PAGI lagi Karim bangun dan menaiki keretanya menuju ke pejabat Kudin. Kudin harus tahu semua tentang Chad yang sudah dirasuk syaitan. Pedal minyak ditekan semakin kuat, menderum laju ke arah bangunan TM Holdings.
Sebaik tiba di situ, Karim masih diam di dalam kereta. Dia mula merasa serba salah. Chad sudah beri amaran padanya semalam. Tambah lagi Chad ada ilmu hitam. Bila-bila masa Chad boleh balas dendam. Teringat pada Hanim yang ditoreh-toreh badannya dengan hanya menggunakan patung. Terus Karim merasa seram sejuk.
"Haish! Apa aku nak buat ni" Karim hentak tapak tangannya pada stereng kereta. Jiwanya mula kacau.
Telefon bimbitnya diseluk dari poket seluar dan mula menghubungi Jo. Tiada jawapan. Sekali lagi dia
menghubungi Jo, masih tidak ada jawapan. Karim sudah buntu. Kalau dia beritahu pada Kudin, bila Chad dapat tahu, tentu Chad akan mengamuk. Entah-entah hantu mana yang diseru Chad nanti datang untuk mencekik dan menghisap darahnya!
"Aduh! Macam mana ni" Karim menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Lama dia termenung di dalam kereta. Sesekali dia melihat ke arah bangunan TM Holdings.
"Ah! Lantaklah kau Chad! Aku tak takut dengan ilmu hitam kau tu! Aku mesti beritahu Kudin!" Karim mula keluar dari perut kereta dan melangkah laju menuju ke pintu utama bangunan pejabat itu.
Selepas mendaftar dan menyatakan tujuannya ke situ di kaunter penyambut tetamu, Karim mula menaiki lif ke tingkat pejabat Kudin.
Tiba di pejabat Kudin, dia disuruh oleh Sofea, setiausaha Kudin untuk menunggu Kudin di sofa tetamu. Karim hanya mengangguk. Dia jeling pada bilik Kudin. Masih gelap. Jam di pergelangan tangan dilihat seketika.
"Patut la!" Karim tepuk dahi. Baru pukul lapan pagi. Pagi gila dia sampai di pejabat Kudin. Mengalahkan orang yang datang kerja!
Seketika kemudian, Kudin mula menapak masuk ke ruang pejabatnya. Dia sudah diberitahu tentang kehadiran Karim tadi oleh Sofea. Karim diajak masuk ke bilik pejabatnya. Pintu ditutup rapat dan mereka berdua mula melabuhkan punggung di sofa.
"Ada apa kau datang cari aku" Kudin pandang Karim yang sudah seperti orang gelisah.
"Aku ada hal penting nak beritahu kau." Karim berkata serius.
"Hal apa"
"Ni ada kaitan dengan Chad." Karim mula berani bersuara dan menyebut nama Chad.
"Kenapa dengan dia" Kudin pandang Karim tidak berkelip. Dia tahu dulu Chad dan Karimlah yang membawa Senah ke KL dan Senah hilang selepas itu.
"Dia..dia.." Belum habis Karim berbicara, telefon bimbit Kudin mula berdering.
Kudin meminta diri untuk menjawab panggilan itu jauh sedikit dari Karim. Agak lama Kudin berbual dengan seseorang. Dia kemudian kembali ke tempat sofa tadi dan memandang Karim yang masih menunggunya di situ.
"Sambung.." Kudin senyum.
"Chad...dia mengamalkan sihir sama macam Mak Jemah kat kampung Pinang Patah tu!" Akhirnya Karim terpaksa beritahu hal sebenar mengenai Chad.
"Apa Kau biar betul Karim. Aku kenal siapa Chad. Takkan dia nak buat benda tahyul dan syirik tu!" Kudin ketawa mengekek. Kata-kata Karim tadi seperti cerita lawak baginya.
"Betul! Sumpah! Chad sendiri yang mengaku. Dia yang bunuh Hanim dan Suzy, bekas pekerja TM Holdings ni." Karim mula merasa diperlekehkan.
"Kau ada bukti" Kudin jeling Karim.
"Ni yang leceh ni..macam mana aku nak tunjuk bukti. Kan dia pakai ilmu sihir! Buat dari jauh pun boleh! Boleh mati kojol orang yang disihir tu." Karim mula merasa kecewa dengan pertanyaan Kudin. Tepat seperti apa yang Chad katakan semalam, jika tiada bukti nyata, pihak polis tidak boleh sembarangan menuduh dan mendakwa orang tanpa sebab yang kukuh.
"Habis tu, macam mana kau tahu dia ada ilmu sihir" Kudin sengih.
Karim semakin resah. Sukar baginya untuk menyakinkan orang lain tanpa bukti yang nyata. Dia pandang Kudin yang masih menunggu jawapan darinya.
"Kau pernah tengok mayat Hanim macam mana" Karim cuba mencari idea.
"Tak pernah tapi aku dengar masa di kampung dulu, Senah ada beritahu yang badan dan wajah perempuan tu seperti ditoreh-toreh dan kesan cakar di seluruh badan." Kudin cuba mengingati semula kata-kata Senah dulu.
"Ha! Tulah yang aku nak beritahu kau! Kesan toreh dan cakar tu adalah hasil kerja Chad yang menggunakan patung yang pakai baju kebaya merah!" Karim mula bersemangat.
"Aku tak percaya. Macam mana orang macam Chad tu buat semua kerja gila tu Untuk apa Hanim tu musuh dia ke" Kudin beriak tidak percaya. Karim ditenung tajam.
"Hanim tu pun tamakkan duit. Dia sanggup lakukan apa saja asalkan dapat hidup mewah. Chad ada beritahu aku, mak Kusha tu yang upah Hanim untuk sihirkan ayah kau dan juga mak Chad." Karim menjelaskan lebih lanjut.
"Hmm...kes ni dah makin pelik. Hetty yang dituduh atas kesalahan membunuh Hanim dan Suzy kerana cuba membocorkan rahsia penyelewengan duit syarikat." Kudin mula mengusap dagu.
Karim terus bercerita bila melihat Kudin sudah mula percaya sedikit demi sedikit dari cerita yang disampaikannya tadi. Dia melihat reaksi Kudin yang sesekali berkerut kening dan terbeliak dan membuntang mendengar kata-katanya tadi.
"Jadi..selama ni arwah ayah aku kahwin tiga Mak Chad tu isteri nombor tiga" Kudin menelan liur. Sungguh tidak sangka apa yang berlaku sekarang ini. Ternyata Chad sudah menyimpan dendam sejak maknya disahkan gila! Mungkin sebelum kematian arwah ayah lagi. Soalnya kenapa Chad begitu dendam
"Kau adalah adik beradik tiri dengan Chad. Bapa lain-lain." Karim mengangguk.
"Bermakna kes kematian Hanim dan Suzy masih belum selesai la ni Apa kau pasti dalang semua ni adalah mak Kusha" Kudin semakin teruja. Dari dulu lagi dia syak Kusha dan mak Kushalah yang menjadi dalang semua ni.
Semuanya kerana tamakkan harta! Akibatnya orang lain yang menjadi mangsa dan mati katak!
"Satu lagi..pasal Senah dan Anum. Mereka hilang sudah seminggu. Aku yang bersalah. Aku ikut arahan Chad pada mulanya tapi lepas tu aku ubah fikiran. Aku ikut pula kata Jo." Karim mula buka rahsia.
"Jo Apa kaitan Jo dengan kehilangan Senah dan Anum" Kudin terkejut.
Karim terdiam seketika. Dia sudah terlepas bicara. Tidak boleh diundur lagi. Ah! Biarlah! Lagipun, Jo sendiri yang hendak menyerah diri pada pihak polis.
"Sebenarnya aku dan Jo terlibat dengan sindiket haram penjualan perempuan muda ke luar negara. Taiko Chong adalah ketua kami.
Sekarang ni Taiko Chong sedang mencari Jo. Tempoh yang diberikan untuk mendapat semula Senah dan Anum sudah tamat. Orang-orang Taiko Chong sekarang ni sedang giat mencari Jo. Jadi, aku pun turut terpalit sama. Aku harap kau dapat tolong aku keluar dari masalah ni." Karim terpaksa buka rahsia sindiket itu.
Kudin meraup muka. Sungguh dia tidak sangka semua ini akan terjadi. Jo dan Chad, kawan satu sekolah dulu dan sekampung kini sudah menjadi orang lain. Penyangak!! Dulu, dia sendiri pun hampir-hampir terjerumus ke dalam dunia haram ini. Cepat-cepat dia sedar dan kembali ke kampung dan menjadi petani. Kini, dia terpaksa kembali ke KL semula kerana wasiat dari ayah yang tidak pernah dikenalinya.
"Aku minta maaf Kudin. Aku terpaksa cerita semua ni." Karim turut tunduk.
"Aku boleh tolong kau tapi kau kena tolong aku dulu. Kita jumpa kawan aku dulu sebelum ke balai buat laporan polis. Macam mana" Usul Kudin.
Karim mendongak dan melihat Kudin seketika. Dia kemudian mengangguk lemah. Mereka berdua mula meninggalkan pejabat dan menuju ke satu tempat yang telah dijanjikan. Panggilan yang diterima dari Ana Dahlia tadi juga untuk bertemu janji di sebuah restoran.
DI RESTORAN CINTA SAYANG, Kudin dan Karim menapak perlahan ke arah Ana Dahlia yang sudah menunggu mereka di sebuah meja. Mereka mula melabuhkan punggung di situ. Ana Dahlia dilihat sudah tersenyum namun ada sedikit riak sugul. Bercampur-campur.
"Dah lama tunggu" Kudin melemparkan senyuman manis. Sudah lama dia tidak bersua dengan gadis itu.
"Tak juga. Siapa ni" Ana Dahlia menjeling ke arah Karim yang duduk sebelah Kudin.
"Oh ya, ni Karim, kawan Chad dan Jo." Kudin pandang Karim dengan senyuman dan beralih pula pada Ana Dahlia.
Ana Dahlia hanya mengangguk. Dia pandang Karim dengan pandangan yang meragukan. Riak lelaki itu seperti ada sesuatu yang ingin diluahkan. Dia kemudian melihat Kudin yang segak dengan suit pakaian pejabat. Nampak begitu maskulin di matanya.
"Kenapa pandang saya macam tu" Kudin sengih. Dia perasan gadis itu dari tadi melihat ke arahnya tidak berkelip.
"Tak ada apa. So, apa hal penting yang awak nak beritahu saya" Ana Dahlia kembali ke topik asal.
"Begini..ni ada kaitan dengan kawan saya. Jo dan Jai.." Kudin mula buka bicara.
"Wait.." Ana Dahlia pandang Karim dan kemudian pandangannya menala ke arah Kudin semula.
"Tak apa. Dia juga ada hal penting berkaitan dengan Chad dan Jo." Kudin pandang Ana Dahlia yang kelihatan tidak selesa bila Karim ada sekali di situ.
"Oket.."
"Saya ada maklumat pasal Senah dan Anum. Mereka berdua mungkin hilang di perkampungan orang bunian." Kudin menutur berhati-hati. Dia melihat riak Ana Dahlia. Gadis itu dilihat tidak beriak.
"Kenapa tak percaya" Kudin bertanya lagi.
"Tak ada la. Dulu di kampung awak, gadis kebaya merah. Lepas tu, hantu raya belaan Mak Jemah, kali ni pulak, kampung bunian" Ana Dahlia hampir nak tergelak. Dia cuba menahan dari ketawa.
"Terpulang! Apa yang saya nak beritahu pada awak, Senah dan Anum sudah berada di alam lain sama seperti Jo dan Jai." Kudin menambah.
"Apa Maksud awak..Johan dan Jailani" Ana Dahlia mula terkejut.
Kudin mengangguk tetapi dalam masa yang sama dia melihat riak Ana Dahlia sudah berubah. Kali ini riak gadis itu sudah bertukar serius. Lama dia perhatikan wajah Ana Dahlia yang sudah berubah rona. Mungkinkah dua jejaka itu yang diminati gadis tinggi lampai ini Atau mungkin, Jai yang dicintai gadis manis ini
"Ya..semalam kami bertiga ke tempat Senah dan Anum melarikan diri dalam hutan. Jo yang tunjuk tempat tu. Ianya berdekatan dengan sungai." Terang Kudin.
"Ya, memang betul. Tempat itulah Senah dan Anum melarikan diri dan kemudian hilang tanpa jejak." Karim menyokong kata-kata Kudin.
"Tapi...macam mana awak kenal Jailani" Ana Dahlia pula merasa bingung. Memang dia tahu Senah sekampung dengan Detektif Jailani tetapi dia tidak pernah tahu Kudin kenal dengan lelaki itu.
"Dia sekampung dengan saya dan kami sudah lama berkawan, sejak sekolah lagi. Kenapa" Kudin pandang Ana Dahlia dengan ekor mata.
"Err..tak..tak ada apa.." Ana Dahlia mengalihkan pandangannya ke arah lain. Pandangan mata Kudin dirasakan begitu tajam menusuk.
"Sekarang ni kita kena selamatkan mereka di kampung bunian tu." Kudin menambah lagi. Dia pandang Karim di sebelah dan mula beri isyarat.
"Sebenarnya...Senah dan Anum hilang sebab saya dan Jo yang culik mereka. Saya nak menyerah diri dan bekerjasama dengan pihak polis." Karim mula berterus terang.
"Maksud awak Awak terlibat dalam kumpulan sindiket haram penjualan perempuan tu" Ana Dahlia mula terkejut dengan pengakuan Karim.
Karim mengangguk. "Saya akan beri kerjasama dan beri maklumat mana yang saya tahu."
"Kalau macam tu, mari kita ke balai sekarang." Ana Dahlia bingkas bangun.
"Eh, takkan tak minum dulu. Makan ke Yang awak teruja sangat nak ke balai polis ni kenapa Kawan polis awak dah tunggu kat sana ke" Tegur Kudin. Ana Dahlia dilihat sudah bangun dan ingin beredar dari situ.
Ana Dahlia sengih. Dia mula tersedar yang dia terlalu teruja dengan maklumat terbaharu yang diterima tadi. Perlahan dia duduk semula dan tunduk.
"Maaf..saya teruja tadi. Kawan saya tentu suka dengan maklumat ni. Tak sabar saya nak beritahu dia.." Ana Dahlia cuba berlagak selamba semula.
"Hmm...tentu dia istimewa kan" Kudin mula merasa cemburu.
Ana Dahlia diam. Dia pandang Kudin yang tidak pernah putus asa menduga hatinya dan ingin memiliki hatinya yang sudah diberi kepada kepada Detektif Jailani. Entah kenapa hatinya kini lebih terpaut pada detektif muda itu daripada Kudin. Dulu semasa berlakon menjadi kekasih Kudin di Kampung Pinang Patah, dia ada juga terdetik rasa pelik pada Kudin tetapi tidak mendalam sebagaimana rasa hatinya pada Detektif Jailani. Teringat Nek Tom yang beria ingin masuk meminang.
Mereka bertiga mula menikmati makanan dan minuman yang sudah sampai di meja sebaik membuat pesanan tadi. Kudin tidak lepas dari memandang Ana Dahlia yang lebih banyak diam. Kalau gadis itu bersuara, hanya cerita gadis kebaya merah dan kes kehilangan Senah dan Anum sahaja yang menjadi topik perbualan. Sekali sekala topik Jai yang menjadi perbualan.
Usai makan, mereka bertiga mula menuju ke balai polis tempatnya bertugas. Mudah baginya menangani kes itu kelak. Ana Dahlia hanya menemani Kudin dan Karim ke situ. Dia hanya melihat Karim membuat laporan polis tentang kegiatan sindiket haram dan sempat memberi isyarat pada pegawai polis yang lain agar tidak menegurnya sebagai 'Puan'.
Selesai membuat laporan, Karim mula pulang ke rumah. Kudin pula masih di balai polis. Ada hal penting yang perlu dibicarakan dengan gadis itu. Dia perlu tahu hati gadis itu padanya. Minggu lepas, nenek asyik bertanyakan Ana Dahlia.
"Kenapa awak tak balik sekali dengan Karim" Ana Dahlia perasan Kudin masih tercegat di muka pintu balai polis.
"Saya nak bercakap hal penting sikit dengan awak. Boleh kita ke sana sekejap" Kudin tunjuk pada kerusi batu yang terletak di depan balai polis di dalam taman rekreasi dan bunga yang ditanam cantik di situ.
"Apa dia" Ana Dahlia mula bertanya setelah mereka berdua mula duduk di situ.
Kudin menghela nafas seketika sebelum bersuara. Dia pandang gadis itu yang masih memandangnya tidak berkelip. Dia masih berfikir apakah mukadimmah yang paling sesuai untuk memulakan bicara.
"Saya nak berterus terang. Saya sukakan awak dan saya serius tentang hal ni. Jadi, saya nak tahu, adakah awak juga ada rasa yang sama pada sayaMaaf..saya seorang yang suka berterus terang. Saya sedia terima apa jua kemungkinan jawapan awak." Helaan nafas lega dilepaskan. Terasa sarat beban yang dibawa selama ini sudah terlepas.
Ana Dahlia diam seketika. Bukan luahan Kudin yang membuatnya tergamam kerana dia sudah tahu sejak pertama kali berjumpa, lelaki itu seperti suka padanya tetapi apa yang membuatnya rasa begitu, Kudin inginkan jawapan darinya saat itu juga. Apa yang harus dia jawab
"Saya faham jika awak menolak. Saya juga faham jika saya bukan pilihan awak." Kudin tunduk. Jemarinya diketuk-ketuk pada meja batu.
"Beri saya masa. Kalau awak tanya sekarang ni, memang saya tak boleh beri jawapan." Ana Dahlia cuba mengambil hati Kudin.
"Maafkan saya kerana terlalu mendesak. Mungkin saya yang tergesa-gesa." Kudin bingkas bangun. Terasa malu pada gadis itu yang nyata begitu profesional bila berbicara soal hati.
"Saya akan beritahu jawapannya nanti." Ana Dahlia turut bangun dari situ.
Kudin mula minta diri. Ana Dahlia hanya memerhati Kudin berlalu pergi. Dia perasan, muka lelaki itu sudah kemerahan tadi. Dia kembali duduk di situ. Kata-kata Kudin tadi sedikit sebanyak membuatnya dalam dilema. Kini dia sudah jelas hati dan perasaan Kudin dan apa yang membuatnya masih sangsi adalah tentang hati dan perasaan Jailani.
"Ya Allah...buntu aku.." Ana Dahlia meraup muka.
Ana Dahlia mendongak. Detektif Razif memanggil namanya. Dia segera menapak ke arah lelaki itu. Sebaik tiba di situ, Detektif Razif memberi arahan baru kepadanya. Dua hari lagi, operasi membenteras dan menghapuskan sindiket penjualan perempuan itu akan bermula. Segala maklumat termasuk maklumat yang baru diterima dari Karim tadi sudah dikemaskini. Hanya tunggu masa untuk bertindak.
SEMENTARA itu, Karim sudah sampai di rumah. Dia mula merasa lega bila semuanya sudah dijelaskan dan dibuat laporan polis. Dia berharap sangat segalanya berjalan lancar dan dia sendiri dijanjikan dengan hukuman ringan jika bekerjasama dengan pihak polis.
Karim senyum sendiri. Kali ini dia berharap pihak polis dapat menangkap Taiko Chong dan juga kuncu-kuncunya.
Karim bersandar di sofa. Dia merasa bebannya selama ini sudah ringan. Dia sanggup terima hukuman dari terus menjadi hamba Chad dan Taiko Chong. Jo juga sudah lama ingin berhenti dari menjadi talibarut Taiko Chong.
"Mana Jo ni pergi Dari semalam aku call tak dapat-dapat.." Karim cuba menghubungi Jo sekali lagi. Masih tidak ada jawapan. Dia bingkas bangun ke ruang dapur bila terasa haus.
Peti sejuk dibuka dan dituang air sejuk ke dalam gelas. Dia meneguk sehingga habis. Karim menapak pula ke ruang tamu semula. Matanya membuntang melihat Chad sudah tercegat di situ.
"Macam mana kau masuk rumah aku" Karim mula menelan liur. Dia tahu dari riak lelaki itu, Chad mungkin sudah tahu tentang hal tadi.
"Pintu rumah kau tak berkunci. Aku nampak kau jumpa Kudin. Kau beritahu apa pada dia" Chad mula merasa sangsi dengan tindak tanduk Karim.
"Aku kebetulan jumpa tadi. Dia ajak aku minum." Karim cuba mengawal kata-katanya.
"Hmm...aku rasa tidak. Kau yang nak jumpa Kudin kan Kau dah bongkar semua rahsia aku" Chad sudah
menyinga. Dia cengkam leher Karim dengan kuat sehingga lelaki itu tertahan-tahan nafasnya.
"Aku...aku tak buat apa-apa pun. Sumpah!" Karim bersuara tersekat-sekat.
"Kalau aku dapat tahu kau bocorkan rahsia aku, nahas kau aku kerjakan! Kau akan jadi mangsa seterusnya macam Hanim tu!" Ugut Chad sambil mengetap bibir. Tangannya dilepaskan dari leher Karim.
Karim terbatuk-batuk. Dia menggosok lehernya yang terasa tercekik tadi.
"Sekarang ni aku nak kau ikut aku. Aku ada rancangan hari ni." Chad ajak Karim ke satu tempat.
"Ke mana" Karim mula gelisah.
"Ikut saja!"
CHAD berhentikan keretanya di kawasan perumahan Puan Karina, mak Kusha. Dia tahu perempuan itu masih tinggal di situ bersama Kusha. Rumah yang ditinggalkan Tengku Muzafar kini sudah menjadi milik Puan Karina sepenuhnya. Begitu bijak Puan Karina mengatur rancangan. Mak Kudin juga sudah disingkir dari hidup Tengku Muzafar. Bila teringat kembali penyeksaan yang ditanggung ibunya dulu, dia mula merasa geram dan marah. Lama dia memerhati sekitar laman rumah Puan Karina.
"Apa kita nak buat sekarang ni" Karim pandang Chad yang tidak lepas dari memandang ke arah rumah Puan Karina.
"Kita tunggu mereka keluar dari rumah. Aku dah siasat. Masa macam ni, perempuan tu akan keluar dari rumah dan pergi ke spa. Kita tunggu dan lihat sekejap lagi dia akan keluar." Chad masih memerhati tepat ke arah pintu pagar rumah Puan Karina.
Karim pula merasa gelisah. Dia keluarkan telefon bimbitnya dari poket seluar. Sengaja dia main 'games' depan Chad. Bila melihat Chad leka memandang rumah Puan Karina, dia curi-curi menghantar mesej pada Kudin.
"OkEY, dia sudah keluar. Kau pergi ke sana dan buat-buat terlanggar bahu dia. Aku akan menyusul." Chad beri arahan.
Karim terpaksa keluar dari perut kereta dan melangkah perlahan ke arah pintu pagar.Kelihatan pintu pagar sudah terbuka luas. Puan Karina masih lagi berdiri di tepi kereta. Karim berhenti seketika di muka pintu pagar. Dia masih berfikir cara untuk merealisasikan apa yang diajar Chad tadi.
"Haih...gila Chad ni. Macam mana aku nak masuk ke dalam Nanti dihalaunya aku macam kucing kurap macam mana" Karim garu kepala. Dia masih memandang ke arah Puan Karina yang sudah bersiap untuk menaiki kereta dengan pemandunya yang sudah bersedia di dalam kereta.
"Assalamualaikum! Puan!" Karim terpaksa melaung nama Puan Karina.
Puan Karina berpaling. Lelaki yang memberi salam tadi begitu asing baginya. Dia mengamati wajah lelaki yang menegurnya tadi.
"Awak siapa"
"Saya Ali, nak minta sumbangan untuk rumah anak yatim." Karim sengih. Lantaklah!
Puan Karina menapak perlahan ke arah Karim dengan sebelah tangannya membawa beg jenama LV. Dia mendekati Karim yang masih tercegat di muka pintu pagar yang terbuka luas.
"Awak nak minta derma la ni" Puan Karina bertanya Karim yang sudah terkebil-kebil di situ.
Karim mengangguk. Matanya menjeling Chad yang sudah mula keluar dari perut kereta.
"Ya puan."
"Mana dokumen awak" Puan Karina melihat Karim atas bawah. Lelaki itu datang dengan tangan kosong.
Tidak semena-mena Chad meluru ke arah Puan Karina dan merampas beg tangan perempuan itu. Dia terus berlari pergi. Karim yang terpinga-pinga terdiam seketika.
"Awak ni kenapa Beg saya diragut, awak boleh buat bodoh kat sini Bodoh!!!" Puan Karina mengetap bibir dan marah-marah pada Karim.
Karim segera mengejar Chad yang sudah membelok ke kiri kawasan perumahan. Dia melihat Chad menunggunya di situ.
"Kau ni bengap la! Kenapa baru sekarang ni kejar aku" Chad luku kepala Karim. Dia hulur beg tangan Puan Karina kepada Karim dan menyuruhnya kembalikan kepada perempuan itu.
"Err...nak kasi semula pada dia ke" Karim sudah bingung.
"Yalah! Aku dah dapat apa yang aku nak! Ingat, kau telah selamatkan beg tangan perempuan tu. Jadi ada kemungkinan dia akan terhutang budi pada kau. Jadi kau mungkin akan jadi orang kepercayaan dia nanti. Kau kena ambil peluang ni." Chad menjelaskan perkara yang sebenar.
"Aku nak buat apa nanti" Karim sekali lagi jadi bingung.
"Kau ikut arahan perempuan tu. Aku nak dia percaya pada kau." Chad senyum.
Karim segera berlari ke arah rumah Puan Karina semula dan menyerahkan semula beg tangan perempuan itu. Puan Karina cepat-cepat memeriksa kandungan begnya. Dia tidak kisah jika wangnya dicuri tetapi fotonya yang diletak dalam beg itu sudah hilang!
"Nampaknya dia ambil foto saya sekali." Puan Karina sudah gelisah.
"Err..saya pergi dulu puan." Karim mula ingin beredar dari situ tetapi dihalang oleh Puan Karina. Dia menghulurkan sejumlah wang kepada Karim kerana menolongnya tadi.
Karim mula beredar dari situ. Dia berhenti seketika di tepi pagar setelah melihat Puan Karina sudah menaiki kereta dan mula meninggalkan kawasan perumahan itu. Karim menapak ke arah kereta Chad semula.
"Bagus! Macam tulah kawan aku!" Chad senyum lebar. Keretanya dipecut laju ke rumah Karim semula. Karim dihantar pulang.
"Ingat! Jangan beritahu sesiapa tentang hal ni." Chad memberi amaran pada Karim.
Karim hanya mengangguk. Sekarang dia perlu mengikut apa jua kata Chad. Dia hanya menunggu masa saja untuk melihat Chad ditangkap polis dan merengkok dalam penjara. Kereta Chad sudah hilang dari pandangannya.