Gadis Kebaya Merah - 18
BAB 18

JO mundar mandir di rumah sewanya. Pertemuan yang tidak disangka dengan Kudin tadi betul-betul membuatnya merasa bersalah. Sudah jelas, Kudin sudah tahu tentang kehilangan Senah dan Anum. Dia duduk pula di sofa. Ingatannya kembali kepada kenangan di kampung dulu. Senah walaupun nampak agak bodoh dan mulut becok tapi Senah senang didekati dan mesra bila berbual. Anum, gadis itu pula sering menjadi tumpuan pemuda kampung dengan sifat sopan dan tidak sombong. Berlainan watak dengan Senah.

Namun keduanya ada keistimewaan tersendiri. Fikriannya melayang pula pada kejadian semasa dia menyuruh Karim mencari seorang gadis untuk seorang tauke besar di Jepun dulu. Dia serahkan semuanya pada Karim. Tidak pernah dia ambil tahu hal itu sehinggalah hari itu dia tahu yang Anum dan Senah adalah gadis yang diperangkap oleh Karim.

Sekali lagi Jo mundar mandir di ruang tamu. Dia pandang jam. Sudah hampir tengah malam. Telefonnya mula berdering. Pantas dia melihat skrin. Dia menelan liur. Teragak-agak dia hendak menjawab panggilan itu.

"Hello.."

"Mana itu perempuan" Suara di hujung talian sudah berdesing di telinga Jo. Taiko Chong sudah mengamuk. Sepatutnya dua hari lepas, dia kena hantar kedua gadis itu ke tempat yang dijanjikan.

"Err..bos, kita ada masalah." Jo masih tergagap-gagap.

"Saya tak mahu dengar masalah! Mana itu perempuan" Jerit Taiko Chong lagi.

Jelas kedengaran di cuping telinga Johan. Taiko Chong semakin mengamuk.

Taiko Chong sudah mengambil deposit dari orang Jepun itu.

Belum sempat Jo menjawab, Taiko Chong sudah beri amaran untuk menyelesaikan masalah itu dalam masa satu hari. Mundar mandir lagi Jo di situ. Dia cengkam rambutnya yang sudah kusut. Dia perlu lakukan sesuatu. Sudah lama dia ingin berhenti dari membuat kerja gila itu. Sekarang ini, dia perlu realisasikan niatnya.

"Ah! Aku tak kira! Aku akan blah dari kegiatan gila ni." Jo sudah nekad. Dia mula menelefon seseorang.

ANA DAHLIA pula masih memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan kes kematian Tengku Muzafar dan juga kematian Hanim dan Suzy sebelum dia beralih pada kes kehilangan Senah. Tadi Kudin sudah menghubunginya tentang hal itu. Maklumat yang diterima dari Kudin boleh digunakan untuk membantu menumpaskan kegiatan penyeludupan gadis-gadis ke luar negara oleh sindiket haram.

Dia menatap sekali lagi fail yang diterima dua hari lepas.

"Macam mana kes mayat tu"

Ana Dahlia mendongak. Detektif Jailani sudah tersenyum di depannya. Dia bingkas bangun dan memberi tabik hormat.

"Masih dalam siasatan lagi tuan! Sekejap lagi akan ada lagi sesi soalsiasat." Ana Dahlia tercegat berdiri di depan Detektif Jailani.

"Siapa pula kali ni"

"Hetty Sabri tuan! Setiausaha kepada Tengku Saifuddin bin Tengku Muzafar!"

Detektif Jailani mengangguk-angguk."Bagus. Saya mungkin tak masuk masa soal siasat nanti."

Ana Dahlia hanya mengangguk. Faham dengan kata-kata lelaki itu. Detektif Jailani dilihat sudah keluar dari balai polis dan hilang dari pandangannya. Lama dia berdiri di situ memerhati Detektif Jailani yang begitu segak di matanya. Pertama kali melihat lelaki itu, hatinya sudah tergugat. Malam tadi, dia tidak boleh tidur lena.

"Apa kena dengan aku ni Dah tangkap cintan dengan dia ke" Ana Dahlia senyum sendiri. Dia kembali duduk dan menatap fail tadi. Tepat jam sepuluh pagi nanti, dia perlu ke bilik soal siasat.

JAM SEPULUH PAGI. Ana Dahlia menapak ke bilik soal siasat. Dari cermin luar dia melihat Hetty sudah menunggunya di situ. Pintu dikuak perlahan. Gadis itu dilihat sudah merenung tajam ke arahnya. Terbeliak melihat dia melangkah ke bilik itu dengan seragam polis. Dia hanya mengukir senyum.

"Kau Ma..macam mana kau.." Hetty terkejut. Ana Dahlia yang dulunya hanya seorang kerani dengan baju kurung selebeh kini sudah bertukar penampilan. Dia genyeh mata berkali-kali.

"Boleh kenalkan nama awak" Ana Dahlia mula mencatat sesuatu di atas kertas. Pertanyaan Hetty tadi tidak dijawab.

"Sila kenalkan diri awak!" Ulang Ana Dahlia, sudah sepuluh minit Hetty tidak menjawab soalannya tadi.

"Err..aku Hetty binti Sabri." Teragak-agak Hetty menutur. Dia pandang Ana Dahlia yang masih sibuk menulis.

"Awak kerja di mana"

"TM Holdings." Ringkas Hetty menjawab. Dia masih tidak percaya apa yang dilihatnya ini.

"Kerja sebagai apa" Kali ini Ana Dahlia mendongak dan memandang tajam ke arah Hetty.

"Setiausaha." Hetty menelan liur.

"Menurut rekod syarikat, awak sudah lama bekerja di TM Holdings, sejak sepuluh tahun yang lalu sampailah sekarang. Dulu awak setiauasaha kepada Tengku Muzafar kan" Ana Dahlia mula bangun. Dia mundar mandir di depan Hetty. Terdongak Hetty melihatnya.

"Ya." Hetty menjawab sepatah.

"Sekarang awak jadi setiausaha kepada Tengku Saifuddin, betul" Ana Dahlia berhenti seketika dan memandang Hetty.

Hetty angguk.

"Jawab ya atau tidak!!" Suara Ana Dahlia sudah tinggi.

"Ya!" Hetty mengetap bibir. Dia jeling Ana Dahlia yang dirasakan sudah angkuh.

"Awak kekal di syarikat itu kerana awak seorang pekerja yang rajin dan mendapat anugerah pekerja cemerlang, betul"

"Betul."

"Disebabkan tugas awak yang cemerlang itu, awak menjadi orang kepercayaan Tengku Muzafar dan juga Tengku Saifuddin. Jadi, dengan title itu, awak mengambil kesempatan untuk menyeleweng duit syarikat. Awak pindahkan duit itu ke akaun di luar negara, betul" Ana Dahlia memandang tajam ke arah Hetty yang sudah pucat.

"Aku tak lakukan semua itu! Aku difitnah! Mana bukti yang mengatakan aku yang selewengkan duit syarikat" Hetty tidak mengaku.

Ana Dahlia buka fail dan menghulurkan sekeping kertas kepada Hetty. Hetty pula membaca dengan riak keliru.

"Aku tak buat semua ni! Tak tergamak aku nak buat macam tu." Hetty menafikan.

"Menurut bukti itu, awak telah memindahkan setengah juta duit syarikat ke akaun HR Sdn Bhd. Kami ada maklumat tentang syarikat itu dan ia didaftarkan atas nama awak dan teman lelaki awak, Roslan!"

Hetty terdiam. Cekap gila minah kerani cabuk ni!

"Teman lelaki awak, Roslan sudah mengaku dan kami sudah menahannya di sini. Baik awak mengaku!" Ana Dahlia meninggikan suara.

"Okey! Aku mengaku yang aku sudah ambil duit syarikat!" Hetty tunduk.

"Kegiatan awak itu sudah dihidu oleh Hanim dan Suzy, jadi awak merancang melakukan sesuatu untuk menutup mulut kedua gadis itu. Pada mulanya awak beri rasuah tetapi mereka tidak menerima. Bila awak dapat tahu, Hanim dan Suzy ingin melaporkan kepada Tengku Muzafar, awak bunuh mereka dengan bantuan Somtam dan Samdol! Jadi awak adalah master mind dalam kes kehilangan dan pembunuhan Hanim dan Suzy!" Tinggi suara Ana Dahlia.

"Aku bukan pembunuh bodoh! Kau tu yang bodoh!" Hetty mengetap bibir.

Sebiji penampar singgah di pipi Hetty. " Awak telah menghina seorang pegawai polis!"

Terteleng muka Hetty ke kiri. Terasa pedih pipinya ditampar kuat tadi.

"Awak upah orang untuk membunuh Hanim dan Suzy dan buang mayatnya ke kolam kumbahan di kampung Pinang Patah! Somtam dan Samdol sudah pun mengaku dan kami sudah menahan mereka atas kesalahan membunuh!" Kali ini Ana Dahlia menghentak meja dengan buku lima tangan kanannya.

Hetty menelan liur. Terkejut dengan tindakan Ana Dahlia.

"Awak juga turut membunuh majikan awak dengan menyihir menggunakan khidmat seorang bomoh di kampung Pinang Patah.

Setelah kematian majikan awak, awak hadiahkan mayat kedua gadis itu kepada bomoh itu, betul" Muka Ana Dahlia didekatkan pada muka Hetty yang sudah pucat.

Hetty diam.

"Dengan kematian Hanim dan Suzy, maka kegiatan awak tidak akan terbongkar tapi awak silap. Kematian mereka telah membongkar rahsia kematian Tengku Muzafar yang sebenar dan kemudian membawa kepada pembongkaran kegiatan awak selama ini." Ana Dahlia senyum sinis.

"Semua itu ada sebabnya!! Tengku Muzafar tidak membalas cinta aku malah aku dihina. Jadi aku berpakat dengan Roslan untuk menjatuhkan syarikat. Aku tak ada niat hendak membunuh tapi Hanim dan Suzy sudah tahu tentang duit tu. Aku terpaksa arahkan seseorang untuk membunuh mereka! Kematian Tengku Muzafar juga sebab aku benci padanya! Dia jatuhkan maruah aku di depan pekerja lain. Aku puas sekarang!!" Hetty ketwa terbahak-bahak.

"Inspektor Hanif! Bawa cik Hetty!" Ana Dahlia menyuruh pegawai polis Hanif yang berkawal di muka pintu untuk membawa Hetty ke lokap.

"Aku puas hati!!" Sekali lagi Hetty ketawa. Kedua tangannya sudah digari dan dibawa keluar dari bilik soal siasat.

Ana Dahlia melepaskan perasaan lega. Selesai satu kes! Dia belek pula kes kegiatan penyeludupan gadis ke luar negara. Fail itu dibelek lagi. Nampaknya, Anum dan Senah menjadi mangsa kegiatan itu.