SURAT-SURAT UNTUK KAHERAH - 17
Dia orang Itali. Wafa mengemam bibir. Kepalanya ditundukkan bagi menghalang aku menatap kornea matanya yang berkaca.

Kami jumpa di airport. Dia bertanyakan arah.

Kemudian kami berbual.

..bersembang.

Tentang agama.

Kami berkenalan.

Sepertinya orang sehodohku tidak akan dihormati, tidak layak dicintai. Tetapi lelaki ini berbeza. Dia pegawai kerajaan Itali yang bertugas di Mesir menguruskan hal perlancongan. Orangnya muda, pemilik wajah aktor hollywood. Bukan fizikalnya yang jadi ukuran. Tetapi keikhlasan dia menerima aku seadanya, lebih baik dari lelaki Melayu Muslim. Aku cuba membawanya kepada Islam, akhirnya aku sedari bahawa aku sedang dilambung bunga cinta. Cinta dari lelaki yang berhemah dan bersopan dalam melayanku. Wafa menangis teresak-esak. Kemudian dia menyambung,

Aku menangis kerana membayangkan betapa tulusnya dia. Dia begitu memahami dan lembut. Kasih sayangnya jelas sehingga menampakkan cahaya pada wajahnya. Kalau kau kenal, kau akan tahu. Kau akan mengerti perasaanku. Aku terharu dia sudi mendampingi wanita Asia biasa sepertiku. Tetapi dia sangat tetap pendirian. Dia tidak akan meninggalkan gereja.

Jam 6.00 pagi. Aku berkira-kira tentang mimpi malam tadi. Itu bukan Wafa. Wafa tidak akan membiarkan rambutnya mengurai ke bahu. Rambut yang selama ini tidak pernah dilihat lelaki ajnabi. Wafa tidak sekali-kali memperagakan itu di dadanya. Sebentuk salib yang diperbuat daripada emas tulen yang megah ditimpa cahaya lampu. Pantulan cahaya keemasan itu ku harap akan malap disimbah air wudhukku sebentar lagi. Mimpi setan yang mungkin sahaja datang setelah setan itu mendengar perbualanku dengan Anne minggu lalu di restoran.

* * *

Apek dan nyonya tua masih berkumpul melakukan gerak Taichi diiringi muzik. Beberapa belia Melayu berjoging mengelilingi padang stadium mini. Pulau Pisang masih ada di situ. Di hujung permandangan Selat Melaka. Fajar baru menyinsing sejak aku tiba di sini subuh tadi.

Aku duduk di atas batu-batu besar hitam, menujah pandangan ke Pulau Pisang. Perasaanku hanyut dibawa kenangan. Kenangan persahabatan. Seperti mentari melabuhkan tirai pada layar maghrib. Ia muncul lagi pada keesokan paginya. Tidak pernah padam cahayanya. Cuma menanti masa untuk bersinar semula.

Kehidupan merupakan anak sungai yang panjang. Berliku namun permukaannya tenang. Di dasarnya tersembunyi sejuta rahsia. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Kadang kala rahsia itu terlihat kelopaknya, kadangkala ia tersembunyi di telan zaman.

Hidup ini sebuah peristiwa, yang sementara. Dalam peristiwa ada cinta. Ada duka. Saling berpintal tanpa enggan berpisah. Sebuah keluarga ; sebuah kenangan. Sebuah persahabatan ; sebuah perjuangan. Sebuah perpisahan ; sebuah ujian bagi iman.

Tuhan mengizinkan pantai menjadi saksi, rupa-rupanya di sini epilog persahabatanku. Terima kasih kerana menghantar dia menjadi seorang sahabat. Cukup tulus dan lembut. Setanding imannya. Wafa Thahirah satu-satunya teman yang memberi tafsiran rindu. Tidak ada sahabat sejati selepas dia. Seluruh denyutan nadiku aku serahkan untuk mengasihi seorang gadis solehah sepertinya. Akan ku tunggu, sampainya waktu..untuk dia kembali.

Irama Taichi terhenti. Ia digantikan bunyi lori sampah Majlis Daerah yang menderu di sepanjang jalan. Aku bangun. Surat yang ku karang selesai solat subuh tadi, aku lipat kemas. Pagi-pagi lagi aku sudah ke Pekan Nenas. Seperti ketibaanku sebelum ini, rumah Wafa lengang.

Seperti tidak berpenghuni. Mungkin ibunya belum pulang dari kerja kilang shift malam, mungkin juga sedang tidur di dalam setelah pulang dari kerja. Ayahnya menghantar barang ke Singapura. Abangnya, Zharif telah berkahwin dan menetap di rumah lain. Adik bongsunya dititip ke rumah nenek.

Dinding rumah itu berlubang. Sekiranya aku intai dari celahan kayu, pandanganku boleh menembusi suasana dalam rumah. Tetapi itu tidak aku lakukan, entah apa pula kata jiran.

Surat tadi aku keluarkan dari poket tracksuit.

Wafa,

Saya minta maaf kerana tidak pernah merasakan apa yang saya rasa.

Kini saya menghidu..

Rindu sedalam laut merah, Syahdu kasih setinggi langit biru. dan kemuncak kesedihan yang tidak terbendung perit-

nya.

Hanim Hassan. 2012

Surat itu aku lipat dan kuselit di bawah pintu dapur perlahan-lahan. Naluriku seperti mendengar suara perempuan mengaji. Wafa begitu dekat di hatiku. Sehinggakan saat-saat seperti ini aku masih mendengar suaranya, seolah-olah sedang dia menghampiriku dan kian hampir.

Suara itu mati. Sahih, ia halusinasiku sendiri.

Aku menolak surat yang dikarang atas kertas putih itu. Tidak dapat jari telunjuk, ku tolak dengan jari kelingking. Surat itu terhalang. Aku menolaknya juga. Dan dapat kurasakan surat itu diangkat dari dalam, oleh seseorang. Pasti ibunya. Tetapi seperti biasa, telah ku taip di situ Tolong kirim ke Kaherah. Jadi, ibunya pasti faham.

Keadaan di dalam rumah senyap. Tidak ada apa-apa yang berlaku. Ibunya mungkin sedang menyimpan surat itu.

Aku memejam mata, aku ingin bermimpi.

Daun pintu diterbuka perlahan. Berkeriut bunyinya. Aku menangkap itu dari telingaku. Seorang gadis berjubah serba putih berdiri di hadapanku sambil mengucap salam. Salam yang telah lama aku impikan. Salam itu tidak ku jawab. Aku ingin mendengarnya lagi. Biar dia memberi salam berulang kali. Salam demi salam.

Assalamualaikum.

Assalamualaikum..Hanim. Assalamualaikum.. Senyap.

Hanim..

Aneh. Aku tidak memuja lagi suara itu. Ia datang sendiri. Apakah aku benar-benar ditimpa halusinasi

Tanganku disentuh. Ya Allah! deriawiku melebihi fungsi. Sehingga fisologi anatomiku mampu bersatu dengan khayalan. Apakah sekiranya aku membuka mata, Wafa Thahirah akan benar-benar berada di hadapanku, menyarung jubah putih sepadan dengan tudung labuhnya yang putih. Apakah aku mahu dia berniqob Ah, tidak perlu.

Cukup dengan pakaian Islaminya itu. Aku membuka mata.

Wafa Thahirah benar-benar di hadapanku. Memakai telekung dan kain solat. Raut wajahnya bersih.

Aku masih mengaji selesai solat subuh tadi. Terdengar pula bunyi motor, itu yang aku keluar. Suara Wafa berbisik diiringi senyuman manis. Tangannya memegang lembaran surat yang telah dibuka. Tanda telah dibaca.

Aku ketandusan kata.

Kau pulang Aku tergagap.

Iyelah. Kan aku ada depan kau ni. Ha, tu Anne. Wafa menjawab seperti tidak ada apa-apa yang aneh.

Hanim, kau tahu juga Wafa dah balik Aku dapat call dari mak aku, terus aku balik rumah mak aku ni. Restoran

aku pun belum buka lagi pagi-pagi ni. Aku terpinga-pinga.

Wafa, apa cerita kau Apa yang buat kau terbuka hati untuk kembali semula Anne bersuara lagi.

Anne pun nampak Wafa Bukankan ini imaginasi aku sendiri. Hak aku. Anne belum meminta izin untuk mencampuri wilayah halusinasiku.

Tetapi ini bukan imaginasi. Kerana Wafa, gadis hidung pesek kembang itu benar-benar berdiri di muka pintu. Pipinya tembam seperti meminta dipulas-pulas. Badannya pendek tidak seimbang.

Kau fikir keislamanku akan kecundang seperti akademik kau kecundang pada Asip Wafa Thahirah sengih. Yan ketawa kecil sambil mengucapkan alhamdulillah.

Aku pulang kerana pengajianku telah selesai, walaupun mengambil masa sehingga lima tahun untukku menyempurnakan Ijazah Sarjana Muda.

Aku terasa bebal. Fantasi dan realiti bercampur baur. Aku menenyeh tanganku ke pipi Wafa. Dia mengaduh sakit.

Hei, jangan berangan depan rumah aku la. Kau tak percaya ye Sudah, masuk dulu. Aku buatkan kopi, biar kau terjaga dari mimpi.

Anne berlalu pergi kemudiannya. Meninggalkan aku dan Wafa di meja makan dapur.

Demi sebuah kecintaan, aku pertaruhkan keturunan dan iman. Agar aku menikmati kelazatan yang tidak diizinkan. Tanah ku pijak terasa jerlus, menarik aku supaya rebah. Sujud kepada sebuah kecintaan yang sia-sia. Kini, selaut air mata aku hamparkan, selaut penderitaan dalam dakapan. Kesengsaraan terbentang di hadapan, ranjau berduri di kiri dan kanan dan sebuah kenangan cinta di belakang. Tetapi tetap ku dakap jerih dan perih ini. Walau deritanya melumpuhkan anggota, walau sejarah cintaku bernaung noda. Asalkan aku kembali kepada-Nya.

Nim, Surat-surat kau aku dapat. Ibuku memang mengirimkan ke Kaherah. Aku jadi terharu. Terima Kasih atas kasihmu.

Berterima kasih juga atas rinduku. Aku selalu mendoakanmu. Apakah surat yang ku tulis dari hati itu memberi kesan padamu

Sangat mengesankan. Aku menangis membacanya. Aku kemudiannya selalu merintih,

Tiadakah kesudian dari Tuhan untuk menerima aku sebagai hambaNya lagi, lalu ditabur duri keemasan yang menyilau akalku, menusuk naluri jahil. Andai hari ini aku ditimpa kesesatan, buta dalam pencarian nur-illahi. Terpesong dari laluan mujahadah, akan sucikah lagi iman hambaNya, yang ketandusan ilmu ketuhanan. Namun sebenarnya qasidah kepada RahmatNya. Namun akhirnya, aku tinggalkan dia bukan kerana surat-suratmu. Wafa menguis tangkai cawan. Air matanya seperti tumpah.

Jadi Aku setia menunggu.

Aku tinggalkan cintaku kerana Allah..