Hal yang sering kita lupa ialah, ada orang, dia nampak baik. Tapi sebenarnya dia banyak melakukan kesilapan dan dosa tanpa sesiapa pun ketahuinya. Ada pula orang nampak jahat, tapi sebaliknya banyak kebaikan-kebaikan yang dilakukan secara sembunyi. Manusia selalu tersasar dalam membuat penilaian. Maka penilaian Allah jualah yang paling tepat tanpa sedikitpun tersilap. Maka cerita lebih lanjut ingin saya kongsikan ketika langkah hijrah saya bermula.
Sebenarnya permulaan hijrah saya adalah ketika saya lepasan SPM. Sebab itulah di awal cerita saya dahulukan persepsi keluarga terhadap saya. Kemudian apabila saya menyambung semula pengajian ke peringkat STPM, barulah ada persepsi rakan-rakan terhadap saya. Ya, saya dulu seperti mereka juga. Sebab itulah bila saya berubah perlahan-lahan mereka begitu terkejut yang amat. Fitnah mula bertebaran, gosip sini sana, maklumlah saya merupakan Pengerusi Tingkatan 6. Orang yang berjawatan ketika di zaman sekolah mana ada yang suka, lagi-lagi bila saya mula berubah perwatakan dan penampilan. Mereka mula mengatakan bahawa saya saja-saja tunjuk baik dan alim sebab nak cari perhatian. Allahurabbi.
Kau kalau nak berubah biar kerana Allah, bukan kerana lelaki.
Satu mesej yang saya masih ingat sampai saat ni, dihantar oleh rakan sekelas pada waktu subuh. Kerana lelaki Saya asyik membaca berulang kali mesej itu. Entah siapa lelaki yang dimaksudkan itu. Tapi secara hakikatnya, saya salah seorang gadis yang dikejarkejar lelaki ketika tidak berjawatan sehinggalah pegang jawatan tertinggi. Dan saya tahu, antara ramairamai yang kejarkan saya, hanya mahu rosakkan saya semata-mata. Apa mereka fikir saya begitu bodoh Mereka silap, kerana mereka cuba bermain dengan perempuan yang punya prinsip, titik.
Apabila saya selidik kenyataan yang dilontarkan, rupa-rupanya seorang lelaki mengaku kepada ramai orang, bahawa dialah yang kononnya mengubah saya menjadi lebih baik dari segi penampilan. Oh My Allah! Patutlah satu sekolah sampailah ke telinga guru-guru membuat persepsi yang kononnya saya berubah kerana lelaki. Tidak dinafi, lelaki itu lelaki yang baik, pergi ke sekolah pula bersongkok, pelajar cemerlang tapi sayang seribu kali sayang dia merasakan dengan membuat cara begitu telah menarik perhatian saya. Meleset sama sekali. Kerana saya berubah bukan kerana sesiapa, tetapi kerana saya adalah saya yang sudah ketagih cinta Rabb.
Normal bukan bila kita cuba ingin jadi lebih baik, pasti ada manusia yang tidak senang duduk melihat kita Saya pernah dimalukan dengan macam-macam cara, sama ada di dalam kelas, dalam media sosial, group Facebook Persatuan Tingkatan 6, dan banyak lagi. Paling saya tak dapat lupa, ketika itu guru Bahasa Melayu menyuruh beberapa orang untuk maju ke hadapan untuk membuat ayat berdasarkan beberapa soalan. Kebanyakan yang berdiri adalah geng-geng yang tidak senang dengan saya. Mereka berpakat membuat ayat menggunakan nama saya, kemudian cuba memerli perubahan saya.
Riuh-rendah keadaan kelas ketika itu, ramai terbahak-bahak melihat saya yang tidak berkata apaapa. Saya hanya tertunduk, menangis tidak percaya dengan apa yang dilakukan oleh kawan sendiri.
Padahal selama ini, mereka cukup baik dengan saya. Cikgu sendiri tidak dapat mengawal keadaan kelas, bila mereka melihat saya menangis, mereka bersuara dengan kuat, Booo
Allahuakbar, hancur luluh segala perasaan. Bangkit seorang sahabat di sisi saya, kemudian dengan nada tegas sambil air matanya mengalir, dia berkata kepada semua yang ada di dalam kelas,
Kamu tidak suka Hassanah sebab kamu dengki dengan dia kan Bila kamu dengki, kamu berdendam. Sampailah Hassanah cuba pakai tudung labuh pun kamu sanggup untuk hina. Hassanah sebelum ini, pakai ketat, pakai seksi sebab dia dari keluarga yang bukan Islam. Kamu tidak tahu latar belakang dia, yang kamu tahu hanya hentam dia. Kamu tidak tahu berapa banyak air mata dia jatuh selama dia bercerita kepada saya, kamu tidak tahu sebab hati kamu penuh dengki, penuh dendam. Mungkin dia mati, baru kamu puas.
Mengalir-ngalir air mata saya, mendengar bicara dari seorang sahabat. Ya, Nurul Ain. Sebenarnya, pembelaan Nurul Ain lebih panjang. Dia yang paling banyak menyaksikan perjuangan saya. Ketika semua orang tidak percaya, dia terus percaya. Ketika semua orang menjatuhkan, dia membangkitkan, ketika semua orang pergi, dia masih di sisi, ketika semua orang menyebarkan fitnah, dia membetulkan cerita yang sebenar, ketika semua orang benci, dia masih setia untuk sayang.
Keadaan yang bising tadinya, tiba-tiba berubah menjadi senyap. Bayangkan suara seramai 50 pelajar dalam kelas, tiba-tiba sunyi sepi seolah-olah tiada seorang pun dalam kelas itu. Demi Allah, saya tidak menyangkakan kejadian itu. Saya tidak menyangka sahabat saya akan berdiri seperti itu kerana dia jarang sekali untuk bercakap di khalayak ramai. Saya tidak percaya bahawa dia telah meluahkan sampai sebegitu rupa sambil air matanya mengalir ketika menerangkan satu per satu.
Saat itu juga, ada yang datang ke arah saya, dan memeluk juga minta maaf kerana mempercayai fitnahfitnah yang didengar dari mulut ke mulut. Namun ada juga yang hanya terdiam di tempat masing-masing dan hilang kata-kata. Sehingga cikgu ketika itu terus meminta izin untuk keluar dan memberi peluang kepada kami untuk saling bermaafan.
Namun langit tidak selalunya cerah. Minggu berikutnya mereka memalukan saya dengan cara lain pula. Mereka menyekat saya di hadapan orang ramai, dengan lantang mereka bersuara berulang kali,
Hassanah Syiah
Hassanah Syiah
Hassanah Syiah
Hassanah Syiah
Hassanah Syiah
Hassanah Syiah
Hassanah Syiah!
Seperti biasa, saya akan menangis. Mendiamkan diri dan tidak melawannya semula. Saya balik ke rumah, menceritakan semua kepada mama. Mama tanya, Kakak lawan tak cakap mereka Saya jawab, Kakak diam je.
Ha baguslah macam tu, kalau kakak layan, kakak dan mereka tiada bezanya, sama saja.
Begitulah tiap kali jawapan yang akan diberikan oleh mama. Selepas makan malam, mama pesan agar saya memadam semua gambar-gambar yang ada di laman sosial. Selepas solat isyak, saya segera memadam kesemua gambar sama ada ketika pakai seksi mahupun ketika sudah bertudung labuh. Semua status-status saya yang mencarut juga dipadam keseluruhannya. Nasib baik ketika itu, tidak terlalu ramai yang mengikuti Facebook saya. Sehinggalah saya membuat keputusan untuk menulis yang baik-baik sahaja di laman sosial.
Sebelum tidur, saya melihat one message received tertera di ruangan skrin telefon bimbit.
Hoi mak cik, sebelum kau padam semua gambargambar di FB, aku dah save-lah. Hahahaha Selamat malam ya mak cik.
Ya Allah Ya Tuhanku, kenapa sampai sebegini rupa ujian aku Ya Allah. Saya terus mendail.
01x-xxxxxxx, Ustazah Intan.
Nak tahu siapa Ustazah Intan Ya, wanita yang saya kenal di tangga masjid. Masih ingat bukan
Segera saya mendail nombor ustazah, sambil menangis-nangis saya bercakap dengan ustazah.
Ustazah, kenapa semua orang memandang sinis pada saya Saya tahulah dulu saya jahat, tapi saya ikhlas mahu berubah, ustazah.
Air mata yang laju turun cuba untuk ditahan tapi gagal.
Kenapa Cuba berterus terang pada ustazah.
Saya pelik, ustazah. Sejak mengenali ustazah, saya berazam untuk berubah menjadi pelajar yang baik. Anak yang solehah. Tetapi masih ada ahli keluarga dan sebahagian kawan yang memandang sinis pada saya.
Sabar. Hendak berubah memang ada ujiannya. Paling penting, kamu sendiri kena kuat. Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar dan ingin berubah ke arah kebaikan. Jika ingin berubah, kita harus yakin pada diri bahawa kita mampu untuk menjadi seorang hamba Allah yang baik. Caranya adalah dengan membina gerak kerja amal takwa. Seseorang yang bertakwa akan memelihara hak-hak Allah, dan Allah jualah yang akan mempertahankan kemuliaan dan hak dirinya kelak. Doa adalah senjata orang mukmin. Berdoalah kepada Allah untuk terus diberikan kekuatan agar tekal berubah kepada kebaikan. Mohonlah kepada Allah supaya perubahan yang dilakukan itu kekal sehingga ke akhir hayat.
Tapi susah, ustazah. Saya dah doa hari-hari minta kekuatan dari Allah, tapi semakin saya berdoa, semakin datang ujian pada saya. Allah tak suka saya berubah ke ustazah Kenapa ustazah Kenapa semua orang tak boleh terima jalan yang saya pilih Kenapa
Air mata saya masih mengalir, suara teresak-esak minta mahu difahami juga mahu dipujuk.
Astaghfirullahalazim Ingatlah, apabila kita benar-benar komited untuk berubah, Allah sendiri yang akan memperlihatkan kebenaran. Andai kita sudah benar-benar berubah dan tidak lagi terjebak dengan perlakuan tidak bermoral. Dia akan membuktikannya. Itu tugas Dia. Tugas kita adalah berusaha untuk menjadi yang terbaik. Setiap orang secara fitrahnya sukakan kebaikan. Justeru, perubahan kita ke arah kebaikan kelak akan disenangi oleh mereka di sekeliling kita, malahan makhluk di langit juga. Bersangka baiklah kepada Allah, nescaya Allah akan kurniakan kebaikan kepada kita.
Saya menangis mendengar suara ustazah di hujung talian. Pesanan terakhir ustazah sebelum mematikan talian masih terngiang di telinga,
Pilihlah untuk menjadi mereka yang kalah sedang engkau adalah seorang yang benar, dan janganlah engkau pilih untuk menjadi pemenang sedang engkau adalah pendusta.
Saya sentiasa dihantui rasa pelik pada manusiamanusia di muka bumi ini. Ya. Manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan. Seharusnya seseorang yang ingin membetulkan kesilapan dan memulakan langkah hijrah dibantu dan diberikan kekuatan, bukan merobohkan cita-citanya yang baru hendak teguh itu.
Saya menulis dengan jiwa saya. Menulis berkongsi perjalanan meraih kasih dan cinta-Nya. Dan saya diuji dengan apa yang saya tulis. Contohnya, saya dah move on, Allah kirimkan ujian-Nya, sebab nak uji apakah benar saya betul dah move on. Saya yakin dengan-Nya, Allah uji keyakinan saya pada-Nya.
Dulu, saya tak mampu bersangka baik, sekarang alhamdulillah setelah Allah benar-benar membuktikan kasih sayang-Nya, kenapa tidak untuk berbaik sangka saat Allah mula menguji Hijrah itu perlukan istiqamah. Jika persepsi ahli keluarga terhadap saya, sudah mula hilang dan semakin menghilang maka kenapa pula saya tidak mahu bersabar atas persepsi rakan-rakan pula Kenapa saya perlu berburuk sangka pada Tuhan Bukankah seharusnya saya membiarkan Tuhan untuk mencintai saya dengan cara-Nya
Ingat satu ini.
Bilamana Allah bagi hidayah dekat kita, Allah akan tuntun hati kita pada kebaikan. Percayalah dan rasa itu indah sangat saat kita mula menyedarinya. Allah itu tidak menguji melainkan Dia rindu dan mahu kita bergantung hanya pada-Nya. Hari demi hari saya kini lalui semua tohmahan dengan perasaan yang semakin gagah untuk terus berada di saf perjuangan. Namun, lumrah tidak selamanya orang suka melihat kita berada di atas.
Pada satu malam, saya seakan-akan merasa ada yang tak kena dengan diri. Selalu terjaga, resah, rimas, cemas. Sehinggalah saya mengalami mimpi yang terlalu buruk dan menakutkan. Saya bermimpi melihat banyak binatang seperti anjing, tikus, ular, kala jengking yang cuba mengejar saya. Bila saya terjaga dari tidur, saya merasa sakit perut yang amat seakan mahu muntah. Tidak sampai 5 saat, saya berlari ke tandas. Saya muntahkan sesuatu yang begitu aneh iaitu kayu hitam yang kecil sebanyak 3 batang.
Perubahan saya disedari oleh mama. Kadang saya ketawa ketika tidur, kadang saya menangis tanpa sebab. Saya selalu bermimpi bahawa saya terjatuh dari bangunan yang sangat tinggi. Badan terasa panas terutama di bahagian belakang, fikiran selalu kacau, badan rasa berat, tidak bertenaga, lesu dan malas. Suka marah-marah tanpa sebab yang munasabah. Selalu sakit kepala, hilang fokus terhadap pelajaran. Sehinggalah keluar keputusan semester 2 STPM, saya gagal beberapa mata pelajaran.
Ayah dan mama sudah tidak senang duduk. Kehadiran ke kelas juga sangat tercorot. Guru-guru sudah mula tercari-cari kelibat saya termasuklah rakanrakan yang lain. Sehinggalah rakan-rakan sekelas yang lain berniat untuk berjumpa dengan adik saya yang berada di Tingkatan 5, untuk bertanya kenapa saya sudah seminggu tidak hadir ke kelas.
Pelbagai usaha dilakukan. Bila ayah membawa saya ke hospital, doktor memberitahu kemungkinan besar saya keracunan makanan. Tiga malam ditahan di wad kecemasan tetapi saya tidak menunjukkan perubahan yang baik. Malah semakin menjadi-jadi. Saya ceritakan kepada mama, bahawa saya bermimpi yang sama setiap malam. Iaitu ada anjing, kala jengking, serigala dan banyak haiwan mengejar saya seolah mahu menerkam saya habis-habisan. Kemudian esoknya, ayah meminta izin dengan doktor, untuk membawa saya keluar berubat di tempat lain.
Sempat saya pesankan kepada ayah, jangan bawa saya untuk berubat di tempat-tempat bomoh yang mengamalkan amalan khurafat. Walaupun sembuh, tapi saya sembuh dengan cara yang sesat dan tidak betul. Maklumlah, di kawasan negeri Sabah ramai orang yang pandai mengubati sakit santau tapi dengan cara yang khurafat. Saya mempunyai prinsip. Dan saya tidak mahu seperti itu. Saya orang Islam, saya ada Allah.
Maka sandaran utama saya ialah Allah.
Hari bersilih ganti, badan saya sudah kelihatan sangat kurus. Mungkin kerana sakit yang menghantui diri saya. Mama semakin risau. Kadang-kadang saya kasihan melihat mama yang menangis sembunyisembunyi kerana tidak mahu dilihat saya. Demi Allah, saya semakin teruk ketika itu. Setiap malam saya akan ketawa dengan kuat kemudian menangis kemudian ketawa kemudian menangis kemudian ketawa dan kemudian menangis. Saya dapat melihat sesuatu di atas siling rumah.
Setiap malam juga ayah akan membacakan ayatayat suci al-Quran di dalam rumah. Tapi benda yang dihantar kepada saya sangat kuat dan tidak mahu untuk mengalah tewas. Lebih kurang 4 pusat rawatan sudah dicuba, namun hasil masih sama. Sehinggalah seorang guru merangkap sahabat ayah, memberitahu ada pusat rawatan yang insya-Allah tidak amalkan amalan khurafat. Insya-Allah akan berkesan.
Pusat rawatan itu terletak di Tawau. Semasa cuba untuk berubat kali ini, badan terasa sangat panas seolah-olah terbakar. Ustaz itu memeriksa saya terlebih dulu sama ada saya benar disantau atau sebaliknya. Kemudian beliau membacakan beberapa ayat suci alQuran di bawah tapak tangannya, tangan kanan beliau dihadapkan di mata saya seraya bertanya adakah saya melihat warna hitam atau warna yang sangat merah
Saya menggelengkan kepala.
Lalu ditanya lagi, apa yang kamu lihat Saya menjawab, saya melihat salib. Ketika itu kepala saya bertambah pening dan terlalu sakit.
Maka tidak ragu lagi, anak encik dikena buatan orang melalui makhluk halus.
Itulah yang dikatakan oleh ustaz kepada ayah. Saya pelik, selepas saja saya melihat salib, saya tertidur tidak sedarkan diri. Perkara yang berlaku selepas itu hanya mampu saya dengar dari mama dan ayah. Untuk mengubati sihir ada beberapa ayat al-Quran untuk menawarkan sihir.
Cara-cara membuangkan sihir daripada diri kita:
1. Ambil tujuh helai sirih hijau atau daun teratai. Tumbuk dengan batu, besi atau apa saja sehingga lumat (boleh juga guna alat pengisar makanan)
2. Masuk tumbukan daun sirih atau daun teratai itu dalam satu mangkuk besar. Isi dengan air secukupnya untuk minum dan mandi seluruh badan.
3. Letakkan telapak tangan kanan pada air yang sudah diisi tumbukan daun sirih.
4. Sentuhkan bibir pada mangkuk, sehingga nafas atau sebahagian dari ludahmu mengenainya.
5. Bacakan ayat-ayat berikut :
a. Baca Ayat Kursi. (Surah al-Baqarah ayat 255)
b. Bacakan Surah al-Kafirun.
c. Baca Surah al-Ikhlas.
d. Baca Surah al-Falaq.
e. Baca Surah an- Nas.
(Ayat-ayat di bawah adalah ayat penawar sihir)
f. Baca Surah al-Araf ayat 117-119.
g. Baca Surah Yunus ayat 79-82.
h. Baca Surah Thaha ayat 65-69.
i.
Setelah dibacakan dengan ayat-ayat al-Quran di atas, air itu diminumkan kepada si pesakit, kemudian mandikan dengan air tersebut. Ulang seminggu sekali dan sesudah itu insya-Allah, sihir itu tidak akan ada lagi.
Yakinlah kepada Allah s.w.t bahawasanya hanya Dia sahaja yang akan menyembuhkan segala penyakit termasuk penyakit disebabkan sihir hasil perbuatan jin dan syaitan.
Semua kejadian di langit dan di bumi adalah kehendak Allah s.w.t. Semua makhluk termasuk jin dan syaitan dan manusia tak boleh mendatangkan apa-apa mudarat tanpa izin Allah s.w.t. Oleh sebab itu kita wajib yakin dengan Allah s.w.t dan keselamatan kita adalah di bawah jagaan-Nya. Amalkan membaca al-Quran, berzikir, beristighfar, solat tahajud, berdoa minta perlindungan Allah s.w.t. Jika ada penyakit, minta Allah s.w.t pulihkan dan beri kesembuhan. Seorang mukmin perlu berdoa, berusaha, bertawakal dan bersabar.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah setelah kembali pulih, jiwa saya lebih kuat untuk bersandar pada-Nya. Al-Quran juga menjadi sahabat yang paling sejati sama ada suka mahupun duka, ketika senang mahupun susah, ketika sakit mahupun sihat, dan ketika senang mahupun sibuk. Sampai hari ini, saya tidak tahu siapa yang sanggup menghantar benda itu kepada saya, dan sanggup membuat saya menderita. Tapi siapa pun orang itu, saya sudah lama memaafkan bahkan saya mendoakan agar dia tidak berbuat demikian kepada orang lain untuk menjadi mangsa yang seterusnya. Sebab saya tahu, saya juga bukanlah orang yang terlalu baik untuk menjadi penyebab orang lain ke neraka.
Betapa maha hebat percaturan Rabbul Izzati. Maha suci Allah. Selepas saja kejadian itu, semakin ramai rakan yang mengambil berat tentang saya, semakin ramai mendekati saya malah mereka sudah menerima perubahan saya memakai pakaian yang menutup aurat.
Guru-guru juga ramai yang risau dengan keadaan saya. Ahli keluarga juga begitu. Saya seolah-olah bermimpi dengan semua nikmat yang Allah berikan. Walaupun telah gagal pada semester 2, saya bangkit semula, mengambil keputusan untuk mengulang semua subjek dan akhirnya pada hujung semester ketika gred sebenar diumumkan saya temasuk dalam calon Top 10 Excellent Students, peringkat Negeri Sabah. Alhamdulillah Wa Syukurillah, kita tidak perlu jadi malaikat, cukup menjadi hamba yang bertaubat.
Apa kalian ingat Dia akan membiarkan Senyum.