Seperti di Borobudur, aku perlu menyarungkan kain sarung. Kain aku diikat di lengan tapi Haeri ikat di kepala. Aku tak tahulah letak dekat mana sebenarnya cuma ramai yang kelihatan mengikat kain sarung di bahagian pinggang.

Entahlah. Adakala yang majoriti tidak semestinya betul dan yang minoriti tidak semestinya salah. Biarlah diri sendiri pandai berfikir dan menentukan apa yang terbaik. Kami pun berjalan masuk ke dalam. Janji kain sarung itu tersarung di mana-mana bahagian badan kami sebagai tanda hormat kepada kepercayaan mereka.

Terdapat beberapa candi kecil di sekitar kompleks ini selain dari candi utama. Pengunjung boleh juga menyewa basikal untuk bersiar-siar di sekitar kompleks candi Prambanan. Ada juga rusa peliharaan yang diletakkan di dalam satu taman seakan zoo. Kelihatan kanak-kanak keriangan memberi makan kepada rusa-rusa tersebut. Kami juga tidak melepaskan peluang untuk memberi makan kepada sang rusa. Rumput yang kami ambil hanya dikutip di tanah saja, tidak pula kami membeli makanan rusa yang disediakan. Kedekut juga kami walhal berapa rupiah sangat je kalau beli.

Waktu lewat petang, ketika berjalan balik Haeri ternampak gerai menjual buah salak. Buah salak sangat mudah didapati di sini. Haeri membeli seplastik besar untuk dimakan sambil berjalan ke terminal bas, dan juga untuk dimakan ketika berada di dalam bas.

Malam seusai mandi, kami melepak di ruang hadapan bersama Pak Agus, Bu Aria dan Mas Hadi. Kami mempelawa mereka makan buah salak yang dibeli. Gembira sekali mereka dengan buah tangan yang Haeri beli. Terang Bu Aria, buah salak memang kegemaran Pak Agus. Beberapa biji buah salak diambil Pak Agus hanya untuk dimakannya seorang. Kelibat gadis-gadis Sepanyol tidak kelihatan. Entah apa aktiviti yang mereka buat pun aku tak tahu. Pak Agus memberitahu kami bahawa mini van yang akan membawa kami ke Bromo akan menjemput pada jam 8 pagi. Kami mengangguk.

Kemudian Haeri terasa lapar, begitu juga aku. Sebenarnya sukar untuk kami mengawal nafsu makan di Jogjakarta ini. Makanannya murah-murah. Aku anggap ini sebagai syurga makanan Indonesia. Ada saja rasa hendak makan. Haeri mahu cuba soto nasi. Soto nasi di sini tidak menggunakan nasi himpit seperti di Malaysia. Nasi putih biasa diletakkan di dalam sup soto. Haeri pun membeli soto nasi yang dijual di hadapan. Aku pula membeli bakso sahaja.

Sedang menjamah makanan di lorong yang sempit itu, kelihatan beberapa orang melepak di tepi kedai minum bir yang dibeli dari Indomaret. Selepas itu, kelihatan kelibat jasad dua gadis yang dikenali melalui lorong tersebut. Mereka adalah Meritxell dan Noelia. Pada waktu ini mereka kelihatan agak berlainan kerana mengenakan mekap di muka.

Hey, what are you doing here Meritxell menegur kami. Just waiting for our food. Where are you going tanya Haeri.

Tonight is Christmas night so we are going to celebrate it at that bar, terang Meritxell sambil tangannya menunjuk ke arah bar yang mempunyai live band tersebut. Oh ya, Merry Christmas to both of you! kami mengucapkan selamat beraya kepada mereka.

Thank you! If you two have nothing to do tonight, come join us! Meritxell menjemput kami turut serta dan kemudian berlalu pergi, melambai meninggalkan kami.

Aku dan Haeri memang tak tahu nak buat apa pun, maka kami berjalan memasuki perkarangan bar tersebut. Kepala diangkat mencari-cari kelibat dua mereka dan akhirnya terjumpa. Namun terdapat satu jasad lelaki asing berada di meja dua gadis Sepanyol tersebut. Kami masuk menegur dan duduk di tempat masing-masing sambil memperkenalkan diri kepada lelaki tersebut. Lelaki India itu mengatakan dia dari Singapura.

Haeri tidak memesan sebarang minuman dan aku hanya mahu minum minuman ringan. Di atas meja kelihatan dua pinggan yang sudah habis licin dimakan serta dua botol bir besar dan sebotol air mineral besar. Memandangkan lelaki India itu dari Singapura, tiba-tiba aku teringat akan satu soalan pernah kawan aku tanya bagaimana nak tahu murtabak Singapore yang ori. Soalan itu aku tanya kepadanya. Tergamam lelaki India Singapura itu. Lalu dia menerangkan yang sebenarnya dia adalah rakyat India yang bekerja di Singapura. Kerana itu barulah aku tahu kenapa dia terbangang sebentar bila diajukan soalan itu.

Bir yang dipesan gadis-gadis Sepanyol itu ditawarkan kepada aku oleh Noelia. Mereka tidak pelawa Haeri kerana tahu dia tidak minum. Hanya bahasa tubuh badan digunakan Noelia mempelawa aku. Dituangnya bir ke dalam gelas kosong yang berada berhampiran dan memberikannya kepada aku. Seraya itu juga live band memainkan lagu Smells Like Teen Spirit dari kumpulan Nirvana. Lagu itu juga atas permintaan seorang pelancong yang meminta untuk bermain gitar pada malam ini.

Did you know that our van to Bromo will be at 8 in the morning aku bertanya di sebalik bunyi bingit muzik.

Yes, they just informed me before we go here! balas Meritxell sedikit jerit melawan bunyi bingit.

Selepas itu, lelaki India itu menyarankan kami mengembara ke India. Katanya paling mudah untuk pusing satu India adalah dengan menaiki keretapi. Agak menarik saranannya. Mungkin boleh jadi satu perancangan di masa akan datang. Kembara ke bumi India.

Ketika kami berlima bersembang, maka tahulah kami pekerjaan mereka. Lelaki India itu seorang jurutera di Singapura, Meritxell pula seorang psikiatri sebelum berhenti kerja manakala Noelia bekerja dalam bidang sains sukan. Semua seakan teruja dengan kerjaya Meritxell sebagai psikiatri namun dia sudah berhenti kerana mengembara. Lelaki India menyuruh Meritxell menilik nasib kami semua namun ditolak. Sementara itu, Haeri pula mengatakan sesuatu kepada Meritxell. Tangan kanannya dipusingkan di tepi kepala sambil merujuk ke arah aku. Celaka. Haeri kata aku gila.

Yea, I think so! Hehe, balas Meritxell setuju dengan pernyataan Haeri sambil tersengih. Aku memandang Haeri dan Haeri hanya tersenyum simpul. Cilake Haeri ni. Selalu kerja gila budak ni yang buat. Skang ni dia cakap aku yang gila kat minah Sepanyol ni! bicara aku dalam hati.

You think so Why Explain to me. I need your consultation, aku membalas Meritxell.

Hehe... I will explain later, when I find the right word in English to say to you, macam tu pula maklum balasnya.

You should ask him to pay for the consultation! Hehehe.. Haeri menyampuk. Meritxell setuju dengannya lagi. Mereka high-five sesama mereka.

You want to pay in Rupiah or Euro Hehehe... tambah Meritxell. Aku hanya mampu tersengih melayan kerenah mereka. Lelaki India itu pula mengatakan aku menghidap split personality. Eh! Memandai pula dia ni menjatuhkan justifikasi kat aku macam dia yang kerja psikiatri.

Topik demi topik berubah memenuhi malam Krismas kami. Dari lagu ke satu lagu dimainkan live band terbabit. Pada waktu ini berkumandang lagu Master of Puppet dari Metallica. Beberapa pengunjung yang mabuk berteriak kegembiraan mendengar lagu Metallica dimainkan. Mereka bersama-sama headbanging mengikut rentak dan irama.

Aku bukan minat sangat Metallica tapi aku layankan juga. Mujur lagu Master of Puppet adalah lagu yang aku layan. Malam sudah semakin lewat. Meritxell dan Noelia meminta diri untuk pulang ke homestay. Aku, Haeri dan lelaki India itu masih mahu melepak menghabiskan air minuman yang masih tersisa. Ketika beransur, sempat juga Meritxell memesan aku dan Haeri, Dont be late tomorrow morning! Kami menganggukkan kepala sambil melambai kepada mereka. Selepas itu kami bertiga sambung berbual. Perkara yang banyak dibualkan adalah mengenai lelaki India ini teruja dengan suasana di Jogjakarta. Dia mengatakan orang di sini begitu peramah dan berhibur sepanjang masa. Dia mahukan kehidupan sebegitu. Dia tidak begitu gembira dengan kerjanya. Nampaknya ramai orang sememangnya tidak gembira dengan kerja mereka tapi mereka terpaksa bekerja. Hal ini sememangnya satu masalah global. Mungkin mampu memudaratkan generasi yang akan datang.