Sampailah di hadapan kedai buku Abang Medan yang sentiasa menghiasi pekan ini dengan koleksi buku-buku lama. Leman berdiri lama menghadap kedai. Mak Cik Vijaya lekas mendapatkan Leman. Leman nak beli buku Leman mengangguk.
Okey, jom masuk.
Satu demi satu buku diselak. Disantuni baik-baik helaian demi helaian dengan penuh hikmah. Hinggalah sampai ke sebuah buku, Leman mengambil dengan penuh sopan. Kemudian dibaca di bahagian belakang kulit dan terus didakap eraterat. Buku yang pernah menjadi idaman setiap pembaca sekitar tahun 1952 itu terus dipegang erat. Pembukuan Buya Hamka dalam Kenang-Kenangan Hidup dalam mengisahkan kehidupan dirinya sendiri dari manusia biasa hingga diangkat setaraf dengan ulama Nusantara menjadi rebutan para ulat buku waktu itu.
Mak Cik Vijaya mengintai di antara rak-rak buku. Cikgu Muhammad pula hanya menanti di luar kedai. Saat Leman keluar dari syurga tersebut, Cikgu Muhammad terus sahaja tersenyum. Buat kali pertama dalam seminggu dua ini, barulah beliau dapat melihat wajah ceria Leman.
Nampaknya Leman dah sedia nak ke sekolah esok, mesti boleh kan
Leman terus mengangguk dan melompat girang. Sepanjang perjalanan balik, Leman terus sahaja membaca karya yang dibeli ibunya tadi. Mak Cik Vijaya sudah pun menarik nafas lega.
Mereka kembali pulang ke rumah, Mak Cik Vijaya kembali menyiapkan semua tempahan yang masih lagi banyak berbaki. Leman juga sudah kembali beraksi di dapur. Menolong itu ini dan sesekali terjelepok jatuh ke sana ke mari lalu ketawa bersama dengan ibunya.
Pesta Tahun Baru Cina disambut meriah. Nyonya Lim dan Uncle Boon Son juga sempat bertandang ke perkampungan Pasir Rawa membawa limau yang berkotak-kotak. Sedang lewat malam semua penduduk menanti dan memandang ke arah langit bersama-sama dari rumah masing-masing. Kemudian meletup-letuplah mercun di langit malam yang membentuk seakan bunga-bunga yang mekar kembang.
Leman memberi senyum kepada langit. Walaupun pernah berjanji bersama dengan Faduli untuk sama-sama memandang langit melihat bintang-bintang dari arah yang berlainan, kini Leman berikrar untuk terus hidup dan meneruskan cita-citanya menjadi penulis.
Tanglung-tanglung di isi api. Ironinya tanglung yang dibuat dari kertas ini langsung tidak terbakar malah sentiasa bercahaya menerangi larut malam Pasir Rawa dan pekan Mentakab. Boleh dirasai kemeriahan pesta ini saat melihat tersusunnya bulatbulat merang yang tergantung di sisi jalan raya.