Untuk peringkat permulaan, kanak-kanak akan diajar membaca buku Iqra. Iqra membawa maksud Baca di dalam bahasa Arab. Buku Iqra adalah buku yang diterbitkan bagi mengajar kanak-kanak mengenal huruf, baris dan sebutan. Buku Iqra mempunyai 6 buah siri dan dipelajari bermula dengan siri 1. Setiap siri mempunyai muka hadapan dengan warna yang berbeza. Kanak-kanak perlu memahirkan setiap siri mengikut aturan sirinya.
Pelajar yang sudah mahir keenam-enam siri buku Iqra, akan mula belajar membaca Muqaddam yang bererti Permulaan di dalam bahasa Arab. Di sesetengah tempat, Muqaddam dipanggil Jahama, singkatan kepada Juzuk Amma. Surahsurah di dalam Muqaddam adalah dari Juzuk 30 di dalam Al-Quran. Juzuk 30 dipilih kerana surah-surah di dalamnya adalah lebih mudah untuk dihafal.
Pelajar yang berjaya menamatkan pembacaan dan menghafal Muqaddam, akan mula membaca Al-Quran dan dimulai semula dengan Juzuk 1 sehinggalah tamat.
Sistem pengajian membaca Al-Quran ini disusun sebegitu supaya setiap kanak-kanak akan mendapat asas sebutan Arab dan dapat membaca Al-Quran dengan lancar. Tanpa orang tua, ia sebenarnya bagaikan satu medan perlumbaan bagi menentukan siapa yang lebih hebat. Kanak-kanak yang tidak dapat menghabiskan kesemua siri buku Iqra dalam kadar segera akan merasa ketinggalan kepada rakan-rakan yang telah pun menghabiskan Iqra dan beralih ke
Muqaddam. Rakan yang telah membaca Al-Quran pula merasa sangat hebat dan dalam masa yang sama mula bersaing jumlah juzuk dengan geng-geng Al-Quran pula.
Setiap pelajar yang berjaya menamatkan pembacaan AlQuran akan diraikan dengan kenduri pulut kuning dan akan dicemburui geng-geng lain.