TORA DATANG LAGI - 18
Sebelum terciptanya kamera digital, semua orang mengambil gambar dengan menggunakan kamera analog yang memerlukan filem untuk menghasilkan gambar. Kamera ketika itu menjadi antara barangan mewah berikutan ianya dijual pada harga yang agak mahal dan sukar diperolehi. Antara jenama kamera yang popular ketika itu adalah Konica.

Filem kamera boleh dibeli di semua kedai gambar pada kadar harga tertentu mengikut jumlah gulungan dan jenama. Ketika itu hanya wujud gulungan untuk 12, 24 dan 36 keping gambar sahaja.

Entah kenapa ketika itu, rata-rata orang tidak menyebut filem kamera sebagai filem tetapi lebih selesa memanggilnya sebagai kodak. Kodak sebenarnya adalah nama syarikat yang membuat filem kamera. Selain Kodak, terdapat juga jenama lain seperti Fujifilm dan Agfa. Walaupun begitu, tidak pernah pula ada orang cuba-cuba memanggil filem kamera sebagai agfa.

Memasang filem pada kamera memerlukan pengetahuan dan tangan yang stedi. Kepada yang tidak tahu memasang filem, kamera akan dibawa ke kedai gambar sewaktu hendak membeli filem. Setelah memilih filem yang diingini, pekerja kedai akan membantu memasangnya.

Oleh kerana kamera analog tidak boleh dipadam dan tidak mempunyai skrin untuk melihat preview, setiap gambar akan diambil secara berhati-hati agar tidak berlaku kecacatan dan merugikan filem.

Terdapat satu pusingan nombor yang menunjukkan jumlah kepingan gambar yang telah ditangkap. Apabila telah habis satu gulungan filem digunakan, satu punat pada kamera akan ditekan dan filem akan digulung secara automatik.

Filem yang telah siap digulung akan dikeluarkan dari belakang kamera dan dihantar ke kedai untuk diproses menjadi foto atau lazimnya disebut gambar. Gambar yang sudah siap dicuci akan dimasukkan ke dalam album disertakan sekali dengan gulungan filem asal yang dipanggil negatif. Gulungan filem atau negatif ini boleh digunakan semula untuk memproses gambar pada masa hadapan.