TORA DATANG LAGI - 17
Televisyen merupakan antara salah satu benda wajib ada untuk setiap kanak-kanak. Rumah yang tidak mempunyai televisyen diibaratkan seperti rumah yang masih berbunyi pahatnya. Perasaan kemurungan akan dialami apabila televisyen rosak ataupun terputus bekalan elektrik. Walaupun pada ketika itu, saluran televisyen tidak lebih pun dari empat, tetapi setiap rancangan yang disediakan dinikmati dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan tidak kira kanak-kanak dan orang dewasa.

Siaran televisyen pertama di Malaysia bermula pada 28 Disember 1963 diikuti dengan rangkaian keduanya setahun selepas itu. Siaran televisyen TV1 & TV2 ini dikendalikan oleh kerajaan. Pada peringkat awal, siaran televisyen ini lebih banyak menayangkan rancangan tentang pendidikan, penyatuan kaum dan sumber maklumat pembangunan.

Pada tahun 1984, siaran televisyen swasta, TV3 memulakan penyiarannya dan memberi satu lagi pilihan kepada penonton untuk menonton televisyen.

Munculnya TV3 berserta variasi rancangan yang lebih moden telah menyebabkan TV1 kurang mendapat sambutan. TV2 pun berani mati tak mati, nasib baik kerana masih mempunyai slot Action Movie.

Antara rancangan-rancangan power ketika itu adalah:

Opah, Santan Berlada, Naik Tangga Turun Tangga, Rumah Kedai, PJ Holdings, Hikayat Hang Setia, Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Baba & Nyonya dan slot Spektra.

Cinema Cinema Cinema, Beyond 2000 dan slot Action Movies. MacGyver, Airwolf, The A-team, Manimal dan X-Files.

Oshin, Mario Attack dan Miss Comet.

Saber Rider & The Star Sheriff, Kickers, Dash Yonkuro, Woody Woodpecker, Captain Planet, GI Joe, Transformers, Ninja Turtles, Mospeada, Silverhawks, Thor, He-Men, Thundercats dan Tomato Man.

Sesame Street, Along, ABC,

Usop Sontorian, Di Mana Joe Jambul, Alam Ria Cuti Sekolah dan Pintar Pintas.

Pop Kuiz, Asia Sinaran Pasport Kegemilangan, Hiburan Minggu Ini dan Bintang Sendaloka bersama Singer, More Jutaria,

Perdana Ria, Tekaria dan Simpan-Simpan.

Pada tahun 1994, muncul sebuah lagi siaran televisyen swasta iaitu Metro Vision. Jakinya, Metro Vision ini hanya beroperasi di sekitar Lembah Klang sahaja. Oleh kerana itu, orang yang tinggal di luar Lembah Klang menjadi panas dengan orang yang tinggal di Lembah Klang. Berkat doa orang-orang yang panas, ianya hanya bertahan selama 5 tahun sahaja dan ditutup pada tahun 1999. Walau bagaimanapun, kawasan di sekitar Johor pula mendapat saluran televisyen dari syarikat televisyen Singapura. Hal yang serupa berlaku di kawasan utara tanah air yang turut mendapat saluran televisyen dari syarikat televisyen Thailand. Maka memang ramai betul orang dengki dengan orang Johor dan negerinegeri Utara ketika itu.

Pada tahun 1995, muncul stesen televisyen berbayar yang pertama iaitu Mega TV. Belum pun sempat untuk berlagak lama, setahun selepas itu satu lagi stesen televisyen berbayar muncul dan dikenali dengan nama Astro. Oleh kerana kos hidup yang cukup-cukup ketika itu, hanya keluarga berada dan keluarga cikgu-cikgu sahaja yang mampu memasangnya.

Setelah redha menikmati televisyen dengan hanya 3 saluran, pada tahun 1998, satu lagi siaran televisyen swasta muncul dan dikenali sebagai NTV7 dengan memberikan keutamaan kepada rancangan berunsur sitkom di dalam dan luar negara. Masa ini kalau boleh setiap masa nak tengok saluran NTV7 sahaja. Nak nampak keluarga moden kononnya.