Dia berjalan terus menuju ke arah lif. Sementara menanti pintu lif terbuka baru dia perasan Pandora juga tiada di pergelangan tangan kiri. Qamra Ain melilau tak tentu arah mencari di sekitar lobi jikalau rantai tangan itu terjatuh di kawasan sekitarnya. Tiada.
Nampaknya Pandora pemberian Tunku Hardie benar-benar hilang. Sama seperti saat hilang cintanya pada lelaki itu. Sejenak dia terfikir, tiada ertinya lagi untuk disimpan Pandora pemberian Tunku Hardie termasuk payung itu jikalau lelaki itu bakal menjadi milik orang lain.
Mulai dari malam ini, dia perlu hapuskan kenangan yang ada bersama Tunku Hardie. Pintu lif terbuka dan terus dia meluru masuk ke dalam. Ditekan butang lif menuju ke tingkat 9. Pintu lif terbuka dan terus dia melangkah longlai keluar. Hanya jarak beberapa tapak untuk sampai di depan pagar besi. Loceng ditekan. Pintu masih belum dibuka. Qamra Ain menekan sekali lagi. Masih tetap sama.
Takkan Rein tak ada kat dalam Dia keluar dari aku ke
Qamra Ain menyeluk ke dalam poket kecil beg galas dan mengeluarkan segumpal kunci. Selepas membuka kunci gate, dipulas pula tombol pintu. Dibuka pintu separa luas dan melangkah masuk ke dalam. Sunyi. Selalunya setiap kali dia balik pasti ternampak Tunku Hazreen duduk di sofa sambil menonton siaran Astro sementara menunggu kepulangannya.
Qamra Ain meletakan beg galas yang basah di atas sofa. Oleh sebab tekaknya kehausan yang terlampau, dia pergi menuju ke ruang dapur. Pintu peti ais ditarik dan sebotol air mineral dikeluarkan. Ketika menutup semula pintu, sorot matanya tertancap ke sekeping Post-it Notes yang ditampal dibawah fridge magnet berbentuk Eiffel Tower. Sambil menuang air ke dalam gelas, Qamra Ain membaca butiran yang tertulis di kertas kecil itu.
Qamra,
Aku tak balik malam nie, ada hal kecemasan. Kalau kau lapar, aku ada masakkan spageti untuk kau.
Ada dalam microwave, kau panaskan aje. Rein.
Qamra Ain berjalan ke arah dapur kering yang menempatkan microwave di situ. Disetkan masa selama 10 minit untuk pemanasan dan sementara menunggu, dia membilas pinggan mangkuk yang masih bersabun tak sempat dibilas oleh Tunku Hazreen.
Bunyi denting microwave menandakan spageti sudah sedia untuk dijamu. Qamra Ain membuka penutup dan aroma wap keluar menusuk terus ke rongga hidung. Dengan berlapikan kain dia mengeluarkan pinggan panas dan diletak ke atas meja. Perutnya mula berkeroncong. Baru sekarang dia terasa lapar setelah saban hari melayan perasaan.
Bismillahirrahmanirrahim
Qamra Ain mengepit spageti dengan mengunakan penyepit kayu dan baru tiba di tepi bibir, nada dering BB Z10 berkumandang di dalam beg galas. Diletak semula ke dalam pinggan dan bangkit dari kerusi lalu melangkah pergi ke ruang tamu. Telefon selular dikeluarkan dan nombor yang tak dikenali terpampang di skrin.
Assalamualaikum lirih suara Qamra Ain memberi salam.