Leman masih duduk termenung di hujung katil. Wad kanakkanak di Hospital Pasir Rawa ini sunyi dan sepi. Sesekali sahaja berbunyi deruan lokomotif Keretapi Tanah Melayu yang melalui jalan di bawah hospital dengan destinasi ke selatan dan Pantai Timur.
Masih terlalu kuat wajah Faduli diingatannya. Sekejap-sekejap ia muncul dan air mata Leman kembali bergenang menanti tumpah.
Dah, jom balik. Mak kamu dah masak macam-macam untuk kamu, kita naik kereta ayah Bahari. Jom! Ayah Bahari pun dah tunggu tu.
Leman turun dari katil dan terjelepok jatuh. Cikgu Muhammad memegang bawah ketiak Leman dan memapahnya turun.
Kamu kena kuat Leman, umur kamu masih muda. Kena kuat! Cikgu Muhammad berbisik, saat itu Leman terus menangis dan memeluk kuat ayahnya.
Duli dah tak ada, abah. Dah tak ada. Leman berusaha berdiri dan mengesat air matanya.
Bahari sudah menanti di kereta dengan wajah sugul dan senyum kelat. Leman memasuki tempat duduk belakang kereta Proton Saga milik ayah Bahari. Cikgu Muhammad pula duduk di hadapan bersebelahan pemandu. Bahari dan Leman di belakang bersama.
Sepanjang perjalanan ke Pasir Rawa semuanya sunyi sepi. Tiada seorang pun yang berkata-kata hinggalah hampir sampai ke surau, Leman menjerit minta dihentikan kereta.
Ayah Bahari memperlahankan kenderaan dan berhenti betulbetul di hadapan surau. Cikgu Muhammad turun lebih awal dan membuka pintu untuk Leman.
Leman, eloknya kamu ambil wuduk dan solat dulu dua rakaat di surau. Mohon semoga Tuhan beri kau semangat. Leman mengangguk perlahan.
Dibuka paip surau perlahan-lahan kemudian dicuci tangan dan kakinya perlahan-lahan. Diusap satu demi satu dari kanan ke kiri. Kemudian ditakungkan air di tangan dan terus sahaja dibawa ke muka, disapunya seluruh muka dengan secukupnya. Saat ini Leman sudah tidak tertahan-tahan, menangisi kenangan mengambil wuduk bersama Faduli. Kali pertama dan terakhir bersama-sama semasa mahu menunaikan solat Isyak dahulu.
Kemudian, perlahan-lahan Leman menyapu air di tangan kanan diikuti tangan kiri. Lalu diambil lagi sedikit air dan disapukan ke kepala. Diramas-ramas tangannya dan kemudian disapukan pula di telinga.
Akhir sekali, Leman menghulur kaki kanan dan diikuti dengan kaki kiri. Perlahan-lahan susuk tubuh kecil ini menaiki anak tangga surau dan berdiri tegak terus sahaja mengangkat takbiratul ihram. Air mata mengalir perlahan-lahan dalam Leman terkumat-kamit mulutnya mengadu nasib diri kepada Tuhan.
Habis sahaja salam dan berdoa, Leman bangun mendapatkan ayahnya. Lalu berpelukan sekali lagi. Dan mereka berjalan beriringan ke perkuburan belakang surau. Dari situ lagi Leman sudah nampak satu benjolan tanah merah yang masih lagi segar di sisi kanan tanah lapang yang sudah pun dipenuhi dengan nisan-nisan putih. Leman duduk di hujung bahagian pokok puding yang dicacakkan di pusara Faduli. Kemudian Cikgu Muhammad membacakan surah Al-Fatihah lalu terus mengangkat tangan berdoa dengan penuh hiba. Bahari dan ayahnya juga turut mengalirkan air mata. Mereka berpisah di situ. Meninggalkan Cikgu Muhammad dan Leman yang masih lagi mahu berdoa buat Faduli.
Lewat petang, Cikgu Muhammad dan Leman berjalan bersama menuju balik ke rumah. Sedang itu juga Mak Cik Vijaya sudah lebih sepuluh kali menjenguk luar rumah menanti dua putera kesayangannya pulang. Assalamualaikum.
Waalaikumussalam.
Leman disambut dengan peluk erat Mak Cik Vijaya. Kemudiannya dijamu dengan pelbagai jenis masakan kegemarannya. Walau tidak sedikit pun tersenyum, Leman menyuap makanan sedikit demi sedikit. Kemudiannya bangun dan membasuh tangan di singki dapur. Mak Cik Vijaya dan Cikgu Muhammad hanya memerhatikan sahaja.
Leman masih lagi tidak menerima hakikat. Jiwanya kosong dengan seribu satu penyesalan yang amat besar. Faduli masih kuat dalam ingatan. Terlalu kuat untuk dilupakan dan meneruskan kehidupan.