Gadis Kebaya Merah - 19
BAB 19

MUNDAR MANDIR Jo di ruang tamu rumah sewanya. Siang tadi, Taiko Chong sudah memberinya masa sehari saja lagi untuknya mencari Anum dan Senah. Kalau tidak, nyawanya akan melayang! Peluh dingin mengalir di dahi sehingga menitis ke pipi. Sekali lagi Jo mundar mandir di situ. Dia masih memikirkan kehilangan Anum dan Senah. Rasanya sudah hampir seminggu mereka hilang tanpa dapat dikesan. Teringat kata-kata Kudin, Pak Sahak sudah lama rindukan anaknya dan ingin berjumpa Anum.

"Aduh...macam mana ni Esok aku akan jumpa Kudin. Aku dah janji dengan dia. Apa aku nak cakap nanti" Jo semakin gelisah. Dia tidak senang duduk. Mundar mandir lagi dia di ruang tamu itu.

Jo pandang jam di dinding rumahnya yang bercat hijau. Malam semakin menghampiri tengah malam. Dia semakin tidak tentu arah. Sejak gadis kebaya merah muncul dalam mimpinya, sejak itulah juga hidupnya tidak tenteram. Gadis itu seolah memarahinya kerana tidak menyelamatkannya dari penjahat. Gadis itu merayu-rayu dalam mimpinya supaya mencari pembunuh itu.

"Eiii!! Boleh jadi gila aku!!!" Jo henyak tubuh di sofa.

Kepalanya ditundukkan. Jemari kasarnya mencengkam rambut. Digaru-garu keras. Dia kemudian bingkas bangun. Kali ini dia nekad. Dia akan beritahu Kudin semuanya! Kudin perlu tahu tentang Senah dan Anum. Ugutan Karim tadi tidak dihiraukan.

"Ah! Lantaklah kau Karim! Aku tak takut dengan Taiko Chong!" Jo menapak ke bilik. Esok, dia perlu berjumpa dengan Kudin.

JO terjaga. Rasa angin menerpa di pipinya begitu terasa. Angin sejuk itu seolah menerpak ke pipi dan menjalar ke seluruh tubuhnya. Matanya meliar melihat sekitar bilik. Tiada apa-apa yang berlaku. Sekali lagi, Jo cuba pejamkan mata. Angin sejuk itu sekali lagi menerpa muka dan tubuhnya. Lantas dia bingkas bangun. Sekitar biliknya dipandang lagi. Tiada apa-apa yang berlaku. Matanya tertancap pada satu kepulan asap di tingkap. Asap itu seolah menyusup masuk melalui lubang dan celah tingkap dan berkepul-kepul berlegar di depannya.

Dia menelan liur. Asap itu diperhatikan lagi. Kali ini asap itu sudah bertukar membentuk susuk tubuh manusia. Perlahan-lahan berubah menjadi tubuh seorang perempuan yang memakai baju kebaya merah. Membuntang melihat rupa perempuan itu.

"Ma..macam mana kau boleh ada di sini" Jo sudah menggigil. Suaranya terketar-ketar. Dulu, gadis kebaya merah itu hanya muncul dalam mimpinya sahaja. Kali ini, gadis kebaya merah itu benar-benar muncul di depannya.

"Tolong saya...tolong cari pembunuh saya..tolong.." Rayu jelmaan gadis kebaya merah itu.

"Aku sudah tolong kau hantar ke hospital tapi bila aku datang melawat, kau sudah tak ada di situ." Jo beranikan diri bersuara lagi.

"Aku diculik..aku dianiaya..aku dibunuh!!!" Kali ini suara jelmaan gadis kebaya merah itu mula garang. Wajahnya semakin bengis.

Jo terdiam. Dia sendiri tidak berani bertanya banyak pada jelmaan gadis kebaya merah itu. Wajah ayu tadi sudah bertukar bengis. Selepas ini, entah apa lagi yang berlaku. Mungkin terus menjadi hodoh agaknya.

"Si..siapa yang bunuh kau" Jo pula jadi penasaran untuk mengetahui siapa pembunuh itu.

"Ikut aku..." Jelmaan gadis kebaya merah itu merenung tajam ke arah Jo.

"Ikut kau Ke mana" Jo menelan liur. Dia semakin tak keruan. Gadis itu dilihat sudah menembusi dinding dan lenyap. Jo bingkas bangun dan berjalan ke arah tingkap.

Tingkap dibuka sedikit. Gadis kebaya merah tadi dilihat sudah menunggunya di laman.

"Ah! Ini satu lagi kerja gila! Benar-benar gila!!" Jo sudah merasa serabut kepala otak. Terasa dia sudah berkawan dengan jin syaitan!

"Tolong...tolong aku.." Gadis itu merayu lagi. Kali ini pandangannya sayu melihat Jo yang masih teragak-agak di situ.

Jo beranikan diri turun ke laman. Gadis kebaya merah itu masih berdiri di situ. Jelas dia melihat gadis itu mula berjalan ke satu arah dan terbang. Jo membuntang melihat kelibat gadis itu terawang-awang di langit. Dia mula menghidupkan enjin dan memandu mengikut arah gadis itu terbang. Tanpa sedar, keretanya sudah sampai ke satu tempat yang agak gelap dan terpencil. Ada sebuah rumah di hujung taman perumahan itu. Rumah yang agak terasing dari rumah lain. Keretanya diparkir tidak jauh dari rumah itu. Lama Jo memerhati sekitar rumah itu yang agak suram dengan hanya ditemani cahaya dari lampu tiang jalan yang hanya ada sebuah saja di situ.

"Hmm...rumah siapa sebenarnya ni" Jo mula keluar dari perut kereta. Dia berdiri seketika di tepi kereta. Kelibat gadis kebaya merah itu dilihat sudah terawang-awang di atas bumbung rumah itu seolah ingin memberitahunya ada sesuatu di dalam rumah itu yang perlu dia tahu.

Langkah berhati-hati diatur menuju ke rumah itu. Jo melihat sekitar situ. Perlahan dia menapak ke tepi dinding rumah. Telinganya ditekap ke dinding. Tiada apa-apa yang berlaku.Tiada suara dari dalam kedengaran. Dia jenguk pula melalui tingkap. Dari celah tingkap, jelas dia melihat seseorang sedang mengadap satu bekas kemenyan. Asap dan bau kemenyan mula menusuk lubang hidungnya. Orang itu tidak jelas pada pandangan matanya.

"Siapa dia" Jo berkerut kening. Dia intai lagi. Kali ini dia menelan liur. Bulat matanya melihat wajah orang itu yang cukup dikenali. Dia segera ke keretanya semula.

Keretanya dipecut laju meninggalkan kawasan perumahan itu. Gadis kebaya merah tadi juga sudah bertukar menjadi kepulan asap semula sebelum lenyap dibawa angin malam. Sampai di rumah, Jo sekali lagi henyak tubuhnya di sofa di ruang tamu. Jarum jam di pergelangan tangannya sudah menghampiri satu pagi.

"Pelik aku..kenapa perempuan tu tak cekik je orang yang membunuhnya Dia kan hantu Rasuk ke Hisap darah ke macam Dracula tu " Jo masih berfikir. Terasa dunianya kini sudah masuk ke fasa dunia mistik!

Agak lama dia termenung, pintunya diketuk bertalu-talu. Johan mula berkerut kening. "Siapa pulak yang datang malam buta mcam ni"

Perlahan dia bangun dan mula membuka pintu. Tiada sesiapa di situ. Dia jenguk sekitar laman. Juga tiada sesiapa. Jo kembali masuk ke dalam rumah. Dia berehat semula di sofa. Malam itu matanya sukar diulit. Sekali lagi bunyi ketukan kuat bertalu-talu mengetuk pint rumahnya. Johan sudah bengang. Dia bingkas bangun dan dengan kasar dia membuka pintu.

"Siapa" Jerkah Jo. Matanya melilau mencari kelibat orang yang mengetuk pintu rumahnya tadi.

Kali ini juga tiada sesiapa. Sebaik sahaja dia ingin masuk semula ke dalam rumah dan ingin menutup pintu, kedengaran suara ketawa berdekah-dekah semakin kuat menerjah gegendang telinganya.

"Siapa pulak yang ketawa malam-malam ni" Jo sudah bingung. Suara ketawa tadi masih jelas di telinganya.

"Aku tahu kau datang ke rumah aku tadi kan"

Jo terdiam. Suara ketawa tadi sudah mula berbicara dengannya dan apa yang dia pelik, suara itu tahu ke mana dia pergi tadi.

"Kau siapa" Jo beranikan diri bertanya.

"Kau ingat! Tiada seorang pun yang boleh melawan aku!!"

Jo sudah geram. Dia genggam kedua tangannya dengan kuat. Dia percaya suara tadi adalah suara orang yang dikenalinya tadi di rumah itu.

"Oh..jadi selama ni kau berpakat dengan jin setan!!" Jo menjerit kuat.

Suara tadi ketawa lagi dan lenyap begitu sahaja sekelip mata.

"Ni tak boleh jadi. Aku mesti beritahu Kudin." Jo mengetap bibir. Dia mula membaca ayat kursi sebelum pejamkan mata. Kali ini dia perlu bantuan Kudin. Esok, dia perlu jumpa Kudin!

KUDIN menunggu Jo di sebuah restoran yang terletak agak jauh dari jalan besar. Dari tadi, dia begitu payah mencari restoran yang dijanjikan Jo. Sesekali Kudin pandang jarum jam di pergelangan tangannya. Dia mula menopang dagu sambil memerhati sekitar restoran dan ke arah luar restoran. Senyuman mula terukir di bibir sebaik melihat Jo sudah menapak ke arahnya.

"Kau ni janji mat jenin ke apa" Kudin sengih. Jo dilihat sudah melabuhkan punggung di kerusi.

Jo tidak menjawab. Dia hanya melemparkan senyuman kelat. Baginya ini bukan masa untuk bergurau. Anum dan Senah sudah seminggu hilang tanpa khabar berita. Mana mungkin dia boleh tersenyum. Kalau dulu, dia tidak kisah tentang gadis yang diperdaya untuk dijual kepada sindiket tapi kali ini dia sudah merasa terperangkap dengan tindakannya sendiri. Kedua gadis itu adalah rakan sekampungnya. Mereka perlu diselamatkan dari menjadi mangsa Taiko Chong!

"Kau ni kenapa" Kudin mula serius. Muka Jo sudah ketat.

"Aku perlukan bantuan kau. Kau mesti tolong aku. Aku dah buntu ni." Jo menundukkan wajah. Dia masih tidak berani dan teragak-agak menceritakan segala apa yang telah berlaku.

"Kau ada masalah ke"

"Ya. Masalah besar!" Jo sudah berpeluh. Dia pandang Kudin yang memandang tepat ke arahnya dengan muka berkerut.

"Okey...sebelum kau cerita lebih lanjut, kita pesan minuman dulu." Kudin mengangkat tangan memanggil pelayan restoran. Minuman dipesan. Matanya beralih kembali kepada Jo yang sudah berpeluh.

Jo pula masih tidak tahu bagaimana untuk memulakan ceritanya. Dari malam tadi, dia berfikir dan berfikir. Pagi tadi pun dia masih berfikir sampai nak pecah otak! Kali ini dia perlu ambil risiko. Bongkar semuanya! Kalau tidak, dia akan mati katak!!

"Hmm...lain macam je kau ni" Kudin mula menegur sikap Jo.

"Kau masih ingat Anum" Soalan pertama Jo ditujukan pada Kudin. Dia tahu sejak dulu Kudin memang menaruh hati pada Anum, anak Pak Sahak yang sopan santun.

"Ya kenapa" Kudin semakin berkerut kening.

"Anum sebenarnya diculik untuk dijual kepada sindiket haram di Jepun." Jo terpaksa juga bongkar cerita sebenar misteri kehilangan Anum.

Kudin sengih. Dia merasakan kata-kata Jo tadi memang tidak masuk akal. Mana mungkin gadis baik seperti Anum menjadi mangsa sindiket haram itu. Wajah Johan diperhatikan seketika. Hanya ada riak serius. Benar-benar serius.

"Kau jangan nak buat cerita la Jo. Aku tahu la Anum tu dah hilang hampir lima bulan lalu tapi aku tak percaya cerita kau ni. Mungkin Anum ikut kawan dia ke Atau...mungkin juga dia pergi mana-mana. Saja nak mencari ketenangan. Jadi dia tidak beritahu ayah dia."

Kudin menelah sendiri. Dari dulu dia tahu siapa Anum walaupun sampai sekarang dia masih belum berjumpa dengan gadis itu.

"Look! I'm serious ok!! Anum dan Senah diculik dan bila-bila masa akan dijual kepada sindiket haram!" Jo sudah geram. Kudin dilihat seperti memperlekehkan kata-katanya tadi.

"Senah Kau tahu dia di mana sekarang" Kudin mula membuntang. Chad sudah beritahunya tentang kehilangan Senah dan sekarang Ana Dahlia juga sudi membantunya mencari Senah dengan bantuan kawan polis Ana Dahlia sendiri.

"Kalau aku tahu, tak ada la aku jumpa kau sekarang ni!" Jo mengetap bibir.

"Tapi..macam mana kau tahu Senah dan Anum hilang Dan macam mana kau tahu mereka akan dijual kepada sindiket haram" Kudin pula merasa keliru dan bingung.

Jo melepaskan keluhan seketika. Dia kemudian menarik nafas perlahan. Dia sudah bersedia jika Kudin bertindak di luar dugaan dengan apa yang bakal dijawabnya nanti. Dia pandang Kudin yang masih tidak beralih matanya itu.

"Kudin..aku yang bersalah dalam hal ni. Aku yang mengheret Senah dan Anum dalam dunia aku tanpa aku sedari." Jo menutur perlahan. Sesekali dia jeling Kudin, mencari riak lelaki itu.

"Maksud kau" Kudin masih tidak faham.

"Hampir lima tahun aku dalam dunia sindiket ni. Bermula di US, aku terjebak dalam sindiket penjualan perempuan ke seluruh dunia. Aku bukan sengaja tapi terpaksa. Aku terhutang budi dengan ketua kumpulan sindiket tu. Dia telah selamatkan aku dari dibunuh oleh sekumpulan penjahat yang menyerang aku secara tiba-tiba." Terpaksa juga Jo berterus terang dan bongkar kisah pahitnya dulu.

"Jadi selama ni kau terlibat dengan kerja gila ni" Terbeliak Kudin mendengar pengakuan Johan.

Jo mengangguk lemah.

"Jadi sekarang ni apa yang kau cuba katakan tadi, kau dah culik Anum dan Senah Macam tu" Kudin mengetap bibir.

"Aku hanya menyuruh orang aku mencari gadis-gadis kampung dan aku tak tahu Senah dan Anum turut menjadi mangsa." Jo tunduk.

Dia tahu Kudin tidak akan membiarkan saja semua itu menerjah telinga, menjadi halwa telinga. Dia tahu, Kudin akan bertindak nanti.

"Siapa orang suruhan kau"

"Karim..." Ringkas Jo menjawab.

Kudin terdiam. Jadi betullah kata-kata Lepat dulu, Karim yang terlibat dalam hal penculikan ini semua. Kudin bingkas bangun. Dia meraup muka. Matanya beralih pada Jo yang masih tunduk. Dia pandang pula sekitar restoran. Hanya ada beberapa orang pelanggan saja.

"Habis tu mana Senah dan Anum sekarang" Kudin cuba mengawal perasaan marahnya. Terbayang wajah Pak Sahak yang begitu mengharapkan Anum kembali ke pangkuannya. Senah pula, datang ke KL tanpa beritahu apa-apa pada ayahnya, Pak Said.

"Tu yang menjadi masalah. Mereka lari dari rumah, tempat mereka dikurung. Jenuh aku cari." Jo mendongak.

Duubb!!!

Jo terjatuh ke lantai. Tumbukan padu dari Kudin tadi tepat mengenai bibirnya. Darah bersembur memercik ke lantai. Perlahan dia cuba bangun. Darah yang masih mengalir dari bibirnya disapu perlahan. Dia sudah dapat mengagak tindakan Kudin.

"Maafkan aku.." Hanya itu yang mampu Jo katakan. Memang salahnya.

Duubb!!!

Sekali lagi tumbukan padu singgah ke tubuh Jo. Kali ini tepat pada perut pula. Terduduk sekali lagi Jo di atas lantai restoran.

Pelanggan lain hanya melihat drama aksi sebabak mereka. Tidak berani campur tangan.

"Kau tahu tak, Pak Sahak suruh aku cari Anum! Sekarang ni, Senah pula hilang!!" Jerit Kudin. Dia tidak hiraukan orang sekeliling. Dia pandang seorang pelayan restoran yang datang dan cuba menenangkan keadaan.

"Tak apa..kami gaduh sikit je." Kudin menyuruh pelayan restoran itu beredar.

Jo masih terjelepuk di atas lantai. Memang dia sudah masak dengan perangai Kudin. Sejak di kampung lagi, Kudin akan bertindak seperti itu.

"Apa kau nak buat sekarang Kau pasti Senah dan Anum tu selamat" Kudin bercekak pinggang.

Jo bangun perlahan. Dia menggosok-gosok perutnya yang terasa senak akibat tumbukan Kudin tadi. Kudin masih tercegat di situ.

"Aku yakin mereka selamat. Bos aku masih menunggu jawapan dari aku. Sekarang ni, jalan terbaik, aku nak bekerjasama dengan pihak polis. Selepas Anum dan Senah ditemui semula, aku akan menyerah diri." Jo tunduk. Darah masih mengalir dari bibirnya yang sudah mula bengkak.

Kudin sudah merah mukanya. Geramnya masih ada. Sungguh dia tidak sangka, selama ini Jo terlibat dengan kerja gila seperti itu! Jo yang dikenali dulu sudah jauh berubah. Dulu, Jo seorang yang baik dan suka ke masjid. Entah di mana silapnya sehingga lelaki itu jauh tersasar sekarang ini.

"Satu lagi yang kau perlu tahu..ia ada kaitan dengan Chad.." Jo pandang Kudin yang masih bercekak pinggang, tepat memandang ke arahnya.

"Kenapa dengan Chad" Kudin merenung tajam Jo yang sudah berubah riak.

"Aku pun tak sangka..rupanya selama ni dia.." Belum habis Jo berkata, Chad muncul di situ.

"Sorry Kudin. Aku lambat sikit. Eh! Kau ni kenapa Jo" Chad mendekati Jo yang sudah berdarah bibirnya.

"Tak..tak ada apa.." Jo duduk semula di kerusi.

Chad dan Kudin turut melabuhkan punggung di situ. Jo diam seketika. Chad pula memandang Kudin dan Jo silih berganti. Masing-masing diam.

"Korang bergaduh ke apa" Chad akhirnya bertanya setelah diam seketika. Muka Jo sudah berubah riak.

"Sikit je. Salah faham. Kau dari mana Muncul macam ribut!" Jo mengalih topik perbualan.

"Tadi Kudin ajak aku ke sini. Katanya ada hal penting nak beritahu." Chad pandang Kudin kemudian beralih pada Jo.

"Ya. Kebetulan Jo ada sekali, aku nak beritahu kau, Senah dan Anum hilang! Sudah seminggu!" Kudin pandang Chad dan kemudian menjeling Jo yang sudah tunduk. Apa yang cuba dikatakan oleh Jo tadi masih menjadi tanda tanya.

"Anum pun hilang" Chad terkejut.

Jo memandang Chad dengan senyuman sinis. Pandai kau berlakon!

"Ya. Senah dan Anum sudah hilang. Kita kena cari sampai dapat sebelum mereka berdua menjadi mangsa bunuh oleh orang upahan yang tak berhati perut!" Jo sengaja berkata begitu. Chad dipandang tajam. Segala apa yang dilihat di rumah yang ditunjukkan oleh jelmaan gadis kebaya merah dulu masih segar terbayang di ruang mata.

"Apa maksud kau" Chad menelan liur. Pandangan tajam Jo seperti ada sesuatu yang tidak kena.

"Sebelum tu, kau kenal Hanim" Jo sudah tidak sabar mengorek rahsia Chad.

"Hanim Eh, apa kau cakap ni Jo Siapa Hanim" Chad senyum sengih. Namun jelas dia cuba menyorokkan riaknya yang sudah menggelabah.

"Tak sangka kau Chad. Selama ini aku ingat kau ni seorang yang baik tapi kau lebih teruk dari aku." Jo menyindir dengan sinis.

"Woi! Kau cakap baik sikit! Apa maksud kau" Chad bingkas bangun.

"Tenang. Duduk dulu. Jo, cuba kau beritahu aku dengan jelas. Apa yang kau nak cerita sebenarnya" Kudin cuba meleraikan keadaan yang semakin tegang.

"Tak guna cakap kat sini." Jo meludah.

"Kalau kau tuduh aku yang melarikan Anum dan Senah, kau silap Jo! Okey, pasal Senah tu aku mengaku. Aku hanya nak tolong Senah cari kerja di KL ni tapi aku pun tak sangka Karim tu menipu Senah. Aku pasti, Karim terlibat dengan kehilangan Senah. Pasal Anum aku tak tahu!"Nada Chad sudah tinggi. Dia jelling Kudin, cuba mencari riak lelaki itu.

"Memang la Karim terlibat tapi dia tidak apa-apa kan mereka tu. Sejahat-jahat dia pun, dia bukan manusia bertopengkan syaitan!" Jo mengetap bibir. Chad dipandang tajam.

"Jadi, kau tuduh aku ni syaitan" Chad genggam kolar baju Jo.

"Boleh tak korang jangan bertekak" Kudin bingkas bangun sekali lagi. Chad dilihat sudah lepaskan kolar baju Jo.

"Aku nak balik! Jumpa nanti!" Jo turut bangun. Dia jeling Chad. Padanya Chad sudah melampau! Kudin perlu tahu siapa Chad sebenarnya!

Kudin hanya menggeleng melihat Jo sudah berlalu pergi. Chad pula masih tidak beralih matanya memandang Jo.

"Chad, kau kenal Hanim" Kudin pandang Chad. Hanim adalah pekerjanya yang hilang dan dibunuh dengan kejam. Dia perlu tahu apa kaitan Chad dengan Hanim. Tadi tiba-tiba Jo bertanyakan hal Hanim pada Chad. Seperti ada sesautu yang tidak kena sudah berlaku tanpa dia sendiri ketahui. Hal Jo pula dia akan tanya kemudian.

"Aku tak kenal perempuan tu! Apa kau ingat aku yang bunuh dia" Chad bercekak pinggang.

Kudin membuntang. Jelas, Chad menyebut perkataan bunuh sedangkan dia tidak sebut pun perkataan itu tadi. Dari mana Chad tahu gadis itu telah dibunuh Lama dia memerhati riak Chad. Segala yang dikatakan oleh Jo tadi mula bermain di benaknya. Bermakna, Jo tidak berbohong.

"Ah! Gila semua ni!" Chad pula beredar dari situ.

Kudin hanya melihat Chad yang sudah beredar dari situ. Kali ini dia pasti Chad dan Jo ada kaitan dengan kematian Hanim. Telefon bimbitnya dicapai dari poket seluar. Dia mula menghubungi Ana Dahlia.

ANA DAHLIA mendengar penuh khusyuk. Talian diputuskan. Panggilan dari Kudin tadi begitu diharapkan. Maklumat yang diberi Kudin benar-benar membantunya dalam menyelesaikan kes sindiket penjualan perempuan termasuk kes kehilangan Senah. Dia buka fail.

Segala maklumat yang diterima tadi dicatat di situ. Semalam, Detektif Jailani sudah berpesan padanya tentang hal itu. Lelaki itu akan membantunya menyelesaikan kes itu kerana ia melibatkan jenayah berat. Taiko Chong yang mengetuai sindiket itu sudah pun dikenal pasti. Kini mereka hanya menunggu masa untuk bertindak. Dengan maklumat tambahan dari Kudin tadi, akan memudahkan kerja polis. Kudin sudah berjanji akan membantu mencari maklumat tentang kehilangan Senah dan Anum.

"Kesian Anum dan Senah.." Ana Dahlia mula merasa simpati dengan kehilangan kedua gadis yang tidak berdosa itu. Fail itu dibelek lagi. Segala butir maklumat dicatat selengkap mungkin.

Dia kemudian menghantar fail itu ke bilik Detektif Razif. Detektif Jailani turut berada di bilik itu. Mereka bertiga mula berbincang tentang operasi dan strategi menumpaskan kumpulan sindiket haram itu. Setelah mencapai kata sepakat, mereka mula mengumpul pegawai polis yang akan bersama dalam misi itu nanti.

"Tuan! Ini ada maklumat terbaru mengenai sindiket itu terutama kes penjualan gadis ke luar negara." Ana Dahlia menghulurkan fail yang dibawa tadi.

"Hmm...kenapa tak masukkan dalam discussion tadi" Detektif Razif capai fail yang dihulur Ana Dahlia.

"Tadi, tuan hanya panggil saya untuk berbincang strategi saja." Ana Dahlia menelan liur. Dia tahu, Detektif Razif seorang yang sangat tegas dan tidak suka melengahkan dan membiarkan maklumat tidak dikemaskini.

"Awak ni.." Detektif Razif senyum. Matanya melirik melihat Ana Dahlia yang sudah tunduk.

Detektif Jailani turut senyum. Dia faham orang baharu seperti Ana Dahlia mudah kalut dan tidak teratur kerjanya.

"Okey..saya nak awak bekerjasama dengan Detektif Jailani dalam operasi ni." Fail tadi dihulur pula kepada Detektif Jailani.

Detektif Jailani melihat seketika maklumat yang agak lengkap yang tercatat di dalam fail itu. Matanya tertancap pada satu nama. Dia membaca semua maklumat itu berkali-kali. Senah hilang

"Awak pasti ini Senah binti Said dari kampung Pinang Patah" Pantas Detektif Jailani mendongak dan memandang Ana Dahlia.

"Ya tuan!" Ana Dahlia mengiakan pertanyaan Detektif Jailani.

"Ya Allah..." Detektif Jailani meraup muka. Riaknya mula berubah.

"Kenapa tuan" Ana Dahlia pula bingung melihat reaksi Detektif Jailani yang tiba-tiba berubah riak.

"Dia sekampung dengan saya." Detektif Jailani melepaskan keluhan seketika.

"Apa Sekampung Jadi, tuan kenal Senah" Ana Dahlia pula terkejut. Dia pandang Detektif Razif yang turut terkejut.

"Ya.." Detektif Jailani menjawab lemah.

Dari dulu dia suka pada gadis itu dan perkara itu tidak pernah diluahkan. Dia tahu tentu orang kampung akan mengata nanti. Senah tidak seperti gadis lain yang sopan dan kontrol ayu seperti Anum. Jauh berbeza dengan Anum dan juga rakan sejawatnya, Ana Dahlia. Entah kenapa dia terpikat dengan sikap Senah yang mudah mesra dan membuatnya tidak pernah kering gusi. Senah ada sifatnya tersendiri walaupun dia tahu Senah dari dulu suka pada Kudin. Kudin pula tidak pernah layan karenah Senah.

Ana Dahlia terdiam. Dari riak Detektif muda itu dia dapat merasa ada sesuatu yang bermain di benak lelaki itu. Mungkinkah Detektif Jailani suka pada Senah

"Jadi tuan kenal juga Kudin, Johan dan Chad" Ana Dahlia sekali lagi menelan liur. Tajam melihat Detektif Jailani yang masih tunduk. Ada riak sugul di wajah lelaki itu.

"Ya. Mereka satu sekolah dengan saya dulu. Selepas tamat SPM, kami bawa haluan masing-masing. Sudah lama saya tidak jumpa dengan mereka kerana kekangan kerja." Detektif Jailani berterus terang.

Sekali lagi Ana Dahlia terdiam. Terkejut mendengar kata-kata Detektif Jailani. Terasa dunia begitu kecil. Dia pandang Detektif Jailani yang masih menatap maklumat itu.

"Masa awak siasat kes kehilangan Hanim dan Suzy dulu, saya sudah merasa ia melibatkan Kudin tetapi Chad dan Johan saya tidak pasti. Macam mana awak kenal Chad dan Johan" Detektif Jailani pandang Ana Dahlia yang sudah terdiam di depannya.

"Tadi..Kudin ada menghubungi saya. Nampaknya kes ni makin rumit. Chad dan Johan kemungkinan besar terlibat secara langsung dalam hal ni. Itu maklumat terbaru yang saya terima dari Kudin, tuan!" Ana Dahlia mula membongkar rahsia.

"Hmm.." Detektif Jailani angguk.

"Awak ada contact number Kudin" Tanya Detektif Jailani lagi. Dia perlu berjumpa dengan Kudin segera.

"Ada." Ana Dahlia hulur sekeping kertas yang sudah ditulis nombor telefon Kudin.

Detektif Jailani capai dan masukkan ke dalam poket baju.

"Kita kena cepat bertindak. Jangan sampai Anum dan Senah ni jatuh ke tangan Taiko Chong! Sindiket ni sudah lama bertapak di Malaysia ni. Sudah ramai gadis menjadi mangsa mereka." Detektif Razif mula mencelah. Dia juga seperti boleh membaca riak Detektif Jailani. Senah seperti gadis istimewa pada lelaki itu.

"Ya. Mereka perlu diselamatkan dengan segera." Sekali lagi Detektif Jailani membelek dan menatap gambar Senah di dalam fail itu. Sungguh tak sangka Senah dan Anum menjadi mangsa sindiket haram itu.

Mereka bertiga mula bersurai. Ana Dahlia pula kembali ke biliknya. Dia bersandar di kerusi. Mata menghala ke siling. Perbincangan di bilik Detektif Razif tadi sedikit terganggu dengan kehadiran Detektif Jailani. Selalunya dia dan Detektif Razif sahaja yang berbincang soal operasi dan strategi.

"Hmm...macam ada sesuatu dia dengan Senah." Ana Dahlia masih berfikir. Entah kenapa tiba-tiba dia merasa cemburu.

JAI lama terdiam di dalam kereta. Fail yang dilihat tadi begitu menggugat perasaannya. Gadis yang dicintai dalam diam itu kini dalam bahaya. Kepalanya disandarkan di kerusi kereta. Lama dia berfikir tentang Senah. Terasa cintanya hanya bertepuk sebelah tangan. Senah sejak dulu tergila-gilakan Kudin.

"Apa yang Kudin ada dan aku tak ada Rupa Wang" Jai mengeluh seketika. Kini dirinya semakin tercabar bila Kudin sudah mengambilalih syarikat arwah ayahnya dan sudah tentu Senah semakin suka dan cinta pada Kudin.

"Ah, buat apa aku nak fikir sangat. Sekarang ni kena cari di mana Senah dan Anum. Cerita selepas itu, kemudian pun tak apa. Jodoh tiada siapa yang tahu." Jai menyedapkan hati sendiri. Enjin kereta dihidupkan dan keretanya meluncur laju meninggalkan kawasan balai polis. Esok dia perlu berjumpa Kudin.