Gadis Kebaya Merah - 20
BAB 20

PERLAHAN Jai menapak ke pejabat Kudin. Dia mendongak seketika melihat bangunan pejabat TM Holdings yang tersergam indah. Senyuman manis mula meniti di bibir. Siapa sangka Kudin kini sudah menjadi pemilik TM Holdings. Kudin yang dikenali dulu sebagai anak tanpa ayah dan ibu. Alih-alih sudah menjadi tuan pengarah sebuah syarikat besar. Itulah namanya tuah! Dan apa yang dirasai kini, Senah pasti lebih mengejar Kudin.

Langkahnya diatur perlahan menuju ke pejabat Kudin. Seorang gadis manis bertudung menegurnya dan menyuruhnya menunggu di sofa tetamu. Jai melabuhkan punggung di situ sambil mata melihat sekitar ruang pejabat Kudin yang ternyata amat selesa dan luas.

Itulah pertama kali dia menjejakkan kaki ke situ. Dulu masa bercuti di kampung, dia sengaja tidak beritahu Kudin tentang kerjanya di KL. Tak sangka kes yang sedang disiasat Ana Dahlia ada kaitan dengan Kudin.

"Encik Jailani dari mana tadi" Sofea, pembantu baru yang menggantikan Hetty mula bertanya sekali lagi.

"Oh, saya kawan lama Tengku Saifuddin. Panggil saja Jai." Jai melemparkan senyuman sekali lagi. Jai cuba menahan gelak bila menyebut nama penuh Kudin.

Sofea turut senyum. Dia mula interkom Kudin. Seketika kemudian, dia menyuruh Jailani ke bilik Kudin.

PINTU diketuk perlahan. Sebaik terdengar suara menyuruhnya masuk, tombol pintu dipulas perlahan. Jai tersenyum sebaik terpandang Kudin yang kelihatan sibuk menatap skrin komputer.

"Assalamualaikum."

"Wa'alaikumussalam.." Kudin mendongak. Terkejut melihat sahabat lamanya yang berdiri di muka pintu sambil tersenyum.

"Jai! Mimpi apa kau datang ni" Kudin segera bangun dan menghampiri Jai yang sudah mula menapak masuk dan duduk di sofa.

"Wah! Kau dah kaya sekarang ni ya!" Jai berjabat seketika.

"Hish! Kau ni! Aku ni macam dulu jugak la. Ni, lepas kau balik kampung hari tu, kau terus senyap. Aku dah kerja di KL ni pun tak jumpa kau. Kau kerja kat mana" Kudin sudah teruja.

"Aku kerja biasa je. Kuli macam aku ni, kenalah bekerja keras. Tak macam kau. Jadi bos!" Jai senyum lebar. Dia melihat pula sekitar bilik Kudin.

"Aku biasa je la Jai. Sebenarnya aku lebih senang duduk kat kampung tu. Tanam padi. Tenang melihat kedamaian kampung walaupun bermacam perkara terjadi sejak akhir-akhir ni." Kudin turut senyum.

Lama mereka berbual mesra. Bermacam cerita dari zaman sekolah sehinggalah kepada alam pekerjaan. Perbualan mereka terhenti bila Sofea masuk membawa dua cawan kopi. Sofea kembali ke tempatnya semula.

"Macam mana dengan kampung kita Ada lagi tak gadis kebaya merah tu" Gurau Jai. Dia meneguk kopi panas perlahan-lahan. Mata Jai masih menala ke wajah Kudin. Sebenarnya dia sudah tahu apa yang berlaku pada gadis kebaya merah itu. Sengaja dia tidak dedahkan siapa dirinya dulu.

"Entahlah. Mak Jemah pun dah selamat dikebumikan. Mayat reput dan rangka manusia yang aku jumpa tu pun dah dikebumikan. Aku rasa tak ada lagi gangguan dari gadis kebaya merah tu. Tapi...adik aku ada beritahu aku semalam. Gadis kebaya merah itu kembali lagi. Dia kata pembunuhnya masih bebas dan dia ingin adik aku menolongnya. Pening aku." Kudin melepaskan keluhan.

"Jadi, betullah Mak Jemah tu dah lama meninggal dan dia ada membela hantu raya" Jai mula serius.

"Ya. Tok Imam Ngah yang beritahu aku. Tak sangka Mak Jemah tu sanggup melakukan kerja syirik tu. Apa yang masih menjadi tanda tanya, orang kampung tak tahu pun kegiatan Mak Jemah tu. Rupanya dia juga yang sihirkan arwah ayah aku. Dia gunakan patung untuk memuja dan menyihir mangsanya." Kudin menggeleng.

"Oh..memang tak sangka. Dulu masa kita budak-budak lagi, Mak Jemah tulah yang selalu beri gula-gula pada kita." Jai mula terkenang kisah dulu.

Kudin mula ketawa. Memang lucu mengenangkan kisah zaman budak dulu.

"Sekarang ni, orang kampung mula merungut. Mereka nampak kelibat Mak Jemah di kampung tu merayau-rayau malam-malam. Dan gadis kebaya merah tu pun masih mengganggu adik aku." Kudin sekali lagi mengeluh.

"Kuyah tinggal dengan Nek Tom ke" Jai mula ramah bertanya hal Kuyah yang baru diketahuinya sebagai adik kandung Kudin.

Kudin mengangguk.

"Dia yang nak tinggal di sana. Aku ada ajak dia duduk di KL ni." Kudin menjawab hambar.

"Aku dengar Senah hilang" Jai mula ke topik bicara yang ingin diketahuinya.

"Mana kau tahu"

"Aku ada kawan polis. Bila dia tahu aku dari kampung Pinang Patah, dia terus beritahu aku hal tu." Jai cuba berdalih. Kudin tidak perlu tahu siapa dirinya yang sebenar sebelum tiba waktunya.

"Oh...siapa kawan kau tu" Kudin berkerut kening. Mungkinkah Ana Dahlia

"Alah..kalau aku jawab pun, kau tak kenal.."Jai sengih. Dia tahu Kudin suka dan mula menaruh hati pada Ana Dahlia.

"Ana Dahlia kan" Teka Kudin.

Jai terdiam. Nampaknya Kudin bijak meneka. Dia mula mengangguk.

"Dah lama berkawan" Kudin bertanya. Ada nada cemburu. Memang dia cemburu jika Jai terpikat dengan Ana Dahlia. Selama ini dia sudah mula jatuh hati pada gadis itu. Sejak di rumah nenek lagi. Nenek pun sudah acap kali menyuruhnya meminang gadis itu tetapi baginya tidak mungkin dia menerjah rumah Ana Dahlia untuk meminang jika cinta hanya bertepuk sebelah tangan. Dia tahu, Ana Dahlia tidak pernah suka bila menyentuh soal hati.

"Soalan kau tu..macam cemburu je Kau ada hati ke Satu lagi..macam mana kau kenal dia" Jai sengaja tidak menjawab soalan Kudin.

"Dia pernah kerja di syarikat aku tapi tak lama. Katanya dia sudah dapat kerja lain. Yalah..kat sini, dia hanya kerja kerani saja." Kudin mengeluh.

"Oh...macam tu rupanya. Hmm...aku dengar kau ajak dia ke kampung. Kau nak kenalkan dengan Nek Tom kan" Usik Jai. Sebenarnya dia sudah tahu penyamaran Ana Dahlia di syarikat Kudin.

"Aku berlakon je. Kau tahulah nenek aku tu..sibuk suruh aku nikah. Aku suruh la Ana tu menyamar jadi kekasih aku." Kudin sengih tapi dalam hati hanya tuhan yang tahu.

"Aku rasa kau suka kat Ana tu. Kalau kau tak berani luahkan, biar aku jadi orang tengah. Macam mana" Jai kenyit mata.

Kudin hanya senyum. Baginya biarlah dia sendiri yang meluahkan semua itu. Tidak perlu perantara untuk semua tu. Jai dilihat seketika. Takkan lelaki itu tidak terdetik sedikitpun untuk mencintai gadis secantik Ana Dahlia. Atau Jai sengaja menduga hatinya.

"Aku pun tahu kau ada hati dengan Senah kan" Kali ini giliran Kudin pula mengusik Jai.

"Senah lebih sukakan kau. Sejak dulu lagi dia tunggu kau. Aku ni apalah sangat..." Jai tunduk.

Kudin sekali lagi diam. Dia juga tahu Senah tidak pernah berputus asa mengejar cintanya dan Jai juga tidak berputus asa menunggu Senah.

"Oh ya, Jo dan Chad apa khabar sekarang Mereka kerja kat mana" Jai mula bertanya hal dua lagi sahabat mereka dulu.

"Ni yang aku tengah bingung ni. Aku rasa mereka tu ada kaitan dengan kehilangan Senah dan Anum. Sekarang ni mereka saling tuduh menuduh." Kudin pandang Jai. Dia mesti berhati-hati bila berbicara soal Jo dan Chad.

"Bergaduh Kenapa" Jai berpura-pura bertanya.

"Jo dah mengaku depan aku. Sekarang ni dia cuba tuduh Chad pula." Jawab Kudin, masih berhati-hati.

"Maksud kau"

"Kes ni masih dalam siasatan polis. Aku tak boleh dedahkan sembarangan. Kau faham bukan" Kudin cuba mengelak dari bercerita hal Jo dan Chad.

"Aku faham.." Jai hanya senyum.

"So, kau buat apa sekarang ni" Sekali lagi Kudin bertanya kerja Jai.

"Macam aku cakap tadi..aku kuli kat sebuah syarikat kecil." Jai juga berdalih.

"Kalau kau tak keberatan, aku nak ajak kau ke satu tempat. Aku dah janji dengan Jo. Itupun kalau kau nak ikut." Kudin teringat janjinya dengan Jo semalam.

"Ke mana"

"Adalah...dia tahu di mana Senah dan Anum berada." Kudin jeling Jai yang sudah berkerut kening.

"Hmm..ok. Aku join." Jai setuju.

"Okey! Esok, jam dua petang kita jumpa di Restoran Cinta Sayang." Kudin sengih.

"Hah Restoran Cinta Sayang" Jai terkejut.

Kudin mengangguk dan hanya senyum. Restoran itulah yang menemukannya dengan Ana Dahlia buat pertama kali.

Jai mula minta diri.

KEESOKANNYA, tepat jam dua petang, Jai sudah menunggu Kudin dan Jo di Restoran Cinta Sayang yang dimaksudkan oleh Kudin semalam. Itulah peluang yang ada untuk membongkar dan mencari jawapan kehilangan Senah dan Anum selama ini. Dari apa yang diberitahu Kudin semalam, dia pasti Senah dan Anum masih selamat. Lehernya dipanjangkan ke arah luar restoran. Bayang Kudin dan Jo masih belum kelihatan.

"Manalah dia orang ni Kata nak jumpa pukul dua petang. Ni dah setengah jam aku tunggu." Jai pandang jarum jam di pergelangan tangannya. Dia mengetuk meja dengan hujung jari sambil mata melilau mencari kelibat Kudin dan Jo.

"Hmm..datang pun!" Jai sengih. Kudin dan Jo dilihat sudah melangkah ke arahnya.

"Maaf Jai! Jalan sesak tadi. Aku dari pejabat. Kebetulan Jo datang pejabat aku. Kami sama-sama datang ke sini. Kau dah lama tunggu" Kudin melabuhkan punggung di kerusi sebelah Jai. Jo juga turut duduk di sebelah kiri Jai.

"Boleh la kalau nak sampai janggut tu tumbuh.." Perli Jai sambil mata melirik pada Kudin dan Jo.

Kudin dan Jo hanya senyum. Lawak Jai masih seperti dulu. Mereka mula memesan minuman sebelum bersama-sama ke tempat yang dimaksudkan Jo semalam.

SEPANJANG perjalanan, Jai hanya memerhati sekitar jalan. Dia perlu mengenalpasti arah jalan itu yang menghala ke sebuah perkampungan yang agak terpencil. Rasanya lebih terpencil dari kampung Pinang Patah. Kudin pula banyak bertanya itu ini pada Jo yang memandu kereta Pesona kelabu miliknya. Dari jalan besar sehinggalah ke jalan kecil, Jo masih memandu mengikut arah jalan kecil yang tidak bertar. Jelas di kiri dan kanan jalan, hanya ada semak samun dan kadang-kadang beberapa pokok getah yang telah tua menunggu masa untuk rebah ke bumi.

"Kau pasti mereka ada di sini" Jai akhirnya bersuara. Matanya masih memandang sekitar jalan, kiri dan kanan. Jika di situlah Senah dan Anum dikurung, memang tempat itu menakutkan dan memang Senah dan Anum payah untuk melarikan diri dan keluar dari hutan belukar seperti itu.

"Ya, di sinilah aku tengok Senah dan Anum melarikan diri pada malam tu." Jo berhentikan keretanya di sebuah pondok kecil yang terletak di hujung jalan kecil yang menghala ke hutan belukar dan berakhir di sebuah sungai yang berdekatan.

"Hmm..macam bunyi air. Ada sungai di sini" Jai memerhati sekeliling. Telinganya menangkap deruan air sungai yang mengalir deras.

"Ya..bijak kau ya" Jo pandang Jai yang masih memasang telinga mendengar suara dan bunyi dari hutan belukar.

"Kau biar betul Jo. Tempat ni macam tak ada orang tinggal. Kalau jadi apa-apa pada Senah dan Anum, nahas kau!" Kudin menjeling tajam pada Jo yang sudah mula tunduk.

"Maafkan aku Kudin. Sumpah aku tak tahu yang Karim tu perangkap Senah dan Anum. Bila aku dapat tahu malam tu, mereka dah melarikan diri. Aku cuba cari tapi tak jumpa. Jadi, aku rasa mereka masih berada di sini." Jo turut memerhati sekitar hutan itu.

"Baik kita cuba redah hutan ni." Jai mula melangkah ke arah belukar.

Kudin dan Jo turut membuntuti Jai yang sudah ke depan meredah semak samun menuju ke arah sungai tadi. Hampir satu jam mereka bertiga meredah belukar dan semak samun namun tiada tanda-tanda kehadiran Senah dan Anum di situ.

"Tunggu.." Jai sedikit berbisik. Bunyi derapan kuat dari celah semak dan belukar menerjah gegendang telinganya.

Kudin dan Jo terdiam seketika. Mereka saling berpandangan. Riak Jai sudah lain. Mereka turut memandang ke arah pokok yang sudah bergoyang seolah digoncang sesuatu. Jai dilihat sudah merapati pokok itu. Langkah Jai diatur berhati-hati diikuti Kudin dan Jo yang turut berhati-hati melangkah mengikut rentak kaki Jai.

"Aku rasa tak sedap hati. Tempat ni memang keras. Kau nampak tu" Jai tuding ke arah sekelompok senduduk putih di tebing sungai.

"Apa" Jo panjangkan lehernya melihat ke arah tebing sungai.

"Tu! Payah nak jumpa senduduk putih banyak macam tu. Yang ada selalunya senduduk merah jambu atau ungu. Kalau ada senduduk putih seperti tu, bermakna ini tempat orang bunian. Kita kena hati-hati." Jai berhenti melangkah. Apa yang dia tahu itu adalah hasil dari latihan ketahanan diri dalam hutan yang pernah dilalui dulu semasa menghadiri kursus jati diri. Memang itu yang diberitahu pegawai hutan.

"Apa kaitan senduduk putih dengan orang bunian" Kudin pula bertanya. Dia pandang Jai yang nyata banyak ilmu bila berjalan dalam hutan seperti itu. Tadi sebelum meredah hutan belukar, Jai seperti membaca sesuatu dan meraup muka. Jelas di telinganya, Jai mulakan dengan bismillah dan selawat ke atas Rasulullah s.a.w.

"Senduduk putih adalah pokok kegemaran orang bunian. Kalau orang biasa macam kita, senduduk putih itu adalah untuk menghindarkan dari dipukau. Mungkin itu kepercayaan orang dulu-dulu." Terang Jai lagi.

Kudin hanya memandang Jai yang begitu banyak tahu tentang semua itu. Dia pandang pula pada Jo yang tidak berkelip memandang Jai dari tadi.

"Jadi sekarang ni macam mana" Jo turut kaku di sebelah Jai.

"Aku rasa Senah dan Anum sudah masuk ke alam mereka. Tengok ni." Jai tunjuk pula pada kesan pokok yang sudah dipatahkan. Di ranting pokok itu, ada titisan darah yang sudah kering. Ranting itu dipatahkan dan dihidu seketika.

"Memang sah darah manusia!" Jai hulur ranting itu kepada Kudin dan Jo.

Kudin tidak berani mencium bau darah kering itu. Jo pula menekup hidung. Mereka berdua saling berpandangan.

"Kau rasa mereka cedera" Kudin mula meneka. Dengan kesan darah kering itu, mungkin Senah atau Anum yang cedera ketika cuba melarikan diri.

"Itu aku tak pasti." Jai masih berdiri di situ. Matanya beralih pada pokok senduduk putih yang banyak tumbuh di tebing sungai. Bunga putih pokok itu begitu lebat sekali.

"Apa kita nak buat sekarang Macam mana kita nak cari mereka" Jo mula gelisah. Dia tahu, jika Senah dan Anum tidak ditemui, dia akan terima padahnya dan yang lebih membuatnya merasa gelisah, nasib Senah dan Anum nanti.

"Kalau kau berani masuk ke alam bunian, aku ada cara." Jai pandang Kudin dan Jo silih berganti.

Kudin menelan liur. Dia jeling Jo yang juga sudah pucat. Gila apa nak masuk ke alam bunian!

"Kau pasti mereka ada di situ Kalau mereka tak ada macam mana" Jo masih sangsi.

"Aku pasti. Lihat pokok senduduk putih yang di kiri sekali. Pokok itu sudah patah dan banyak ranting pokok itu sudah ditebas. Itu tandanya ada manusia yang telah masuk ke alam itu. Mungkin Senah dan Anum terlanggar pokok tu dan pokok tu patah. Jadi, secara tak sedar, mereka telah masuk ke alam bunian." Jelas Jai lagi.

Kudin dan Jo sekali lagi terkelu dan tercengang mendengar kata-kata Jai tadi. Seolah Jai ada pengalaman luas dalam hutan.

"Kau ni banyak tahu semua tu Kau pernah jadi askar ke"Kudin berkerut kening. Jai dipandang tak berkelip.

"Tak..aku tahu semua tu dari arwah datuk aku. Dia selalu ajak aku menangkap ayam hutan. Jadi, banyak ilmu yang diturunkan kepada aku." Jai cuba berdalih walaupun memang benar arwah datuknya mengajar semua itu dulu.

"Syyy..." Jai tiba-tiba memberi isyarat diam. Bunyi derapan ranting dipijak jelas di telinganya.

Kudin dan Jo diam membisu. Mereka turut berpaling ke arah kiri. Jai dlilihat pantas berpaling ke arah itu tadi.

"Apa dia" Kudin sedikit berbisik.

"Aku rasa kita diperhatikan." Jai melilau mencari sesuatu. Setelah pasti, tiada lagi bunyi derapan ranting dipijak tadi, Jai mengajak Kudin dan Jo ke arah sekelompok senduduk putih itu tadi.

Mereka bertiga berhenti di salah satu pokok senduduk putih itu. Lama Jai memerhati pokok senduduk putih yang mekar berkembang.

Dia ambil sekuntum bunga senduduk putih itu dan merenung lama ke arah bunga itu. Kudin dan Jo hanya melihat lagak Jai yang mula memejamkan matanya.

"Kau nak buat apa dengan bunga tu" Kudin sengih. Jai sudah seperti mat bunga la pulak.

"Hmm..aku dapat rasa Senah dan Anum ada di sini tapi aku tak tahu tempat yang tepat." Jai mula buka mata. Dia melihat sekitar pokok senduduk putih itu.

"Ah! Susah sangat, cabut je pokok tu!" Jo sudah tidak sabar. Dia segera mencabut sebatang pokok senduduk sekuat hati. Hanya ranting saja yang sempat dicabut.

Tak semena-mena sekitar kawasan situ sudah mula berubah. Tiada lagi hutan belukar dan air sungai yang mengalir. Yang ada kini, sebuah perkampungan yang sungguh cantik. Kampung yang dipenuhi dengan pokok bunga ros putih dan bunga melur. Rumah-rumah pula tersusun cantik dan kemas.

"Kita kat mana ni" Jo menggaru kepala. Dia sudah bingung.

"Kita sudah masuk ke perkampungan orang bunian. Aku pasti!" Jai turut menelan liur. Itulah pertama kali dia melihat kampung yang begitu cantik.

Kudin pula tidak kelihatan di situ.

"Mana Kudin" Jo melihat sekitar. Kiri, kanan, depan dan belakangnya. Memang sah! Hanya dia dan Jai saja yang berada di situ.

"Masa kau cabut pokok tu tadi, Kudin kat mana" Jai pandang Jo yang sudah kebingungan.

"Kudin di belakang kau. Aku di depan kau." Jo cuba mengingati semula kejadian tadi.

"Hmm..kalau macam tu, dia memang tak ikut serta. Kau sambar tangan aku tadi kan" Jai pandang Jo yang sudah mula pucat mukanya.

Jo mengangguk lemah. Kini dia pasti, hanya dia dan Jai saja terperangkap di alam bunian itu!

Jai menggeleng. Terpaksa terima semua itu. Dia mengingatkan Jo supaya tidak lagi bersikap celupar dan gelojoh. Ranting pokok senduduk yang sudah patah tadi sudah tiada di tangan Jo. Mereka berdua terpaksa beranikan diri berjalan sekitar kampung yang begitu asing itu. Ada beberapa orang penduduk di situ yang leka berbual. Dari satu sudut, Johan dapat melihat susuk tubuh yang cukup dikenalinya.

"Jai! Aku rasa kita dah jumpa! Itu mungkin Senah!" Jo menuding ke arah seorang gadis yang berbaju kurung putih sedang berbual mesra dengan seorang gadis lain.

Jai cuba mengamati wajah gadis itu yang sudah berubah penampilan. Langkahnya diatur perlahan ke arah gadis itu dan dia berhenti di sebuah pangkin kecil di tepi pokok bunga melur. Lama dia memerhati gadis itu yang ketawa riang bersama kawannya yang lagi satu. Dia menelan liur. Memang sah! itu Senah!

"Ya Allah..memang Senah.." Jai memandang Senah tidak berkelip. Penampilan Senah sudah jauh berbeza. Senah dilihat sudah memakai selendang putih yang menutupi keseluruhan rambutnya. Terpegun seketika.

Lamunan Jai terganggu bila bahunya ditepuk Jo. Dia berpaling. Kali ini matanya melihat pula ke arah jari Jo yang

menuding ke arah seorang lagi gadis yang sedang menampi beras di pangkin di sebuah rumah. Anum

"Aku rasa macam bermimpi.." Jo mula menutur. Matanya masih melekat pada Anum dan Senah. Keduanya dilihat sudah seperti penduduk di situ. Memakai pakaian serba putih.

"Sekarang ni kita kena cari jalan untuk bawa mereka keluar dari sini." Jai kembali ke tujuan asalnya. Dia harus membawa keluar Anum dan Senah dari alam ghaib itu.

"Macam mana" Jo pula pandang Jai yang sudah berkerut kening. Mungkin masih berfikir.

"Entah.." Jai sedikit mengeluh. Dia memang tidak tahu macam mana hendak melepaskan diri dari situ.

SEMENTARA ITU, Kudin masih terpinga-pinga di tebing sungai. Jai dan Jo tiba-tiba hilang dari pandangannya. Sebaik saja Jo patahkan ranting pokok senduduk putih tadi, sekelip mata Jo dan Jai hilang! Dia mula buntu. Matanya meliar melihat sekitar sungai. Cuba mencari kelibat Jai dan Jo. Hampa. Kudin melaung nama Jai dan Jo berkali-kali dengan harapan ada jawapan dari mereka. Masih hampa.

"Aku rasa mereka pun sudah masuk ke alam bunian." Kudin menelah sendiri. Dia segera beredar dari situ setelah melihat hari semakin gelap. Dia menapak ke kereta semula.

DARI sebuah pondok usang yang terletak tidak jauh dari situ, Chad mengintai gerak geri Kudin. Mukanya berkerut. Dia hanya memerhati Kudin menaiki kereta dan mula meninggalkan tempat itu.

"Hmm...mana Jo dan Jai" Chad garu kepala.

Sejak tadi dia memerhati tindak tanduk Jo, Jai dan Kudin. Sengaja dia mengekori mereka ke situ. Dia tahu, Jo akan bongkar semuanya. Kes Hanim dan Suzy yang cuba ditutup serapi mungkin, mungkin akan terbongkar nanti. Sia-sia saja Hetty masuk lokap! Kusha pula bebas macam itu saja!

"Ini tak boleh jadi. Aku kena balas dendam atas apa yang telah mereka lakukan pada mak aku." Chad menumbuk batang pokok. Dia perlu lakukan sesuatu. Jo sudah tahu rahsianya.

Chad segera beredar dari situ. Dia meredah belukar untuk ke tempat keretanya yang diparkir jauh dari situ. Belum sempat dia sampai ke kereta, laluannya dihalang sesuatu. Riaknya berubah. Ada sesuatu di depannya yang cukup dikenali. Jelmaan itu direnung tajam. Dia membaca sesuatu. Kumat kamit dan diludah ke depan.

"Kau tak boleh kacau aku! Ilmu aku lagi tinggi dari kau!" Chad ketawa sinis. Jelmaan itu dilihat sudah lenyap dari pandangannya. Dia mula menaiki kereta dan meninggalkan kawasan itu.

CHAD memandu laju ke sebuah rumah di pinggir bandar KL. Dia perlu jumpa seseorang. Tiba di destinasi, Chad segera mencari kelibat Karim. Dia perlu tahu dari lelaki itu apa yang telah berlaku. Senah dan Anum sudah seminggu hilang tanpa jejak. Apa yang dirancang selama ini nampaknya sudah dihidu oleh orang lain. Kes Hanim dan Suzy mungkin akan disiasat kembali oleh pihak polis seandainya Senah dan Anum dijumpai dan orang yang akan mendedahkan semua maklumat itu sudah tentu Jo.

Chad merapati daun pintu rumah Karim. Sebelum meninggalkan kawasan belukar tadi, dia sudah menghubungi Karim dan mengharapkan lelaki itu tidak berpaling tadah! Pintu rumah Karim diketuk beberapa kali.

"Siapa" Laung Karim dari dalam.

"Aku! Chad! Buka pintu ni!" Suara Chad sudah tinggi. Sudah hampir setengah jam dia berdiri di luar.

Pintu dikuak perlahan. Kelihatan Karim sudah pucat melihat Chad berdiri di situ dengan riak merengus. Pintu ditendang kuat sehingga jelas kedengaran daun pintu terkena dinding rumah. Chad segera menapak masuk ke dalam rumah Karim. Dia masih berdiri di ruang tamu sambil bercekak pinggang. Karim dilihat dengan pandangan tajam.

"Macam mana Jo boleh tahu tempat tu" Soalan pertama Chad pada Karim.

"Tempat apa" Karim bingung. Chad tiba-tiba marah menyinga.

"Tempat Senah dan Anum dikurung!" Chad sudah geram.

"Err...Jo yang call aku malam tu. Mulanya aku ingat nak kurung perempuan tu kat tempat lain." Karim pula tersekat-sekat menjawab.

"Kau jangan nak berpaling tadah. Aku bersusah payah pujuk Senah ke KL. Anum, aku dah suruh kau larikan dia dan kurung di tempat lain. Apa kau nak bolot dua kerja sekali gus ke apa" Chad berkerut kening. Memang dia tahu selama ini Karim menjadi talibarut Jo dalam sindiket haram itu tapi Karim juga menjadi orang suruhannya dalam merealisasikan dendamnya selama ini.

"Aku keliru.." Karim tunduk. Memang dia takut menatap mata Chad yang sudah merah. Lelaki itu kalau sudah marah, rona wajahnya akan berubah serius dan menakutkan. Seolah ada ilmu yang Chad pelajari. Ilmu yang dia sendiri tidak tahu. Kadang-kadang dia melihat Chad akan melakukan upacara mengasap kemenyan pada malam Jumaat di sebuah rumah yang agak jauh dari bandar.

"Jo sudah tahu rumah aku! Kau yang bocorkan rahsia tu kan" Kolar baju Karim digenggam kuat. Dia perasan malam dia mengasap kemenyan itu, dia tahu kelibat Jo yang datang ke rumahnya pada malam itu. namun dia dapat merasakan ada sesuatu di atas bumbung rumahnya.

"Bukan aku! Sumpah! Aku tak tahu menahu pasal tu!" Karim sudah ketakutan. Dia menelan liur berkali-kali. Chad dilihat seperti hendak menerkam dan membahamnya bila-bila masa. Pernah dia melihat Chad berubah wajah bila dalam keadaan marah dan bertukar menjadi orang lain.

Karim dilepaskan dan ditolak dengan kuat sehingga terduduk di sofa. Dia mundar mandir di ruang tamu rumah Karim. Dia perlu lakukan sesuatu. Selama ini pihak polis dan Kudin mengesyaki Hetty dan Kusha dalam kes pembunuhan Hanim dan Suzy. Bermakna dia telah selamat dari tuduhan membunuh tapi dengan kehilangan Senah dan Anum di tangan Jo, kes itu akan menjadi semakin rumit. Rancangannya akan terganggu. Tengku Muzafar sudah mati. Saksi pembunuhan itu juga sudah mati. Kini dia perlu meneruskan rancangannya yang sudah lama dirancang rapi. Pihak polis tidak akan dapat mengesyakinya tanpa bukti kukuh. Ilmu hitam yang sempat dipelajarinya dulu akan digunakan untuk menghancurkan sesiapa saja yang terlibat dalam kehidupan maknya.

"Sekarang ni, Jo, Kudin dan Jai sedang mencari Senah dan Anum. Aku pasti, kalau mereka berjumpa mereka, aku dalam bahaya. Aku kena pastikan Senah dan Anum tidak ditemui mereka dan aku berharap aku yang jumpa mereka dulu. Aku rasa Senah dan Anum sudah masuk ke alam bunian." Chad mula duduk. Dia cuba mencari akal untuk bertindak.

"Tapi aku tak faham. Mengapa kau libatkan Senah dan Anum dalam hal ni Mereka berdua tak terlibat langsung dalam kes mak kau tu. Dari apa yang kau cerita kat aku dulu, mak kau jadi gila kerana Tengku Muzafar dan keluarganya." Karim mula berani berbicara lanjut.

"Kau tak tahu cerita sebenar. Mak aku telah bernikah dengan Tengku Muzafar, jadi isteri ketiga tapi haknya tidak ada dalam keluarga mewah tu. Mak Kusha, dia yang sebenarnya dalang dalam hal ni. Dia yang upah orang untuk menyuntik mak aku dengan sejenis dadah setiap hari sampai mak aku jadi biul dan gila. Dadah tu boleh menyebabkan orang tu jadi berhalusinasi. Mak aku jadi tak sedar apa yang berlaku di sekelilingnya. Kau pernah dengar Dextrometorphan atau Nospan" Chad pandang Karim sekilas.

Karim menggeleng.

"Itu sejenis dadah yang digunakan untuk melegakan hidung berair, bersin, gatal-gatal hidung dan semua yang berkaitan dengan tekak dan sinusiti. Jika diambil berlebihan, ubat tu boleh mengubah deria dan keadaan sedar seseorang. Ubat ni juga akan mengubah keadaan emosi dan fikiran. Kesan dari penyalahgunaan dadah ni, orang tu akan jadi kurang selera makan, kurus,mulut kering, dada sakit, kurang denyutan jantung. Akhir sekali, orang tu akan mengalami kerosakan saraf otak yang menyebabkan sakit mental dan gila. Itulah yang berlaku pada mak aku. Mak aku hampir mati. Aku masa tu berada di Kuantan. Bila aku dapat tahu mak aku dimasukkan ke hospital gila, aku tak percaya! Aku siasat tentang tu. Memang benar sangkaan aku, mak aku dianiaya. Tengku Muzafar pula percaya yang mak aku sudah gila dan ditempatkan di wad gila. Sekarang ni, aku dapat tahu, Tengku Muzafar tu adalah ayah Kudin dan Kudin adalah anak dari isteri pertama Tengku Muzafar. Huh! Orang tua tu hanya tahu nak berbini tapi tak pandai jaga bini! Hanya seorang saja dia percaya! Kata-kata isteri keduanya, mak Kusha! Aku dapat tahu juga mak Kusha yang sebenarnya mengarahkan orang untuk menyihir suaminya sendiri dan menyingkirkan mak Kudin demi nak bolot harta. Kesian Kudin...dia tidak tahu yang sebenarnya Tengku Muzafar meninggalkan banyak harta di luar negara yang sudah ditukar nama kepada mak Kusha."

Chad mengetap bibir. Sesekali dia senyum sinis mengenangkan yang dia adalah adik beradik tiri dengan Kudin sebenarnya!

"Rancangan aku mesti diteruskan. Orang tua tu sudah mampus, Hanim dan Suzy pun dah ikut orang tua tu ke neraka. Sekarang ni, tinggal Kusha dan mak Kusha. Hanya dengan cara halus ini sajalah aku dapat melepaskan diri dari dituduh. Polis tak akan percaya pada benda tahyul ni. Apa lagi kalau dikaitkan kematian seseorang dengan ilmu sihir. Pihak polis hanya berdasarkan bukti nyata dan saintifik semata-mata." Chad ketawa besar.

"Jadi apa kaitan dengan Senah dan Anum" Karim garu kepala.

"Kau tak faham Senah tu tergila-gilakan Kudin. Anum tu cinta hati Kudin sejak dulu. Kalau keduanya dapat aku tawan, senanglah kerja aku. Aku akan gunakan Senah dan Anum untuk mengheret Kudin dalam rancangan aku. Cuma..." Kata-kata Chad terhenti.

"Cuma apa"

"Ada masalah sikit..." Chad berkerut kening.

"Masalah apa" Karim pandang Chad yang sudah tunduk. Berkerut dahi dan kening. Tentu dia sedang berfikir sesuatu.

"Mayat Hanim sudah dipuja oleh Mak Jemah dari kampung Pinang Patah tu. Rosak semua rancangan aku! Hanim tu berupa gadis kebaya merah yang menjelma dari kepulan asap. Sekarang ni jelmaan dia selalu mengganggu penduduk kampung dan dia juga sudah berani kacau aku!"

Karim sudah pucat lesi mendengar kata-kata Chad. Matanya meliar melihat kiri kanan. Mana tahu jelmaan yang dikatakan oleh Chad tadi tiba-tiba muncul di rumahnya. Dia semakin rapat dengan Chad.

"Ma...ma..macam mana kau tahu gadis kebaya merah tu adalah Hanim" Karim sekali lagi mengensot dekat dengan Chad.

"Malam yang dia diculik dari hospital tu, dia pakai kebaya merah. Aku yang mengarahkan Somtam dan Samdol humban mayatnya ke dalam sungai di dalam hutan. Entah kenapa malaun biul dua ekor tu pergi campak ke dalam kolam kumbahan di kampung aku!

Sudahnya, Mak Jemah tu ambil dan puja mayat tu untuk tujuan kecantikan dan awet muda!" Chad mengetap bibir. Masih teringat pada malam kejadian, dia sengaja mengejar Hanim yang berlari ke arah sebuah rumah. Hanim dilihat menghulurkan sesuatu kepada seorang gadis dan terus meninggalkan tempat itu. Dan pada malam itu juga, Hanim dilanggar oleh seseorang.

"Macam mana kau bunuh dia" Karim semakin takut. Dia pandang Chad tak berkelip.

Chad pantas berpaling. Karim direnung tajam dengan mata bulat dan merah menyala. Lama dia memerhati riak Karim yang sudah pucat dan ketakutan. Kemudian ketawanya pecah. Berdekah-dekah Chad ketawa.

"Apa..lucu ke soalan aku" Sekali lagi Karim menelan liur. Chad dilihat sudah berubah sikap. Seperti orang hilang kewarasan akalnya.

"Aku hanya guna ilmu yang aku pelajari. Aku puja patung yang dipakaikan kebaya merah dan aku toreh-toreh muka patung tu dan juga badan dia." Chad tersenyum puas.

Hanim sudah terima balasannya. Dia bukan suka-suka untuk menyeksa gadis itu tapi gadis itulah yang telah menjadi talibarut mak Kusha untuk menyuntik ubat tidur ke dalam saluran darah maknya. Bila dia dapat tahu tentang hal itu, Hanim disiasat dan ternyata gadis itu bekas jururawat. Hanim sudah menerima sejumlah wang yang besar dari mak Kusha.

"Suzy"Karim bertanya pula hal Suzy.

"Dia nampak apa yang aku buat pada Hanim. Jadi dia pun patut dihapuskan!" Chad ketawa kuat!

Karim menelan liur. Chad yang dikenali sekarang ini sudah dirasuk syaitan dan berkawan dengan jin dan syaitan!

"Tapi..apa yang aku dengar, Hetty dituduh membunuh Hanim dan Suzy." Karim teringat berita yang dibaca dalam suratkhabar dulu.

"Kebetulan Hetty pun ada skandal di TM Holdings tu. Dah tu Hanim ni dah tahu rahsia Hetty yang menyeleweng duit syarikat.

Memang patutlah Hetty yang dituduh!" Senyuman lebar meniti di bibir Chad. Hetty seolah sudah menjadi kambing hitam!

"Sekarang ni..sementara Senah dan Anum hilang, aku akan ajar mak Kusha! Dia yang paling aku benci!" Chad menumbuk sofa dengan wajah bengis.

Karim tergamam.

"Kalau Jo tahu rahsia aku, aku juga akan bocorkan rahsianya yang selama ini mempergunakan perempuan untuk dijual ke luar negara melalui sindiket haram. Biar dia merengkok dalam penjara. Kalau dia tak kacau rancangan aku, aku juga tak akan kacau kerjanya." Chad ketawa lagi sambil beredar dari situ.

Tinggal Karim seorang diri di situ sambil melihat sekitar rumah. Apa yang diberitahu Chad tadi sungguh mengerikan dan menakutkan. Meremang bulu roma tiba-tiba. Dia segera masuk ke bilik. Ternyata sekarang ini dia sudah terperangkap dengan Chad yang sudah berkawan dengan jin dan syaitan!

"Aku mesti beritahu Jo! Atau..Kudin..kawan Chad. Lepas tu aku hilangkan diri dari sini." Karim terus selimut lingkup di atas katil.