Ketika itu ayah berada di maktab perguruan, ada seorang sahabat ayah, dia kawan sebilik ayah dan orang Islam. Ayah selalu nampak dan perhatikan dia kerjakan solat pagi petang malam, sedangkan ayah seminggu sekali sahaja dapat sembahyang iaitu ketika pergi ke church, setiap hari Ahad. Itu pun, masih rasa kosong dan serabut. Bila ayah selalu nampak dia solat lagi dan lagi, hati ayah teringin nak tahu kenapa orang Islam diajar seperti itu, dan yang peliknya walaupun hanya dengan memandang dia solat, hati ayah cukup tenang dan tidak serabut, apatah lagi kalau ayah sendiri mencuba untuk solat ketika itu. Sampailah satu masa, ayah berhajat memeluk Islam tanpa pengetahuan mak bapa di kampung.
-Ayah tersayang
S
UDAH tertulis sejak azali jodoh mereka seperti itu, bahawasanya mama untuk ayah, ayah untuk mama. Maka lahirlah seorang bayi kecil hasil bibit-bibit cinta pada tarikh 29/08/1994 yang dinamakan Nurul Hassanah. Yang bermaksud, yang baik, yang cantik, yang solehah. Insya-Allah.
Jujurnya, keluarga ini terlalu besar bahkan sangat besar. Bayangkan saja bapa sebelah mak (atuk) mempunyai dua orang isteri yang mana ketika mereka berkahwin pada usia 12 tahun, dan anak-anak setiap seorang isteri dalam bilangan 12-15 orang. Jika setiap daripada dua orang isteri mempunyai 15 orang anak, maka jumlahnya sudah mencecah 30 orang anak dalam sebuah rumah. Itu baru keluarga sebelah mama. Keluarga ayah juga lebih kurang seperti itu. Cuma, isteri atuk hanya seorang. Mereka juga berkahwin pada usia yang sangat muda iaitu ketika berumur 13 tahun dan mempunyai anak-anak seramai 12 orang. Tapi dua zuriat telah keguguran. Maka yang tinggal hanyalah 10 orang. Bagaimana kalau digabungkan semuanya
Benar, jika dalam Islam, Rasulullah s.a.w amat bangga melihat umatnya yang ramai di Mahsyar kelak. Tapi mereka tak mengucap dua kalimah syahadah, mereka tak akui bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Bangga ke Baginda Saya ingin tegaskan sebelum bercerita dengan lebih lanjut, bahawa sesungguhnya saya dilahirkan, dibesarkan, disekolahkan, dididik, dalam suasana yang tidak tahu menahu apa itu Islam. Yang tidak punya biah solehah, yang dikelilingi dengan cara dan gaya hidup bukan Islam.
Bak kata orang sekarang, Islam hanya di kad pengenalan. Ya, itulah diri saya.
Satu bonus daripada Allah s.w.t untuk gadisgadis yang berketurunan Sabah, memiliki wajah yang cukup indah, kulit yang halus-mulus dan putih gebu kebanyakannya. Yang pasti bukan atas faktor cuaca sejuk di Sabah, yang sering kali disebut-sebut oleh kebanyakan orang, tetapi genetik. Lebih-lebih lagi nenek moyang saya memang punya darah campuran Cina. Maka tidak hairanlah andai kebanyakan sepupu dan mak cik-mak cik bujang saya sering menjadi perhatian dan siulan manja para lelaki. Dipuji, siapa yang tak nak Saya juga sejak kecil sudah biasa dengan pakaian seperti skirt pendek dan baju ketat. Bahkan menjadi rutin untuk memakainya setiap masa. Bila mama ayah tegur, jawapan standard saya ialah, Auntie pun pakai macam tu. Kenapa kakak tak boleh
Hari demi hari dilalui dengan rutin yang sama. Pada satu hari, ketika saya bersama-sama sepupu perempuan dan ibu saudara yang bujang keluar membeli-belah di kawasan bandar raya, saya tersesat arah di pusat membeli-belah. Maksudnya mereka semua ada di kedai sekian-sekian, tapi saya masih menunggu mereka di kedai sekian-sekian. Diuji pula dengan telefon yang kehabisan bateri. Dulu mana ada power bank, mati bateri, tamatlah riwayat.
Dompet pula tiada wang. Sudah beli pakaian ini itu. Saya ingat lagi, semua bakul penuh dengan pakaian ketat dan skirt pendek. Duit saya habis membeli pakaian-pakaian yang tiada manfaat, juga set barangan mekap. Macam mana nak balik kalau tiada duit Nak menangis dapat apa Nak marah dapat apa Saya pun jalan ke sana sini seperti orang gila mencari arah tujuan. Dalam hati berdoa, mudah-mudahan terserempak dengan mereka. Tapi hampa. Hari semakin gelap, badan sudah letih, tekak sudah haus. Sudah tidak bermaya. Saya ambil keputusan untuk rehat di perhentian bas, mana tahu nampak kereta ibu saudara melalui kawasan tersebut. Dan akhirnya saya terlelap. Masa syok terlelap, dengar laungan kuat, ALLAHU AKBAR ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR ALLAHU AKBAR. ASY-HADU ALLA ILAHA ILLALLAH,
ASY-HADU ALLA ILAHA ILLALLAH.
ASY-HADU ANNA MUHAMMADAR RASULULLAH,
ASY-HADU ANNA MUHAMMADAR RASULULLAH.
HAIYA ALAL-SALAH, HAIYA ALAL-SALAH.
HAIYA ALAL-FALAH, HAIYA ALAL-FALAH.
ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR.
LA-ILAHA ILLALLAH
Habis saja laungan azan maghrib, ada sesuatu rasa yang tidak pernah ada selama ini. Entah kenapa saya sendiri tidak tahu kenapa air mata bercucuran sedikit demi sedikit. Mungkin sebab suara azan yang sangat merdu dan sayu, mungkin juga sebab tenangnya jiwa mendengar seruan betapa Maha Besar Allah, dan mungkin sebab lain. Wallahi air mata jatuh.
Bila nampak masjid depan mata, saya terfikir,
Orang yang masuk masjid mesti baik-baik. Baik aku pinjam hp orang dekat masjid tu untuk call family. Lagipun bahaya sendiri di sini.
Dengan perasaan tak tahu malu dengan pakaian yang dipakai, saya sudah tidak memikirkan pandangan buruk orang, asalkan saya dapat balik rumah. Saya terus setia berdiri di tangga masjid, menunggu kalaukalau ada orang nak naik, nak pinjam telefon. Tidak lama tu, ada lelaki muda segak berjubah, sebaik dia nampak saya, terus dia beristighfar tanpa memandang saya. Berulang kali saya dengar istighfar. Rasa bersalah pun ada sebab saya sedar pakaian yang saya pakai tak sepatutnya dipakai.
Dia tanya,
Ada apa-apa yang cik perlukan bantuan
Saya angguk. Tapi dia diam. Baru perasan, dia masih tak pandang saya. Mana dia nampak saya tengah angguk ke geleng ke. Saya pun bersuara,
Ya. Saya nak pinjam handphone.
Dia tanya lagi,
Nama siapa
Hassanah.
Saya jawab ringkas.
Terus dia pandang saya, dan cepat-cepat alihkan pandangan ke tempat lain. Terkejut barangkali nama tidak seperti peribadi si pemilik nama.
Kamu tunggu di sini. Sekejap lagi isteri saya datang. Dia ada dalam kereta, kebetulan ada barang tertinggal.
Terima kasih.
Hanya itu yang mampu saya lafaz. Wajah berubah menjadi merah. Semakin banyak kereta yang datang, masuk ke kawasan masjid. Tak dinafikan, siapa yang nampak saya ketika itu mesti akan beranggapan saya adalah orang gila. Yalah, mana ada perempuan seksi datang ke masjid. Tak tahu malu pula tu. Namun, saya ada satu prinsip, kalau saya nak saya akan buat dan akan ikhtiar sehabis baik. Begitu juga kalau saya nak balik rumah, saya tetap nak balik.
Sebelum lelaki muda itu naik ke tangga seterusnya dia sempat pesan kepada saya,
Mana ada orang jahat yang datang ke rumah Allah, melainkan mahu balik pada Allah.
Ya Allah. Rasa geram sangat masa tu, ingin saja saya teriak dan katakan pada dia, Kau dah kenapa Baik sangat ke Dah layak masuk syurga ke Tapi bila difikir semula, saya terus terdiam kaku mendengar butir bicara yang keluar daripada mulut lelaki itu. Mana mungkin ada orang jahat yang mahu datang ke rumah Allah melainkan mahu balik pada Allah. Terngiang di telinga lagi dan lagi.
Deep, deep, deep and deep.
Sekali lagi air mata jatuh kerana terkesan sangat. Tidak lama kemudian, nampak seorang wanita berniqab dan berjubah hitam. Saya tidak cam wajah dia, tapi dari bentuk matanya saya dapat rasakan dia seorang wanita yang sangat cantik. Diberinya salam dan tanya kenapa saya berdiri di tangga. Setelah saya ceritakan sekian dan sekian, dia ajak saya masuk dalam masjid. Saya cakap, malu nak masuk sebab pakai macam ni. Dia pun pergi semula ke kereta dan sampai saja ke arah saya, dia bagi jubah hitam dan tudung hitam. Dia kata kebetulan tengah bermusafir dengan suami, beg pakaian ada dalam kereta. Dia menyuruh saya ke tandas tukar pakaian dan masuk ke masjid.
Dia sempat pesan,
Kalau belum solat, ambillah wuduk sekali.
Ya Allah.
Bermonolog sendiri, Susunan wuduk pun aku tak tahu.
Masa tu memang dah mengalir air mata dah. Lagilagi suasana di masjid ketika itu hanya didengarkan ayat-ayat suci Quran. Bila nampak jasad depan cermin, cantiknya. Indahnya tutup aurat. Tipu kalau tak jatuh air mata, kemudian hanya basuh muka tanpa ambil air wuduk. Bukan tidak pernah belajar di sekolah, bukan tidak pernah diajar di rumah, tapi tak amal apa yang diajar. Maka jadinya tunggang-langgang.
Perlahan-lahan saya masuk ke pintu masjid dan duduk di belakang. Selesai wanita tadi solat, dia tegur kenapa saya tak solat lagi. Saya jawab, tak reti bacaan dalam solat. Tak hafal. Panjang sangat. Bukan mama ayah tidak didik, tapi saya yang tak nak dididik. Sebab terpengaruh dengan persekitaran keluarga bukan Islam. Paling saya sebak ketika itu, dia ajar cara-cara solat dari awal sampai akhir, sambil dia fahamkan sambil dia tulis di atas kertas. Kalau tak silap, hampir lebih lima kali dia ulang sehingga saya faham sungguhsungguh. Di baris bawah kertas tu dia ada tulis,
Solatlah. Kamu akan jatuh cinta pada Islam sesungguhnya.
Saya cakap dengan kakak tu, terima kasih banyak, lagi-lagi dia dan suami sepakat nak hantar saya balik rumah. Hanya Allah yang balas jasa baik mereka. Saya juga seorang manusia yang tak tahu malu untuk bertanya,
Kenapa kak berniqab
Dia buka niqab depan saya dan senyum. Masya-
Allah, tergugat jiwa lihat wajah dia.
Sebab muka akak cantik ya
Saya tanya dia laju. Cuba membuat tekaan.
Dia geleng. Dan kata pada saya,
Cuba pakai niqab tu.
Saya pun cuba pakai, macam gaya dia pakai tadi. Sebaik secebis kain menutupi wajah, air mata saya jatuh. Bayangkan saja, ketika itu di kepala otak saya, sepanjang satu hari saya habiskan duit, kenapa saya tak terfikir beli pakaian yang benar-benar dituntut oleh wanita yang beragama Islam yang sepatutnya Kakak tu cakap, Subhanallah berulang kali setelah melihat saya. Kemudian tanya, apa yang kamu rasa setelah pakai kain ini
Tenang.
Saya jawab ringkas. Dia kemudian pakai semula niqab tadi, dan keluarkan satu niqab stok dalam beg tangan. Dia jelaskan, selalu kalau nak ke mana-mana mesti ada stok niqab dalam beg tangan, takut yang dipakai kotor. Dia hulur, katanya sebagai hadiah dan siap pesan, cuba cari ketenangan yang kamu cakap tadi.
Dari kejadian itu, saya bertekad untuk berubah. Ya, perlahan-lahan untuk berubah. Sebaik saja saya sampai di rumah, tak payah cakaplah, memang mama ayah bising. Oh ya, lagi satu perangai saya ialah bila orang bising, saya akan diam tanpa kata. Tidak ada niat untuk lawan, untuk pertahankan diri, untuk menegakkan kebenaran dan sebagainya. Saya lebih suka diam dan diam. Sebab saya tahu, kalau saya bising saya dapat apa
Hebatnya percaturan Rabb, Dia takdirkan saya terpisah dengan sepupu dan auntie ketika di pusat beli-belah, Dia takdirkan telefon bimbit saya kehabisan bateri, Dia takdirkan tiada seorang pun yang singgah di perhentian bas ketika saya terduduk keletihan, semata-mata untuk saya terdetik hati melangkahkan kaki ke kawasan masjid. Subhanallah. Jika bukan Dia yang gerakkan hati saya ketika itu, agaknya sekarang bagaimana hidup saya
Sejak pertemuan itu, saya mula membuat keputusan untuk membeli pakaian yang menutup aurat sedikit demi sedikit. Tudung yang labuh, baju yang longgar, stokin, sarung tangan, anak tudung dan apa-apa keperluan yang patut. Barang yang dibeli itu saya simpan senyap-senyap di dalam almari tanpa pengetahuan sesiapa. Satu hari, mama buka almari baju saya kerana ada barang yang hendak dicarinya. Bila mama ternampak baju dan tudung yang saya beli, mama terus menghampiri saya lalu memeluk dari belakang sambil menangis dan berkata,
Doa mama Allah dah makbulkan.
Allahurabbi... Berlinangan air mata saya. Mama siap pesan,
Lepas ni mesti ada macam-macam tanggapan dari ahli keluarga yang lain. Mama harap kakak kuat untuk terus di jalan ini. Ini jalan yang mama impikan selama ini. Jangan berputus asa, biarlah mak cik, pak cik, sepupu dan semua orang pandang serong dengan kakak, asalkan mama redha dan sokong kakak hingga akhir hayat mama.
Benar apa yang dikatakan mama, sebaik saja saya mula berubah memakai baju longgar dan cuba untuk menutup aurat sepenuhnya, terlalu banyak halangan, ujian, dugaan, rintangan daripada kalangan ahli keluarga yang lain. Seperti biasa, sepupu akan datang ke rumah ajak untuk keluar sama ada pergi membeli-belah, menonton wayang, mahupun pergi ke pusat karaoke. Tapi saya menolak dengan baik dan memberikan alasan bahawa saya kurang sihat.
Minggu seterusnya, mereka datang lagi dan mengajak untuk keluar. Saya tetap menolak dengan cara baik dan mengatakan saya ada hal dan kerja penting yang perlu disiapkan di rumah. Minggu seterusnya, mak cik-mak cik saya datang ke rumah, dan bertanya kepada saya, Kenapa saya tak nak ikut mereka keluar Selalunya sayalah orang pertama yang akan laju bab-bab nak keluar rumah.
Saya senyum dan menjelaskan bahawa saya kurang ada mood beberapa hari ini. Maka saya minta maaf kerana tak dapat penuhi permintaan mereka.
Saya menyangka mereka balik dalam keadaan yang baik tanpa bersangka-sangka terhadap saya, rupanya mereka mencari sebab munasabah kenapa saya berubah dan pelik semacam.
Sehinggalah akhirnya, pada petang itu Allah takdirkan mereka terserempak dengan saya di pasar malam ketika saya menemani mama membeli sayursayuran dan buah-buahan. Saya sudah tidak boleh lari ketika itu, lagi-lagi Nurul Hassanah yang mereka pandang pada ketika itu sedang berjubah dan memakai tudung yang dilabuhkan melepasi dada.
Ohhh... sudah jadi ustazah rupanya!
Itulah ayat pertama yang keluar daripada mulut sepupu yang saya anggap seperti kakak kandung sendiri. Hanya Allah yang tahu bagaimana sesaknya dada saya ketika itu. Ada sedikit air mata bila mereka yang lain gelakkan saya. Mama hanya diam dan terus menarik tangan saya. Sepanjang berjalan di kawasan pasar, saya terus terdetik esok nak pakai semula skirt pendek dan baju ketat. Tapi niat saya untuk balik semula ke takuk yang lama dipotong oleh mama. Sambil berjalan mama nasihatkan saya, Jangan risau. Mama ada, ya Tangan mama memaut jari-jemari saya dengan begitu lembut dan penuh kasih. Ketika itu saya menitiskan air mata kerana rasa dihargai yang amat. Lebih-lebih jika insan itu adalah insan yang mengandungkan saya dan melahirkan saya.
Jika saya ceritakan bagaimana tentangan terhadap mama satu masa dulu ketika sudah memeluk Islam di zaman bujang, mungkin saya saja sudah tewas dan mengalah dengan begitu mudah. Kekuatan seorang mama, ketabahan seorang mama, kesabaran seorang mama, begitu membuatkan saya benar-benar terpukau dan teruja untuk mewarisinya. Bila saya teringat cerita mama, saya pasti akan menangis berterusan terutamanya ketika mama bercerita perjalanan dirinya mencari Islam sendirian. Solat sembunyi, baca AlQuran sembunyi, bangun sahur untuk puasa sembunyi dan semuanya sembunyi tanpa pengetahuan adikberadik mama yang lain.
Hari demi hari, perlahan-lahan saya ubah penampilan sehinggalah saya sudah siap sedia untuk memilih memakai purdah. Mama dan ayah hanya bersetuju, tidak cakap banyak malah menyokong keputusan saya. Setelah berbulan membiasakan diri memakai purdah, saya memilih pula untuk menggunakan niqab. Mungkin ada yang keliru perbezaan purdah dan niqab. Purdah ialah secebis kain yang menutupi wajah seorang muslimah tapi hanya menutupi separuh. Hanya kawasan dahi dan mata yang akan kelihatan. Berbanding dengan niqab, semua bahagian wajah akan tertutup kecuali dua biji mata saja yang kelihatan.
Bagi mereka yang tidak mengetahui perkembangan saya, mereka terus akan melabel saya berubah 360 darjah dengan begitu laju dan laju. Seolah-olah saya berubah saja-saja, seolah-olah saya mengikut trend semasa, seolah-olah saya tergesa-gesa. Tapi sebenarnya tidak. Hanya yang mengikuti perkembangan saya, dan orang-orang yang terdekat saya yang melihat sendiri bagaimana sukarnya saya bertahan dan istiqamah di jalan ini. Bayangkan saja, membiasakan diri untuk memakai baju longgar dan tudung labuh sehari pun saya hendak futur. Tapi kerana ada mama, ayah, dan sahabat-sahabat yang mendokong perjuangan ini, saya mampu kuat untuk memakai pakaian itu dalam lebih kurang tiga bulan, kemudian barulah memilih purdah dalam berbulan lamanya, sehinggalah memakai pula niqab di akhirnya.
Saya digelar ninja, saya digelar penjahat, saya digelar si gadis topeng, saya digelar pula talam dua muka, bahkan paling dahsyat saya digelar wanita Syiah yang kononnya sudah sesat oleh kawan baik sendiri. Wallahi, air mata saya setiap hari berderai jatuh seakan-akan saya ingin berteriak pada dunia, salahkah saya menjadi begini Salahkah saya memilih untuk jadi yang baik kerana Allah Salahkah saya menjadi anak solehah idaman mama dan ayah Apa pun, untuk bahagian Syiah tadi, nanti saya akan ceritakan di bahagian tajuk persepsi rakan-rakan terhadap saya.
Yang pasti, saya dimaki, dicaci, dikutuk, diumpat, diketawakan, dihina, diperli, disakiti oleh ahli keluarga sendiri. Ayat-ayat yang paling pedas masih saya ingat sampai hari ini,
Tak payahlah tunjuk alim, kau tu dulu pakai skirt pendek. Ingat ni drama Melayu ke apa, kelmarin pakai seksi, hari ini pakai macam malaikat
Bayangkan kata-kata itu dilontarkan oleh mereka kepada saya di tempat umum. Semua sepupu mendengarnya, mak cik dan pak cik juga tidak ketinggalan untuk mendengarnya. Mereka mengejek saya, kemudian semua berpakat untuk ketawa terbahak-bahak. Demi Allah, saya sudah tidak kuat ketika itu. Saya menangis di depan mereka bahkan semakin saya menangis semakin mereka mengejek yang saya kononnya cengeng, manja. Perli sikit sudah menangis. Walhal itu bukannya perli untuk tujuan gurauan tapi itu adalah satu penghinaan dengan jalan hijrah yang saya pilih.
Pernah ketika itu ayah dan mama ada urusan yang perlu diselesaikan di luar kota. Saya terpaksa bermalam di rumah pak cik dan mak cik kerana tiada siapa yang menemani saya seorang diri di dalam rumah. Adikadik lain semuanya ada di asrama, adik kecil pula ikut mama dan ayah. Mereka baik di hadapan mama dan ayah, tapi hanya Allah yang tahu apa yang mereka lakukan terhadap saya di belakang.
Mereka cakap macam-macam terhadap perubahan saya. Mereka cuba membawa saya berdebat, kenapa perlu pakai tudung Kenapa perlu solat Kenapa perlu ini dan itu Rimas kata mereka. Saya hanya diam, seperti biasa air mata akan mengalir perlahan-lahan cuba menahan perasaan kononnya saya tabah tapi di hati hanya Allah yang tahu. Entah kenapa sampai begitu sekali. Kadang saya terfikir, kalau saya ni berubah sekalipun, ada apa masalah dengan hidup mereka Ada benda buruk akan terjadi Teringat satu memori, ketika itu waktu subuh. Saya cuba bangun senyapsenyap untuk menunaikan solat fardu subuh.
Malangnya, saya terlanggar sesuatu benda ketika berjalan di dapur kerana keadaan yang gelap. Habis barang dapur berjatuhan dan bising memenuhi ruang dapur mak cik. Tak semena-mena mak cik bangun dan melihat ada saya di dapur itu. Dengan nada yang agak kasar, mak cik menengking keras, bertanya, saya ni nak jadi pencuri ke apa Allahuakbar, sampai sebegitu rupa. Dada saya jadi berdebar-debar. Saya menjelaskan bahawa saya ingin masuk ke bilik mandi nak mengambil air wuduk untuk solat.
Lepas dah siap ambil, solat dekat bawah rumah. Dekat tanah tu luas. Rumah ni bukan untuk orang Islam sembahyang.
Terbeliak mata saya mendengar perintah itu. Allahurabbi, hina ke kalau seorang hamba yang hanya menumpang beberapa malam untuk jadikan rumah itu tempat solat Tapi saya faham, saya bukanlah siapasiapa. Dan saya faham mereka sangat tidak suka kepada Islam. Dalam keadaan saya memakai kain telekung, saya mencapai kain sarung untuk dijadikan sejadah di atas tanah.
Ketika saya mengangkat takbiratul ihram, telinga saya dapat menangkap sindiran mak cik di tepi tingkap.
Haa lepas sembah Tuhan kau, tidur sana sampai pagi.
Bergetar-getar suara saya membacakan surahsurah. Dada rasa sakit seolah ditusuk-tusuk. Air mata jatuh perlahan demi perlahan. Selepas saya solat, saya berdoa dengan sekhusyuk yang mampu sambil mengalirkan air mata. Beristighfar dan terus beristighfar. Semakin lama saya beristighfar, semakin menusuk ke jiwa saya. Sakit. Terlalu sakit. Air mata jatuh tak tertahan.
Ya Allah Ya Tuhanku, berilah hidayah pada ahli keluargaku, Ya Allah. Berikan mereka peluang mengenal Islam, berikan mereka merasai nikmatnya berada dalam jalan yang benar, berikan pengampunan terhadap mereka atas apa yang mereka lakukan terhadapku di hadapan mama mahupun di belakang mama dan ayah. Aku sayang mak cik, Ya Allah, aku sayang pak cik, aku sayang nenek dan atuk, aku sayang semua sepupu sepapatku, aku sayang semuanya, Ya Allah. Jangan biarkan kami terpisah di akhirat, seorang ke syurga dan seorang ke neraka. Bantulah hambaMu, Ya Allah. Sungguh aku lemah tanpa bantuan-Mu.
Sungguh aku tidak kuat dan punya daya. Lembutkan hati mereka, lembutkan hati mereka, lembutkan hati mereka Ya Allah. Allahumma amin.
Doa ini, doa yang selalu saya ulang tiap kali solat. Mengharapkan keajaiban berlaku dengan berharap bahawa mereka mengenal Islam. Ketika itu juga saya sedar, bahawa hanya Allah tempat bersandar. Apabila Allah menjadi tempat sandaran, seluruh fikiran dan jiwa merasa mahu dekat pada Allah setiap saat. Dan tidak mahu satu saat pun terpisah dengan Allah. Bahkan seluruh jiwa mengadu domba lalu kita pilih Allah untuk curahkan semua rasa dengan harapan Allah akan bantu kita dan pasti bantu kita. Banyak lagi yang saya tidak singkapkan di sini, kerana biarlah yang lainnya, Allah sahaja yang mengetahuinya.
Sampai satu saat, semua yang berkata buruk terhadapku sudah hilang kata-kata. Saya jangka saya akan bertambah sepi di dunia yang serba moden dan canggih ini. Saya sangka saya semakin tersisih dalam masyarakat Islam saya sendiri. Namun Allah memberi keterangan yang nyata kepada saya, jika sesuatu itu secara fitrah dan syariat bahkan punya hujah di sisiNya, tiada siapa yang mampu menghalang saya untuk terus mendekatkan diri kepada-Nya. Berhijrah itu tidak susah, susah itu hanya dalam fikiran kita.
Its not difficult to change, the difficulties come within us. Begin with a step. Be the change. Whatever you are going through, may Allah make it easy for you. Be patient, better time will come, insya-Allah. And dont forget to say alhamdulillah for every situation in your life.
Sometimes the people with the worst past, create the best future.
- Saidina Umar