TOK MELAH sudah bersedia. Dia sudah nekad. Alang-alang terlanjur, biar terlanjur terus. Apatah lagi, dia gembira dengan perkembangan Tok Imam Tua. Biarpun dia terpaksa menjaga Tok Imam Tua bagaikan menjaga seorang bayi. Tok Melah tidak peduli lagi. Asalkan segala harta pusaka Tok Imam Tua tidak berpindah tangan kepada Tok Ngah Darus, Tok Melah sudah cukup berpuas hati. Tentang tanah pusaka bergeran besar yang dipersetujui oleh Tok Imam Tua untuk diserahkan kepada Tok Ngah Darus tanpa sebarang ganti rugi, Tok Melah tahu apa yang harus dilakukan jikalau Tok Ngah Darus masih berkeras untuk memilikinya. Dia tidak akan membenarkan sama sekali Tok Ngah Darus memperoleh kesenangan itu. Janji Tok Tom telah dipenuhi. Malam nanti, Tok Melah sudah bulat hati untuk ke perdu jejawi tua. Dia tidak perlu takut lagi. Lagipun Tok Tom bukannya orang lain lagi dengannya. Tok Tom telah memberikan bantuan yang besar kepadanya. Dengan bantuan Tok Tom seterusnya, dia bukan sahaja dapat menguasai Tok Imam Tua secara keseluruhan, tetapi juga Tok Ngah Darus. Kalau dia bernasib baik, Tok Melah dapat menguasai seluruh penduduk Kampung Sungai Teja. Dengan kata lain, dia akan menjadi pusat tumpuan orang kampung. Kalau selama ini, dia sekadar memerhatikan bagaimana Tok Imam Tua diberikan perhatian, malah apa-apa sahaja pun orang kampung akan memberitahu Tok Imam Tua, kali ini giliran dia pula. Pun begitu, Tok Melah tidak akan memberikan bantuannya secara percuma. Dia sudah ada rancangan untuk mengumpulkan kekayaan dan kemudian mewariskannya kepada Zul. Dia tidak akan membiarkan anak tunggalnya itu hidup menumpang orang lain. Janjinya dengan Tok Tom adalah semalam. Namun ada halangan yang membuatkan dia terpaksa membatalkan niatnya untuk ke perdu jejawi tua sekalipun dia sudah menyediakan segala keperluan seperti yang dikehendaki oleh Tok Tom. Ada orang kampung yang datang menziarahi Tok Imam Tua dan dia terpaksa melayan mereka dengan berat hati. Nyata, mereka tidak datang untuk tempoh yang sekejap, sebaliknya berlarutan sampai ke tengah malam. Kalau diturut-turutkan hatinya, mahu sahaja Tok Melah menghalau orang kampung yang datang berziarah itu. Namun dia memikirkan pula natijah daripada perbuatannya itu. Pastinya, sikap biadapnya akan menjadi buah mulut orang kampung dan hasratnya untuk menjadi orang yang paling penting di Kampung Sungai Teja hanya tinggal harapan.
Elok kalau aku pergi tengok Miah,
Tok Melah membuat keputusan. Dia sempat menoleh ke arah Tok Imam Tua. Tok Imam Tua masih terkedang dengan badan separuh hidup. Tidak ada satu pun pergerakan pada tangan dan kakinya. Jari-jarinya mengerikut bagaikan terendam di dalam air batu. Kepala Tok Imam Tua juga tidak berkisar-kisar di atas bantal yang tidak bersarung. Hanya matanya sahaja yang terkelip-kelip bagaikan mata cicak yang tertelan kupu-kupu beracun. Sekali gus menandakan yang Tok Imam Tua masih lagi hidup sekalipun kepalanya berbalut dan cederanya agak parah.
Dah dua hari Miah tak datang ke sini. Janganjangan dia sakit,
Tok Melah melahirkan kebimbangan. Jarang benar Miah tidak berkunjung ke rumahnya. Walau dalam keadaan apa sekalipun, Miah mesti datang untuk mengadu hal. Paling tidak pun, meminjam duit daripadanya.
Dia tak buat kenduri arwah untuk anaknya ke Kalau tak ada duit, kenapa dia tak datang ke sini
Tok Melah sempat berpaling ke arah jalan masuk ke halaman rumahnya. Doanya, janganlah ada sesiapa pun yang datang dengan alasan untuk menziarahi Tok Imam Tua. Lebih baik mereka pergi menziarahi Limah dan Syuaib. Lagipun Limah dan Syuaib setahunya akan mengadakan kenduri kesyukuran selain menerima kedatangan rombongan merisik untuk anak mereka, Salmiah.
Aku nak pergi tengok Miah. Awak jangan pula berak dan kencing. Tahan sahaja kalau nak berak dan nak kencing. Tunggu sampai aku balik,
beritahu Tok Melah kepada Tok Imam Tua yang terkedang bagaikan mayat hidup. Tok Imam Tua tidak memberikan sebarang respons. Pun begitu, dari hujung kelopak matanya, ada air jernih yang meleleh. Tok Melah tidak mengendahkannya. Jangankan mengelap, menyentuh kulit muka Tok Imam Tua pun, Tok Melah tidak bernafsu. Hanya kerana tidak mahu disyaki dan kemudian terhukum, Tok Melah memilih untuk membenarkan Tok Imam Tua hidup. Lagipun, itulah masanya untuk dia menunjukkan kuasa kepada Tok Imam Tua. Biarpun sepanjang mereka berumah tangga, Tok Imam Tua tidak pernah mengasari mahupun mengabaikannya, Tok Melah tidak berpuas hati dengan sikap Tok Imam Tua yang terlalu banyak mengalah. Tok Melah tidak suka Tok Imam Tua terlalu memberi muka kepada orang kampung yang datang untuk mendapatkan bantuannya. Dia tidak suka Tok Imam Tua mengeluarkan sejumlah wang untuk membiayai orang yang datang mengadu kesusahan. Lainlah kalau mereka minta daripadanya. Lebih daripada itu, dia tidak suka Tok Imam Tua kehilangan satu demi satu harta pusaka keluarganya ke tangan Tok Ngah Darus. Menyakiti Tok Imam Tua, samalah seperti menyakiti Tok Ngah Darus juga!
Awak jangan nak buat perangai tak senonoh, ya! Kalau ada orang datang, jangan sibuk nak suruh mereka naik,
pesan Tok Melah lagi seolah-olah dia terlupa bahawa Tok Imam Tua sememangnya tidak langsung boleh bergerak mahupun bercakap. Tok Melah bangun dan kemudian menyepaknyepak tangan Tok Imam Tua yang terkeleweh di atas lantai. Tiada reaksi daripada Tok Imam Tua. Tok Melah tersengih dan mendengus.
Aku takkan biar kau mampus cepat sangat, orang tua!
Entah syaitan apa yang merasuknya, Tok Melah tidak pernah ambil peduli. Melihat Tok Imam Tua terkedang tanpa bergerak, sudah cukup mendatangkan kegembiraan yang bukan kepalang kepada dirinya. Dia cukup berpuas hati dengan keadaan suaminya itu.
Aku pergi dulu. Ingat pesan aku!
Tok Melah membetul-betulkan serkup kepalanya. Kemudian berjalan berderap-derap di atas lantai papan di serambi menuju ke tangga.
Aduh! Bilalah agaknya kepala lutut aku ni nak baik. Makin bertambah pula sakitnya.
Tok Melah terhincut-hincut tetapi berhati-hati sewaktu menuruni tangga di serambi itu. Lututnya yang sakit amat mudah menggelincirkan kakinya dari anak tangga. Meskipun tangga itu tidaklah tinggi, tetapi kalau jatuh, berdarah juga kepalanya terhantuk alas tangga. Tangga itu juga tidak mempunyai tempat berpegang dan berpaut. Jadi, Tok Melah perlu lebih berhati-hati sewaktu melangkah dan menuruninya. Kalau perlu menginsut bagi mengelakkan dia terjatuh, itulah yang akan dilakukannya. Pendek kata, Tok Melah akan sentiasa berhati-hati ketika melangkah. Dari kecil lagi, arwah ayah Tok Melah telah mendidiknya dan memberitahu tentang balasan yang diterima oleh seorang isteri derhaka. Balasan itu bukan sahaja akan diterima di akhirat, sebaliknya turut dibalas di dunia ini. Bukan Tok Melah tidak sedar apa yang dilakukannya terhadap Tok Imam Tua adalah salah besar, namun Tok Melah bagaikan tidak dapat meninggalkan kebiasaannya itu, apatah lagi Tok Imam Tua tidak pernah menegur, memarahi jauh lagi memukulnya setiap kali dia melakukan perbuatan yang disifatkan sebagai menderhakai suami. Paling lebih pun kalau Tok Imam Tua marah sangat, dia akan berkurung di dalam bilik bacaannya. Bagi mengurangkan rasa bersalahnya terhadap Tok Imam Tua, Tok Melah akan mengungkit-ngungkit tentang jasa arwah ayahnya yang mengajarkan ilmu agama kepada Tok Imam Tua. Setiap kali dia mengungkit, setiap kali itulah juga Tok Imam Tua akan menundukkan muka dan tidak bersuara.
Tok Melah mahu suaminya sentiasa berasa terhutang budi kepadanya. Dari muda sampailah ke tua, Tok Melah tidak pernah mengubah sikapnya. Pernah juga dia ditegur oleh Zul apabila layanannya terhadap Tok Imam Tua tidak bersesuaian dengan kedudukannya sebagai isteri, tetapi Tok Melah berjaya menutup mulut anak tunggalnya. Dan Zul tidak pernah memanjangmanjangkan perkara tersebut sehinggalah suatu hari apabila Zul membuka mulut yang dia telah mendapat tempat untuk meneruskan pengajian di kota raya. Pada mulanya Tok Melah sangkakan, Zul akan pulang apabila cuti namun harapannya itu tidak pernah kesampaian. Zul bagaikan kehilangan nafsu untuk balik. Kalau balik pun, terlalu singkat masa yang dihabiskan oleh Zul di rumah itu. Zul akan cepatcepat bergegas pulang semula ke kota dengan pelbagai alasan sekalipun cuti masih panjang. Punggung Zul seperti panas apabila berada di rumah itu.
Zul sentiasa tidak senang hati apabila berada di rumah itu, bahkan Zul akan semakin gelisah apabila Tok Melah mulai membentak-bentak Tok Imam Tua. Dan tidak lama selepas itu, Zul akan mengangkat beg dan terus meninggalkan rumah selepas memberi alasan yang dia ada kerja penting yang perlu dihabiskan di kota. Berkali-kali Tok Melah terpaksa menghubungi Zul menerusi telefon. Berkali-kali jugalah Zul memberikan alasan yang mewajarkan dia tidak boleh pulang ke kampung. Cuma kali ini sahaja Tok Melah tidak menghubungi Zul. Tok Melah tidak berhajat untuk menceritakan kepada Zul tentang ayahnya yang sedang uzur sekalipun Tok Melah begitu yakin, pemberitahuan itu akan membawa Zul pulang ke kampung. Tok Melah sebenarnya tidak tahu apa jawapan yang harus diberikan kepada Zul seandainya dia ditanya tentang penyakit sebenar Tok Imam Tua. Apatah lagi dengan kepala Tok Imam Tua yang berbalut akibat dihentam dengan tongkat semambu, pasti akan mendatangkan syak wasangka kepada Zul. Akhirnya Tok Melah memijak tanah. Tok Melah menarik nafas panjang tanda kelegaan. Selipar yang berada di pangkal tangga segera disarung. Pun begitu, sewaktu dia berpaling, Tok Melah mendengus.
Kena balik naik tangga. Terlupa pula nak tutup pintu. Nanti orang ingat, aku ada di rumah pula,
Tok Melah memberitahu dirinya sendiri. Terpaksalah Tok Melah mendaki semula anak tangga itu dengan penuh susah payah. Mendaki anak tangga itu tidak perlu berhati-hati kerana Tok Melah boleh memaut anak tangga yang diperbuat daripada simen dan bata itu. Ternyata, mendaki anak tangga itu tidak sesukar menuruninya. Tidak sampai seminit, Tok Melah sudah pun berada di anak tangga paling atas. Tok Melah sempat menjenguk ke arah suaminya yang terbaring di hujung serambi, berhampiran dengan tingkap yang sengaja ditutup bagi mengelakkan orang kampung daripada melihat keadaan Tok Imam Tua. Kalau mereka melihat keadaan Tok Imam Tua, nanti mereka akan singgah. Kalau mereka sudah singgah, banyak pulalah cerita yang perlu dijelaskan. Dia akan terpaksa membuang masa untuk melayan mereka semua, sedangkan ada kerja yang lebih penting sedang menunggu. Dia tidak mahu peluang untuk bersemuka dengan Tok Tom dan menuntut janji-janjinya terlepas begitu sahaja seperti semalam.
Baguslah, masih tak bergerak-gerak,
Tok Melah bersuara dengan senyuman menghiasi bibirnya yang sudah berkeriput. Dia menarik daun pintu dan menutupnya rapatrapat. Tidak cukup dengan itu, dia mengunci pintu serambi itu dari luar. Kemudian setelah memastikan mangga kunci itu benar-benar telah dirapatkan, Tok Melah kembali melangkah turun. Sakit lututnya semakin menjadi-jadi. Satu-satunya cara apabila lututnya diserang sakit, Tok Melah akan menginsut perlahan-lahan untuk menuruni anak tangga. Itulah yang dilakukannya sehinggalah Tok Melah sampai ke anak tangga paling bawah.
Bilalah lutut aku ni nak baik,
rungut Tok Melah. Tok Melah menyarung selipar di atas tanah. Kemudian perlahan-lahan mengatur langkah menuju ke rumah Miah. Langkahnya agak terhincut-hincut sekali gus menyebabkan perjalanannya pasti mengambil masa yang panjang. Pun begitu, Tok Melah tetap juga ingin ke rumah Miah. Sakit lututnya tidak akan jadi penghalang. Deru enjin motosikal yang menggunakan jalan mini tar yang terbentang tidak jauh dari rumahnya, membuatkan Tok Melah berhenti melangkah. Desah hatinya, ada orang kampung yang ingin singgah dan menziarahi Tok Imam Tua.
Ada-ada saja halangannya kalau aku nak buat kerja baik,
dengus Tok Melah. Tok Melah menunggu seketika. Mengharapkan orang yang menunggang motosikal itu akan segera muncul. Namun setelah ditunggu, kelibat orang kampung itu tidak pula kelihatan bahkan deru enjin motosikalnya pun semakin menjauh. Sekali gus membuatkan Tok Melah menghela nafas panjang tanda kelegaan.
Mujur....
Tok Melah mengurut-ngurut dadanya tanda kelegaan. Dia meneruskan perjalanannya semula. Terhincuthincut tetapi Tok Melah tidak berhasrat untuk berhenti rehat sekalipun tulang pinggulnya bagaikan hendak tercabut kerana terpaksa mengikut rentak langkah yang tidak seimbang.
Tok Melah nak ke mana tu
Sapaan itu, membuatkan langkah Tok Melah mati. Hatinya mendongkol marah. Sekali lagi langkah dan hasratnya terhalang. Perlahan-lahan Tok Melah berpaling sambil berusaha untuk mempamerkan kemarahan pada wajahnya. Dia tidak mahu orang yang menyapanya tahu tentang perasaannya yang sebenar. Terutama tentang cubaannya untuk menutup ulah menzalimi suami sendiri. Namun palingannya terhenti mendadak apabila dia melihat orang yang menyapanya sebentar tadi.
Rohani! Apa kamu buat di sini
Tok Melah cuba menghilangkan perasaan tergamamnya. Tok Melah sempat memandang sekeliling. Cuba mencari kelibat Ma Pah sebenarnya. Namun Rohani ternyata bersendirian. Rohani yang berwajah kusut dan berambut serabai bagaikan nenek kebayan yang tidak pernah masuk ke salun.
Saya bersendirian,
Rohani bagaikan tahu apa yang sedang bersarang di fikiran Ma Pah.
Apa kamu buat di sini
Tok Melah masih cuba untuk melindungi perasaan gugupnya. Rohani yang dikenalinya, bukanlah gadis yang gemar merayau-rayau di sekeliling kampung dalam keadaan seperti itu. Rohani yang dikenalinya ialah seorang gadis anggun yang sangat menyombong diri dan tidak bergaul dengan orang kampung. Rohani tidak pernah memberikan ruang untuk penduduk kampung itu mengenalinya. Berbeza dengan Ma Pah pada zaman mudanya, Rohani juga tidak memberikan ruang kepada pemuda-pemuda Kampung Sungai Teja untuk menggatal, jauh sekali berkawan atau berkasih dengannya. Rohani hanya pergi kerja dan balik kerja. Pun begitu, sudah lama orang tidak melihat Rohani berdiri di tepi jalan menunggu kedatangan bas kilang yang dipandu oleh pemuda bernama Mat.
Tok Melah nak ke mana
Rohani tidak menjawab pertanyaan Tok Melah sebaliknya bertanya kembali kepada isteri Tok Imam Tua itu.
Aku nak ke rumah Miah. Nak tengok keadaannya.
Tok Melah teringatkan sesuatu.
Kamu tahu anak dia dah mati, kan
Saya tak tahu pula.
Tok Melah mengerutkan keningnya. Rohani dipandangnya dengan tajam. Sememangnya wujud Rohani di hadapannya itu sangat menjengkelkan dan menimbulkan lebih banyak pertanyaan.
Sebenarnya kamu ni dari mana Ani Kenapa teruk sangat keadaan kamu
Tok Melah cuba merapati Rohani yang berdiri lebih kurang lima meter darinya. Namun Rohani segera berundur seolah-olah memberi isyarat kepada Tok Melah bahawa dia tidak suka Tok Melah mendekatinya.
Emak....
Rohani tidak meneruskan kata-katanya.
Kenapa dengan Ma Pah Apa yang dah dibuatnya
Tok Melah meneka, Ma Pah mungkin telah menghalau Rohani. Namun tekaan itu segera dipinggirkan. Dia cukup tahu, Ma Pah terlalu berbangga dan menyayangi Rohani. Apa-apa sahaja yang dilakukan oleh Rohani tidak pernah menimbulkan kemarahan Ma Pah. Ma Pah terlalu memanjakan satu-satunya anak hasil perkahwinannya dengan gemulah Dolah.
Emak tak bagi saya balik lagi,
Rohani bersuara sayu.
Hah, kenapa jadi macam tu sekali
Emak sakit. Fikirannya dah tak waras.
Sekali lagi Tok Melah mengerutkan dahi. Kalau dilihat kepada fi zikalnya, ternyata Rohani yang seperti orang tidak waras. Apatah lagi dengan pakaiannya yang compang-camping dan terkoyak di sana sini. Kesan-kesan lumpur juga jelas terpalit pada beberapa bahagian pakaian Rohani. Namun Tok Melah juga sudah lama tidak menemui Ma Pah. Dia tidak tahu apa yang berlaku kepada Ma Pah. Ma Pah tidak pernah datang ke kedai lagi untuk membeli lauk, ikan mahupun sayur. Malah, Ma Pah juga dikhabarkan sudah terlalu lama tidak membeli beras, gula ataupun garam. Lebih mudah cakap, Ma Pah sudah lama tidak keluar-keluar dari rumahnya sekalipun cerita daripada Mak Limah mengesahkan Ma Pah masih hidup dan tinggal di dalam rumahnya.
Kalau macam tu, jom pergi tengok dia,
Tok Melah membatalkan niat untuk ke rumah Miah.
Tok Melah pergilah tengok Miah dulu. Kemudian datanglah ke rumah saya. Pujuklah emak supaya maafkan saya,
kata Rohani sambil melangkah meninggalkan Tok Melah. Tok Melah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia tidak faham apa sebenarnya yang cuba dilakukan oleh Rohani. Malah dia tidak faham mengapa pula Rohani memintanya mendahulukan Miah dan bukan Ma Pah.
Ah, tak apalah. Nanti aku ajak si Miah pergi sekali ke rumah Ma Pah. Setidak-tidaknya, ada juga orang yang nampak yang aku ni ambil berat tentang kebajikan orang kampung,
Tok Melah memberitahu dirinya sendiri. Tok Melah memerhatikan langkah yang diatur oleh Rohani. Langkah gadis itu longlai. Sesekali dia tertunduk dan mengesat mukanya bagaikan sedang menangis. Berselang beberapa batang pokok kemudian, Tok Melah sudah tidak dapat melihat susuk tubuh Rohani lagi.
Apa sebenarnya yang berlaku Kenapa Rohani sampai jadi begitu sekali Apa yang Ma Pah dah buat sampai Rohani macam orang sasau dan lupa nak kemaskan diri,
Tok Melah mengomel sendirian. Sosok tubuh Rohani sudah tiada. Tok Melah mengatur semula langkah ke rumah Miah. Pun begitu, hati kecilnya mempersoalkan kehadiran Rohani secara tiba-tiba. Masakan Rohani sekadar muncul untuk memberitahunya tentang keadaan Ma Pah sahaja. Apatah lagi dengan penampilan sebegitu yang pasti akan membuatkan anak kecil terkejut dan langsung jatuh sakit jikalau terserempak Rohani pada waktu senja. Pasti ada sesuatu yang lebih penting ingin disampaikan oleh Rohani kepadanya. Atau sebenarnya Rohani sedang meminta bantuan daripadanya
Aku mesti ke rumah Ma Pah lepas ni. Aku mesti tolong Ma Pah. Aku mesti tolong Rohani,
tekad Tok Melah. Bunyi deru enjin motosikal kedengaran sekali lagi. Tok Melah tidak pasti siapakah pemilik motosikal tersebut. Rata-rata penduduk Kampung Sungai Teja sudah pun memiliki motosikal sendiri. Paling kurang pun sebiji motosikal di rumah masing-masing. Jadi, Tok Melah tidaklah dapat meneka, siapakah pemilik sebenar motosikal yang asyik berulang-alik bagaikan pengawal di pintu istana yang ditontonnya menerusi fi lem hitam putih dahulu.
Mereka ni tak bekerja ke, asyik ke hulu ke hilir
Tok Melah mengomel lagi. Biarpun dia sudah tua dan hidup dari zaman tidak ada apa-apa, namun Tok Melah tidak pernah ketinggalan. Apatah lagi terlalu banyak maklumat yang boleh diperolehi tentang kehidupan zaman sekarang. Tok Melah tidak buta dan bodoh, terutama tentang kemajuan negara. Tok Melah tahu, negara sudah menghasilkan kereta sendiri, sedangkan pada zaman mudanya, jangankan memiliki kereta, hendak melihat kereta melintas sebiji dua pun, cukup susah. Kalau ada pun, kereta-kereta berkenaan dimiliki oleh penguruspengurus estet yang berkulit putih, berseluar pendek berwarna khaki dan sering kali dipanggil tuan di manamana sahaja dia pergi. Ataupun paling tidak, dimiliki oleh tauke-tauke lombong dan pekedai-pekedai bermata sepet yang bila bercakap Bahasa Melayu pun, sangat lintang pukang dan sukar difahami. Tok Melah juga tahu, bangunan-bangunan tinggi banyak dibina di kota raya. Tok Melah telah pun melihat gambar bangunan tinggi itu. Malah dikhabarkan kepadanya bahawa bangunan tersebut pernah menjadi bangunan tertinggi di dunia. Sudah acap kali Tok Melah menelefon Zul dan menyatakan keinginannya untuk berjalan-jalan di kota raya. Dia ingin melihat bangunan yang kerap terpapar di kaca televisyen. Tok Melah teringin hendak melihat kota raya yang kali terakhir dilawati sekitar penghujung tahun 70-an dahulu. Lebih daripada itu, Tok Melah juga tahu tentang kebanjiran pendatang asing ke negara ini untuk memenuhi tuntutan dan permintaan terhadap tenaga kerja. Tok Melah juga tahu tentang perangai sebilangan anak muda di negara ini yang tidak suka bekerja, tetapi lebih suka bergelandangan, bersuka ria dan membuang masa.
Di Kampung Sungai Teja sendiri pun, ramai anak muda yang masih hidup di celah ketiak ibu bapa. Bekerja tidak tetapi berlagaknya melebihi orang yang berpendapatan beribu ringgit sebulan. Bukan tidak ada kerja yang boleh mereka buat untuk mengisi masa lapang. Kilang-kilang di sekitar Kampung Sungai Teja memerlukan pekerja tetapi anak-anak muda Kampung Sungai Teja, tidak kelihatan pun berminat. Pokok-pokok getah yang terdapat banyak di sekitar kampung, banyak yang tidak terusik dan ditoreh lagi memandangkan kelompok penoreh sudah tua-tua belaka. Anak-anak muda tidak mahu lagi menoreh pokok getah kerana kerja itu busuk dan melecehkan, kata mereka. Sekalipun deru enjin motosikal kedengaran begitu hampir dengannya, namun Tok Melah masih tidak dapat melihat kelibat penunggang dan jentera tersebut. Tok Melah meneruskan perjalanannya semula. Kewujudan Rohani sebentar tadi, masih lagi membingungkan Tok Melah. Dia masih lagi memikirkan kewajaran gadis tersebut muncul dan kemudian menghilangkan diri. Apatah lagi dengan penampilannya yang sangat jauh berbeza berbanding Rohani yang pernah dan sering dikenalinya.
Kalau semua orang bergantung dengan aku, mungkin aku tak perlu lagi melayan Tok Imam sampai macam tu sekali,
bisik Tok Melah. Sakit hati Tok Melah kepada Tok Ngah Darus kembali berwujud.
Kalau tak kerana Darus yang tamak tu, aku takkan jadi macam ni,
Tok Melah menggigit bibirnya yang kecut dan berkedut. Selendang yang membungkus kepalanya yang sudah memutih dengan uban, dibetul-betulkan. Bayu petang yang berhembus perlahan, membuatkan kedudukan selendangnya sedikit beralih. Beberapa orang kanak-kanak entah anak siapa sibuk bermain-main di jalan mini tar. Kehadiran Tok Melah sedikit pun tidak mereka peduli. Tok Melah bagaikan tidak wujud pada mata mereka. Sesekali mereka terjerit dan ketawa bertepuk tampar sesama sendiri. Entah apa yang menghiburkan mereka, Tok Melah tidak ambil tahu dan tidak teringin pun untuk tahu. Dendam dan marah Tok Melah kepada Tok Ngah Darus tidak pernah padam. Tok Melah tahu, Tok Ngah Darus cukup sedar tentang perasaannya itu namun Tok Ngah Darus begitu selamba dan tidak pernah sekalipun mengendur. Sedangkan Tok Melah pula sentiasa berada di pihak yang kalah. Bukan kerana dia sendiri yang mengalah tetapi kerana suaminya, Tok Imam Tua terlalu bebal untuk mempertahankan haknya sendiri. Entah jampi apa yang diberikan oleh Tok Ngah Darus kepada suaminya, Tok Melah pun tidak tahu.
Kau jagalah, Darus. Bila Tok Tom tolong aku nanti, aku balas dendam. Aku akan rampas semua harta benda kau. Aku jadikan kau miskin merempat macam budak sial busuk kohong tu,
Tok Melah terus melayani busuk hatinya. Tatkala dia teringatkan Angah Soyah, Tok Melah memandang sekeliling bagaikan mencari kelibat Angah Soyah. Namun apabila menyedari, hidungnya tidak terhidu bau badan Angah Soyah yang sentiasa tidak menyenangkan semenjak Angah Soyah kecil lagi, Tok Melah meneka, Angah Soyah tidak ada berdekatan dengan rumahnya. Tok Melah tersengih. Dia masih teringat bagaimana sedapnya dia menyekeh kepala Angah Soyah. Terangkat-angkat tangan Angah Soyah untuk melindungi kepalanya daripada diketuk oleh Tok Melah. Terangkat-angkat kening Angah Soyah apabila dia membelasah belakang badan Angah Soyah dengan batang kayu. Apabila Angah Soyah hampir menangis, Tok Melah akan tujah bibir Angah Soyah sampai berdarah dengan kayu api. Bila ditujah sampai tahi gigi Angah Soyah melekat di hujung kayu api itu, dia tidak berani lagi menangis atau mencemikkan muka. Hanya air matanya sahaja yang mengalir membasahi pipi. Hanya setelah bertalu-talu dibantai oleh Tok Melah, barulah Angah Soyah meninggalkan pekarangan rumahnya. Apabila melihat Angah Soyah melangkah pergi, barulah puas hati Tok Melah. Pun begitu, Tok Melah mengharapkan Angah Soyah muncul semula pada keesokan harinya. Setidak-tidaknya geramnya boleh dilepaskan ke tubuh badan Angah Soyah. Kalaulah bukan kerana takutnya Tok Melah kepada undang-undang negara, sudah lama tubuh badan Angah Soyah dicincang lumat-lumat dan digaulkan untuk dijadikan makanan itik. Kalau bukan kerana Tok Imam Tua yang menghalangnya, sudah lama Angah Soyah dicacatkannya. Dan kalau bukan kerana pandangan orang kampung yang menyerong terhadapnya, sudah lama Angah Soyah diseret macam bangkai anjing dengan kedua-dua belah kakinya terkeleweh, lembik bagaikan kain buruk. Sudah lama dia tidak melihat Angah Soyah.
Angah Soyah betul-betul patuh dengan kehendaknya agar tidak lagi datang ke rumahnya. Mujurlah dia memaksa Tok Imam Tua agar memberi kata dua kepada Angah Soyah agar tidak lagi menebeng di tepi rumahnya bagaikan pengemis mengharapkan kerak nasi. Pun begitu, Tok Melah tahu, Angah Soyah masih bertemu dengan Tok Imam Tua di masjid. Tok Imam Tua sudah berulang-ulang kali tersasul apabila memuji Angah Soyah yang tidak pernah ponteng untuk bersolat subuh secara berjemaah. Malah Tok Imam Tua bagaikan kagum dengan istiqamahnya Angah Soyah mendirikan solat, seolah-olah Tok Imam Tua tidak pernah melihat penduduk Kampung Sungai Teja bersolat, sama ada di rumah mahupun di masjid. Apa-apa pun, Tok Melah meneka, Angah Soyah telah mendapat perhatian daripada Tok Ngah Darus, orang tua gila itu. Lagipun Tok Melah diberitahu, arwah nenek Angah Soyah, Tok Som dahulu banyak tanah dan harta. Tentu Tok Ngah Darus berbaik-baik dengan Angah Soyah dengan harapan dapat membolot sebahagian daripada harta pusaka Angah Soyah.
Mungkin kalau dulu aku tak layan si kohong tu macam tu, tentu aku dah pun dapat bolot semua hartanya,
bisik Tok Melah. Sebenarnya Tok Melah baru tahu tentang kekayaan Tok Som daripada Tok Imam Tua apabila dia mengungkit-ngungkit tentang merempatnya Angah Soyah. Sekalipun Tok Melah anak jati Kampung Sungai Teja, namun Tok Melah tidak begitu mengenali Tok Som yang pernah berkahwin dengan orang paling kaya di kampung itu puluhan tahun lampau. Setahunya, Tok Som bukanlah anak jati Kampung Sungai Teja. Sangkanya, Tok Som menumpang kekayaan suaminya. Rupa-rupanya yang menumpang ialah suaminya. Harta pusaka Tok Som dibahagi-bahagikan kepada anak-anak tirinya. Tok Som hanya mengambil sebahagian kecil sahaja tanah miliknya sendiri. Cerita itu, Miah yang sampaikan kepadanya. Dan Tok Melah sangat percaya dengan cerita Miah kerana ketika bersama-samanya Miah tidak pernah berbohong walau secuit pun.
Miah akan bercerita sampai ke dalam kain kepada Tok Melah apabila dia sudah seronok bersembang. Rumah Miah sudah tidak jauh lagi. Jalan menuju ke rumah Miah agak sunyi. Telinganya menangkap pelbagai suara unggas di sekelilingnya. Sesekali, bunyi ngiang nyamuk lapar yang cuba mencuri darahnya. Tok Melah sempat melihat ke permukaan lorong yang menuju terus ke halaman rumah Miah. Terdapat kesan-kesan tayar motosikal yang masih baru di atas permukaan lorong itu.
Ada orang datang. Lateh dah balik barangkali. Itulah sebabnya Miah tak datang ke rumah,
Tok Melah bersuara perlahan sambil mengecilkan mata bagi memastikan penglihatannya tidak kabur. Rumah Miah kelihatan sunyi sepi. Tiada orang kampung yang datang bertandang atau bertanya khabar sekalipun Miah baru sahaja kehilangan anak tunggalnya.
Buruk betul perangai orang kampung ni. Orang baru mati anak pun, mereka tak hiburkan!
Tok Melah kesal. Tok Melah cuba mempercepatkan langkahnya. Namun lututnya yang sakit menyukarkan dan menghalang pergerakannya yang lebih pantas. Halaman rumah Miah dipenuhi dengan sampah sarap dan daun-daun kering sekali gus menunjukkan kepada Tok Melah bahawa Miah langsung tidak menghiraukan lagi keadaan halaman rumahnya.
Miah... ooo Miah!!!
Tok Melah berteriak sekuatkuat hati apabila tiba di pangkal tangga. Pintu rumah ternganga. Kebanyakan tingkap juga ternganga, tetapi suara Miah tidak kedengaran.
Miah... ooo Miah!!!
Tok Melah berteriak sekali lagi apabila tiada sebarang tanda yang menunjukkan Miah mendengar panggilannya. Suara Tok Melah masih tidak disahut oleh Miah. Sekali gus membuatkan Tok Melah terjenguk-jenguk dan memanjangkan lehernya bagaikan zirafah cuba mencapai pucuk paling atas dan paling muda. Sudah berkali-kali juga Tok Melah melihat anak tangga di beranda itu. Kalaulah bukan kerana sakit lututnya, Tok Melah sudah pun panjat tangga itu dan masuk ke dalam rumah Miah. Miah pastinya tidak akan marah kalau dia berbuat begitu. Lagipun Tok Melah bukanlah orang asing. Tok Melah sudah terbiasa sangat dengan Miah. Bukan setakat dengan Miah sahaja, bahkan dengan Pak Long Lateh juga. Hanya kerana tangga itu yang jadi penghalangnya!
Miah... ooo Miah!!!
Tok Melah mengeraskan suaranya sambil memasang telinga mendengar kalaukalau ada bunyi tapak kaki orang di atas lantai rumah.
Miah tak ada di rumah,
suara itu kedengaran jelas di telinga Tok Melah.
Miah pergi mana
Tok Melah sebenarnya cuba mengecam suara tersebut. Dia sangat pasti itu bukanlah suara Miah kerana suara yang didengarnya adalah suara lelaki. Tok Melah juga yakin, suara yang didengarnya bukanlah suara Pak Long Lateh kerana walau setuli mana pun dia, dia sentiasa cam suara Pak Long Lateh.
Miah pergi mana
Tok Melah ulangi pertanyaannya setelah pertanyaannya tidak dijawab. Tok Melah pasang telinga lagi.
Dia tak ada.
Suara itu sangat garau dan bagaikan diteran-teran.
Dia tak cakap dia pergi mana
Tok Melah masih ingin mendengar suara tersebut. Sesuatu sudah pun terbayang di benaknya.
Dia keluar dengan Man Bewak,
jelas suara yang berada di dalam rumah. Tok Melah kerutkan keningnya. Apa pula kaitan antara Miah dengan Man Bewak Setahunya Man Bewak kawan baik Pak Long Lateh. Masakan Man Bewak berani-berani angkut bini Pak Long Lateh padahal Man Bewak cukup maklum benar dengan perangai Pak Long Lateh yang tidak cukup akal itu.
Bila
Sekejap tadi.
Suara itu kedengaran sangat hampir dengan pintu ke beranda. Pun begitu, Tok Melah tidak dapat melihat sesiapa pun di pintu tersebut. Pun begitu, hidung Tok Melah tercium sesuatu. Sesuatu yang sangat busuk dan bagaikan telah reput.
Kau siapa
Tok Melah masih bertanya meskipun jantungnya mula berdebar hebat dan hidungnya dicekup rapat bagi menghindarkan bau busuk itu daripada menyerbu masuk sehingga ke paru-parunya. Kriukkkk.... Daun pintu ke beranda tiba-tiba bergerak dan kemudian langsung tertutup. Tok Melah memanjangkan lehernya lagi namun dia tidak melihat tangan sesiapa pun yang menutup daun pintu itu.
Kau siapa hah
Tok Melah bersuara garang seolah-olah kalaulah orang yang bersuara sebentar tadi adalah penyamun, suaranya itu boleh mendatangkan ketakutan. Srass... srasss... srasss... Bunyi tapak kaki yang diheret di atas lantai, begitu jelas. Tok Melah menelan air liur dengan penuh kepayahan. Hati kecilnya segera menyuruh Tok Melah agar meninggalkan pekarangan rumah Miah dan tidak perlu menyibukkan diri di situ. Namun nafsunya pula merangsang untuk dia melihat sendiri orang yang bercakap dengannya sebentar tadi.
Siapa pula tu Tu bukan suara Lateh,
Tok Melah bertanya kepada dirinya sendiri. Untuk seketika, Tok Melah tidak berganjak dari tempat dia berdiri di pangkal tangga. Lama dia merenung daun pintu yang sudah pun tertutup dengan harapan, daun pintu itu akan terbuka semula dan orang yang bersuara sebentar tadi, terjengul sekali gus menunjukkan rupa parasnya yang sebenar kepada Tok Melah. Namun harapan Tok Melah hanya tinggal harapan. Orang yang bersuara sebentar tadi, tetap tidak menunjukkan diri. Malah langkah kakinya di atas lantai rumah yang tidak berperabot itu pun sudah tidak kedengaran.
Ini tak boleh jadi.
Tok Melah sudah membuat keputusan. Dia perlu menyiasat perkara tersebut. Dia perlu tahu siapakah orang yang bersuara dan memberitahu yang Miah tiada di rumah.
Zaman sekarang bukan boleh percaya sangat. Macam-macam perkara boleh berlaku,
bisik Tok Melah. Cerita tentang mayat yang membusuk di dalam rumah setelah dibunuh berhari-hari seperti yang ditontonnya menerusi siaran berita di kaca televisyen kembali tercongak-congak dalam fikirannya. Tidak dapat dibayangkan sekiranya Miah menjadi seperti mangsa pembunuhan yang kerap ditontonnya dalam siaran berita. Tidak dapat juga dibayangkan betapa berdosanya dia jikalau terus membiarkan sahaja penjenayah yang telah melakukan kekejaman terhadap Miah bebas tanpa sebarang tindakan. Lagipun suara yang didengarnya tadi, memang sah bukan suara Miah atau Pak Long Lateh.
Ni tak boleh jadi!
Tok Melah berpusing dan memandang sekeliling. Tiada sesiapa pun yang singgah atau datang ke rumah itu. Tiada sesiapa pun yang kelihatan terjengukjenguk atau mengintai-ngintai. Satu-satunya manusia yang ada di halaman itu hanyalah Tok Melah seorang. Tok Melah mula melangkah perlahan-lahan. Destinasinya adalah bahagian berlubang yang membolehkan dia mengintip ke dalam rumah Miah. Mujur jugalah rumah Miah bukan rumah limas bertiang tinggi. Kalau tidak, susah jugalah dia hendak memanjat dan mengintip, mencari lubang pada dinding atau pada selaan dinding rumah itu.
Ah, tak ada pula lubang nak aku intip.
Tok Melah kecilkan matanya dalam usaha untuk mencari lubang yang diinginkannya. Tok Melah terus mencari-cari. Mungkin berkat kesungguhannya atau barangkali memang rezekinya, Tok Melah menemui lubang yang diinginkannya. Lubang yang terletak betul-betul antara papan dinding dengan jenang, sekali gus tidak memerlukan dia terjingkit-jingkit kerana lubang tersebut separas dengan matanya. Perlahan-lahan Tok Melah meletakkan matanya di lubang tersebut. Untuk seketika, tiada sebarang pemandangan menarik yang boleh dilihatnya menerusi lubang itu. Rumah Miah begitu lapang, tanpa perabot. Pun begitu, dari lubang itu, Tok Melah dapat melihat hampir keseluruhan ruang tengah rumah Miah. Pada ketika itulah, hidungnya menangkap bau yang sangat kurang menyenangkan. Bau itu sangat menyengit memaksa Tok Melah menutup hidung serapat-rapatnya. Namun semakin dia menekup, bau yang menyengitkan itu semakin kuat. Seolah-olah daging reput itu berada terlalu hampir dengan batang hidungnya.
Bau apa ni
Tok Melah masih tidak mampu melarikan matanya dari lubang itu. Dia terus mengintai-ngintai. Tidak lama berselang, dia terlihat sepasang kaki sedang berjalan dengan penuh kepayahan. Ada sesuatu yang turut jatuh ke lantai setiap kali orang yang berada di dalam rumah itu melangkah.
Apa benda yang jatuh tu
Orang itu bagaikan tahu Tok Melah benar-benar ingin melihat rupanya. Langkahnya perlahan bersama titisan air yang pekat dan danur warnanya menuju santak ke dinding.
Ya Allah!!!
Tok Melah mengucap panjang. Apa yang dilihatnya benar-benar tidak disangka sama sekali. Orang yang sedang berdiri di dalam rumah itu dan mempamerkan wajah kepadanya, saling tidak tumpah seperti Pak Long Lateh namun wajah dan susuk tubuhnya telah berubah sama sekali. Sebahagian daripada tulang pipi dan gerahamnya telah tersembul. Matanya bundar dan tiada lagi mata hitam seperti mata Pak Long Lateh yang biasa. Rambutnya seperti berminyak, manakala sebahagian daripada lengannya hanya tinggal tulang. Dan sekarang, Tok Melah sudah tahu apa punca bau busuk yang disedut oleh hidung dan paru-parunya.
Ya Allah!!!
Tok Melah menggeletar. Belum pernah dia berasa ketakutan sebegitu rupa. Seluruh tubuhnya menggigil. Dia cuba melangkah namun sakit lututnya menghalang kakinya daripada digerakkan. Lebih tepat lagi, tanah yang dipijak bagaikan gam utuh yang membuatkan tapak kakinya tidak boleh terangkat langsung.
Dah puas dapat tengok aku
Lembaga yang menyerupai Pak Long Lateh tetapi bersosok reput, bersuara bagaikan menyindir Tok Melah. Tok Melah langsung tidak bernafsu untuk menjawab. Segala keberaniannya hilang sama sekali.
Nak temankan aku ke
Biarpun dalam keadaan takut, Tok Melah masih mampu berfikir secara waras. Dia masih dapat menganalisis mahupun meneka apa yang bakal berlaku sebentar nanti sekiranya dia tunduk kepada makhluk tersebut.
Nak temankan aku, perempuan tua
Sosok tubuh Pak Long Lateh ketawa berdekah-dekah dari dalam rumah. Tok Melah masih terketar-ketar. Namun usaha yang bersungguh-sungguh telah berjaya menjarakkan dia dari dinding rumah. Dia sudah pun menuju ke tengah-tengah halaman rumah.
Tok Melah! Datang sini, cepat!
Tok Melah terdengar suara itu di sebalik pokok-pokok yang berada tidak jauh dari halaman rumah Miah dan Pak Long Lateh.
Tolong.... tolong... tolong aku!
Tok Melah tergapai-gapai bagaikan orang kelemasan yang memerlukan bantuan.
Cepat Tok Melah! Cepat! Nanti Tok Melah kena tangkap dengan hantu Pak Long Lateh!
Tok Melah kalut angkat kaki dan mula melangkah. Kalut berjalan biarpun lututnya semakin sakit. Perasaan takut menyerbu di segenap sudut hatinya. Dan mungkin kerana ketakutan itulah yang mendorong langkahnya semakin laju. Terhincut-hincut dan tertonggek-tonggek dengan langkah pendek, akhirnya Tok Melah sampai ke sebatang pokok.
Kau kat mana
Tok Melah mengharapkan orang yang bersuara sebentar tadi segera muncul dan membawanya keluar dari kawasan tersebut, sekali gus meninggalkan rumah Miah dan Pak Long Lateh yang sudah reput.
Ada... di sini....
Serentak dengan itu, Pak Long Lateh tersembul di sebalik pokok yang dipaut oleh Tok Melah. Sengihnya lebar dengan bibir pucat lesi dan daging pipi yang hilang entah ke mana. Dan bau busuk, menyerbu ke hidung Tok Melah. Tangan Tok Melah yang berkeriput, segera dipegang oleh Pak Long Lateh. Sedangkan pada masa yang sama, Tok Melah langsung kehilangan semua tenaganya. Mata Tok Melah melotot bagaikan telur ayam di sangga.
Hantu... Lateh....
Suara Tok Melah lirih, perlahan dan akhirnya Tok Melah sendiri terkulai di atas tanah, pengsan. Mat Ajib tidak sedap hati. Sepanjang hari dia berasa tidak selesa. Sepanjang hari juga, dia tidak keluar bekerja. Malah berulang kali dia ke rumah Man Bewak, mencari kawannya itu untuk memastikan Man Bewak selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Man Bewak ni betul-betul menyusahkan aku!
Mat Ajib merungut-rungut. Daripada apa yang dilihatnya, hati kecilnya berasakan Man Bewak sebenarnya mempunyai hubungan asmara dengan Miah, bini Pak Long Lateh yang baru kematian anak itu. Belum pernah dia melihat Man Bewak begitu pemurah. Man Bewak tidak pernah pemurah begitu dengan sesiapa pun termasuklah dengannya dan Pak Long Lateh apatah lagi dengan Pak Su Cik Leh. Dengan Miah, lain pula kerenah Man Bewak. Mudah sangat dia menyeluk kocek, mengeluarkan semua perolehannya untuk diserahkan kepada Miah dengan alasan simpati. Mat Ajib tidak percaya dengan alasan simpati yang diberikan oleh Man Bewak. Mat Ajib percaya, Man Bewak ada niat lain. Lagipun cara sentuhan tangan Man Bewak ke tangan Miah, memang nampak kelainannya. Senyum Miah kepadanya jauh berbeza berbanding senyuman Miah kepada Man Bewak. Apatah lagi lirik mata Miah yang kemudian tersimpul senyuman bagaikan anak dara diusik jantan kacak. Biarpun takut, sudah beberapa kali juga Mat Ajib ke rumah Man Bewak namun kelibat Man Bewak tidak kelihatan. Rumah Man Bewak juga gelap gelita.
Sepanjang mereka berkawan, Man Bewak tidak pernah mematikan lampu kalau waktu malam. Man Bewak juga tidak pernah ingin bersendirian dan tidak boleh diganggu pada waktu malam. Biasanya Man Bewak terlebih suka kalau ada kawan-kawan yang datang untuk menemankannya pada sepanjang malam. Berbeza sangat perangai Man Bewak selepas mereka menghantar duit belanja kepada Miah sehari selepas Miah kehilangan anak lelaki tunggalnya. Man Bewak seperti tidak betah tinggal di rumah lagi. Kalau hendak dikatakan Man Bewak ke sempadan, lagilah mustahil. Sebabnya, Man Bewak tidak akan berani melangkah sempadan seorang diri walau seberahi mana pun syahwatnya. Apatah lagi Man Bewak sangat takut dengan cerita tentang kongsi gelap sempadan yang gemar melepaskan tembakan secara rambang. Kadang-kadang Mat Ajib terfi kir juga, Man Bewak takut sangat dengan peluru tetapi Man Bewak tidak pernah takut pun dengan balasan yang menanti mereka di negeri akhirat. Apa yang tidak mereka lakukan. Segala dosa besar, segala dosa kecil, segala yang berbentuk syubhah, semuanya mereka langgar. Hanya kerana mereka Melayu, daging babi tidaklah mereka jamah tetapi arak bagaikan air sejuk, dilanggah tanpa berkira-kira. Kitab 52 bagaikan kitab kuning yang digunakan oleh pelajar-pelajar pondok untuk mendalami ilmu agama.
Perempuan-perempuan yang berpakaian senteng dan berbedak hampir empat inci, dianggap sebagai bidadari Jannatun Naim. Bezanya bidadari Jannatun Naim dianugerahkan sebab rahmat-Nya setelah titah perintah-Nya dituruti dan segala larangan-Nya dihindari, sedangkan perempuan berpakaian senteng dan berbedak tebal empat inci pula, diperoleh hanya dengan huluran beberapa keping kertas yang dikenali sebagai duit. Sesuatu yang sangat pasti, setiap kali berpeluang atau lebih tepat lagi, apabila Pak Long Lateh tidak mendengar, Man Bewak akan bercerita tentang Miah. Man Bewak akan menyatakan kebimbangannya tentang keselamatan Miah. Pada mulanya, Mat Ajeb tidak mengesyaki apa-apa, namun keberanian Man Bewak memperkatakan tentang sikap Pak Long Lateh terhadap Miah, benar-benar merungsingkan Mat Ajib. Apakan tidak, buatnya Pak Long Lateh atau Pak Su Cik Leh terdengar, pastinya Man Bewak akan makan penyepak. Pak Long Lateh tentu sekali tidak akan melepaskan peluang untuk membelasah Man Bewak sepuas-puasnya. Paling tidak pun, kepala Man Bewak akan dihadiahkan buku lima bertubi-tubi kali oleh kedua-dua bersepupu itu, sepertimana yang sering mereka lakukan setiap kali terserempak dengan Angah Soyah. Apabila ditanya, Man Bewak sentiasa menafi kan perasaannya terhadap Miah. Man Bewak tidak pernah berkeinginan untuk berterus-terang sekalipun perhatian yang diberikan kepada Miah terlalu ketara. Bimbang Man Bewak terhadap keselamatan Miah, jauh lebih besar berbanding bimbangkan dirinya daripada disepak, ditumbuk, disekeh dan dibelasah oleh Pak Long Lateh.
Ke mana dia pergi Langsung tak nampak batang hidungnya.
Mat Ajib sudah berkira-kira hendak ke rumah Man Bewak. Dia perlu melihat-lihat Man Bewak. Manalah tahu, sepanjang ketiadaan Pak Long Lateh, Man Bewak menggunakan kesempatan itu untuk ke rumah Miah. Orang bila dah angau, macam-macam perkara bodoh yang akan dibuat.
Tak boleh jadi ni, aku kena ke rumahnya juga,
kata Mat Ajib kepada dirinya. Anak dan isterinya sudah dua hari pulang ke rumah mertuanya. Mat Ajib bersendirian. Kalau bertemu dengan Man Bewak nanti, boleh juga dia ajak Man Bewak ke pekan untuk makan. Malas rasanya hendak memasak. Lagipun, apa sangatlah yang dia tahu masak. Paling istimewa pun, telur masak kicap. Mat Ajib tidak perlu baju dan seluar yang berseterika. Dia tidak memerlukan satu sut pakaian yang membuatkan dia kelihatan kemas dan kacak. Cukup dengan baju pagoda putih dan seluar panjang yang biasanya dipakai sewaktu mengambil upah di pekan, Man Bewak tidak akan merungut ataupun buat-buat tidak kenal apabila ditegur. Dan itulah yang dilakukannya. Tidak lama masa yang diambil sebelum dia turun ke tanah dan menghidupkan enjin motosikalnya. Namun baru sahaja dia hendak menekan gear satu, dia terpandang sesuatu atau lebih tepat lagi, seseorang. Eh, Man! Apa kau buat kat sini
Mat Ajib kerutkan dahi dan kecilkan mata. Dia begitu yakin, lembaga yang dilihatnya sedang terketarketar di tepi tiang rumahnya ialah Man Bewak.
Eh, Miah....
Mat Ajib tidak tahu apa-apa lagi yang harus dikatakan. Mat Ajib segera turun daripada motosikalnya dan mendapatkan Man Bewak serta Miah. Kedua-duanya sedang terketar-ketar. Dagu mereka menggelatup. Muka masing-masing pucat lesi. Seluruh tubuh sedang menggigil. Miah berada di belakang Man Bewak sambil merapatkan muka dan badannya ke badan Man Bewak. Sekejap-sekejap dia menutup mukanya dengan telapak tangan seolah-olah Miah enggan melihat persekitarannya atau lebih tepat lagi, Miah enggan melihat lagi benda yang telah menakutkannya.
Kenapa dengan kau orang berdua ni
Mat Ajib segera bertanya sambil menyentuh bahu Man Bewak. Man Bewak segera berpaling ke arah Mat Ajib. Pandangannya sangat tajam dan air mukanya yang ketakutan sebentar tadi, bertukar menjadi bengis. Belum sempat Mat Ajib bertanya sekali lagi, Man Bewak terus bangun dan mencekak batang leher Mat Ajib. Ternyata tindakan Man Bewak itu mengejutkan Mat Ajib. Mat Ajib cuba menepis tangan Man Bewak namun cengkaman Man Bewak jauh lebih bertenaga berbandingnya.
Kenapa dengan kau ni, Man
Mat Ajib masih berusaha untuk melepaskan batang tengkuknya daripada cengkaman Mat Ajib. Namun sama seperti tadi, semakin cuba dirungkainya, semakin kuat pula Man Bewak menekan lehernya. Sekali gus membuatkan Mat Ajib menggelepar bagaikan anak ayam kena terajang budak nakal. Dia terbatuk-batuk tetapi batuknya tidak lepas. Bahkan cengkaman kukuh Man Bewak membuatkan Mat Ajib kehilangan nafas. Giliran Mat Ajib pula menggelepar. Man Bewak sudah tidak kenal kawan baiknya sendiri. Ketakutan dan kemarahan bersatu serta bercantum dalam perasaannya. Dia tidak sekadar mencengkam batang leher Mat Ajib dengan sebelah tangan, sebaliknya menggunakan kedua-dua belah tangannya. Dan kesungguhannya menekan batang leher Mat Ajib dengan kedua-dua belah tangannya dapat dilihat daripada kerutan di dahi dan kertapan kedua-dua rahangnya dengan pandangan tajam tertikam ke wajah Mat Ajib.
Miah bertepuk-tepuk tangan bagaikan anak dara sunti yang diberikan anak patung cantik. Hilang sudah ketakutan yang terpamer pada mata dan wajahnya. Sebaliknya Miah cukup gembira melihat air liur Mat Ajib yang menjejeh-jejeh keluar, bertali-temali jatuh ke tangan Man Bewak. Miah terhibur sungguh apabila melihat biji mata Mat Ajib terbuntang besar dengan kerutan pada sisi kelopak matanya menandakan seksaan tatkala kedatangan sakarat. Pergerakan Mat Ajib sudah tidak sekuat tadi. Hanya tangannya sahaja yang terkuit-kuit sedangkan seluruh tubuhnya telah longlai dengan kulit muka berwarna lebam. Kedua-dua belah kakinya sudah lembik dan tidak mampu menanggung beban tubuhnya. Pun begitu sanggahan daripada kedua-dua belah tangan Man Bewak, membuatkan Mat Ajib masih tidak terdampar di atas tanah. Man Bewak terus menekan batang leher Mat Ajib sekalipun Mat Ajib sudah tidak bernafas lagi. Man Bewak masih enggan melepaskan batang leher Mat Ajib meskipun liur Mat Ajib sudah tidak bertalitemali jatuh ke tangannya lagi. Man Bewak enggan melepaskan Mat Ajib sekalipun, dengus nafas yang penuh kesukaran Mat Ajib sudah tidak kedengaran lagi. Miah masih bertepuk-tepuk tangan sambil mengekeh-ngekeh ketawa.
Mampus kau, syaitan! Kau ingat aku mudah tertipu walaupun kau menyamar macam Mat Ajib
Man Bewak bersuara puas dan kemudian melepaskan cengkamannya. Tubuh Mat Ajib terjelepuk di atas tanah, lembik bagaikan kain buruk lembab. Sewaktu terdampar di atas tanah dengan lidah terjelir dan melenguh bagaikan lembu yang putus urat tengkuk sewaktu udara yang terperangkap akibat cekikan, keluar dari rengkung Mat Ajib. Ada sedikit getaran pada tengkuk dan hujung jari Mat Ajib. Sedangkan Man Bewak dan Miah yang sedang tersenyum gembira, masih tidak sedar apa yang telah mereka lakukan. Miah masih tetap bertepuk tangan. Man Bewak pula tersengih-sengih dan sesekali menggaru pangkal lehernya yang dihinggapi nyamuk galak.
Kita dah bunuh dia! Kita dah bunuh dia!
Miah melompat-lompat sambil bertepuk tangan. Sengih Man Bewak lebih lebar dari tadi, seolaholah dia adalah seorang pahlawan yang baru sahaja membunuh seorang musuh yang sangat bahaya. Pun begitu, sengihnya perlahan-lahan mengecil tatkala matanya terus menatap Mat Ajib yang terdampar di tanah dengan muka birat, lidah terjelir dan buih putih bercampur darah meleleh di tepi bibirnya. Air muka Man Bewak mulai berubah. Dahinya kelihatan membintik dengan renek-renek peluh. Lama kemudian, dia mulai tunduk dan menguitnguit muka serta hujung dagu Mat Ajib dengan hujung jarinya dengan penuh berawas. Kemudian Man Bewak menepuk-nepuk muka Mat Ajib bagaikan ingin memastikan bahawa mayat yang terdampar di atas tanah itu ialah Mat Ajib, bukannya makhluk jadijadian.
Eh... ini Mat Ajib.
Man Bewak bersuara terlalu perlahan. Miah tidak mendengar kata-katanya. Miah masih terlalu gembira. Man Bewak pandang Miah. Mukanya pucat seperti dia melihat Pak Long Lateh sebelum ini di halaman rumah Miah malam tadi. Gelabahnya juga semakin menjadi-jadi.
Ni... Mat Ajib... aku dah bunuh Mat Ajib!
beritahu Man Bewak kepada Miah dengan nada yang sangat lirih. Miah pandang mayat Mat Ajib, kemudian pandang semula Man Bewak. Dia tidak lagi bertepuk tangan.
Bukan!
Miah menggeleng-geleng laju.
Ni bukan Mat Ajib. Ni Lateh!
Aku dah bunuh Mat Ajib!
Man Bewak bagaikan tidak percaya dengan apa yang telah dilakukannya.
Bukan! Ini Lateh!
Tengok betul-betul. Pak Long Lateh dah mati. Kalau dah mati, macam mana nak menyamar macam orang mati lagi.
Man Bewak menguit-nguit dagu Mat Ajib untuk membuktikan kata-katanya.
Habis, apa yang kita nak buat sekarang
Miah juga turut panik. Man Bewak tidak dapat memberikan jawapan. Dan sememangnya dia tidak mempunyai jawapan untuk pertanyaan Miah. Miah cepat-cepat tarik tangan Man Bewak. Man Bewak sama seperti sebelumnya, hanya akur. Dia lang sung tidak membantah. Malah dia langsung tidak tergerak hati untuk bertanya apakah yang akan dilakukan oleh Miah selepas ini.8