KEMBARA PENIAGA JALANAN - 17
SELEPAS habis cerita ekspo, bundle, uptown dan sebagainya. Kini, aku semakin tahu bahawa minat aku amat mendalam dalam perniagaan jenis trading. Bisnes jenis ini tidak memerlukan modal yang besar, cukup sekadar kau tahu apa yang pelanggan mahu dan kau memang cepat mengambil peluang. Perkara paling sukar dalam bidang ini pula ialah mendapatkan stok dan meyakinkan pelanggan bahawa kau memang ada barang yang mereka cari. Aku lebih serius dalam trading sekitar tahun 2003. Dalam satu lawatan ke Langkawi, aku berkenalan dengan beberapa orang Chef yang bekerja di restoran dan hotel. Pertemuan tidak sengaja ini membawa kepada perniagaan yang serius.

Semua orang tahu Langkawi merupakan destinasi percutian terkenal di Malaysia.

Dengan hamparan pantai yang cantik dan begitu banyak destinasi yang menjadi spot pelancongan, ia menarik begitu ramai pengunjung dari dalam dan luar negeri untuk bercuti ke sini. Apabila ramai manusia berkunjung ke dalam sebuah pulau yang kecil, pasti ada peluang menjual makanan. Kawan-kawan yang aku baru kenal tadi tahu aku berniaga di Kuala Lumpur. Mereka bertanya, apakah aku ada kenalan yang boleh membekalkan makanan laut segar terus ke Langkawi setiap minggu Dan jawapan aku ialah Betul, aku akan sentiasa menjawab ada. Selepas mendapatkan senarai barang yang mereka mahu, aku mula bekerja untuk mendapatkan info.

Antara jenis makanan laut yang mereka banyak gunakan ialah udang, ketam nipah, lobster dan ikan tuna. Selepas puas membaca dan bertanya kepada orang yang aku kenal, nampaknya harapan untuk aku membekal sendiri semua permintaan mereka dari Kuala Lumpur tidak akan berjaya. Harga terlalu tinggi dan margin keuntungan yang aku dapat amatlah kecil. Ia tidak berbaloi dengan apa yang aku buat. Aku tak berputus asa, mesti ada cara untuk aku mendapatkan semua stok-stok ini. Akhirnya, seorang kawan aku memberitahu, semua barang yang aku cari tadi boleh didapati dengan mudah di Sabah. Wah! Ini sudah menarik, kali terakhir aku ke Sabah ialah ketika berumur 16 tahun bagi mewakili negeri Pulau Pinang dalam pertandingan mereka bentuk laman web peringkat kebangsaan. Masih terngiang-ngiang di telinga aku lagu Jambatan Tamparuli.

Selepas membuat sedikit bacaan dan kajian, aku memang tidak ada pilihan lain selain terus terbang sahaja ke Tawau, Sabah. Boleh tahan juga harga tiketnya, rupa-rupanya Lapangan Terbang Tawau merupakan pintu masuk pelancong yang mahu ke Semporna, sebuah daerah di Sabah yang menghubungkan pelancong dengan begitu banyak pulau seperti Sipadan, Mabul dan Mataking. Satu lagi masalah dan kerisauan timbul apabila aku memang tidak mengenali sesiapapun di Tawau. Aku nekad, usaha ini mesti diteruskan sekiranya aku mahu urusan jual beli ini berjaya.

Dua jam perjalanan menaiki pesawat udara ke Tawau amatlah memenatkan, aku cuma tidur sepanjang perjalanan. Mungkin ramai yang ingat aku banyak modal pada waktu ini. Banyak itu tidaklah, tetapi aku memang ada sedikit wang simpanan hasil menyimpan keuntungan perniagaan kecil-kecilan aku sebelum ini. Sampai di Lapangan Terbang Tawau, aku ambil teksi untuk ke bandar Tawau. Sangkaan awal aku jarak dari lapangan terbang menuju ke pusat bandar Tawau itu dekat sahaja, rupa-rupanya hampir 40 minit juga menaiki kereta. Ini pertama kali aku menjejakkan kaki di bumi Tawau, baik-baik orangnya. Aku rasa sedikit selesa apabila pemandu teksi tadi rajin pula berbual-bual di sepanjang perjalanan.

Di Tawau, aku pilih untuk menginap di Hotel Kingston berhampiran dengan Masjid Tawau. Di bawah hotel ini ada banyak kedai makan, itulah sebabnya. Kebetulan pula ia amat dekat dengan masjid, mudahlah untuk aku berjemaah nanti. Mujurlah belanja hotel dan makan di sini tidak mahal, semua benda murah belaka. Hari pertama di sini, aku cuma jalan-jalan di sekitar bandar. Satu perkara yang menarik tentang suasana berniaga di Tawau ialah, sektor jualan kain dan pakaian banyak dimonopoli oleh warga Pakistan dan Bangla. Fasih pula mereka bercakap dalam loghat Sabah. Entah mengapa, hari pertama memang aku malas untuk mula kerja, aku pilih untuk minum kopi dan melepak sahaja di kedai makan bawah hotel selepas puas berjalan.

Hari seterusnya, aku ada misi besar iaitu mendapatkan sumber makanan laut yang dikatakan boleh didapati dengan murah sekali di Tawau. Tiada lokasi lain lagi yang harus aku tuju melainkan pasar ikan. Selepas bertanya kepada budak hotel dan beberapa orang tempatan, aku berjaya sampai ke Pasar Ikan Tawau dengan berjalan kaki sahaja dari hotel. Mujurlah tidak terlalu jauh, sebagai seorang bekas atlet dalam kejohanan tarik upeh di kampung, berjalan kaki bukanlah satu kesukaran besar bagi aku.

Di Pasar Tawau, suasananya amat sibuk sekali. Aku jadi teruja, terkejut dan tergamam sebentar apabila melangkah masuk dan menyaksikan begitu banyak spesis makanan laut yang tak pernah aku jumpa sebelum ini. Tidak ada ikan murah, semuanya ikan-ikan besar dalam kategori ikan mahal di semenanjung. Paling banyak yang aku nampak ialah ikan baulu (Milkfish), ikan bayan (Parrot Fish), ikan kerapu (grouper), ikan merah (Red snapper), ikan tenggiri (King fish), Kepiting (Mud Crab) dan ikan tuna. Seingat aku, hampir sepuluh kali juga aku tawaf mengelilingi semua gerai yang ada di dalam pasar ikan Tawau pada pagi itu. Peniaga di situ ramah sekali, mereka tahu aku orang luar yang datang ke situ.

Nampaknya, peluang aku untuk mendapatkan hasil laut di sini menjadi semakin cerah. Sekarang, aku cuma perlu berurusan dengan orang yang betul. Aku ambil keputusan untuk pergi duduk minum di kedai makan berhampiran. Aku senyum sahaja kepada semua orang yang ada di situ, ada Melayu dan ada juga Cina. Selang beberapa ketika, datang seorang pemuda menegur aku.

Orang semenanjung

Ya bang, saya orang semenanjung. Baru sampai semalam.

Buat apa di sini Cari ikan

Ya betul tu, abang tahu dengan siapa saya boleh berurusan

Beliau memperkenalkan aku dengan seorang tauke ikan di situ, namanya Abang Ali. Kecil sahaja orangnya tetapi nampak begitu gagah sekali. Abang Ali

menyambut aku dengan baik dan terus mengajak aku mengikutnya menaiki kereta.

Minta maaf, abang sibuk. Jadi kau kena ikut abang saja dalam kereta, nanti senang kita berbincang, tegas beliau.

Aku pun susah hendak faham, mengapa orang di sini begitu baik menyantuni aku. Mungkin rezeki aku baik kali ini. Aku dibawa singgah ke bank, dibawa ke pejabatnya seterusnya kami menuju ke kilang pemprosesan ikan milik Abang Ali. Bermula dari situlah urusan aku menjadi mudah dan aku berjaya kirim semua makanan laut dari Tawau ke Langkawi. Aku bertuah kerana Abang Ali banyak mengajar aku tentang jenis ikan dan pelbagai teknik bungkusan sesuai dengan permintaan pelanggan. Beliau turut mempunyai beberapa buah kapal menangkap ikan laut dalam yang disimpan di Sandakan.

Inilah urusan trading pertama yang aku berjaya lakukan tanpa orang tengah. Dan urusan ini jugalah membuatkan semangat aku untuk lebih serius dalam hal ehwal membekal makanan laut, menjadi lebih serius. Dari Tawau, semua barang aku dibawa naik ke kargo udara sampai KLIA. Sebaik tiba di KLIA, aku mengupah pula ejen untuk membawa semuanya secara terus ke Langkawi melalui pesawat Air Asia.