FILSUF UNTUK NOOB - 17
Kau mungkin tidak berpuas hati dengan pengembaraan ini. Kau punya sebab utama adalah, kau masih lagi tidak cukup jelas mengenai apa benda ilmu yang dipanggil falsafah ini. Memandangkan kita punyai beberapa masa lagi sebelum penerbangan balik ke Malaysia (maaflah, kuasa teleportasi aku sudah habis, lagipun aku ingat hendak bersama penerbangan terakhir MAS dari Amsterdam ke Kuala Lumpur), sambil menunggu, aku akan cuba menyimpulkan apa itu falsafah, bagi aku.

Anaximander, seorang sosok Yunani Purba dianggap juga sebagai antara tokoh saintis terawal. Inovatifnya Anaximander dalam mengusulkan suatu pernyataan yang kini tidak lagi menghairankan kita, namun pada zaman Yunani Purba, adalah sesuatu yang dikira tidak masuk akal. Pada zaman Yunani Purba, manusia yang tidak mempunyai teknologi satelit Google Earth menganggap bahawa bumi seperti sebuah landasan mendatar yang dibawah kita adalah tanah, dan diatas adalah langit. Amat logik pada ketika itu untuk tidak memikirkan mengenai planet-planet lain, ataupun fakta bumi merupakan satu titik kecil dalam alam semesta, kerana mereka,seperti yang aku jelaskan tadi, tidak mempunyai akses kepada semua teknologi-teknologi zaman sekarang.

Anaximander mengatakan bahawa bumi tidak menetap diatas sesuatu, tetapi terapung . Bila ditanya, kenapa tidak jatuh seperti kesemuanya Dia menjawab, mengapa perlu bumi jatuh seperti benda lain Tidak bolehkah, hanya benda jatuh di bumi sahaja sebuah anomali dan yang lain di alam ini semuanya terapung Dan sudah tentu Anaximander betul. Anaximander merupakan seorang ahli falsafah Pra-Sokratik.

Dan ilmu falsafah, kalau aku boleh rumuskan, adalah sepertinya Anaximander yang menyelesaikan masalah, dengan bertanyakan soalan yang tidak/jarang difikirkan orang lain. Orang lain semuanya mempunyai andaian bahawa bumi adalah sesuatu yang menetap di bawah,langit di atas, dan mereka senang menerima fakta ini. Tapi Anaximander mempunyai sifat ingin tahu. Tapi adakah orang lain dalam masyarakat Yunani tiada bertanya soalan begini Sudah tentu mereka juga mempunyai sifat ingin tahu, namun mereka berpuas hati dan menerima sahaja penjelasan dari mitos tanpa menyelidiki dengan lebih mendalam.

Kita semua pernah menjadi Anaximander pada suatu masa dulu, khususnya bila kita masih kecil. Namun, persoalan-persoalan dan perasaan ingin tahu ini dibunuh perlahan-lahan apabila kita membesar. Keluarga, masyarakat, sekolah, semuanya menghapuskan sifat ingin tahu kita. Serta jawapan dangkal yang atributkan segalanya kepada Tuhan membuatkan kita selesa, akhirnya terjawab juga soalan kita. Dan sememangnya kita tiada masa untuk meneroka soalan-soalan kita, disebabkan tanggungjawab-tanggungjawab lain.

Falsafah berbeza daripada teologi dalam hal ini. Teologi akan merujuk kepada autoriti Tuhan untuk menjelaskan perkara, falsafah cuba mencari lebih dari itu.

Apakah ini bermakna, agama dan falsafah itu tidak serasi Sudah tentu anggapan ini salah. Seperti yang kita lihat, Augustine merupakan seorang alim Kristian, dan dia berfalsafah. Begitu juga dengan Ibn Sina dan al Ghazali yang merupakan tokoh alim Islam, dan mereka juga berfalsafah. Proses penaakulan jika membawa kau kepada Tuhan, maka serasi lah agama dengan falsafah. Ada beberapa ahli falsafah yang mana proses penaakulan mereka tidak membawa mereka kepada Tuhan, maka mereka ingin membawa falsafah lari daripada agama, kita dapat lihat ini dalam tokoh-tokoh Eropah Moden. Jadi disini, kau boleh memilih mana-mana jalan, tetapi kau perlulah mengkaji argumen-argumen yang membawa kepada mana-mana kesimpulan. Dan inilah satu sisi lagi dimana falsafah berbeza dengan bidang lain, dimana argument yang kukuh diperlukan untuk mendirikan sesebuah sistem.

Kita hidup sekarang dalam dunia moden yang semakin hari memisahkan agama dari kehidupan seharian. Dan rata-rata kita ingat bahawa orang yang tidak beragamalah yang menyebabkan pemisahan ini. Namun tanpa disedari, kadang-kadang, orang yang beragama juga bersalah dalam hal ini. Apabila didedahkan dengan sesuatu yang tidak diakui dalam agama, orang-orang beragama terlalu cepat dengan siege mentality mereka memegang teguh dengan agama mereka. Dan terjadilah perlumbaan, dalam kalangan orang-orang beragama, siapakah yang lebih beragama. Seolah-olah itu menjadi validasi kepada kepercayaan mereka.

Bagi pandangan aku, sikap ini menghasilkan pandangan yang sempit terhadap agama. Ianya seperti sebuah istana mewah yang mempunyai banyak dewan-dewan yang cantik, koridor-koridor yang gah, dan taman-taman yang indah, tetapi pengunjung hanya berpusu-pusu menuju kepada sebuah balairaya sahaja. Alangkah ruginya mereka yang tidak mengunjung ke kawasan-kawasan lain. Jika benar balairaya itulah yang terindah, termewah, paling selesa, apa salahnya menjenguk ke kawasan lain seketika waktu, untuk mempelajari sesuatu, kalau tidak ada yang baru pun, sudah pasti apabila pergi kepada dewan yang lebih kecil, timbul perasaan menghargai balairaya yang besar. Balairaya yang mewah mungkin setelah beberapa lama beberapa bahagian menjadi pudar. Dan kita perlu mengambil penyapu, kain pengelap ataupun mop. Dan kalau benda-benda ini berada di bilik yang lain, tidakkah kita mahu mengunjung bilik ini untuk mengambil sesuatu yang boleh mengembalikan kemewahan balairaya

Aku akan berhenti di sini. Aku harap pengembaraan ini dapat membawa manfaat kepada engkau. Kalau tiada apa-apa yang bermanfaat darinya, kesalahannya adalah daripada kelemahan ku dalam menyampaikan. Paling tidak pun, kau berlalu dari buku ini dengan pengetahuan bagaimana untuk tidak menulis sebuah buku bersifat pengenalan kepada falsafah.

Bai.

Antara buku-buku dan laman web yang menjadi bacaan dan rujukan ku, dan buku-buku ini juga aku cadangkan kau baca kalau ingin mengetahui lebih lanjut mengenai topik yang aku bincangkan.

1. Confessions of a Philosopher, karya Bryan Magee ( sebuah buku yang menceritakan kisah hidup penulis dalam meneroka cabang falsafah, mudah difahami, bersifat bacaan mudah (easy reading)).

2. A Short History of Modern Philosophy, karya Roger Scruton ( sebuah buku menghuraikan idea Descartes sehingga Wittgenstein, nipis, mudah difahami, untuk pemula)

3. Laman Web Stanford Encyclopedia of Philosophy (sebuah laman web semacam Wikipedia, tetapi berautoriti, kerana entri-entri ditulis oleh para profesor yang pakar dalam topik entri tersebut, dan menjadi rujukan awal kepada pelajar-pelajar falsafah diseluruh dunia)

4. Dialog-dialog Plato ( amat menarik dan senang difahami, tidak membosankan).