KEMBARA PENIAGA JALANAN - 16
CERITA ini aku pernah kongsi di Facebook Ikram Al Banjari tahun lalu. Kau baca betul-betul apa yang aku tulis. Aku hendak mengajak semua orang berniaga di jalanan, berfikir. Tekanan kehidupan ada setiap hari, ia tidak perlu dicari-cari. Hidup ini memang padang ujian buat kita semua. Tetapi hanya insan yang berfikir dan bertindak akan menemui solusi. Apabila kau asyik fikir masalah dan tak pernah berbuat apa-apa, masalah tidak akan pernah selesai.

Bercerita tentang kisah peniaga jalanan di saman Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bukanlah perkara baru. Sebagai seorang usahawan yang memang lahir dan belajar di jalanan, perkara begini sudah lali. Hakikatnya, semua orang mempunyai alasan dan pilihan tersendiri untuk memilih lokasi menjual. Di negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan

Vietnam, street staller menjadi tarikan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Siapa biasa ke sana, pasti tahu keadaannya. Aku paling suka jika ke Thailand. Warung jalanannya menyajikan begitu banyak pilihan makanan dan minuman untuk dicuba. Ini bukan sahaja memberi pilihan untuk orang makan sedap, malah ia menjadi satu pilihan pelancong dari seluruh dunia untuk mencuba.

Di Malaysia, peraturannya berbeza mengikut lokasi. Berikut ialah nasihat aku kepada peniaga jalanan jika ada menyimpan hasrat untuk berniaga di tepi jalan.

1. Pilih lokasi yang menjadi tumpuan orang lalu lalang untuk berniaga. Di mana ada orang, di situ ada wang! Janganlah kau cari lokasi yang tak ada orang dan sunyi.

2. Jual benda yang mudah untuk dibawa dan mudah untuk disediakan. Contohnya, air soya dalam botol, jus delima perah dalam botol, kuih muih, nasi lemak, keychain dan sebagainya. Apabila kau hendak jual benda yang susah disediakan, memang jadi lecehlah. Takkan kau nak bawa dapur rumah ke tepi jalan

3. Sekiranya meja jualan perlu dibuka dan ditutup selalu, pastikan meja ada roda dan mudah disimpan.

4. Sebelum mula menjual, tengok kiri dan kanan, atas dan bawah. Jangan lupa baca bismillah dan jual sajalah!

5. Sekiranya ada penguat kuasa datang kepada kita, mohon senyum dan jangan melawan. Sebaliknya berkata begini, Assalamualaikum tuan, dah makan Saya ada buat salah ke tuan Kau jangan buat muka bekeng. Rileks saja.

6. Ego manusia yang beruniform memang tinggi sikit sebab dia sedang bertugas. Tapi kalau kau pandai ambil hati, dia senyum juga. Paling tidak, dia beli juga air soya yang kita jual sebab haus!

7. Sekiranya diberi saman, ambil sajalah! Jangan pula kita berteriak mahu melawan. Jangan maki hamun dan keluarkan kata kesat. Dia buat kerja dia. Kita buat kerja kita.

8. Psssttt! Saman baru berapa ringgit bagi kesalahan menjaja di jalanan. Untung berniaga sehari pun boleh cover kalau pandai merayu! Kau kena bijaklah sikit.

9. Tanya penguat kuasa tadi dengan baik, Tuan, maaf saya mohon bertanya. Kalau berniaga di sini tak boleh, boleh tunjukkan saya di mana lagi saya boleh Kau tengok apa dia jawab.

Teringat kisah aku berniaga di tepi jalan berhadapan 7 Eleven Bandar Pusat Jengka, Pahang. Aku buka dua kanopi warna merah menjual kain dan baju kurung pada bulan Ramadhan. Ini semua idea Abang Burhan dan Kak Syeda selepas aku beritahu aku ada satu kontena baju kurung untuk dijual pada musim perayaan. Merekalah yang mencadangkan aku rambo di sana. Pada mulanya tidak ada seorang pun yang berjualan di situ, aku orang pertama pacak kanopi 10 x 10. Aku tak peduli. Bob, Afiq dan beberapa orang lagi budak-budak aku bawa untuk membantu. Tak sampai lima hari kami di situ, seorang demi seorang datang menyambung kanopi.

Apabila ada lori Majlis Perbandaran Maran lalu di hadapan kami, aku tidak menyorok! Sebaliknya aku keluar ke depan, lambaikan tangan dan senyum lebar. Kau kena rileks dan tenang saja, kita bukan buat jenayah. Kita cuma mahu berniaga dan mencari sesuap nasi bubur berlauk yang sedap. Kau faham tak

Setiap hari kami diberi saman kerana salah menjaja di tepi jalan. Aku akur dan terima, satu saman RM50 sahaja. Mudah sahaja, aku anggap itu sewa tapak, habis cerita. Peduli apa aku, asalkan hubungan kita dengan penguat kuasa tidak terjejas dan kami boleh buat untung, sudahlah. Kalau kau melawan sangat pun, kau tak boleh berniaga di situ, kau juga yang susah.

Aku masih ingat lagi pada malam akhir berniaga di sana, penguat kuasa itu datang membawa anak dan isteri. Disuruhnya isteri membeli di kedai kami. Aku berikan dia kerusi untuk duduk. Dia nampak penat, mungkin sudah puas tawaf Bandar Pusat Jengka agaknya.

Penguat kuasa itu berkata pada aku:

Dalam ramai-ramai orang berniaga di tepi jalan. Kau sorang je yang tak marah dan maki kami. Kau sorang je terima saman dengan tenang. Abang memang respek kau bro.

Saya jawab, Kecik punya hal lah tuan, samanlah saya sebab saya memang salah. Terima kasih juga sebab tak angkut barang saya.

Malam ini mereka sekeluarga sangat seronok membeli. Mau tidaknya, dapat diskaun hebat daripada tauke! Aku cakap pada isterinya, kak pilih saja mau yang mana. Saya bagi diskaun istimewa sebab suami akak itu kawan baik saya! Haih, boleh tahan jugalah selera mereka membeli malam itu.

Aku perhatikan saja dengan tenang.