Mencari Kiblat Cinta - 196
Cuma satu yang Aliff pohon pada ayah. Jika masih ada belas ihsan ayah pada Aliff, tolonglah restui hubungan kak Danira dengan abang Filman. Mereka saling mencintai, tapi kerana Aliff, kak Danira sedang menolak cinta abang Filman. Tolong jangan biarkan ia berlaku ayah. Kakak sudah banyak menderita selama ini. Kerana Aliff, dia dihukum atas kesalahan yang tidak dilakukannya. Dia menerima segala umpat keji orang kerana Aliff. Aliff berdosa padanya sama seperti Aliff berdosa pada ayah dan ma.

Aliff benar-benar mahu bertemu ayah. Tapi kalau ayah tetap enggan mahu menemui Aliff, Aliff hanya mampu berharap surat ini sampai ke tangan ayah. Sekalipun ayah tetap membenci Aliff selepas ini, sudah tidak ada apa yang mampu Aliff lakukan lagi selain berdoa agar ayah lembut hati dan sudi memaafkan Aliff. Aliff akan menanti saat itu ayah tapi tolonglah jangan membiarkan Aliff menanti terlalu lama.

Salam sayang

Aliff

Surat yang usai dibaca dilipat semula dengan curahan air mata. Tersengguk-sengguk dia cuba menahan tangis yang semakin bergempita di lubuk hati. Ternyata kekerasan hatinya kali ini berjaya dilenturkan dengan hanya sekeping surat. Surat terakhir titipan Aliff terhadapnya. Aliff! Maafkan ayah! Tolonglah maafkan ayah! Ayah sebenarnya yang telah berdosa pada Aliff dan kakak Aliff. Kerana kekerasan hati ayah. Aliff meninggal dunia dengan kekesalan. Ayah sepatutnya bertemu Aliff awal-awal lagi. Kalau bukan sebab ayah, mungkin keadaan Aliff takkan berakhir seperti ini, bisik hati Tengku Amar sebak dan kesal.

Di luar pintu, Filman berdiri membelakangi pintu bilik ayahnya. Telinganya menangkap bunyi esakan ayahnya. Meskipun perlahan namun dia tahu lelaki itu sedang menangis. Ayahnya yang keras hati dan cukup degil itu sedang meratap pemergian Aliff. Dia faham benar perasaan ayahnya. Selama ini lelaki itu sukar mahu menunjukkan perasaan hatinya. Namun kali ini ayahnya dengan mudah telah menumpahkan air mata. Apakah kerana surat Aliff, maka ayahnya tanpa malu dan segan menangis seperti itu

Perlahan-lahan Filman mundur dari bilik itu. Dia melangkah melewati ruang tamu lalu terpandang kelibat Wirda sedang melayan Melia. Melia kelihatan kekok ketika bersama Wirda, namun anak kecil itu tidak lagi kelihatan takut-takut ketika bersama bekas isterinya itu. Tanpa disedari Filman melepaskan kelegaan. Memang itu yang diharapkannya pada hubungan Wirda dan Melia. Dia sendiri meminta Wirda cuba mengambil hati Melia secara berdikit-dikit dan tanpa paksaan agar Melia lebih mudah menerima kehadiran Wirda.

Menyedari kehadirannya, Wirda tiba-tiba berpaling lalu merapatinya.

Macam mana dengan ayah Tanya Wirda sekadar ingin tahu. Selepas dia mendapat khabar tentang kematian Aliff, dia terus datang ke rumah itu. Meskipun dia tidak sempat mengenali Aliff dan kalau dikira dia bukan lagi isteri Filman, namun dia masih mempunyai ikatan kekeluargaan dengan keluarga Tengku Amar dan Tengku Saida. Dan dia datang sebagai mewakili ayahnya Tengku Husain yang masih di luar negara.

Ayah masih di biliknya. Insya Allah dia takkan apa-apa. Filman tersenyum hambar meskipun ada duka terpalit di hatinya saat ini.

Wirda sekadar mengangguk. Dia sendiri masih belum sempat bertemu dengan bekas ayah mertuanya itu. Dia hanya sempat menegur Tengku Saida dan Najla sahaja. Sepanjang tempoh dia berada di situ, matanya menyaksikan sendiri betapa setiap orang di dalam rumah itu sedang meratapi pemergian Aliff. Sedikit sebanyak dia merasakan kata-kata Filman tempoh hari tidak pernah silap. Jika berbicara tentang kasih sayang, musuh pun boleh dikalahkan. Dan entah kenapa, meskipun dia mengetahui tentang hakikat sebenar kematian Firdaus, namun jiwanya terasa lebih tenang saat ini. Seolah-olah segala kemarahannya enam tahun lalu, menjadi reda dalam sekelip mata.

Fil tak pergi jumpa Danira Tanya Wirda ingin tahu.

Filman terdiam. Kerut di wajahnya jelas kelihatan.

Dalam keadaan seperti ini, Fil sepatutnya berada di sisi Danira. Dia tentu sedih dengan apa yang berlaku pada adiknya. Getus Wirda sekadar mencadangkan.

Filman memandang ke arah Wirda yang kelihatan tenang. Ada segaris senyuman terpamer di wajah wanita itu. Dia tidak mampu mentafsirkannya, namun dia tahu Wirda ikhlas dengan kata-katanya. Belum sempat dia mahu membalas kata-kata Wirda, kelibat ibunya tiba-tiba muncul di ruang tamu.

Fil, Pak Maidin telefon cari Fil tadi. Beritahu Tengku Saida.

Pak Maidin Kenapa ma Soal Filman mulai hairan. Tak pernah-pernah lelaki itu menelefonnya sebelum ini. Apahal agaknya

Fasal Danira. Pak Maidin kata dia risau tengok Danira. Dia suruh Fil datang ke rumahnya dan tolong pujuk Danira. Ma rasa Fil patut pergi sekarang, bawa Danira ke mari. Lagipun dia patut hadir ke kenduri tahlil arwah Aliff. Usul Tengku Saida.

bersambung

Bab akan datang:

Mengapa Pak Maidin begitu risaukan Danira sehingga menelefon Filman