Though we travel the world over to find the beautiful, we must carry it with us, or we find it not.
- Ralph Waldo Emerson
Pagi ini kami berdua bergilir-gilir menggunakan tandas melayan kerenah perut meragam. Tak sangka masalah pula pagi-pagi ini. Mini van yang akan membawa kami ke Bromo pasti sudah sampai. Setelah bersiap dan melepaskan seberapa hajat yang berkesempatan, kami pergi mendapatkan sarapan terakhir di Jogjakarta. Dua gadis Sepanyol sedang bersarapan dengan backpack masing-masing yang sudah kelihatan di tepi meja.
You two are so early this morning, perli Meritxell sambil tersenyum sebaik kami duduk semeja. Minah Sepanyol ni baru hari ini bangun awal dari kami. Kami layankan saja. Pak Agus khabarkan yang mini van masih dalam perjalanan dan kami masih sempat untuk bersarapan.
Usai bersarapan, Haeri kembali mendapatkan tandas. Aku pula bergegas cucuk duit memandangkan duit sudah susut. Setelah beberapa ketika, mini van pun sampai. Kami berempat bergegas mendapatkan mini van terbabit yang menunggu di jalan hadapan. Kelihatan di dalam mini van itu beberapa pelancong asing yang turut serta mahu ke Bromo dan mungkin juga ke Ijen.
Di dalam van, Noelia begitu rancak berborak dalam Bahasa Sepanyol dengan sepasang suami isteri dari Mexico. Meritxell pula menerangkan kepada kami terdapat perbezaan Bahasa Sepanyol yang ditutur orang Sepanyol dengan orang Mexico. Kami anggukkan saja kepala. Dengar Bahasa Sepanyol yang dituturkan mereka serupa saja dan kami memang tak pandai berbahasa Sepanyol maka tiada apa yang dapat kami bezakan.
Setelah beberapa jam perjalanan, supir berhenti di sebuah kedai untuk berehat dan pekena kopi. Aku dan Haeri juga turun membeli makanan ringan dan apa saja yang boleh. Ketika ini juga kami sekali lagi menyinggah tandas. Memang buat hal betullah perut ini. Mungkin penangan kuah sate Malang ke apa ke kami tak tahu. Nak taknak, perjalanan masih panjang. Terpaksalah menahan seksa perut meragam ini. Bagi melegakan bencana yang dilalui, Haeri membeli ubat buang angin yang mungkin sedikit sebanyak mampu membantu kami menempuh perjalanan. Gelagat pakcik supir pula begitu seronok mengambil gambar bersama makwe-makwe bule, termasuk dua gadis Sepanyol itu. Rombongan kami merangkumi dua buah mini van. Kelompok lelaki tidak mendapat perhatian pakcik supir untuk mengambil gambar bersama. Tidak mengapa. Aku dan Haeri tengah menahan perangai perut meragam cuma mampu duduk merokok memerhatikan gelagat mereka. Ketika ini juga dua gadis Sepanyol itu terjumpa beberapa orang Sepanyol dalam rombongan terbabit. Dalam sekelip mata saja Bahasa Sepanyol telah berjaya menjadi bahasa perbualan utama dalam rombongan ini. Bising juga bila orang Sepanyol ini berjumpa sesama mereka. Secara tidak sengaja mereka menjadi golongan majoriti. Pelancongpelancong lain yang tidak berbahasa Sepanyol hanya tergelak melihat telatah mereka. Selepas itu, perjalanan diteruskan lagi.
Malam menjelang tiba, bulan dan bintang memenuhi ruang angkasa raya menggantikan matahari yang kini bertugas di tempat lain. Kami tiba di bandar Probolinggo sekitar jam 11 malam. Perjalanan selama 15 jam dari Jogjakarta itu kami tempuhi dengan sakit perut. Rasa macam pergi berjuang di medan peperangan. Mujur ada tiga kali berhenti rehat semasa perjalanan.
Di Probolinggo kami diberi taklimat oleh guide mengenai Gunung Bromo dan mendaftar mengikut setiap pakej yang diambil. Aku, Haeri dan dua gadis Sepanyol itu cuma mengambil pakej pergi sahaja. Kami bertanya mengenai penginapan dan mereka mengatakan kesemuanya sudah penuh di Cemoro Lawang. Mendengarkan tempat penginapan yang banyak penuh, kami pun tidak kisah. Memandangkan hendak naik ke Bromo adalah pada jam 3 pagi, maka rugilah kalau mendapatkan bilik untuk tidur yang tak seberapa lama. Itu pun kalau boleh tidur. Namun sedikit wang ditambah untuk membayar perkhidmatan ke Bali sekali dengan mini van. Sudah alang-alang, bayar saja. Gadis-gadis Sepanyol itu pula tidak cukup wang pada waktu ini lalu Haeri mendahulukan wang untuk mereka.
Dari Probolinggo kami bertukar mini van yang lain untuk ke Cemoro Lawang yang terletak di kaki gunung Bromo. Dalam perjalanan ke Cemoro Lawang, rasa dingin sudah mula menyengat badan. Aku yang menikmati kedinginan angin malam tidak menutup tingkap mini van. Seorang wanita asing menegur aku yang juga warga asing. Excuse me! Could you please shut the window It is so cold! aku terkejut mendengarnya terus menutup tingkap sambil meminta maaf kepadanya. Maklumlah, aku jarang merasa suasana dingin begini. Paling dingin aku boleh rasa di rumah sendiri pun bila buka peti ais dan melepak di depannya.
Setelah melepasi pintu masuk Cemoro Lawang, supir memberhentikan setiap penumpang di tempat penginapan masing-masing. Akhirnya kami sampai ke tempat penginapan terakhir di Cemoro Lawang. Hanya tinggal aku, Haeri, dua gadis Sepanyol, sepasang suami isteri dari Sepanyol, pasangan Mexico serta pasangan Jerman. Tempat ini merupakan hentian terakhir untuk mencari tempat penginapan. Supir memberitahu kami berempat yang memakai pakej basic bahawa kami perlu bayar Rp70,000 sebagai bayaran masuk ke taman negara ini. Mendengarkan perkara itu menyebabkan Meritxell naik angin. Dia bertelagah dengan supir terbabit kerana rasa seperti tertipu. Berkali-kali dia menyatakan kenapa bayaran masuk itu tidak dinyatakan awal-awal. Supir itu tetap mahukan bayaran sebelum keberangkatan esoknya. Aku dan Haeri tergamam tetapi memang ada benarnya. Di setiap risalah ke Bromo yang kami baca, tidak pernah ternampak mengenai bayaran Rp70,000 itu. Kebanyakan risalah tidak menceritakan dengan lebih terperinci dan ini memang membawa masalah dan salah faham. Gadis-gadis Sepanyol yang berang turun dari mini van dan mengambil backpack mereka sambil disambut oleh rakan Sepanyol mereka yang lain. Aku dan Haeri pula memikirkan nasib. Kami juga bertanya mengapa tidak dinyatakan di mana-mana mengenai bayaran masuk ini. Malah supir itu seakan berdalih. Khabarnya nama kami semua telah didaftarkan kepada ranger hutan semasa mengambil perkhidmatan mereka dan kerana itu kami perlu membayar. Kami meminta resit namun dibilangnya tiada tapi masih meyakinkan kami bahawa nama sudah dihantar kepada ranger hutan. Berkali-kali. Aku tidak pasti ini benar atau tidak. Berdasarkan apa yang dibaca di forum, Probolinggo dan Cemoro Lawang ini memang orang nasihatkan untuk berhati-hati kerana banyak scam. Malah Probolinggo juga digelar city of scam oleh beberapa pelancong yang pernah ke sini. Aku tidak tahulah namun berpendapat scam ada di mana-mana dan tanggungjawab kita sendiri untuk mengelak dari menjadi mangsa.
Rp70,000 itu berapalah sangat kalau ditukar ke dalam matawang Malaysia, namun agak terasa jugalah kenapa tidak dikhabarkan awal-awal. Bukan nilai wang menjadi ukuran, tetapi kejujuran. Kami berkata akan membayar selepas usai menaiki Bromo. Selepas itu, kami bertanya untuk menumpang tidur di dalam van memandangkan supir itu berada di sini untuk menghantar kami kembali ke Probolinggo. Bayaran sejumlah Rp25,000 seorang dikenakan untuk kami menumpang tidur di dalam van. Aku dan Haeri memandang sesama sendiri. Terasa fucked up juga bila nak tumpang merempat di dalam van untuk menjimatkan wang tapi masih dikenakan bayaran. Kami pun mengambil keputusan untuk tidur merempat saja di luar. Di kaki lima bilik-bilik penginapan pelancong yang lain. Mungkin ini peluang untuk merasai nasib gelandangan yang dihimpit kesempitan hidup sehingga terpaksa merempat di jalanan. Dua gadis Sepanyol telah dipelawa untuk menumpang bilik pasangan dari Sepanyol, David dan Beatriz. Mereka juga mempelawa aku dan Haeri untuk menumpang sekali tapi kami menolak. Tak mahulah mengganggu keselesaan mereka yang telah membayar untuk bilik tersebut. Namun mereka memberitahu kami yang mereka sedia menumpangkan kami sekiranya kami berubah fikiran. Malam ini suhu berada di bawah 10 darjah celcius. Menggigil juga. Kami menyarungkan jaket yang diambil dari dalam beg. Aku masih berseluar pendek manakala Haeri sudah memakai seluar jeans panjang. Melihatkan kami merempat, Luis seorang warga Mexico mengatakan kepada kami bahawa dia dan isterinya akan keluar pada jam 4 pagi untuk ke Bromo dengan menaiki jip. Bolehlah kami menumpang letak backpack kami di biliknya ketika itu memandangkan kami juga akan ke Bali bersama mereka. Mungkin ini yang seronoknya mengembara, apabila orang yang tak dikenali sudi membantu kita di kala kesusahan. Mungkin sesetengah tidak membantu tapi yang pasti akan ada juga yang membantu.
Kesempatan ini juga kami merokok bersama dengan Luis. Gadis-gadis Sepanyol bersama David dan Beatriz sedang minum bir sambil bersembang di tingkat atas. Sekali-sekala bersembang dengan kami di bawah. Luis mempunyai dua kerakyatan iaitu Mexico dan Amerika Syarikat. Seorang diver. Diceritakan juga olehnya tentang ada beberapa kenalannya meminta tolong untuk menyeludup dadah dari Mexico ke Amerika dengan menyelam. Namun dia tidak mahu mengambil risiko kerana bimbang akan hilang kebebasan sekiranya perbuatan itu kantoi oleh pihak berkuasa. Selepas itu, Luis meminta diri masuk ke bilik untuk berehat dan mengatakan kepada kami untuk mengetuk pintu sekiranya mahukan apa-apa pertolongan. Kami anggukkan kepala. Tandas awam yang terletak di belakang premis boleh digunakan oleh kami.
Kedinginan malam menyebabkan mulut kami keluar asap. Teruja juga dibuatnya. Kami cuba hembus asap berkali-kali. Keadaan sekeliling sudah mati. Semua premis sudah ditutup kecuali satu gerai. Kami menapak ke gerai tersebut untuk pekena kopi panas bagi melawan rasa dingin mencengkam. Di gerai terdapat seorang makcik yang mengusahakannya. Dia menyediakan kopi panas kepada kami berdua. Selepas itu, seorang pakcik juga masuk untuk pekena kopi.
Pakcik itu duduk berhampiran kami lalu mengatakan sesuatu yang tidak difahami. Bunyi seperti bahasa Jawa. Maafin pak, kami enggak bisa berbahasa Jawa, aku bersuara menjelaskan kepadanya. Yakin je aku yang pak cik tu cakap bahasa Jawa.
Iya Ingatkan asli Jawa. Kalau begitu asli mana kalian pakcik itu bertukar dari berbahasa Jawa kepada Indonesia. Dia berbahasa Jawa mungkin kerana melihat aku memakai iket.
Kami asli Malaysia, Haeri membalas. Dia pun mengangguk-angguk kepala. Perbualan tipikal pun bermula seperti biasa. Setelah bercerita mengenai perancangan kami, dia bertanyakan sesuatu kepada kami, iaitu mengenai ibu bapa Upin dan Ipin. Terkesima juga kami mendengar pertanyaannya sambil disambut gelak tawa makcik yang membuat air kopi. Kami gagal menjawab pertanyaan itu kerana sepanjang pengetahuan aku, Upin dan Ipin tinggal bersama neneknya. Tak pernah nampak ibubapanya. Aku kadang tertengok sebab anak buah aku tengok kat rumah. Keadaan sudah semakin lewat, kami meminta diri untuk tidur di jalanan tempat penginapan warga Sepanyol dan Mexico tadi. Kain pelikat aku keluarkan dari beg untuk dijadikan selimut. Begitu juga Haeri. Berbalutkan kain pelikat serta berbantalkan backpack, kami tidur di jalanan. Itupun jika boleh terlena. Baring saja di simen sudah membuatkan punggung terasa kesejukan. Nak taknak, kami tetap kena berehat. Seharian duduk di dalam mini van menyebabkan ketidakselesaan badan kami terutama tulang belakang. Sebentar lagi kena bangun jam 3 pagi. Kalaulah supir tadi membenarkan kami tidur di dalam mini van tanpa bayaran, pasti kami dapat berehat dengan sedikit selesa. Ini kerana di dalam mini van mungkin tidak sedingin seperti tidur di kaki lima ini.