SANG PENGUASA - 21
Sebahagian penguasa, untuk memastikan negaranya selamat, dia melucutkan ketenteraan rakyatnya. Sebahagiannya membahagikan kota-kota pada kumpulan tertentu. Sebahagiannya mendorong permusuhan dalam kalangan mereka sendiri. Sebahagiannya cuba meraih simpati supaya tidak dicurigai ketika peringkat awal pemerintahan. Sebahagiannya telah membina benteng dan sebahagiannya memusnahkan benteng tersebut. Kita tidak boleh menghukum mana-mana pendekatan di atas melainkan kita sendiri menguasai pemerintahan yang boleh bersangkut paut dengan pendekatan tersebut. Saya akan bicarakan secara umum tentang hal ini.

Tidak ada penguasa baru yang pernah melucutkan ketenteraan rakyatnya. Malah, apabila dia mendapati mereka tidak bersenjata, penguasa itu akan memberikannya pula kepada mereka. Dengan itu, mereka akan menjadi tentera milik penguasa. Mereka yang dulunya tidak percayakan penguasa, akan menjadi setia. Mereka yang setia akan kekal setia.

Apabila semua rakyat tidak bersenjata (kecuali sebahagian sahaja yang tiada), Tuan mudah untuk mengawal sebahagian yang lain dengan mudah. Perbezaan layanan ini membuatkan subjek yang tidak bersenjata akan terasa bergantung pada Tuan. Subjek bersenjata yang sering diperlukan dan mendapat ganjaran atas perkhidmatan mereka akan setia pada Tuan.

Sekiranya Tuan melucutkan ketenteraan rakyat, Tuan telah menunjukkan keraguan kepada mereka dan membuatkan Tuan dibenci. Oleh kerana Tuan memerlukan tentera, akhirnya Tuan mengambil pasukan tentera upahan yang ciri-ciri mereka telah kita bincangkan. Walaupun sekiranya mereka baik, mereka masih tidak cukup untuk mempertahankan Tuan daripada musuh yang kuat dan rakyat yang meragui. Maka, penguasa baru dengan wilayah barunya perlu menubuhkan ketenteraan.

Apabila Tuan memperoleh wilayah baru, keperluan utama adalah untuk melucutkan senjata penduduk wilayah tersebut kecuali mereka yang memihak kepada Tuan ketika mahu mendapatkan wilayah itu. Hal ini perlu ditangani dengan baik dan lunak sehinggalah senjata yang ada pada wilayah itu hanya dimiliki oleh tentera Tuan sendiri.

Nenek moyang kita dan mereka yang dipandang bijaksana suatu ketika dahulu, sering menyatakan perlunya memelihara Pistonia melalui pecahan kumpulan tertentu dan memelihara Pisa dengan benteng. Idea ini diperoleh semasa satu pergelutan mengenai wilayah jajahan mereka tentang bagaimana untuk memeliharanya dengan mudah. Pendekatan ini mungkin mencukupi pada waktu itu di mana Itali berada dalam keadaan seimbang, tetapi tidak praktikal pada masa kini kerana saya tidak percaya pecahan kumpulan itu berguna. Malah, apabila musuh mendatangi Tuan dalam keadaan wilayah Tuan berpecah, sudah tentunya Tuan akan dikalahkan dengan mudah. Kumpulan yang lemah akan selalunya membantu musuh dan pihak yang lain tidak akan dapat bertahan.

Venetia menggunakan pendekatan lama yang saya sebutkan di atas untuk mendorong kumpulan Guelf dan Ghibelline dalam menduduki kota-kota jajahan mereka. Walaupun Venetia tidak membenarkan pertumpahan darah berlaku antara mereka, tetapi Venetia mendorong perbezaan mereka supaya penduduk akan terganggu dengan perbezaan tersebut. Lantas, membuatkan penduduk tidak bersatu untuk menjatuhkan Venetia. Pendekatan ini ternyata tidak menghasilkan apa yang diharapkan. Selepas berlaku kekalahan di Vaila, Venetia diserang oleh salah satu daripada dua kumpulan tersebut dan negaranya dirampas. Pendekatan ini telah melemahkan penguasa dan tidak pernah diamalkan di bawah pemerintahan yang kuat. Pendekatan tersebut menjadikan pengurusan ke atas subjek lebih mudah dan hanya berguna pada waktu aman. Tetapi apabila pada waktu perang, cara ini terbukti tidak berkesan.

Tidak dinafikan, penguasa menjadi hebat apabila mereka dapat menghadapi pelbagai kesusahan dan rintangan. Bagi penguasa baru, kekayaan dan reputasi lebih penting untuk menjadikannya hebat berbanding penguasa warisan. Ini akan menyebabkan musuh juga akan bangkit mencari reputasi untuk menumbangkan penguasa. Maka, penguasa perlu mencapai reputasi melebihi musuhnya. Atas faktor ini, ramai beranggapan bahawa seorang penguasa yang bijak (apabila diberi peluang), seharusnya bermusuh dengan dirinya sendiri supaya dapat mempertingkatkan dirinya ke taraf yang lebih tinggi.

Kadangkala, penguasa yang baru terutamanya akan menemui kesetiaan dan bantuan daripada orang yang diragui berbanding orang yang dipercayai pada peringkat awal pemerintahan. Pandolfo Petrucci, penguasa dari Seina, meletakkan lebih ramai mereka yang diragui untuk memerintah negaranya. Sekiranya mereka yang diragui ini dimusuhi pada peringkat awal pemerintahan, mereka akan segera mendapatkan bantuan untuk mempertahankan posisi mereka. Menghulurkan bantuan tersebut sangat mudah bagi penguasa. Seterusnya, mereka terpaksa berkhidmat di bawah penguasa dengan kesetiaan sehinggalah penguasa membuang segala perkara negatif dan sangkaan buruk yang dibentuk ke atas mereka. Justeru, penguasa memperoleh lebih banyak kelebihan dan bantuan daripada mereka berbanding orang lain yang kadangkala mengabaikan kepentingan penguasa.

Suka untuk saya ingatkan kepada penguasa baru, apabila memperoleh suatu wilayah dengan bantuan penduduknya, dia perlu sentiasa memikirkan kepentingan mereka. Sekiranya mereka membantu atas dasar tidak berpuas hati dengan pemerintahan wilayahnya, maka sukar untuk menjaga hubungan dengan mereka kerana sukar untuk memuaskan hati mereka. Sejarah menunjukkan, lebih mudah untuk menjaga penduduk yang telah berpuas hati sebelum wilayahnya diambil alih.

Kebiasaannya penguasa akan mempertahankan negaranya dengan membina benteng. Saya memuji pendekatan ini kerana ia telah digunakan sejak dahulu kala. Meskipun begitu, Nicolo Vitelli telah memusnahkan dua benteng di Citta di Castello untuk mempertahankan negaranya. Guidubaldo, Duke Urbino, telah memusnahkan benteng di wilayahnya dengan anggapan, tanpa benteng tersebut lebih sukar untuk dia kehilangan wilayahnya.

Bentivoglio juga melakukan hal yang sama ke atas Bologna.

Oleh itu, soal benteng itu berguna ataupun tidak bergantung pada situasi yang dihadapi. Sekiranya benteng dapat memberikan kebaikan kepada Tuan dalam suatu perkara, ia akan memberikan kesusahan pada perkara lain. Penguasa yang lebih takutkan penduduk daripada kuasa asing, akan mendirikan benteng. Jika sebaliknya, benteng tidak diperlukan.

Istana Milan yang didirikan oleh Francesco Sforza telah mendatangkan banyak masalah berbanding kekacauan lain kepada keluarga Sforza. Penyelesaian untuk masalah ini adalah jangan dibenci oleh penduduk. Walaupun Tuan mempunyai benteng, tetapi sekiranya penduduknya membenci Tuan, benteng tersebut tidak mampu menyelamatkan Tuan. Kemudian, akan ada kuasa asing cuba untuk membantu penduduk yang membenci Tuan.

Pada masa kita, benteng tidak banyak membantu penguasa melainkan kepada Countess Forli ketika suaminya, Count Girolamo, dibunuh. Benteng tersebut mampu mempertahankan dirinya daripada serangan rakyat dan menunggu pasukan bantuan dari Milan. Seterusnya, kestabilan negaranya dapat dipulihkan. Tambahan lagi, pada masa itu, keadaan negaranya membuatkan kuasa asing tidak mampu untuk menghulurkan bantuan kepada penduduknya.

Namun, selepas itu, benteng tersebut sudah tidak berguna lagi setelah diserang oleh Cesare Borgia dan penduduknya pula berpihak pada musuh. Justeru, adalah selamat bagi dia, pada bila-bila masa pun supaya tidak dibenci oleh rakyat berbanding mempunyai benteng jika ingin memelihara kuasanya. Saya memuji sesiapa yang membangunkan benteng dan sesiapa yang tidak membangunkannya. Saya menyalahkan sesiapa yang terlalu bergantung pada benteng sehingga mengabaikan kebencian rakyat terhadapnya.