BERLARI DARI JOGJA UNTUK CHRISTIANA - 19
If you are lucky enough to have lived in Paris as a young man, then wherever you go for the rest of your life it stays with you, for Paris is a moveable feast.

Ernest Hemingway.

KISAH ini berlaku dua tahun yang lalu. Aku tidak ingat nama penerbangan mahupun waktu tepatnya; yang pasti aku mendarat di lapangan terbang antarabangsa Charles de Gaulle dari London Luton sekitar jam 1.00 petang waktu Paris, 27 November 2011.

Setelah hampir setengah jam menunggu backpack, akhirnya aku akur bahawa backpack aku memang tiada. Aku dimaklumkan petugas EasyJet, kemungkinan besar backpack aku masih di lapangan terbang London Luton. Tanpa menghiraukan rasa sebak di dada, aku meneruskan perjalanan dengan menaiki tren RER B dari lapangan terbang itu ke stesen Denfert-Rochereau. Apartmen yang telah aku hubungi berada di Montparnasse. Turun dari tren sehelai sepinggang, aku mencari kedai telefon dahulu untuk membeli charger iPhone. Itu sahaja yang mampu aku fikir pada waktu tersebut.

Selesai membeli charger, aku menaiki teksi ke 16 bis rue Edouard. Pakcik yang membawa teksi tersebut berasal dari Vetnam dan sudah 25 tahun menetap di kota Paris. Setelah ditinggalkan sehelai sepinggang di hadapan alamat tersebut, aku termangu-mangu keseorangan. Di hadapan aku ialah deretan bangunan tipikal-elegan 5 tingkat berwarna kelabu. Pemilik rumah, bilik di mana aku menyewa ialah Antoine Loyer, seorang pemuzik yang kemudiannya aku kenali melalui Youtube.

Tipikal rumah gaya Eropah, suram dan menyeramkan, rumah Antoine agak tidak terurus. Cermin biliknya yang telah pecah hanya ditutupi dengan kain guni; tangga naik ke rumahnya gelap, hanya sebuah mentol kuning yang malap menerangi di laman depan. Tidak mengambil masa yang lama, aku turun semula untuk membeli berus dan ubat gigi serta barangan makanan ringan sementara pasaraya masih dibuka dalam hati yang sebak mengenangkan barang-barang di dalam backpack yang disayangi.

Keluar menjenguk suhu dingin Montparnasse, remang cahaya sudahpun surut meninggalkan sisa cahaya yang sedikit. Lorong kecil di hadapan diterangi cahaya lampu. Aku sempat ke pasaraya di blok belakang, bertentangan dengan stesen Metro Pernety. Malangnya selain berus dan ubat gigi, aku juga membeli bijirin dan susu serta beberapa keperluan lain lagi, dan mereka tidak membekalkan plastik seperti di Malaysia. Aku mengendong barangan ini pulang ke rumah dalam kepayahan. Suasana di sekitar begitu cantik dengan deretan kedai buah-buahan, kedai buku dan pelbagai lagi dengan limpahan cahaya warna warni.

EIFFEL, ARC DE TRIOMPHE, CHAMP ELYSEES DAN HARD ROCK CAFE

Keesokan paginya aku bangun seawal jam 7 pagi. Usai sarapan ringkas dengan bijirin dan susu, saya keluar menuju ke Eiffel Tower. Mengikut GPS yang sempat aku selidiki (oh di rumah Antoine ada internet!); jarak ke Eiffel Tower hanyalah sekitar 5km. Setelah beberapa blok berjalan, kelihatan dari jauh puncak Eiffel Tower di kelibat kabus pagi. Suasana pagi di kota Paris yang sangat tenang; belum ada kedai perniagaan yang dibuka. Yang ada di sekitar hanyalah warga tua yang keluar membawa anjing mereka bersiar-siar serta golongan muda yang sedang bersenam.

5km di dalam musim sejuk rupanya tidaklah indah seperti yang aku bayangkan. Aku sampai ke kawasan rekreasi Champ de Mars dalam keadaan mengah setelah 30 minit berjalan kaki. Suasana sudah mula meriah walaubagaimanapun di kaunter tiket orang ramai masih belum beratur. Champ de Mars dipenuhi dengan anak kecil dan keluarga yang hadir pagi untuk berekreasi. 1889, pengunjung Paris Universal Exposition yang mengunjungi Champ de Mars buat pertama kali melihat binaan Gustave Eiffel (1832-1923) yang dibina tanpa sebarang fungsi itu.

Eiffel Tower terdiri daripada 3 tingkat. Aku terpaksa mendaki tangga untuk sampai ke tingkat pertama sebelum menaiki lif ke tingkat kedua dan ketiga. Daripada atas jika anda memandang ke arah utara; Trocadero dan Arc de Triomphe. Ke arah Timur pemandangan sayup ke arah muzium Louvre dan Notre Dame ketika sungai Seine di bawah. Serta jika anda memandang ke selatan; hamparan pemandangan menghala ke Montparnasse dan Les

Invalides.

Ketika aku turun, orang ramai telah berpusu-pusu serta barisan telah pun menjadi sangat panjang terutamanya yang mahu naik ke tingkat 3 dari tingkat 2, begitu juga yang mahu turun ke bawah. Aku berada di bawah Eiffel pada jam 11.00 pagi. Suhu kekal sejuk dengan purata 5 ke 6 darjah Celcius. Di tepi sungai Seine, terdapat 4 ke 5 warga Bangladesh atau Pakistan yang menjual keychain Eiffel Tower dengan harga yang cukup murah. Aku meneruskan perjalanan berdasarkan pemerhatian dari atas Eiffel sebentar tadi, menghala ke Arc de Triomphe dan Champ Elysees.

Dari Trocadero, aku berjalan melalui Ave Kleber sejauh 1km lagi untuk sampai ke Arc de Triomphe dan Champ Elysees. Tiada apa yang menarik di Arc de Triomphe, begitu juga dengan Champ Elysees. Arc de Triomphe hanyalah monumen yang dibina setelah kemenangan Napoleon di Austerlitz pada 1806 manakala Champ Elysees pula ialah pusat membeli belah paling popular di Paris, sebagaimana Oxford Street di London. Kelihatan di kedai-kedai tertentu sebilangan pengunjung berbaris di hadapan kedai untuk menunggu giliran masuk. Tetapi buat masa ini Champ Elysees sungguh meriah kerana kewujudan Christmas Market di hujungnya. Musim sejuk pra-Krismas, warga Paris akan keluar sama ada membeli makanan yang istimewa atau barangan cenderamata yang hanya ada ketika musim perayaan sebegini di Christmas Market.

Di hujung Champ Elysees, dari Pont de la Concorde aku mengambil Rue Rivoli, berjalan di celah-celah kedai mewah termasuk Jimmy Choo untuk ke Hard Rock Cafe Paris berdekatan Montmartre, sekitar 2km lagi perjalanan merentas sekitar 6 blok ke hadapan. Jam 8.00 malam, dari Hard Rock Cafe, aku mengambil teksi untuk pulang ke Montparnasse melintasi Eiffel Tower yang sedang bergemerlapan dengan limpah cahaya.