UNTUK HUJAN DAN ANGIN YANG MEMELUK TIAP MALAM YANG PANJANG - 16
Hari terakhir di London, 3 minggu lepas usai London Bookfair tahun 2016, aku menghabiskan masa berjalan ke Portobello Road.

Pagi Sabtu itu, jalan yang panjang ini dipenuhi dengan barang antik oleh peniaga yang semuanya Londoners sendiri menjaga gerai mereka. Selain barang vintaj, juga ada musik jenis akustik & open mic di beberapa lokasi. Rasanya seperti festival budaya, dengan kehadiran orang yang ramai dan jualan makanan yang macam-macam dari Asian sehingga makanan Scotland juga. Aku berjalan dari jam 9 pagi di bawah gerimis dingin dengan suhu serendah 7 darjah tanpa arah tuju dan matlamat. Dari satu gerai ke satu gerai, sehingga akhirnya aku sedar jam sudah menunjukkan jam 2 ketika aku sampai di hujung lorong itu, yang juga menempatkan restoran makanan Malaysia bernama Makan.

Dari Portobello kemudiannya aku bergerak ke stesen Tube Tottenham Court Road untuk membeli tiket teater War of the Worlds di Dominion Theatre. Aku juga sempat singgah ke kedai buku Bookmarks dan Oxfam kat Boomsbury Street, betul-betul di belakang teater Dominion. Dan oleh kerana masih awal, aku turun balik menuju ke arah Tube dan naik tren selang 4 stesen ke Camden Town. Bentuk bangunan di daerah kecil yang hippies ini semuanya agak aneh dan ketika melintasi sebuah bangunan yang agak pelik aku berhenti kerana headphone yang kupakai ditelinga sedang memutarkan lagu Amazing Day dari album baru Coldplay. Liriknya berbunyi;

And I asked

Can the Birds in poetry chime

Can there be breaks in the chaos sometimes

Oh thanks God, must have heard when I prayed,

Di hadapan bangunan itu aku terpaku kerana wujud 2 perasaan yang tidak dapat kutangani.

Pertama perasaan itu adalah marah, kerana kelihatannya seolah aku belum benar-benar faham ujian-ujian yang sedang aku tempuhi dan keduanya kecewa kerana aku merasa seolah doa-doa aku tidak dimakbulkan Tuhan.

Beberapa bulan kemudiannya aku melakukan perjalanan ke Iran ketika orang lain sedang bergembira menyambut Hari Raya Aidilfitri. Aku masih ingat malam raya itulah, ketika dalam perjalanan dari Tehran ke Isfahan yang mengambil masa sehingga 9 jam perjalanan menaiki bas, aku menyaksikan sebuah pementasan hidup.

Sayup di hujung telinga kedengaran lirik Radiohead perlahan; Dont get any big ideas, Theyre not gonna happen... sebelum pergerakan semakin perlahan.

Dan bas berhenti.

Aku bangun dari tidur panjang yang tak berapa lena tersebut dengan laju, mengalihkan headphone dan berpusing ke arah orang di sebelah. Dia, lelaki Farsi berumur 30-an memalingkan muka melihat aku yang bingkas bangun sebelum fokus melihat ke hadapan semula. Jam menunjukkan angka sebelas, perjalanan ini seharusnya berbaki satu atau dua jam lagi.

Dan beberapa penumpang dari belakang kelihatan beratur untuk turun. Aku mencari beg dan barang sebelum melihat di tingkap bas. Di luar malam masih pekat, hanya ada beberapa tiang lampu dan bas sebenarnya berhenti di tepi jalan. Tidak ada bas lain. Tidak ada perhentian. Ini bukan penamat kepada perjalanan ini.

Aku meraut wajah sebelum mengingat semula apa yang telah terjadi hari ini. Pagi tadi sekitar jam 8, ketika rembang matahari pagi sedang mencucuk masuk ke dalam bilik di celah langsir, aku buat keputusan untuk bergerak keluar dari Tehran hari ini tanpa mengetahui bahawa aku sebenarnya tidak boleh melakukan transaksi di bank menggunakan kad bank yang dibawa dari Kuala Lumpur.

Dan kini seorang demi seorang meluru keluar dari bas. Ketika aku sampai di muka pintu bas dan menjejakkan kaki ke tanah, kelihatan pemandu bas sedang membuka tali pinggangnya dan bertengkar dengan seorang pemuda sambil dikelilingi oleh penumpang bas.

Aku terduduk sambil tersenyum dan menekup mukaku sebelum mendengar pergaduhan menjadi semakin berat. Dari bunyi sorakan serta tegahan para penumpang aku dapat mengagak pergaduhan di antara pemandu bas dan lelaki itu berlangsung terus sehingga paling kurang 30 minit lagi.

Pergaduhan ini mengingatkan aku kepada perbualan aku dengan seorang rakan tentang bagaimana manusia boleh tertarik antara satu sama lain. Kami berbual mengenai teori dan alasan tentang mengapa manusia boleh tertarik dan bagaimana manusia juga boleh tak tertarik (secara sengaja) antara satu sama lain.

Persoalan ini membangkitkan persoalan lain pula, sepertimana Jiwa yang orang Melayu selalu rujuk kepada Hati;

Apakah, kita jatuh hati terhadap seseorang kerana rupa, bangsa, kulit atau Jiwa

Dan agaknya, bagaimana boleh kita jatuh kepada Jiwa seseorang atau bagaimana untuk melihat Jiwa seseorang atau sebenarnya bagaimanakah kita mampu membenarkan orang melihat dan meneroka Jiwa kita

Sebut Rudolf Rocker; Anarkisme ni bukan sebuah sistem sosial tetapi hanyalah trend dalam perkembangan sejarah manusia,

Atau kata Anton Pannekoek dalam 5 Theses on the Class Struggle; The goal of the working class is liberation from exploitation,.

Hasil dari persoalan-persoalan ini menemukan aku kepada sebuah pemerhatian lain iaitu Cinta.

Kata Proudhon dalam Ide Gnrale de la Rvolution au XIXe Sicle (The General Idea of the Revolution, 1851);

Communism is the exploitation of the strong by the weak. Communism is essentially opposed to the free exercise of our faculties, to our noblest desires, to our deepest feelings. As man seeks justice in equality, so society seeks order in anarchy, Jika diperhatikan, bagaimana Cinta mengekspoitasi Jiwa atau Hati manusia membenarkan tesis-tesis anarkisme kerana tidak wujud peraturan atau autoriti dalam Cinta.

Dan dalam hal ini Cinta selalunya mengeksploitasikan Jiwa-jiwa dan Hati-hati yang ada kerana sekian ramai dari kita tidak belajar untuk melihat Jiwa atau bagaimana membenarkan orang melihat

Jiwa yang kita miliki.

Akhirnya pada satu malam di Munich ketika musim dingin baru menyembah di bulan Oktober, aku berjalan sendirian di celah ibu kota itu dan menemukan serpihan-serpihan jawapan kepada persoalan-pemerhatian yang sedang aku hadapi.

Di sebuah lorong shopping street ketika semua kedai sudah ditutup dan malam semakin lewat, aku menyertai sekumpulan kecil orang berkerumun di depan seorang gadis yang sedang menyanyikan lagu. Memang inilah sedikit dari kesenangan yang aku pelajari sejak mula mengembara beberapa tahun lalu iaitu cuba berinteraksi dengan penyanyi jalanan dan memahami lagu-lagu yang mereka bawa.

Malam itu, 16 Oktober 2016 ketika berada di celah-celah manusia kecil yang sedang meraikan sedikit kegembiraan dan bersama cuba menikmati hidup masing-masing dengan sedikit lagu kecil dari gadis yang tak dikenali aku jadi lebih memahami.

Kita takkan nampak cahaya jika duduk di dalam gelap. Kita takkan percaya ketentuan jika kita tak benar-benar percayakan-Nya. Ada orang duduk dalam gelap 5 bulan, ada yang berada di dalam kegelapan setahun lebih malah ada yang masih bergelap sepanjang hidupnya.

Kata Proudhon lagi; As man seeks justice in equality, so society seeks order in anarchy,

Mungkin, Tuhan tahu yang terbaik untuk kita, iya mungkin. Sama ada kita sedang diuji dengan kesusahan, atau kesenangan. Dan ujian seharusnya menguatkan kita, bukan melemahkan. Cinta itu melawan, bukan menyerah. Dan Cinta seharusnya menerbitkan cahaya, bukan kegelapan.

***

Kata Iwan Fals dalam Ijinkan Aku

Menyayangimu;

Cinta yang kupendam

Tak sempat aku nyatakan

Karena kau telah memilih

Menutup pintu hatimu

Ijinkan aku membuktikan

Inilah kesungguhan rasa

Ijinkan aku menyayangimu

Sayangku oh

Dengarkanlah isi hatiku

Cintaku oh

Dengarkanlah isi hatiku

Helaian yang kalian sedang pegang dan baca ini bukanlah puisi. Helaian ini adalah rekod-rekod, bahawa aku pernah melalui fasa gelap di dalam hidupku. Dan keputusan untuk mendedahkan sebahagian besar dari sisi diri aku yang lain ini adalah sebuah keputusan besar. Kerana itulah proses menerbitkan buku ini bukan sebuah proses mudah, ianya berlanjut dari proses yang panjang bermula dari tahun lalu lagi. Malah pada awalnya aku sendiri kurang bersetuju kerana sepanjang 11 tahun kepengaranganku sebagai penulis, aku belum sesuai dan cocok untuk menulis puisi. Maka yang ada ini hanyalah catatan-catatan kecil yang aku simpan dan terkadang diluahkan di media sosial tanpa aku sendiri sedari dan fahami.

Kita semua pernah marah dan kita semua pernah kecewa. Jadi hari ini apabila melihat semula catatan kecil yang pernah aku tuliskan ini aku berpendapat, aku mungkin tak perlu malu kerana menulis hal remeh-temeh seperti perasaan ini.

Kerana ini adalah sebahagian dari pelajaran yang perlu aku lalui sebagai penulis untuk menjadi matang dan lebih bertanggungjawab. Mengawal hati, memelihara perasaan dan menumbuhkan semangat di dalam diri adalah kerja besar buat para penulis. Kita semua, para penulis mungkin tidak bisa menulis jika tidak mampu belajar menundukkan perkara kecil seperti perasaan ini.

Dan perasaan, seperti hati, seperti jiwa, ialah sejenis anarki. Maka Cinta harus berfungsi untuk membebaskan. Dan kerana itulah aku bersetuju dengan Cikgu Zul dan Mutalib untuk menerbitkan kompilasi catatan ini hari ini, ketika dunia sudah lagi tidak gelap untuk aku dan setiap pagi ialah sebuah pelayaran yang membebaskan.

ZF Zamir

Bangi, 12 April 2017.