Tetapi sebenarnya, mereka tidak pergi ke Golok. Sehari suntuk mereka bertiga berada di Kafe Siber di pusat bandar, Pengkalan Kubor. Segala urusan pernikahan melalui sesawang MarryMe akan dilaksanakan di Kafe Siber itu. Proses pembayaran semuanya melalui aliran sesawang itu juga, tetapi digunakan atas nama Muiz, untuk mengelakkan daripada dikesan pihak polis.
Di Kafe itu juga, pada petang itu Zed dan Qaseh telah dinikahkan melalui teknik skype di laman sesawang itu, disaksikan oleh Muiz. Dan dalam masa 1 jam, pihak MarryMe telah menyediakan sijil pernikahan buat pasangan pengantin, dan mereka bolehlah mencetak sijil itu dengan sendiri.
Maka terciptalah sejarah yang ditunggu-tunggu Zed dan Qaseh selama ini. Pada tarikh 18hb Oktober 2016, mereka bergelar suami isteri. Tarikh di mana mereka berdua sepatutnya sedang menghadapi peperiksaan PT3.
Pada lewat petang itu, mereka bertiga pun pulang ke rumah menyampaikan berita bahawa Zed dan Qaseh telah sah menjadi suami isteri. Berita gembira itu disambut dengan senang hati oleh Pak Jan dan Mak Teh. Molek surat nikoh dio, deh, kata Mak Teh sambil tersenyum lebar. Pak Jan tak henti-henti melafaskan kata syukur, Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. lego pokcik, sambil mengusap ke dua telapak tangan ke mukanya.
Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan kebahagiaan yang sedang menyirami Zeidi bin Zakaria dan isterinya Qaseh binti Badri, pada malam itu. Sungguh indah malam pertama dinikmati pasangan pengantin baharu. Mimpi Zed dan Qaseh kini menjadi kenyataan. Keesokan malamnya Pak Jan dan Mak Teh mengadakan kenduri kesyukuran sempena menyambut perkahwinan Zed dan Qaseh, yang mereka anggap seperti anak sendiri. Walaupun jamuan diadakan kecil-kecilan tetapi kemeriahannya disambut hingga ke jam 3.00pagi.
Setelah semua tetamu meninggalkan majlis, Zed, Muiz, Qaseh, Pak Jan dan Mak Teh pun mulalah menjalankan kerja-kerja mengemas dan membersihkan halaman rumah. Tiba-tiba muncul tiga orang tetamu yang tidak diundang, berpakaian seragam polis. Kehadiran Inspektor Badri dan dua orang anggotanya, menghairankan Pak Jan dan Mak Teh. Muiz pula kelihatan sedikit gabra. Zed dan Qaseh membisu tercegat berdiri. Pada wajah mereka berdua tergambar keredhaan di hati masing-masing.