Inilah perihal seorang individu yang pernah kami kenali dan bekerjasama. Saya dan Hassanah pada mulanya cukup berasa lemas dengan caranya. Persepsi kami terhadapnya makin hari makin suram. Makin penuh dengan prasangka yang merosakkan hati dan pertuturan. Tetapi dengan kuasa Yang Maha Esa, kami memperoleh ibrah yang cukup banyak melalui sifat individu tersebut setelah dirinya tersentak dan nekad melakukan perubahan.
Keegoannya yang dileburkan telah perlahanlahan mengikis persepsi kami. Dengan rendah hati, dia menyatakan kesalahan-kesalahan dia dan bersungguh-sungguh untuk belajar perkara yang sepatutnya. Kesungguhan dia untuk belajar itulah yang membuatkan saya cukup respect keperibadiannya. Tindakan dia meminta maaf dan merendahkan hati pula telah membawa pemikiran saya kepada keindahan akhlak seorang Muslim. Dia belajar ilmu-ilmu Islam dan dia tahu mempraktikkan hal itu. Subhanallah!
Rentetan daripada itu, dia memperoleh kebaikan yang banyak. Ukhuwah yang terus terpelihara dan meluas di samping banyak perkara baru dipelajari. Ada ganjaran pahala atas apa yang dikerjakan. Itulah hadiah yang dia berhak untuk peroleh setelah melaksanakan sifat-sifat mahmudah.
Pengajaran untuk kami juga. Supaya kelak andai kami pula diuji dengan rasa diri berada di kedudukan yang tinggi, kami mesti merendahkan hati serendahrendahnya untuk memperbaiki kesilapan setelah ditegur.
Allah akan uji hamba-Nya dengan tiap-tiap yang dicintai. Sukakan pujian Allah bagi selambak orang yang memuji dan menyanjungmu. Sukakan harta Allah limpahkan seluasnya rezeki dengan harta dan kekayaan untukmu. Sukakan kedudukan Allah bagi jawatan-jawatan dan segala pekerjaan yang megah dan nampak hebat. Manusia tak akan terlepas daripada keinginan-keinginan seperti itu. Sebab manusia sifatnya memang suka untuk berasa senang dan bebas daripada belenggu dugaan hidup.
Sampailah pada satu tahap, kita akan berasa satu kekosongan dalam diri. Hati kita tidak lagi terasa diisi dengan ingatan terhadap pemberi nikmat. Kita dah campak Allah entah ke mana. Dari situlah baru kita sedar, sungguh kita telah kalah dengan ujian Tuhan!
Demikianlah cara Allah menguji manusia dengan apa sahaja yang manusia cintai. Melihat sejauh mana manusia tersebut bijak dalam mengemudi akal dan imannya sebagai hamba yang bernafas dengan jiwa seorang Islam. Termasuklah kalau ujian itu berbentuk kehilangan atau nikmat yang ditarik kembali. Apakah nanti dia akan mendahulukan sangkaan baik kepada Pencipta atau terus menyalahkan takdir. Pilihan bukan suratan, tapi pelajaran.
Allah dengan sifat al-Ghaffur telah menyampaikan pesan dalam al-Quran,
Dan dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaan-Nya, dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.
(QS al-Anam 6:165)
Sebab itulah, betapa saya sungguh hormati orang yang boleh merendahkan hatinya serendah mutiara di dasar lautan. Susah nak jumpa, tapi sangat bernilai. Tindakannya boleh memberi manfaat kepada orang lain secara tidak langsung. Orang lain dapat mengambil pengajaran daripada sifatnya. Kesabaran dalam penantian, pasti menjanjikan sesuatu yang manis. Berbuat kerana Allah, segala-galanya akan disusuli ibrah.