SANG PENGUASA - 17
Sekarang kita akan bicarakan berkenaan ciri-ciri untuk sifatsifat yang disebutkan di atas. Saya rasa bagus sebenarnya dikenali sebagai seorang dermawan. Namun, menjadi seorang dermawan agak berbahaya dan memudaratkan. Maka, untuk mengekalkan status dermawan, penguasa harus terus berada dalam kemewahan. Seterusnya, akan mengakibatkan penggunaan harta dalam kadar yang tinggi sehingga penguasa terpaksa jalankan polisi yang ketat untuk menjana wang yang tinggi. Hal ini akan menjadikan penguasa dibenci oleh subjeknya. Apabila dia mulai miskin, subjeknya akan mula merendahkan dirinya. Maka, mengekalkan sifat dermawan akan menyakiti ramai orang dan hanya menguntungkan golongan yang sedikit. Apabila menyedari masalah ini dan berhasrat untuk mengubahnya, penguasa akan melalui jalan sebagai seorang yang kedekut dan bakhil.

Penguasa tidak mampu menjadi seorang dermawan tanpa merugikan dirinya sendiri. Sekiranya dia bijak, dia tidak takut untuk menjadi seorang yang kedekut. Kemudian, penguasa akan dianggap sebagai dermawan kerana mampu menjaga ekonominya. Ekonomi yang mampu mempertahankan dirinya daripada pelbagai serangan. Selain itu, mampu menjalankan pelbagai rancangan tanpa membebankan rakyatnya. Akhirnya, rakyat yang tidak diambil hartanya, yang ramai jumlahnya, akan melihat penguasa itu sebagai seorang dermawan. Manakala rakyat yang tidak mendapat sebarang pemberian daripada penguasa, yang sedikit jumlahnya, akan melihat penguasanya sebagai seorang yang kedekut.

Kita tidak dapat melihat pelbagai perkara hebat berlaku kecuali yang dilakukan oleh mereka yang kedekut. Paus Julius II mendapat takhta kepausan kerana sifatnya yang dermawan. Kemudian, dia tidak dapat mengekalkan sifat itu apabila berhadapan dengan peperangan. Raja Perancis telah melancarkan pelbagai peperangan tanpa melaksanakan cukai yang tinggi kepada rakyatnya kerana sifatnya yang berjimat cermat. Raja Sepanyol tidak akan mampu menjalankan pelbagai rancangan penaklukan apabila bersifat dermawan. Dengan itu, penguasa tidak perlu merompak harta rakyatnya untuk mempertahankan diri ataupun tidak mahu menjadi seorang miskin. Cukuplah dia menjadi seorang yang kedekut untuk mendapatkan semua itu dan membantunya dalam pemerintahan.

Sekiranya ada orang membantah dengan mengatakan Caesar memperoleh empayar dengan sifat dermawan. Ramai juga mendapat posisi yang tinggi dengan sifat dermawan. Maka, saya akan jawab, ia perlu dilihat pada dua sudut. Pertamanya sudut sebagai penguasa, keduanya sudut ke arah untuk menjadi seorang penguasa. Kes pertama, menjadi seorang dermawan adalah berbahaya. Kes kedua pula, menjadi seorang dermawan boleh menjadi satu keperluan. Caesar perlu menjadi seorang dermawan untuk menjadi penguasa Rom. Setelah itu, sekiranya dia tidak berjimat cermat, dia akan memusnahkan empayarnya sendiri. Sekiranya ada yang membantah dengan menyatakan, ramai penguasa bersama pasukan tenteranya yang dianggap bersifat dermawan telah melakukan banyak perkara

hebat. Maka, saya akan jawab, ia perlu dilihat pada tiga perkara. Pertamanya, penguasa menggunakan hartanya sendiri. Kedua, penguasa menggunakan harta rakyatnya. Ketiga, penguasa menggunakan harta pihak ketiga. Kes pertama, penguasa harus berjimat cermat. Kes kedua, penguasa tidak harus mengabaikan peluang untuk menjadi seorang dermawan. penguasa yang melakukan rampasan dan rompakan bersama pasukan tenteranya perlu menjadi dermawan kerana harta tersebut adalah milik orang lain. Dalam kes ini, jika penguasa kedekut, dia akan kehilangan sokongan tentera.

Tuan boleh bersifat dermawan dengan harta yang bukan milik Tuan dan bukan milik rakyat Tuan seperti Cyrus, Caesar dan Alexander. Menggunakan kekayaan orang lain tidak akan menjatuhkan reputasi Tuan. Menggunakan kekayaan sendiri akan merugikan Tuan. Kadar kerugian yang tinggi dapat ditemui pada sifat dermawan. Apabila Tuan terus menggunakan harta Tuan atas nama dermawan, Tuan akan menjadi miskin. Seterusnya, untuk mengelakkan kemiskinan itu, Tuan berubah menjadi rakus merampas harta rakyat dan kemudiannya dibenci oleh mereka. Oleh itu, tindakan yang bijak adalah meningkatkan reputasi dengan sifat kedekut. Menjadi kedekut tanpa dibenci adalah lebih baik berbanding terpaksa menaikkan reputasi dengan sifat dermawan. Seterusnya, dermawan itu pula membawa kerakusan yang dibenci.