Hanya sahaja mulai saat ini, kita perlu lebih berhati-hati dalam ucapan dan tindakan terhadap anak-anak kita. Kerana setiap ucapan kita itu ternyata terus dibalas oleh anak kita dan dapat menjadi sebahagian dari doa dan kebenaran. Begitulah pesanan tersembunyi yang disampaikan oleh Masaru Emoto, seorang penyelidik air dari negeri sakura, yang hasil kajiannya diletakkan di dalam internet dengan judul The Hidden Message in Water.
Masaru Emoto adalah ilmuwan luar biasa yang menemukan bahawa sesungguhnya air dapat memberi reaksi terhadap ucapan dan tulisan, sesuai dengan isi yang diucap atau yang ditulis. Melalui lensa mikroskop khusus yang diciptanya, kita boleh melihat jika kita mengucapkan sesuatu atau menuliskan sesuatu pada air. Kelihatan air tersebut berubah, membentuk gambar sesuai dengan kata atau tulisan yang kita buat. Yang menarik adalah hasilnya tetap sama walaupun yang diucapkan adalah dalam berbagai-bagai bahasa.
Jika kita mengucapkan terima kasih atau syukur, air tersebut akan berubah membentuk kristal-kristal kecil yang indahnya, seindah kristal dari berlian. Sementara itu, jika kita mengucapkan katakata negatif seperti, Kamu bodoh!, air tersebut di bawah lensa mikroskop, berubah membentuk gambar yang buruk dan tidak teratur.
Luar biasa! Sungguh suatu usaha keras yang tidak sia-sia, walaupun Masaru Emoto memerlukan lebih 20 tahun untuk menghasilkannya. Dan, hasil penemuannya ini, kini Masaru Emoto diundang untuk berucap ke pelbagai negara di dunia.
Ibu bapa dan guru yang berbahagia, ada kaitan antara fakta yang ditemui oleh Masaru Emoto dengan fitrah kita dan anak-anak kita melalui air. Mari semak paparannya.
Sesungguhnya apa yang saya temukan itu adalah sebuah keajaiban. Seperti air, Tuhan ingin mengirimkan pesanan tersembunyi kepada kita seluruh manusia.
Bayangkan kita mendapat bukti ilmiah bahawa air boleh memberi tindak balas positif ataupun negatif, baik melalui kata-kata, tulisan, pelakuan, mahupun fikiran. Jadi, jelas bahawa semua itu baik ucapan, tulisan, pelakuan, mahupun fikiran akan dibalas langsung oleh tubuh kita dan tubuh setiap orang yang menerimanya. Saya juga menemui fakta bahawa rata-rata 70 peratus tubuh manusia terdiri daripada air.
Mari kita lihat lebih dalam lagi. Ketika kita mula tumbuh sebagai janin, 99 peratus adalah air dan pada waktu dilahirkan kira-kira 90 peratus dari tubuh kita adalah air. Ketika kita mencapai usia dewasa kira-kira 70 peratus dari tubuh kita terdiri daripada air hingga menjelang ajal, kemungkinan kita masih memiliki 50 peratus kandungan air dalam tubuh. Jadi, apa yang dapat disimpulkan, kita adalah makhluk yang sebahagian besarnya terdiri daripada air.
Berdasarkan kenyataan ini dan mengaitkannya dengan hasil kajian, saya mula melihat kaitan dan bukti ilmiah, mengenai bagaimana perilaku seseorang itu boleh terjadi. Kini terbuka sudah jawapan dari sebuah pertanyaan, mengapa orang yang berwatak dan berperilaku positif di dunia ini cuma sedikit. Semoga penemuan saya ini boleh membuka pintu hati banyak orang di seluruh dunia.
Sungguh ini sebuah pemaparan yang luar biasa. Secara implisit, Masaru Emoto ingin mengajak kita menilai diri apakah selama ini kita lebih banyak mengucapkan dan memikirkan sesuatu yang positif atau sebaliknya kerana pada akhirnya secara kolektif ia akan menentukan komposisi perilaku manusia di dunia ini.
Secara spesifik, Masaru Emoto juga mengingatkan kita bahawa berdasarkan komposisi tubuh, pada usia kecil, manusia jauh lebih banyak memiliki kandungan air bahkan hingga mencapai 90 peratus. Itu bererti tindak balas anak-anak terhadap ucapan, fikiran dan tindakan negatif yang diterimanya jauh lebih besar mempengaruhi dirinya dalam membangunkan konsep diri yang positif.
Jadi, jika kita ingin anak-anak kita kelak tumbuh mempunyai peribadi yang baik dan bahagia, penuhkanlah kehidupannya dengan kasih sayang, cinta dan rasa syukur. Kerana kristal-kristal air yang paling indah dan sempurna, muncul dari air yang diberi ucapan sayang, cinta, dan syukur. Begitulah pesanan yang sangat dalam dan menyentuh dari Masaru Emoto untuk semua ibu bapa di seluruh dunia.
Para ibu bapa dan guru yang saya cintai di manapun anda berada, mari kita hentikan segala ucapan dan fikiran negatif pada anak-anak kita bermula hari ini. Mari kita didik dan besarkan mereka dengan segenap cinta kasih dan rasa syukur atas segala kelebihan dan kekurangannya, agar mereka benar-benar boleh menjadi permata buah hati ibu bapa dan negerinya.
Apabila kita ingin anak-anak kita kelak tumbuh mempunyai peribadi yang baik dan bahagia, penuhkanlah kehidupannya dengan kasih sayang, cinta, dan rasa syukur.