Terdapat dua cara untuk berlawan. Pertamanya, menggunakan undang-undang. Keduanya, menggunakan kekerasan. Cara pertama adalah cara betul yang perlu dituruti oleh setiap manusia. Cara kedua adalah cara binatang. Tetapi cara pertama selalunya tidak mencukupi, maka cara kedua diperlukan. Oleh itu, penguasa perlu memahami dengan baik bagaimana untuk menggunakan kedua-dua cara tersebut. Hal ini telah diajar kepada penguasa melalui tulisantulisan lama yang menggambarkan bagaimana Achilles dan para penguasa dididik oleh Chiron. Mempunyai guru separuh manusia dan separuh haiwan seperti Chiron dapat mengajar mereka memanfaatkan kedua-dua sifat tersebut.
Penguasa mesti tahu bagaimana untuk bertindak seperti haiwan. Haiwan seperti singa dan rubah. Singa tidak mampu mempertahankan dirinya apabila dijerat dan rubah pula tidak mampu mempertahankan dirinya apabila melawan serigala. Maka, penguasa harus menjadi rubah untuk mengenal pasti perangkap jerat dan menjadi singa untuk melawan serigala. Penguasa yang menjadi singa semata-mata, tidak akan faham hal ini. Justeru, penguasa yang bijak tidak seharusnya terus memegang kepercayaan pada rakyat sekiranya pendekatan ini memudaratkan dirinya ataupun dia sudah tidak mempunyai sebab lagi untuk melaksanakannya. Sekiranya seseorang penguasa itu mempunyai rakyat yang baik, kaedah ini sudah tidak penting. Tetapi disebabkan mereka tidak baik dan tidak percaya kepada Tuan, maka Tuan juga tidak terikat untuk mempercayai mereka. Contoh-contoh peristiwa yang dapat diberikan menunjukkan bahawa pelbagai perjanjian dan pendekatan yang dilaksanakan menjadi sia-sia dan tiada kesan apabila penguasa tidak mempunyai kepercayaan. Penguasa yang tahu bagaimana untuk menjadi rubah adalah penguasa yang berjaya. Penguasa juga seharusnya tahu bagaimana untuk menyembunyikan sifat rubah ini. Manusia ini mudah tunduk pada keperluan mereka sehingga mereka yang menipu akan menemui dengan mudah seseorang yang merelakan dirinya untuk ditipu.
Alexander VI banyak melakukan penipuan dan dia sentiasa menjumpai mangsanya. Penipuannya sentiasa berjalan menurut hasratnya kerana dia dapat memahami dengan baik sisi ini dalam diri manusia. Maka, penguasa tidak perlu mempunyai semua sifat baik yang telah saya sebutkan sebelum ini. Namun, penguasa perlu kelihatan seolah-olah mempunyai sifat-sifat tersebut. Saya berani katakan, bahaya mempunyai sifat-sifat tersebut, tetapi berguna apabila kelihatan memilikinya. Penguasa seharusnya kelihatan mempunyai belas kasihan, kesetiaan, kemanusiaan, beragama, benar dan sewaktu dengannya. Tetapi apabila minda Tuan memerlukan Tuan untuk menjadi sebaliknya, pastikan Tuan mampu untuk berubah.
Kita harus fahami bahawa penguasa, terutamanya penguasa baru, tidak boleh sentiasa kelihatan baik supaya dapat memelihara negara, dapat bertindak melawan kepercayaan, dapat memelihara persahabatan, kemanusiaan dan agama. Maka, penguasa harus bersedia menyesuaikan diri menurut situasi dan keadaan tertentu. Walau bagaimanapun, seperti yang saya katakan, jangan terlalu menyimpang daripada sifat-sifat baik.
Atas sebab ini, penguasa seharusnya berhati-hati supaya tidak terlepas daripada mulutnya mengenai apa-apa perkara yang bertentangan dengan lima sifat baik ini, iaitu sentiasa kelihatan belas kasihan, setia, berperi kemanusiaan, benar dan beragama. Kelihatan beragama adalah yang paling penting kerana secara umumnya manusia menghukum pada luaran berbanding tindakan. Semua orang boleh melihat Tuan, tetapi tidak ramai mampu menyentuh Tuan. Semua orang melihat apa yang ada pada Tuan, tetapi sedikit yang mengetahui diri sebenar Tuan. Bilangan yang sedikit itu tidak berani menentang majoriti yang mengawal negara. Tindakan manusia, terutamanya penguasa, hanya akan dihukum melalui hasilnya.
Biarkan penguasa diberikan pujian kerana melakukan penaklukan dan memelihara negaranya. Perbuatan itu akan dihormati dan disanjung kerana celaan sering dilontarkan kepada mereka yang berpura-pura dan apa yang datang daripada perbuatan itu. Dalam dunia yang hanya diisi oleh pencela, mereka yang berpura-pura tidak akan mempunyai tempat yang selamat untuk menjejakkan kaki mereka.
Terdapat penguasa pada masa ini yang tidak pernah menyebarkan perkara lain melainkan keamanan dan kepercayaan yang baik, tetapi pada hakikatnya dia adalah musuh pada kedua-dua sifat tersebut. Sekiranya dia menunjukkan salah satu daripada sifat tersebut, dia bakal kehilangan reputasi dan kerajaannya.