Tapi bolehkah logik dan paranormal tidur dalam katil yang sama Barangkali boleh. Tapi saling tolak-menolak. Tendang-menendang. Merebut selimut yang sama. Terus berantakan sesama sendiri sepanjang malam. Sehinggalah salah satunya mengalah, ambil bantal dan tidur di atas lantai.
Sekarang, Arfan sendiri tak tahu nak fikir apa. Dia berkonflik dengan dirinya sendiri. Mungkin apa yang Haida katakan adalah hakikat. Ataupun mungkin dia hanya seorang wanita yang sudah tidak siuman dan merepek macam-macam di hari-hari akhir kehidupannya. Atau mungkin... ianya memang benar. Tapi kebenaran yang wujud untuk diri Haida sahaja. Memang dia tak menipu. Memang dia betul-betul pernah mengalami semua ramalan tersebut. Tapi siapa yang boleh menentukan, samada kebenaran Haida itu, hanya sah untuk dirinya saja, atau boleh diaplikasi kepada umum Itulah persoalan yang paling utama sekarang. Dan dunia yang kita sedang duduki sekarang ini, masih belum bersedia untuk menjawabnya.
Lamunan Arfan membuatkan dia tidak sedar bahawa mereka sudah sampai semula ke pejabat.
Arfan tidak menunggu lama untuk memulakan laporannya. Sebab itulah sebaik sampai, dia terus menyerang komputer riba di atas mejanya. Arfan fikir, lagi cepat habis lagi bagus. Tak perlu dia duduk dalam kes ini lama-lama. Entah kenapa, tugasan ini meninggalkan satu rasa kurang enak pada hujung lidah dan pangkal tekaknya.
Bukan soal tak biasa. Dah banyak benda lain yang lebih menakutkan dan 'mengganggu' yang Arfan sudah hadapi. Untuk projek tahun akhirnya, Arfan mengkaji dan membuat liputan di pusat-pusat 'panas' dimana kejadian paranormal sering berlaku. Sampai ke Indonesia dan Thailand Arfan merantau untuk bermalam di rumah-rumah berhantu dan tanah-tanah perkuburan. Sewaktu praktikal, banyak juga tugasan-tugasan berat yang Arfan sudah hadapi. Contohnya seperti kes kerasukan yang meragut nyawa seorang gadis. Wajah gadis itu yang merubah rupa sewaktu saat-saat akhir kematiannya, memang satu imej yang tersenarai di antara perkara paling menakutkan yang Arfan pernah tengok dalam hidupnya.
Tapi semua pengalaman itu tidak mengganggunya seperti ini. Entah kenapa, kes Haida ini yang Arfan rasakan paling membebankan jiwa dan semangatnya. Sebab tulah dia nak cepat-cepat selesaikan.
Semasa menyelak nota-nota, Arfan ternampak pada sebaris ayat yang hampir dia lupa. Ayat yang Haida tuliskan untuknya tadi. Yang Arfan pun tak tahu apa yang Haida mahu dia lakukan tentang ayat itu. Sebab ia tak membawa sebarang maksud yang kukuh. Untuk disiasat mahupun untuk disertakan di dalam artikel nanti.
'Dia yang tahu segalanya....'
Arfan cuma memasukkan ayat itu ke dalam laporan. Bergantunglah kepada penulis artikel samada dia hendak masukkan ke dalam cerita ataupun tak. Arfan tak mahu ambil tahu. Dia hanya akan membacanya bila dah dicetak dalam keluaran seterusnya nanti.
Tentang lelaki yang bernama Han juga. Walaupun Arfan mengatakan pada Haida bahawa dia akan cuba menyiasat, hakikatnya perkara itu di luar bidang kuasanya. Dia hanya kuli di sini. Apa yang dia boleh buat adalah memasukkan dalam laporan. Lepas itu, ianya bergantung pada orang-orang di atas untuk melakukan apa dengan maklumat tersebut.
Setelah siap, Arfan menyerahkan laporan kepada editor. Cepat dan efisien. Arfan puas hati dengan kerja hari pertamanya. Dia boleh pulang dengan hati yang aman. Tapi masih... langkahnya berat untuk keluar dari bilik editor tersebut.
"Ada apa-apa lagi" soal editor.
"Dalam laporan tu... ada satu bahagian..."
"Ya"
"Dalam bahagian tu, subjek ada request kita siasat tentang sesuatu."
"Tak apa nanti saya baca."
"Kita akan siasat ke" Arfan musykil.
"Bergantung kepada apa maklumatnya. Relevant ke tak dengan artikel."
"Kalau tak relevant dengan artikel Tapi hanya sesuatu yang diminta oleh subjek sebagai satu favour"
Editor tersebut yang dari tadi tangannya sibuk menaip, berhenti. Dia melucutkan kaca mata berlensa tebalnya. Wajah segar Arfan ditenung seketika.
"Saya tau banyak lagi yang awak perlu belajar. Anggaplah ini lesson number one awak. Tugas kita bukan untuk menolong orang-orang ni. Tapi hanya untuk menyampaikan cerita mereka. Subjek memang penting, tapi bukan untuk dirinya. Subjek hanya penting untuk pembaca. So tumpuan kita juga hanyalah untuk pembaca. Kita mesti hanya menitikberatkan apa yang penting, untuk selera pembaca. Yang lain-lain semua tak perlu..."
Arfan akur. Walaupun bukan seratus peratus. Tapi dia kira sembilan puluh lima peratus sudah memadai untuk dia meneruskan harinya tanpa berpaling ke belakang lagi.
Dalam perjalanan pulang, Arfan lalu di sebuah tempat yang sudah berminggu tidak dikunjunginya gara-gara sibuk dengan persediaan menempuh alam kerja. Tapi hari ini bagi Arfan adalah hari yang cukup sesuai untuk dia mengunjungi tempat itu semula. Memandangkan rasa rindu juga sudah begitu menebal terhadap arwah adiknya.
bersambung
Bab akan datang:
Apakah yang akn Arfan lakukan semasa berada di kubur arwah adiknya