Mustahil bagi penguasa baru untuk menghindari tuduhan berlaku kejam kerana wilayah baru penuh dengan ancaman. Virgil menyatakan hal ini melalui mulut Dido,
Kehendak politik dan kebaharuan wilayah memaksa saya ambil pendekatan yang sukar dan mengerahkan tentera untuk mempertahankan wilayah saya.
Penguasa harus berwaspada dengan apa yang dia percaya dan lakukan. Tetapi janganlah sampai menunjukkan dirinya berada dalam ketakutan. Terlalu yakin tidak menjadikannya berhati-hati, dan terlalu curiga menjadikannya tidak bertoleransi.
Mengenai persoalan sama ada lebih baik dicintai ataupun ditakuti, jawapannya penguasa seharusnya mendapatkan kedua-duanya. Tetapi apabila penguasa sukar untuk mendapatkan kedua-duanya, lebih baik dia ditakuti daripada dicintai. Hal ini kerana secara umumnya manusia itu tidak bersyukur, berubah-ubah, pengecut, dan tamak. Sekiranya penguasa berjaya memberikan ketakutan, mereka mudah untuk dimiliki. Mereka sanggup menawarkan darah, harta dan anak-anak sementara keperluan itu menjauh daripada mereka. Sebaliknya, mereka akan mengkhianati Tuan.
Penguasa yang bergantung sepenuhnya pada janji-janji rakyat tetapi tidak berwaspada akan menuju kehancuran. Persahabatan yang terjalin hasil daripada bentuk bayaran, bukan dengan kekuatan atau kehebatan pemikiran, memang mudah untuk didapati, tetapi ia tidak boleh menjamin keselamatan. Apabila kita memerlukan bantuan, sahabat tersebut tidak boleh diharapkan. Manusia kurang rasa bersalah apabila menyinggung orang yang dia cintai berbanding orang yang dia takuti, kerana cinta itu dipelihara dengan suatu ikatan tanggungjawab yang mana sering dikhianati untuk membantu mencapai kepentingan masing-masing. Tetapi ketakutan akan memelihara Tuan dengan menjanjikan hukuman kejam yang tidak pernah gagal buat mereka yang mengkhianatinya.
Walau bagaimanapun, penguasa seharusnya membentuk ketakutan apabila dia tidak dapat dicintai, tetapi dia cuba untuk mengelak daripada dibenci. Dua keadaan ini dapat dihubungkan dengan baik secara bersama selagi dia tidak merampas harta benda dan hak rakyat. Sekiranya dia perlu untuk mengambil nyawa seseorang, dia harus laksanakannya dengan timbangan yang adil dan punca yang jelas. Selain itu, dia harus menahan diri daripada merampas harta orang lain kerana manusia mudah melupakan kematian seorang ayah berbanding kehilangan harta benda mereka. Tambahan lagi, penguasa jangan cuba mencari alasan untuk merampas harta orang lain. Apabila hal ini terjadi, sukar untuk dibendung. Tetapi alasan untuk membunuh adalah hal yang jarang berlaku.
Apabila penguasa bersama pasukan tenteranya, dia tidak seharusnya rasa keberatan untuk berlaku sedikit kejam supaya pasukannya dapat bersatu dan mudah untuk membahagikan tugasan. Hannibal pernah memimpin pasukan tentera yang terdiri daripada pelbagai bangsa untuk berperang di wilayah asing. Tiada perselisihan yang bangkit dalam kalangan mereka ataupun timbulnya penentangan terhadap Hannibal. Hal ini disebabkan oleh pendekatan kejam diambil oleh Hannibal yang telah menjadikan dia dihormati dan ditakuti oleh tenteranya. Tanpa kekejaman tersebut dan bergantung hanya pada kemahirannya semata-mata tidak akan memberikan kesan kepada pasukan tentera Hannibal seperti yang disebutkan. Dari satu sudut, tindakan Hannibal dikagumi, dan dari sisi lain tindakan itu juga dikritik.
Scipio merupakan seorang tokoh yang gemilang pernah menghadapi pemberontakan tenteranya di Sepanyol. Pemberontakan ini berlaku kerana kesabaran dan toleransi Scipio yang tinggi sehingga memberikan lesen kepada tenteranya bertindak di luar batas disiplin tentera. Scipio dicela oleh Fabius Maximus dan menggelarnya sebagai koruptor tentera Rom. Bangsa Locrian dihancurkan oleh duta Scipio, tetapi duta tersebut tidak dihukum olehnya kerana budi bicara Scipio sendiri. Senat mahu Scipio membetulkan pendekatan dan kaedahnya. Sekiranya pendekatannya diteruskan, ia akan memusnahkan reputasi Scipio sendiri jika dia seorang maharaja. Namun, dia setia dengan Senat dan dengan kuasa mereka, kesilapan ini bukan sahaja tersembunyi dengan sendirinya, malah meyumbang pada kegemilangannya.
Secara kesimpulan, rakyat mencintai menurut kerelaan hatinya dan berasa takut menurut pendekatan penguasanya. Penguasa yang bijak seharusnya membangunkan kekuasaan berdasarkan apa yang dia sendiri kuasai, bukan apa yang orang lain kuasai. Dia juga harus berusaha supaya tidak dibenci.