Tanpa berlengah lagi, Munir keluar dan mencari kedai yang menjual majalah. Munir meminta pada penjaga di situ untuk menarik keluar semua majalah yang berkenaan dengan dunia paranormal. Hasilnya ada tiga majalah yang menepati apa yang Munir cari. Munir terus memeriksa muka surat kredit majalah-majalah tersebut. Berhasil. Salah satu majalah paranormal itu menyenaraikan individu yang bernama Arfan sebagai salah seorang wartawannya. Lebih daripada itu, pada senarai kandungan juga, Munir dapat melihat ada sebuah artikel yang bertajuk 'Ramalan Seorang Pembunuh'.
Tentu artikel ini tentang Haida...
Dada Munir berkencang. Duit dicampak ke meja pembayaran tanpa menunggu bakinya. Dalam kereta, jantung Munir terus berdebar-debar. Matanya mengerling pada majalah paranormal yang diletak pada kerusi sebelah berkali-kali. Tak sabar hendak membaca artikel di dalamnya yang Munir yakin ada kena-mengena dengan Haida dalam Kisah 3. Kisah 3 yang merupakan sebuah cerita pendek yang ditulis oleh mangsa ketiga Pembunuh Batik Biru.
Apa kaitan antara mereka Mungkin wartawan itu, yang namanya Arfan. Lagipun namanya ada disebut dalam cerita tersebut. Mungkin Arfanlah perkaitan yang wujud di antara cerita-cerita tersebut, dan Pembunuh Batik Biru sendiri. Tapi Munir perlu memastikan dahulu.
Perasaan tidak sabar menggerakkan kakinya untuk menekan brek dan memberhentikan keretanya di tepi jalan. Munir membuka artikel di dalam majalah tersebut. Di dalam artikel itu tidak ada menyebut nama pembunuh yang dimaksudkan. Tapi ceritanya... memang hampir serupa.
Di dalam artikel tersebut menyebut tentang seorang wanita yang telah membunuh seluruh ahli keluarganya. Dan wanita tersebut sudah meramal di dalam mimpi bahawa perkara itu akan berlaku. Sebiji macam apa yang berlaku pada Haida di dalam novel hitam yang ditulis Anom dulu. Dan juga dalam Kisah 3 yang dijumpai bersama mangsa pembunuhan oleh pembunuh bersiri yang mempunyai satu macam obsesi terhadap kain batik biru.
Kain batik biru....
Munir menepuk dahinya sendiri dengan kuat.
Macam mana aku boleh lupa.... Cerita Akhir. Peleraian. Batik Sentung Biru.... Anom.... Adib!
Lagi sekali nama budak itu terbangkit dalam rangkaian sesawang yang mengelirukan ini. Bagai angka 12, pada setiap pusingan waktu, tentu akan berbalik kepadanya. Tapi Munir masih belum dapat mengenalpasti, dalam cara apa Adib terkait dalam semua ini. Atau samada, Adib memang ada kaitan langsung. Barangkali dia hanyalah seorang anak kecil yang kehilangan ibu. Yang telah lahir ke sebuah dunia yang bercelaru. Yang wajah comelnya terpalit sama atas kesilapan orang-orang di sekelilingnya.
Kesilapan Anom menulis novel hitam itu. Kesilapan Munir membenarkan dirinya terpengaruh dengan novel hitam yang sama, sampai membuatkannya gila. Kesilapan penulis itu, yang telah mengkomersilkannya pula. Dan kesilapan Pembunuh Batik Biru, yang telah....
"Copycat mungkin" saran Munir.
"Copycat bermaksud seorang pembunuh yang meniru modus operandi seorang pembunuh bersiri yang lain."
"Iya.... Tapi mungkin pembunuh ni meniru novel tu."
"Dalam novel tu ada cakap pasal pembunuhan yang macam ni" tanya Zaiful.
"Tak ada. Tapi ada cerita tentang batik biru. Lagipun ni cuma teori awal aku. Aku rasa berbaloi untuk kita pertimbangkan bahawa Pembunuh Batik Biru ni ada kena-mengena dengan novel tu. Tapi aku pun kena siasat novel tu betul-betul dulu. Sebab aku belum baca versi yang telah dikomersialkan tu. Aku cuma baca yang asal...."
"Yang asal apa"
"Untuk pengetahuan kau, Jangan Baca Novel Ni hanyalah sebuah adaptasi. Satu rekaan semula sebuah novel yang ditulis dengan tangan oleh seorang perempuan yang bernama Anom. Dan perempuan tu adalah mak kandung Adib, anak angkat aku. Kau akan tau semua ni kalau kau baca novel tu macam yang aku suruh!" tekan Munir. Dia mulai tidak keruan.
Zaiful menarik kerusi dan duduk di hadapan Munir. Wajah keruh rakan setugasnya itu ditenung dalam.
"Kenapa kau obses sangat dengan kes ni hah Padahal bukan kes kau pun."
"Sebab aku ada kaitan dengan semua ni! Dengan novel hitam tu. Dengan cerita-cerita pendek yang kau orang jumpa pada mangsa-mangsa pembunuhan tu. Cerita-cerita pendek yang nampaknya ada kaitan langsung dengan cerita-cerita dalam novel hitam yang aku baca dulu. Novel hitam yang dah buatkan aku..."
"Tak siuman" pintas Zaiful.
Munir tersentak. Dahinya berkerut.
"Kau..."
"Ya. Aku dah baca novel tu sebenarnya. Aku habiskan dalam masa empat jam je tadi. Watak Munir dalam novel tu, kau kan sebenarnya"
Munir mengangguk.
"Jadi masa kau cuti panjang dulu tu, waktu tu kau masuk pusat psikiatri la"
Kali ini Munir hanya menjawab dalam kebisuannya.
"Patut la bila aku tanya semua orang dulu, semua berkelakuan aneh. Aku tak nak banyak soal sebab aku pun baru transfer sini masa tu. Tapi kenapa bila aku tanya kau lepas tu, kau bohong aku Kau cakap kau cuti sebab operate kaki..."
bersambung
Bab akan datang:
Apakah alasan yang akan Munir berikan kepada Zaiful tentang pembohongannya