Penguasa mudah dibenci apabila bersifat tamak dan cuba untuk merampas harta rakyat. Maka, dua sifat ini perlu dihindari. Apabila kehormatan dan harta mereka dijaga, rakyat akan berpuas hati. Penguasa hanya perlu berwaspada pada segelintir rakyat yang mempunyai matlamat untuk memberontak dan ia dapat ditangani dengan pelbagai cara. Penguasa akan dipandang hina apabila tidak teguh prinsip, tidak serius, terlalu lembut, suka menganiaya dan ragu-ragu. Sifat-sifat ini juga harus dihindari. Penguasa seharusnya menunjukkan dalam tindakannya sifat keagungan, keberanian, kesungguhan dan kecekalan. Ucapan-ucapan penguasa kepada rakyat tidak boleh ditarik balik. Penguasa seharusnya tetap pendirian dengan kata-katanya supaya rakyat tidak meragui.
Penguasa yang mampu menunjukkan kebolehan dan reputasinya tidak akan mudah terjebak dalam konspirasi untuk menjatuhkannya. Dia tidak akan mudah ditentang selagi rakyat melihat kebolehan dan menghormatinya. Penguasa seharusnya bimbang akan dua perkara. Pertamanya, kebimbangan masalah dalaman yang bersangkut paut dengan rakyatnya. Keduanya adalah kebimbangan ancaman luaran yang bersangkut paut dengan kuasa asing.
Untuk perkara kedua, penguasa dapat bertahan daripada ancaman luar dengan menjalinkan persekutuan dan menyediakan pasukan tentera yang bagus. Penguasa akan selalu dapat bersekutu dengan pihak yang bagus apabila mempunyai pasukan tentera yang bagus. Masalah dalaman tidak akan timbul apabila rakyat tidak diganggu oleh sebarang konspirasi untuk menjatuhkan penguasa. Sekiranya berlaku serangan dari luar dan masalah dalaman dapat dikawal dengan baik, penguasa tidak mempunyai masalah untuk menghadapinya seperti yang pernah dilakukan oleh Nabis dari Sparta.
Apabila terdapat ancaman dari luar, penguasa harus berwaspada dengan rakyat yang cuba berkonspirasi untuk menjatuhkannya. Hal ini dapat diselesaikan apabila penguasa tidak dibenci dan dipandang hina oleh rakyat dengan memastikan rakyat berpuas hati dengan kehidupan mereka. Mana-mana konspirator selalunya percaya mereka berkonspirasi hanyalah untuk memuaskan hati rakyat juga. Apabila mereka merasakan perbuatan mereka akan menyakiti rakyat, mereka tidak akan berkonspirasi.
Sejarah menunjukkan, ramai telah melakukan konspirasi, tetapi hanya sedikit yang berjaya. Orang yang berkonspirasi tidak mampu bertindak seorang diri. Dia juga tidak akan berkomplot dengan sesiapa melainkan dengan mereka yang tidak berpuas hati dengan penguasa. Mereka yang tidak berpuas hati ini dapat disogok dengan tujuan dan pendekatan Tuan yang membuatkannya berpuas hati. Setelah berpuas hati dan berkongsi rahsia, mereka mampu menjadi kawan ataupun musuh yang dahsyat kepada Tuan.
Pada sisi konspirator, mereka selalunya mudah berasa cemburu, takut dan curiga. Pada sisi penguasa pula, dia mempunyai keagungan pemerintahan, undang-undang dan perlindungan daripada rakan-rakan dan wilayahnya. Dengan kelebihan ini, tidak mudah untuk melakukan konspirasi ke atas penguasa. Secara umumnya, konspirator patut takut hukuman yang dikenakan ke atasnya apabila merancang untuk menjatuhkan penguasa. Selalunya rakyat akan menjadi musuh kepada konspirator, maka sukar untuk konspirator melepaskan diri.
Contoh yang dapat diberikan berkenaan perkara ini adalah Messer Annibale Bentivoglio, seorang penguasa Bologna, yang dibunuh oleh Canneschi melalui sebuah konspirasi. Tiada seorang pun daripada keluarganya yang masih hidup kecuali Messer Giovanni yang masih bayi. Selepas pembunuhannya, rakyat bangkit dan membunuh seluruh keluarga Canneschi. Kebangkitan ini berlaku dengan kehendak rakyat kerana tiada penguasa mampu memerintah mereka serta mereka hidup gembira ketika pemerintahan Bentivoglio. Rakyat Bologna mendapat tahu terdapat ahli keluarga Bentivoglio yang masih hidup di Florence yang merupakan seorang tukang besi. Kemudian, dia diberikan kerajaan untuk memerintah. Kerajaan tersebut diperintah olehnya sehingalah Messer Giovanni mencapai umur layak untuk memerintah.
Saya simpulkan, penguasa tidak akan menghadapi banyak masalah untuk menghadapi konspirasi apabila rakyat hidup teratur dan menghormatinya. Tetapi apabila rakyat memusuhi dan membenci penguasa, dia seharusnya bimbang dengan segala kemungkinan. Negara yang teratur dan penguasa yang bijak perlu memastikan golongan bangsawan tidak berada dalam keadaan terdesak dan memastikan rakyat berpuas hati. Ini merupakan salah satu tugas penting seorang penguasa.
Dalam kalangan kerajaan yang teratur dengan baik pada masa kini adalah Perancis. Perancis didapati mempunyai perlembagaan yang baik di bawah kuasa dan pengawalan raja. Paling tertinggi dalam perlembagaan tersebut adalah kuasa parlimen. Perlembagaan kerajaan akan mengawal pencabulan kuasa yang mampu dilakukan oleh golongan bangsawan. Pada sisi lain, dengan mengetahui kebencian rakyat terhadap golongan bangsawan, raja berhasrat untuk melindungi mereka. Tetapi dia tidak bimbang akan perkara itu kerana ia bukanlah tugas seorang raja. Maka, untuk menghilangkan tentangan bangsawan terhadap dirinya kerana menyebelahi rakyat, dan untuk menghilangkan tentangan rakyat kerana menyebelahi bangsawan, raja telah mewujudkan pihak ketiga yang tidak berkait dengannya untuk mendamaikan kedua-dua belah pihak. Kesimpulannya, penguasa seharusnya melepaskan masalah-masalah seperti ini kepada orang lain untuk menyelesaikannya. Tambahan lagi, penguasa seharusnya meraikan bangsawan, tetapi jangan sampai dirinya dibenci oleh rakyat.
Sekiranya diperhatikan kehidupan para maharaja Rom, mereka mampu menjadi contoh yang bertentangan dengan pendapat saya. Sebahagian daripada mereka hidup dengan mulia dan menunjukkan sifat yang baik. Namun, mereka kehilangan empayar ataupun dibunuh oleh subjeknya yang berkonspirasi menentangnya. Untuk menjawab berkenaan perkara ini, saya akan ketengahkan beberapa contoh maharaja serta faktor-faktor yang menjatuhkan mereka.
Cukup untuk saya ketengahkan maharaja-maharaja bermula dari Marcus sehinggalah Maximinus. Bermula dari Marcus dan anaknya, Commodus. Seterusnya, Pertinax, Julian, Severus dan anaknya, Antoninus Caracalla. Kemudian, Macrinus, Heliogabalus, Alexand dan Maximinus. Suka untuk saya tekankan, dalam mana-mana kerajaan pun, hal yang perlu diambil perhatian adalah memuaskan hati rakyat dan golongan bangsawan. Maharaja Rom mempunyai masalah untuk menghadapi kekejaman dan ketamakan tenteranya sehingga mampu membuatkannya menuju kehancuran. Sukar untuk memuaskan hati rakyat dan pasukan tentera sekaligus kerana rakyat cintakan keamanan. Atas sebab ini, mereka cintakan penguasa yang tidak mendorong peperangan. Tentera pula cintakan penguasa yang gemar berperang. Penguasa yang berani, kejam dan rakus, iaitu sifat yang mereka mahu tunjukkan kepada rakyat supaya mereka mendapat ganjaran berlipat ganda untuk memuaskan ketamakan dan kekejaman mereka.
Perkara ini selalu terjadi pada maharaja yang tidak mempunyai kuasa yang kukuh, terutamanya pada maharaja yang masih baru dalam pemerintahan. Mereka tidak berupaya menjaga keseimbangan antara rakyat dan tentera. Menyedari kesulitan ini, mereka terdorong untuk memuaskan hati tentera dan mula menyakiti rakyat.
Pilihan tersebut perlu diambil. Penguasa tidak mampu menghindari daripada dibenci oleh sesiapa. Tetapi dia seharusnya berusaha tidak dibenci oleh rakyat terlebih dahulu. Sekiranya dia tidak mampu, dia harus berusaha untuk tidak dibenci oleh individu-individu yang berkuasa. Oleh itu, maharaja yang masih baru seharusnya lebih mendapatkan sokongan tentera berbanding rakyat. Sama ada cara ini berkesan ataupun tidak bergantung pada cara penguasa mengendalikan kuasa ke atas tentera tersebut.
Berdasarkan perkara yang telah dibincangkan, dapatlah kita simpulkan bagaimana pengakhiran Marcus, Pertinax dan Alexander yang menyedihkan. Walau bagaimanapun, Marcus hidup dan mati dalam keadaan terhormat kerana dia menaiki takhta dengan warisan. Dia tidak terhutang budi dengan tentera dan rakyatnya. Kemudian, dia mempunyai banyak kebaikan yang membuatkan dia dihormati. Dia sentiasa meletakkan sesuatu pada tempatnya ketika hidup. Dia juga tidak dibenci dan dipandang hina oleh sesiapa.
Pertinax pula menjadi maharaja bukan dengan kerelaan tenteranya yang telah terbiasa hidup dengan penuh kerakusan di bawah Commodus. Maka, mereka tidak senang dengan nilai jujur yang cuba diterapkan oleh Pertinax. Kemudian, mereka membenci Petrinax dan kebencian ini bertambah kerana umurnya yang telah tua. Dia digulingkan pada peringkat awal pemerintahannya. Dari sini, dapat saya tekankan bahawa kebencian dapat ditanam sama ada melalui perlakuan buruk mahupun perlakuan baik. Maka, penguasa yang berhasrat untuk memelihara negaranya akan selalu terpaksa melakukan kejahatan. Apabila salah satu golongan menjadi korup sama ada bangsawan, rakyat ataupun tentera hanya kerana seorang Penguasa mahu memelihara kuasanya, maka Penguasa itu patut teruskan hal itu terjadi.
Mari kita lihat Maharaja Alexander pula yang sentiasa dipuji kerana kebaikannya. Selama 14 tahun pemerintahannya, tiada seorang pun yang dihukum mati olehnya tanpa disiasat terlebih dahulu. Namun, setelah dianggap sebagai terlalu lembut kerana membenarkan dirinya dikawal oleh ibunya, dia dipandang hina. Tenteranya telah berkonspirasi menentangnya lalu dia dibunuh.
Renungkan pula peribadi Commodus, Severus, Antoninus Caracall dan Maximinus yang kejam dan rakus. Manusia yang sanggup memuaskan hati pasukan tenteranya sehingga tidak teragak-agak untuk melakukan sebarang kejahatan terhadap rakyat. Pengakhiran mereka buruk kecuali Severus. Severus mempunyai kemampuan menjaga hubungan baik dengan tenteranya walaupun dia harus menindas rakyat. Dia dapat memerintah dengan baik. Kegagahannya menjadikan dia disanjung oleh tentera dan rakyatnya. Rakyat dapat ditenangkan dan dipuaskan dengan kegagahan tersebut. Penguasa baru ini tahu bagaimana untuk menjadi singa dan rubah seperti yang pernah saya sebut. Langkahnya patut diikuti oleh para penguasa lainnya.
Setelah mengetahui kelemahan Maharaja Julianus, Severus memujuk pasukan tentera di Sclavonia yang dipimpin olehnnya menuju ke Rom untuk membalas dendam kematian Pertinax yang dibunuh oleh tentera Praetoria. Atas alasan ini, Severus menyembunyikan tujuannya untuk merebut takhta. Sampai di Rom, Senat berada dalam ketakutan lalu melantik Severus sebagai maharaja baru dan Julianus dibunuh.
Kemudian, Severus menghadapi dua cabaran dalam usaha untuk berkuasa penuh di seluruh empayar. Pertamanya ketua pasukan tentera di Asia, Pescennius Niger telah mengisytiharkan dirinya sebagai maharaja. Keduanya, di barat, Albinus juga mahu mendapatkan takhta maharaja. Severus merasakan, mengisytiharkan permusuhan terhadap mereka sekaligus adalah tindakan yang bahaya. Maka, dia membuat keputusan untuk menyerang Pescennius Niger dan menipu Albinus. Severus mengutus surat kepada Albinus dan menyatakan bahawa dia dilantik sebagai maharaja oleh Senat dan Severus sanggup berkongsi kuasa serta memberikan pangkat Caesar kepada Albinus. Tambahan lagi, Senat telah menerimanya sebagai rakan. Lalu, Albinus menerima perkara tersebut sebagai benar.
Selepas Severus menakluk dan membunuh Pescennius Niger serta menyelesaikan beberapa urusan di Timur, dia pulang ke Rom. Di Rom, Severus mengadu pada Senat bahawa Albinus cuba untuk membunuh dan mengkhianatinya. Maka, atas perbuatan ini, Albinus berhak dijatuhkan hukuman. Kemudian, Severus mencari Albinus di Perancis, lalu kuasanya ditarik dan nyawanya dicabut.
Sesiapa yang meneliti tindakan Severus akan mendapati lelaki sama seperti singa yang berani dan rubah yang licik. Kita akan dapati Severus ditakuti dan dihormati oleh semua orang serta tidak dibenci oleh tentera. Tidak hairanlah reputasinya dapat melindunginya daripada mana-mana kebencian yang timbul akibat kekerasannya.
Anaknya, Antoninus merupakan tokoh yang terkenal dan mempunyai kualiti yang hebat yang menjadikannya disanjungi rakyat dan diterima baik oleh tentera. Sifatnya yang suka berperang, tidak kenal penat lelah, menolak makanan lazat serta pelbagai kemewahan menjadikannya disayangi oleh tentera. Namun, keganasan dan kekejamannya mengakibatkan ramai rakyat Rom dan Alexandria terbunuh. Dia dibenci oleh satu dunia dan mula ditakuti oleh orang di sekelilingnya. Akhirnya, dia dibunuh oleh seorang pahlawan Centurion daripada kalangan tenteranya.
Kematian seperti itu tidak dapat dielakkan oleh penguasa kerana sesiapa yang takut mati, kematian akan datang menjemputnya. Namun, penguasa tidak perlu takut akan kejadian ini kerana ia jarang berlaku. Penguasa cuma perlu berhati-hati supaya tidak menyakiti sesiapa yang berada di sekeliling dan berkhidmat untuknya. Antonimus tidak menjaga perkara ini dan terus menerus melakukan pembunuhan dan memberikan ancaman kepada orang di sekelilingnya. Seterusnya, perbuatan itu menghancurkan dirinya sendiri.
Kita lihat pula Commodus yang sepaptutnya mampu dengan mudah mempertahankan takhtanya. Dia berkuasa melalui warisan daripada ayahnya, Marcus. Commodus mengikuti jejak langkah bapanya untuk menyenangkan hati rakyat dan tentera. Disebabkan sifatnya yang ganas dan kejam, dia telah merosakkan tenteranya. Lalu, rakyat menjadi mangsa kerakusan. Commodus juga tidak memelihara martabatnya dan sering turun padang untuk bertempur dengan gladiator serta melakukan lebih banyak perkara keji yang lain. Keagungannya menyusut dan tidak berguna. Lalu, dia dibenci dan dipandang hina sehingga dibunuh dalam konspirasi.
Maximinus juga gemar berperang. Maximinus menaiki takhta setelah Alexander dibunuh oleh tentera kerana terlalu lembut seperti yang telah disebutkan. Takhta tidak dapat dipegang dengan lama kerana terdapat dua perkara yang menyebabkan Maximinus dibenci dan dipandang hina. Pertamanya, asal usul Maximinus adalah seorang pengembala kambing dari Thrace. Secara umumnya, pekerjaan sebagai pengembala dipandang hina oleh masyarakat. Keduanya, ketika peringkat awal pemerintahan, Maximinus telah menangguhkan perjalanannya ke Rom untuk mengambil takhta dan mendapat reputasi sebagai seorang yang bengis kerana telah melakukan kekejaman di Rom dan seluruh empayar. Akhirnya, semua orang murka kepada Maximinus kerana asal usulnya dan takut kerana kekejamannya.
Afrika mula memberontak terhadap Maximinus. Kemudian, Senat dan seluruh rakyat Rom dan Itali melakukan konspirasi menentangnya. Malah, pasukan tenteranya sendiri turut bergabung dalam konspirasi tersebut setelah gagal merampas Aquileia dan tidak tahan dengan kekejaman Maximinus. Pasukan tenteranya tidak gentar pada Maximinus apabila ramai yang menentangnya lalu Maximinus dibunuh.
Saya tidak berhasrat untuk membincangkan Heliogabalus dan terus membawa pada kesimpulan. Kesimpulannya, penguasa pada zaman kita tidak mempunyai kesulitan untuk memuaskan hati tenteranya berbanding dengan penguasa dahulu kala. Walau apa pun, penguasa perlu memberikan mereka sedikit perhatian. Perkara ini tidak sukar untuk dilaksanakan kerana tiada dalam kalangan tentera tersebut mempunyai penglibatan dalam pentadbiran wilayah seperti tentera Empayar Rom. Pada masa itu, memuaskan hati tentera telah menjadi keperluan berbanding memuaskan hati rakyat. Kini, memuaskan hati rakyat lebih penting kepada semua penguasa (kecuali Sultan bangsa Turki), kerana rakyat lebih berkuasa daripada tentera.
Saya kecualikan Turki kerana mereka mempunyai dua belas ribu infantri dan lima belas ribu kavalri yang menjadi kekuatan dan menjaga keamanan kerajaan mereka. Sultan perlu menjaga hubungan baik dengan tenteranya. Hal yang sama juga berlaku pada Kesultanan Mamluk di Mesir. Perlu ditekankan bahawa, Kesultanan Mamluk berbeza dengan kerajaan-kerajaan lain, tetapi mempunyai persamaan dengan institusi kepausan. Kesultanan mereka tidak boleh dipanggil sebagai kerajaan warisan mahupun kerajaan baru. Anak kepada penguasa tidak akan mewarisi kuasa bapanya. Penggantinya akan dipilih melalui mereka yang mempunyai autoriti tersebut dan anak penguasa tetap menjadi seorang bangsawan. Disebabkan sistem telah lama terbentuk, maka ia tidak boleh dipanggil sebagai kerajaan baru. Walaupun penguasanya baru, tetapi sistemnya telah lama seolah-olah menampakkan penguasa itu adalah penguasa warisan.
Sesiapa yang dapat belajar daripada perkara ini akan mendapati, hancurnya seorang maharaja adalah apabila mereka dibenci dan dipandang hina. Sebahagian daripada mereka mengambil sebuah pendekatan, dan sebahagian pula mengambil pendekatan lain.
Tetapi, mana-mana pendekatan pun yang diambil, terdapat hanya satu daripada setiap pendekatan itu yang berakhir dengan baik dan selebihnya berakhir dengan buruk. Betapa sia-sia dan bahayanya pendekatan Pertinax dan Alexander sebagai penguasa baru yang cuba untuk turuti langkah Marcus yang berkuasa melalui warisan. Sama juga kepada Caracalla, Commodus dan Maximinus yang cuba untuk menuruti langkah Severus. Mereka tidak mempunyai kemampuan yang cukup untuk mengikuti langkahnya. Maka, penguasa baru tidak boleh menuruti langkah Marcus dan Severus. Dia patut menurut langkah Severus yang perlu dia turuti dalam perkara mendapatkan kuasa dan campurkannya dengan kualiti yang bagus dari Marcus dalam memelihara kuasa tersebut.