KUNANG PESISIR MORTEN - 20
Rupanya Tuhan punya rancangan berbeza untuk kami. Ku sangkakan kisah kami akan berakhir dengan kemanisan bergula seperti dongeng anak-anak. Tetapi kami terlupa kisah kami bukanlah kisah anak biasa. Dunia kami perlu berhadapan dengan realiti masam manis pahit hidup. Datang dengan bah pasang surut. Yang juga terikat ketat dengan masalah dan timbang tara keputusan orang dewasa.

Persoalan yang menghimpit Dhiya dan menjadi tanda tanya kami bertahun-tahun terjawab. Misteri yang menyelubungi ibu Dhiya. Pagi itu Dhiya membawa sekeping gambar hitam putih. Mata Dhiya merah rabak penuh mendung mengatakan Dhiya melalui satu malam neraka. Di tangannya gambar yang menjadi bukti kewujudan bapanya.

Kami bertiga duduk di kaki jambatan besar. Lim memeluk bahu Dhiya. Aku melihat gambar itu. Betapa indahnya momen perjanjian sehidup semati. Pertama kali aku melihat wajah bapa Dhiya. Di dalam gambar itu, mereka berdiri betul-betul di tempat kami duduk sekarang. Berbingkai jambatan besar Kampung Morten, mereka mengambil gambar perkahwinan. Jelitanya ibu Dhiya yang ironik sekali mengenakan gaun putih moden potongan empire bersulam bunga. Lengkap veil jarang dan bungabunga putih yang manis sekali. Takjub aku memikirkan bagaimana ibu Dhiya tegar kahwin lari dengan lelaki pilihan hati dan meninggalkan keluarganya. Gaun putih itu sendiri melambangkan betapa ibu Dhiya telah melanggar tradisi yang telah dipegang rapat untuk mencari cinta suci.

Tidak menghairankan bagaimana perempuan berkelas dan anggun seperti ibu Dhiya boleh jatuh ke pangkuan lelaki ini. Dia segak berdasi dengan kemeja dan memakai kot gelap. Dengan sosok tinggi lampai, tulang pipi tinggi bermata helang, lelaki ini boleh menghambat mana-mana perempuan menyembahnya. Dan perempuan yang tersungkur itu sememangnya perempuan terbaik. Malang sekali dia telah jatuh cinta dengan pengedar ganja terkenal Kota Melaka. Ghaibnya bertahun-tahun ditelan masa di penjara.

Malam semalam dia telah datang menemui ibu Dhiya. Mengharapkan hubungan mereka kembali menjadi baikbaik. Mengutip saki baki perasaan menjadi tembok kukuh keluarga sentosa. Malam itu boleh saja menjadi permulaan asas bahagia. Tetapi masalah orang dewasa tidaklah semudah itu. Ibu Dhiya rupanya telah lama menutup pintu hatinya kepada mahkluk bernama khianat. Dan malam semalam dia membuktikan dalam lembut santunnya, dialah feminis tegar mengalahkan semua perempuan lantang Morten. Tidak sekali-kali memberi muka kepada pembohongan.

Lelaki inilah yang selama ini mengikut Dhiya ke mana-mana beberapa minggu lalu. Hingga kami dibantai resah cemas. Dia mengekori kononnya atas sebab keselamatan dan rindu kepada anak yang tidak pernah didokong atau berada dalam pelukan. Semua ini menakutkan ibu Dhiya. Ngeri memikirkan Dhiya akan mempunyai bapa dengan sejarah tercalar perosak bangsa.

Ibu Dhiya telah membuat keputusan. Mereka akan lari dari sini selama-lamanya.

***

Aku dan Lim memaksa kaki kami lari selaju-lajunya. Ini adalah saat-saat di mana putus nafas lebih baik daripada putus harapan atau kawan. Sekali lagi larian desakan untuk hidup. Jalan Wolferstan. Kami tidak ada banyak masa. Kami perlu mencari sesuatu untuk Dhiya. Aku menjeling. Budak sepet itu sudah basah wajahnya. Aku tidak mahu menegur. Aku sendiri sudah tidak dapat menahan pedihnya dengan berita ini.

Kami ke kedai buku itu. Jangan salah faham. Kisah asmaraku dengan Sherina tidak ada kena mengena dalam babak ini. Aku dan Lim ke sini kerana Dhiya. Kerana dia seorang. Kami terus saja merempuh pintu kaca yang membawa kami ke syurga kecil Wolferstan. Mata kami meliar mencaricari. Yakin ada di sini. Dan Sherina bidadari jelmaan dewi kebijaksanaan, muncul. Dengan anggun menghampiri. Wajahnya penuh tanda tanya. Melihat Lim yang sembab dan mendung wajahku, dia bertanya gemersik; Cerita sedih apa yang bawa kau datang sini

Aku mengambil nafas. Debar dadaku bukan lagi kerana kepenatan. Sekarang bukan masa untuk aku terpesona dengan kilau mata perempuan itu. Sabarlah dewa asmara.

Kami cari Penelusuran Benang Merah!

Ada jual sini kan

Sherina memandang dalam dan mengangguk. Dia pergi sebentar sebelum kembali. Tanpa disuruh, pantas Sherina membungkus dengan kertas hadiah. Aku memandang Lim. Perempuan ayu itu juga punya kebolehan menduga seperti Dhiya. Aku dan Lim mengeluarkan wang daripada poket lusuh. Sherina senyum simpul. Pantas dia berkata;

Tak payah Siapa yang baca ni pasti orang hebat! Patut dapat percuma!

Aku terjeda. Lim juga. Betapa di saat genting begini Tuhan akan memberi nikmat kecil tidak terduga. Aku membalas dengan senyum paling manis.

Terima kasih, Sherina! Nanti kita jumpa lagi!

Perempuan itu tenang saja. Malah tidak memberi reaksi apabila sekali lagi kami merempuh pintu cermin kaca dan berlari keluar. Kami harus pulang. Ibu Dhiya tidak ada masa menunggu panjang.

***

Siapa menyangka Indahnya hari semalam dengan mudahnya dirobohkan dengan kunjungan singkat seorang lelaki yang sebelum ini tidak ada peranan pun dalam hidup kami. Lihatlah apa yang berlaku. Bersusun beg-beg baju di luar rumah Dhiya. Ibu bapaku telah menunggu di luar. Mahu menawar bantu jika perlu. Raut wajah ibuku yang biasanya cekal garang pada hari ini melihatkan bahagian rapuh jiwanya. Sahabat baiknya mahu pergi entah ke mana.

Dhiya keluar longlai. Rambutnya kemas

terikat. Bajunya bersih sekali. Mata sembab. Lim mengerling aku. Ini semua tanda kecanggungan Dhiya. Dia menjinjing beg kecil berisi kanvas dan peralatan melukis. Juga warnawarna Rowney yang menjadi saksi persahabatan kami. Empang mataku pecah juga akhirnya. Bagaimanakah aku akan meneruskan hari-hari depan tanpa kawan sepertinya Lim yang lebih sensitif juga banjir lagi.

Kenapa menangis macam aku dah mati suara Dhiya keras. Tapi matanya sudah pun berkaca-kaca.

Kau janji akan tulis surat Lim menjawab dengan soalan pula. Skeptik sekali.

Janji!

Boleh percaya janji kau sumpah aku tak percaya. Bukankah perempuan itu cepat sekali bosan

Aku janji atas nama tabung ayam buruk kau!

Aneh sekali. Kami boleh ketawa berderai sedangkan air mata masih mengalir. Kemudian sunyi kembali. Menghilangkan canggung, aku mengeluarkan tanda mata yang kami cari di kedai Sherina.

Daripada kami berdua

Dhiya membuka bungkusan. Mata perempuan itu masih merembes. Namun sebaik dia terlihat tajuk buku, Dhiya berkerut sambil senyum lebar. Karya terkenal Barat dengan terjemahan terbaik bahasa Indonesia.

Sherlock Holmes

Senyum. Tiada buku yang lebih sesuai untuk Dhiya. Juga untuk mengingati masa pahit manis kami. Aku dan Lim mahu saja mengajak Dhiya duduk di jambatan Persiaran Datuk Othman. Menghabiskan masa-masa terakhir kami bersama. Tetapi ibu Dhiya sudah pun keluar membawa barang-barangnya. Kecut perutku memikirkan betapa singkatnya masa kami. Ibu Dhiya memegang erat tangannya.

Mari Dhiya. Kita pergi

Dhiya menoleh beberapa kali. Tidak tertahan-tahan lagi air matanya. Kemudian dia berjalan terus menggagahkan diri tanpa menoleh lagi. Lim sudah teresak-esak. Sudah lengkap air mata dengan hingus dan lencun baju. Mata kami menghantar Dhiya pergi hingga hilang di kaki langit. Sambil mengingati kembali kisah puteri kayangan daripada opera Cina beberapa bulan dulu. Hari ini seorang puteri comot berambut gerbang dengan jiwa besar gemilang telah pergi membawa separuh jiwa kami.

Sayup-sayup, aku dan Lim dapat mendengar suara sayu Phil Collins dalam bait merdu Against All Odds:

How can you just walk away from me,

When all I can do is watch you leave,

Cos weve shared the laughter and the pain,

And even shared the tears,

Youre the only one who really knew me at all

So take a look at me now,

Cos theres just an empty space,

And theres nothing left here to remind me,

Just the memory of your face

***

Bukanlah mudah mengisi kekosongan yang ditinggalkan Dhiya. Sinar musim panas kali ini tidak akan sama sekali tanpa kehadiran perempuan itu. Aku dan Lim saling bahu membahu. Perlahan-lahan mengisi lompong ini. Aku tidak betah lagi menghabiskan masa dengan bermainmain. Walaupun hubungan aku dengan Lani, Sidek dan budak kampung lain sudah kembali jernih, aku jarang menghabiskan masa bersama mereka.

Atas semangat dan kenangan Dhiya, aku dan Lim akan menghabiskan masa kami dengan berjalan sekitar bandar Melaka mencari tempat-tempat baru untuk diteroka. Kami meneruskan cita-cita Dhiya. Kami juga sudah berani memasuki perkampungan eksotik Portugis dan Chitty. Malah belajar membaca buku-buku tebal detektif karya Holmes dan Agatha Christie. Aku telah menemui cara menghabiskan wang dalam tabung ayam. Jika sudah kehabisan benda untuk dibaca, kami akan ke Wolferstan dengan alasan bertemu dewi Sherina sambil mencari himpunan buku-buku terbaik. Buku-buku yang akan dibaca Dhiya.

Aku dan Lim sudah belajar menerima kenyataan hidup. Kini aku mengerti renung panjang Dhiya semasa mengetahui perancangan naik taraf Sungai Melaka. Dhiya telah dapat menebak lama dulu. Bahawa pembangunan sentiasa datang dengan menentang segala yang tidak relevan dengan perancangan. Tidak berapa lama selepas pemergian Dhiya, penduduk pra setinggan di Kampung Morten pula menerima notis keramat daripada kerajaan negeri Melaka. Kami akan menerima nasib sama seperti setinggan Kampung Jawa. Dengan sedikit pampasan, semua bangunan pra setinggan harus dihapuskan. Cuma sedikit berbeza, struktur asal rumah-rumah tradisional

yang diusahakan Datuk Othman pada tahun 1920-an akan kekal. Malah akan melalui penambahbaikan dan dicantikkan. Mereka mahu membuat muzium hidup di pesisiran Sungai Melaka. Kini, giliran aku dan keluarga pula untuk pergi.

Dan Dhiya seperti yang aku dan Lim jangka, jarang sekali menulis surat. Dia jenis manusia yang sukar meluah perasaan melalui kata manis berbunga. Namun, kami tidak akan belajar untuk lupa. Aku tahu dia akan sentiasa mengingati.

Aku dan Lim terus menunggu. Dengan rindu.