Well saya rasa ramai yang merasakan begitu at some point of their lives. Percaya atau tidak, perasaan itu sebenarnya bisikan setan dengan niat untuk mematahkan semangat kita yang ingin berubah atau bertaubat. Mereka meletakkan rasa was-was dalam kepala kita.
OK, sekarang cuba fokus dan ingat kenyataan ini. Selagi kita masih bernyawa, tidak akan terlambat untuk kita berubah atau bertaubat. Taubat hanya terlambat sekiranya nyawa seseorang itu sudah sampai di kerongkongnya.
Sabda Nabi SAW lagi,Bahawasanya ALLAH yang Maha Mulia lagi Maha Besar menerima ia akan taubat hamba selama belum sampai rohnya kepada halkumnya.
Riwayat Tirmizi
Salah satu daripada kunci untuk berubah adalah percaya bahawa terdapat kebaikan dalam diri kita sendiri, tak kiralah betapa besar atau kecil. Biarlah sebesar zarah pun kebaikan dalam diri kita tetapi ia boleh dipupuk menjadi besar dan hebat jika betul-betul berusaha.
Tiada dosa yang terlalu besar atau terlalu berat untuk Tuhan ampunkan. Apa yang perlu kita lakukan ialah bertaubat seikhlas hati kita dan berjanji untuk tidak mengulangi dosa itu lagi.
Daripada Abu Said Al-Khudhri RA, Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa di kalangan orang terdahulu ada seorang lelaki yang telah membunuh 99 nyawa, lalu dia mencari orang yang banyak ilmunya.
Maka, dia ditunjukkan kepada seorang rahib, lalu dia pergi menemuinya. Kemudian, dia mengatakan bahawa dia telah membunuh 99 nyawa, adakah taubatnya akan diterima Kemudian rahib tersebut menjawab, tidak. Maka, dia membunuh rahib tersebut dan genaplah 100 orang (yang dibunuhnya) dengan pembunuhan rahib tersebut.
Kemudian dia mencari lagi orang yang banyak ilmunya, maka dia ditunjukkan kepada seorang pemuda alim. Maka, dia mengatakan bahawa dia telah membunuh 100 nyawa, adakah taubatnya akan diterima Pemuda alim itu menjawab, ya. Dan siapakah yang menghalang antaranya dan taubat
Pergilah ke daerah ini dan ini, kerana di sana ramai orang beribadah kepada Allah Azza wa Jalla. Beribadahlah kepada Allah bersama mereka. Dan janganlah pulang ke daerahmu, kerana sesungguhnya daerahmu itu daerah yang jelek.
Maka, dia pergi (menuju daerah tersebut) sehingga sampai di pertengahan jalan, kematian mendatanginya.
Maka, berbantahanlah malaikat rahmat dan malaikat azab. Berkata malaikat rahmat, Dia pergi dengan (niat) bertaubat menghadap Allah sepenuh hati. Dan berkata pula malaikat azab, Dia ini tidak pernah melakukan kebaikan sama sekali.
Kemudian datanglah kepada mereka satu malaikat lain dalam rupa bentuk seorang manusia, lalu mereka meminta keputusan kepadanya. Dia (malaikat ketiga) berkata, Ukurlah jarak antara 2 daerah tersebut (tempat berangkatnya dan tempat tujuannya). Jarak mana yang lebih dekat antara kedua-duanya, maka itulah keputusannya. Maka, mereka mengukur dan mendapati bahawa jarak yang lebih dekat adalah jarak yang ditujuinya, maka dia berada dalam genggaman malaikat rahmat.
Dan dalam satu riwayat dalam As-Sahih (disebutkan), Maka dia lebih dekat kepada daerah yang salih dengan hanya satu jengkal. Maka, dia dijadikan sebagai salah satu ahlinya. Juga dalam riwayat As-Sahih (disebutkan), Maka, Allah mewahyukan kepada daerah ini (tempat berangkatnya) supaya menjauhi, dan kepada daerah ini (tempat tujuannya) supaya mendekati. Dan Dia berkata, Ukurlah jarak antara kedua-duanya. Lalu mereka mendapati bahawa dia lebih dekat dengan daerah ini (daerah yang salih) dengan satu jengkal.
Maka, dia diampuni.
Riwayat Bukhari dan Muslim
Allah SWT Maha Pengasih dan Penyayang, maka bila hambaNya meminta ampun, Dia akan ampunkan tetapi dengan syarat kita ikhlas untuk bertaubat. Biarpun dosa kita tinggi menggunung seperti Gunung Everest, Allah SWT tetap akan ampunkan kalau kita benar-benar insaf.
Dan Dialah Tuhan yang menerima taubat dari hamba-hambaNya (yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan-kejahatan (yang mereka lakukan); dan Ia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan.
Surah Ash-Shura 42:25
Dari Anas Bin Malik RA dia berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, Allah SWT berfirman, Wahai anak Adam, sepanjang engkau memohon kepadaKu dan berharap kepadaKu akan Aku ampunkan apa yang telah kamu lakukan. Aku tidak peduli, wahai anak Adam, jika dosa-dosamu setinggi awan di langit kemudian engkau meminta keampunan kepadaKu akan Aku ampuni. Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau datang membawa kesalahan sebesar dunia, kemudian engkau datang kepadaKu tanpa menyekutukan Aku dengan sesuatu apapun, pasti Aku akan datang kepadamu dengan ampunan sebesar itu pula.
Riwayat Tirmizi
Akhirnya, bagi saya, jika seseorang itu betul-betul nak berubah, then ignore all whisperings dan tolak semua perasaan was-was tersebut. Jangan berfikir panjang, terus lakukan sahaja. Sememangnya, kita akan menghadapi obstacles dalam perjalanan. Tetapi kita mesti teguh dengan usaha. Kalau niat murni, percayalah Tuhan akan menolong dan membimbing kita. Kalau seseorang itu tak nak berubah, maka dia akan membuat berbagai alasan kenapa dia tidak boleh berubah. Sebenarnya, kalau ada keinginan sememangnya ada jalan.
Pokoknya, perubahan hanya boleh berlaku jika seseorang itu mahukannya.